BAB 3


TAK berani Adam angkat wajahnya. Lebih-lebih lagi setelah dia dimarah teruk gara-gara menerima wang dari seseorang.

Sampai di rumah, Alma menyuruh Adam duduk di ruang tamu. Bibirnya melengkung ke bawah. Bila-bila masa air matanya akan jatuh ke pipi.

"Dah berapa kali ibu cakap. Jangan cakap dengan orang yang Adam tak kenal. Tadi... kenapa mudah betul Adam terima duit dari pak cik tadi?!"

Tak sedar suaranya dah meninggi. Sakit hatinya masih bersisa disebabkan perbuatan lelaki tadi. Dia tak boleh terima ada yang menganggap Adam sebagai perminta sedekah.

"Adam... Adam minta maaf."

"Maaf. Lepas tu buat lagi!"

Jatuh juga air mata Adam. Pipinya diseka dengan tapak tangan.

"Tapi... Adam kenal dia."

Berkerut dahi Alma. Dia pantas duduk di sebelah anaknya.

"Sejak bila Adam kenal pak cik tadi?" soal Alma dengan riak bingung. Rasanya ini kali pertama dia berjumpa lelaki itu.

Tiba-tiba Adam berlari masuk ke dalam bilik. Terpinga-pinga Alma dibuatnya. Tak lama kemudian, Adam muncul bersama bingkai gambar di tangan.

"Ini babah."

Alma masih tak faham.

"Pak cik tadi babah. Adam kenal dia."

Jatuh rahang Alma. Pantas dia merampas bingkai gambar itu dari tangan Adam. Lama dia melihat gambar itu.

"Err... tak mungkinlah."

"Betul. Itu babah Adam."

Alma garu kepala yang tidak gatal. Jujurnya dia tak sempat melihat dengan jelas wajah lelaki tadi. Lebih-lebih lagi lelaki itu berkaca mata hitam dan berambut panjang.

Dalam gambar ini, lelaki itu nampak kemas dengan rambut yang pendek dan berwajah cerah.

"Ibu."

Alma tersedar dari terus membandingkan dua lelaki tadi. Nafas dihela panjang. Tangan anaknya ditarik rapat agar duduk di sisinya.

"Dalam dunia ni, ada tujuh orang muka yang sama. Mungkin pak cik tadi tu, salah seorang yang sama dengan babah Adam."

Terkebil-kebil mata Adam.

"Tengok ni... rambut babah Adam pendek. Dia tak suka simpan rambut panjang." Belasah sajalah jawapan. Asalkan Adam tak fikirkan tentang lelaki tadi.

Adam ambil bingkai gambar itu. Jatuh kedua bahunya. Wajah Adam jelas kelihatan sedih.

"Adam ingatkan, babah dah balik." Mencebik bibir Adam.

Makin tebal rasa bersalah Alma. Ikutkan hati, mahu saja dia menceritakan yang lelaki itu langsung tidak tahu kewujudan Adam di dunia. Sudah bahagia bersama perempuan munafik. Tapi dia tak sanggup memburukkan susuk tubuh seorang ayah di mata Adam.

"Orang yang sabar, Allah sayang. Adam berdoalah supaya babah cepat balik."

Adam mengangguk lemah.

"Nanti kalau babah dah balik, Adam tak nak bagi babah pergi kerja jauh lagi. Adam nak kita tinggal sama-sama. Bolehkan?" Ceria wajah Adam.

Alma tersenyum kelat. Hanya anggukan yang diberi sebagai jawapan. Dadanya sebak setiap kali melihat anaknya terlalu inginkan kasih sayang seorang ayah.

"Ada kerja sekolah tak?"

"Tak ada. Adam dah siap dekat school." Tersengih-sengih Adam.

"Bagus. Ibu nak masak untuk makan tengah hari. Adam masuk bilik baca buku cerita. Dah siap masak, ibu panggil."

Pipi anaknya dicium terlebih dahulu sebelum dia berlalu di dapur. Peti sejuk dibuka. Dia keluarkan beberapa biji telur dan sayur kubis. Hanya ini rezeki yang mereka ada. Cukuplah untuk menggalas perut mereka hari ini.

Tiba-tiba dia teringatkan kenangan lalu. Kenangan yang pernah menjadi impian dia bersama lelaki itu.

"Nanti kita dah ada anak, abang nak bagi kehidupan yang baik untuk anak kita. Yang penting, anak kita akan dapat kasih sayang dari abang dan sayang."

Alma tersenyum manja. Lengan lelaki itu ditampar manja.

"Awal sangat abang cakap pasal anak. Kita tak kahwin lagi."

Dalam usianya baru 20 tahun, dia akui masih belum bersedia berkahwin. Lagipun lelaki itu masih belajar.

"Tak salah kita merancang dari sekarang. Abang pun ada buat kerja part time. Salah satu impian abang, nak ada anak dengan orang yang paling abang cintai. Dan hanya sayang yang akan lahirkan anak-anak abang."

Alma gigit bibirnya sekuat hati. Hatinya sakit setiap kali teringat janji palsu lelaki itu. Walaupun sudah 10 tahun mereka kenal, dirinya tetap kalah dengan wanita yang baru beberapa bulan lelaki itu bersama.

Penipu!

Dia tak pernah menyesal ditinggalkan lelaki itu. Malah Alma bersyukur dijauhkan dari lelaki yang jijik itu.


HUJUNG minggu, akhirnya Qaiser balik ke rumah keluarganya. Sengaja dia tidak memberitahu kepada orang tuanya untuk dijadikan kejutan.

Masuk ke dalam rumah, suasana sunyi sepi. Dia terdengar suara orang menyanyi dari dapur. Bibir Qaiser tersenyum senget. Timbul idea untuk mengenakan wanita itu.

Sudah diagak, wanita itu masih belum sedar kehadirannya. Perlahan-lahan dia mendekati wanita itu. Selamba dia mencucuk pinggang wanita itu tanpa rasa bersalah.

"Sedapnya suara Mak Wan."

"Eh... suara Mak Wak sedap macam Saloma. Eh..." Terperanjat orang tua itu. Nyaris dia nak mengetuk kepala Qaiser dengan senduk di tangan.

"Budak bertuah ni." Belakang Qaiser ditepuk geram.

Berdekah lelaki itu ketawakan wanita itu. Sejak kecil lagi dia sangat rapat dengan Mak Wan. Sudah lebih 30 tahun wanita ini bekerja bersama keluarganya.

"Bila balik?"

"Baru sampai, Mak Wan. Mama dan papa mana?" Ayam goreng yang baru dimasak itu dicubit sedikit. Terus dia masukkan ke dalam mulut.

Mak Wan tampar lengan Qaiser.

"Pergilah basuh tangan dulu. Datang dari mana, tiba-tiba terus sentuh makanan."

Rindu betul Qaiser nak dengar bebelan orang tua itu. Dia duduk di kerusi makan.

"Mama Qai ada dekat atas. Solat agaknya. Papa Qai macam biasalah, keluar jumpa rakan busines katanya."

"Hujung minggu pun jumpa orang lagi."

Mengecil anak mata Mak Wan.

"Mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Qai dengan Tuan Qayyum, sama aje. Gila kerja. Tapi papa Qai tu ada juga masa untuk isteri dan anak. Qai ni bila lagi nak ada isteri?"

"Mak Wan ni... tak habis-habis nak cakap pasal topik ni. Hari tu mama..."

Mak Wan duduk di kerusi yang ada di sebelah Qaiser.

"Mak Wan bukannya apa. Mama dan papa Qai tu dah berusia. Mestilah dia nak tengok Qai berumah tangga. Umur macam Qai ni, sepatutnya dah ada dua orang anak tau."

Qaiser usap belakang lehernya. Anak? Tak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mempunyai anak. Bukan dia tak suka budak. Cuma buat masa ini dia tak suka sebarang komitmen.

"Dengar tak apa Mak Wan cakap tadi?"

"Dengar. Kalau Qai lambat sangat kahwin, Qai cari ajelah ibu tunggal yang dah ada anak. Dapat juga anak segera." Sengaja dia berseloroh.

Bulat mata Mak Wan. Perut lelaki itu dicubit geram. Perkara ini boleh pula dibuat main.

"Kata-kata tu satu doa. Kalau betul Qai dapat anak segera, nak ke mama dan papa Qai tu terima."

Sudah...

Boleh pula Mak Wan anggap kata-kata gurauanya sebagai serius.

"Eh, Qai! Bila balik?"

Qaiser tarik nafas lega. Mama muncul tepat pada masanya. Dia terus merangkul tubuh mama. Pipi mama dicium bertubi-tubi.

"Kenapa tak beritahu nak balik?"

"Surprise..." Meleret nada suara Qaiser.

Mak Wan sambung kembali kerjanya memasak. Qaiser membawa mama ke ruang tamu.

"Hari ni, Qai tidur sini ya?"

"Ya. Qai tidur sini. Tapi esok Qai dah kena balik rumah sendiri." Ikutkan dia nak balik terus malam ini. Tapi dia tak sampai hati pula menolak setelah berjumpa mama.

Jatuh kedua bahu Puan Fazrin. Tak puas dia nak berbual lama dengan anaknya.

"Ini fesyen apa pula? Potonglah rambut tu. Sakit mata mama tengok."

Qaiser sentuh rambutnya yang diikat kemas. Jujur dia lebih selesa dengan penampilan sekarang.

"Sayanglah nak potong. Qai jaga dah lama."

Mengecil anak mata wanita itu. Ada saja jawapan yang diberi. Tak lama kemudian, terdengar enjin kereta di luar rumah. Pasti suaminya sudah balik.

"Assalamualaikum."

Serentak keduanya berpaling ke arah pintu. Masing-masing menjawab salam. Tak lama kemudian, Encik Qayyum muncul bersama seseorang di sisi. Jelas wajah orang tua itu dalam keadaan lemah.

"Abang!"

Puan Fazrin pantas mendapatkan suaminya. Qaiser turut sama berlari ke arah papa.

"Kenapa dengan papa?" soal Qaiser. Tubuh orang tua itu sudah bertukar tangan.

"Tadi Tuan Qayyum hampir pitam. Mungkin cuaca panas sangat dekat luar." Jawab lelaki yang menghantar orang tua itu ke rumah.

"Abang pun satu. Dah tahu tak sihat, masih degil nak keluar," bebel mama.

Encik Qayyum pandang ke arah Qaiser. Dia hela nafas panjang.

"Bila balik?"

"Baru sampai, papa."

Tangan Qaiser ditolak lembut. Puan Fazrin pantas merangkul lengan si suami. Lelaki itu memberi isyarat mata kepada isterinya untuk membawa dia ke bilik.

Kini hanya tinggal Qaiser bersama lelaki tadi. Tangan dihulurkan kepada lelaki itu.

"Terima kasih hantarkan papa saya. Saya Qaiser."

"Rafiq,"

Mereka saling berjabat tangan.

"Tuan Qayyum selalu juga bercerita tentang awak."

Ternaik kening Qaiser.

"Saya yakin perkara yang dia bualkan bersama awak tu, bukan perkara yang baik."

Rafiq tergelak kecil.

"Saya dah lama bekerja dengan tuan. Hampir lima tahun juga. Selama saya bekerja dengan tuan, tuan selalu bangga dengan anak tunggalnya. Dia pernah beritahu saya, awak bekerja sebagai pelukis."

Qaiser kelu seketika untuk membalas. Pelik. Selama ini, dia fikir papa tak suka bercakap tentang kerjayanya.

"Saya tak boleh lama. Nak kena ambil isteri saya. Ada rezeki, kita jumpa lagi."

Qaiser mengangguk faham. Sekali lagi mereka saling berjabat tangan. Hilang kelibat lelaki itu, Qaiser pandang ke tingkat atas. Ada rasa bersalah kerana selama ini dia tak pernah cuba mengambil hati papa.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top