BAB 2

ALMA kehilangan ayat. Surat yang baru diterima hari ini betul-betul di luar jangkaan. Hampir empat tahun dia bekerja di sini. Tiba-tiba hari ini, beberapa pekerja yang lain termasuk dia, diberhentikan tanpa notis.

Pantas Alma berjumpa dengan pengurus kilang. Dia tak dapat terima keputusan itu sedangkan dia bekerja dengan baik selama ini.

Lelaki itu sudah menganggak kedatangan Alma untuk bertanyakan tentang surat yang baru diserahkan pagi tadi. Dia juga serba salah.

"Encik tak boleh buat saya macam ni? Tiba-tiba kami diberhentikan tanpa notis."

"Ya, saya faham. Awak sendiri pun dah tahu keadaan kilang kita berhadapan masalah sejak beberapa bulan yang lepas."

Alma terdiam.

"Sebenarnya kami dah cuba sebaik mungkin untuk tingkatkan jualan di kilang kita. Tapi keadaan ekonomi sekarang tak seperti dulu. Permintaan barang kita pun dah semakin berkurangan."

Alma faham apa yang cuba disampaikan oleh pengurus kilang ini. Tapi dia masih cuba berusaha agar dirinya tak diberhentikan secara mendadak.

"Tolong saya, encik. Saya tak boleh kehilangan kerja ni."

"Saya minta maaf. Kami terpaksa pilih pekerja yang dah berkahwin untuk diberhentikan dahulu."

"Tapi saya ibu tunggal, encik."

Encik Syahir hela nafas berat. Dia juga tak sampai hati untuk berhentikan Alma. Tapi dia tiada pilihan memandangkan ada lagi pekerja yang lebih layak bertahan di sini.

"Awak ada anak, Alma. Kerja awak selalu terganggu bila awak terpaksa ambil cuti disebabkan alasan anak sakit."

Alma terus kehilangan ayat untuk membalas.

"Saya harap awak faham, kenapa awak dipilih untuk diberhentikan."

Hampir menitis air mata Alma. Kejamnya. Hanya disebabkan dia pernah mengambil cuti yang lama beberapa bulan yang lepas, isu itu dijadikan alasan untuk dibuang kerja. Segala kebaikan dia di sini, langsung tidak dipandang.

"Kami akan beri pampasan kepada semua pekerja yang dibuang. Awak boleh guna duit tu untuk cari kerja lain."

Alma tergelak sinis. Mudah betul lelaki itu membuat keputusan.

"Kalau itu yang encik cakap, saya tak berhak untuk paksa encik terima saya bekerja di sini. Terima kasih atas kebaikan yang diberi selama empat tahun saya bekerja di sini."

Raut wajah Encik Syahir jelas kelihatan bersalah. Nak pandang muka Alma, dia sendiri malu.

Alma keluar dari bilik itu dengan perasaan remuk. Beg dan barang-barang peribadinya diambil. Tiada satu pun barang yang ditinggal di situ.

Setiap kali dia melangkah pergi dari kilang itu, air matanya gugur ke pipi. Kali ini, dia perlu bermula dari bawah. Banyak komitmen yang perlu dia tanggung. Dialah ayah. Dah dia jugalah ibu.

"Alma!"

Alma toleh ke belakang. Malini terus merangkul tubuh Alma.

"Kejamnya orang tua tu." Malini menangis di bahu Alma.

Alma tersenyum kelat. Belakang tubuh Malini ditepuk perlahan. Walaupun gadis ini masih muda, tapi hubungan mereka rapat setelah sama-sama bekerja di sini.

"Kau kerja baik-baik. Syukur kau tak senasib macam aku."

"Jangan cakap macam tu. Antara aku dengan kau, kau lagi perlukan pekerjaan ni. Jom kita jumpa Encik Syahir. Biar aku yang kena buang. Kau kerja sini."

Alma menggeleng laju.

"Rezeki aku bukan di sini lagi. Mungkin ada di tempat yang lain. Dah tiba masanya aku beralih angin."

Malini masih tak berpuas hati. Dia tahu Alma susah hati sekarang.

"Kau nak cari kerja di mana?"

"Entah. Buat masa ni, aku berehat dulu. Nanti aku carilah kerja. Kau doakan untuk aku."

Laju Malini mengangguk. Tiba-tiba gadis itu selitkan beberapa keping duit ke tangan Alma. Tergamam Alma.

"Lini..." Alma pantas menolak.

"Ambil. Ini untuk Adam. Kalau kau ada apa-apa masalah, hubungi aku. Walaupun kita tak kerja di tempat yang sama, kita masih kawan baik. Ingat tu." Tegas Malini mengingatkan Alma.

Sebak dada Alma. Di saat dia tiada sesiapa untuk mengadu, masih ada yang sudi menghulurkan tempat berpaut. Tubuh Malini didakap erat.

"Ya. Kita akan tetap berkawan."


QAISER tarik nafas lega setelah urusannya selesai di sini. Telefon dikeluarkan dari poket seluar. Ada satu panggilan tak dijawab dari mama.

Pantas dia mendail nombor wanita itu. Beberapa saat kemudian, panggilan dijawab.

"Mama sihat?"

"Sihat. Qai dah makan ke?" Prihatin wanita itu menyoal.

"Belum lagi. Baru selesai urusan di bank."

Sebelum keluar dari rumah, dia hanya mengalas perut dengan secawan kopi. Baru sekarang perutnya terasa pedih gara-gara tidak menjamah makanan.

"Qai jangan kerja kuat sangat. Kesihatan tu kena jaga. Sebab tu mama nak sangat tengok Qai kahwin. Sekurang-kurangnya, ada yang jaga makan minum Qai."

Qaiser hampir nak tergelak. Selama 10 tahun dia hidup berdikari di luar, tak pernah lagi dia rasa terbeban. Malah dia rasa bebas tanpa terikat dengan sesiapa.

"Papa masih moody lagi ke?" Sengaja Qaiser mengubah topik perbualan.

"Ehmm... macam tulah. Pak long ada datang hari tu. Dia ada tanya pasal Qai."

Tak perlu ditanya, dia boleh agak tujuan pak long datang ke rumahnya.

"Qai tetap tak setuju. Mama jangan sesekali terima cadangan pak long."

"Ya. Mama tahu. Papa pun sama. Memanglah dia nak sangat tengok Qai kahwin. Tapi bukan dengan orang yang dah dianggap anak."

Lega hati Qaiser. Risau juga orang tua itu mendesak dia berkahwin dengan anak sulung pak long. Kononnya mereka sama-sama masih membujang.

"Qai ada kerja ni. Dah selesai kerja, Qai cuba balik minggu depan."

"Yalah. Jaga diri."

Sebaik saja talian ditamatkan, Qaiser menghubungi Edri.

"Datang ambil aku sekarang."

Talian terus dimatikan. Jam di tangannya dikerling sekilas. Masih sempat untuk dia kembali ke studio. Mungkin dia akan bermalam di sana untuk menyiapkan tempahan pelanggan. Hampir 10 minit juga dia menunggu. Bayang Edri masih tidak kelihatan.

"Mana pula budak ni?"

Tiba-tiba terasa seluarnya ditarik seseorang. Anak matanya turun ke bawah. Seorang budak lelaki sedang merenung ke arahnya sambil tersenyum. Satu paket kerepek pisang dihulurkan kepadanya.

Nafas dihembus kasar. Walaupun timbul perasaan marah, dia masih tak sampai hati untuk menghalau. Dompet dikeluarkan dari jaketnya. Sekeping not warna merah dihulurkan kepada budak itu.

"Ambil duit ni dah pergi ke sana." Usai memberi pesanan, dia terus bergerak ke tempat lain. Janganlah ada lagi yang meminta sedekah.

Cermin mata hitamnya dibetulkan sedikit. Cuaca hari ini nampak elok berbanding semalam.

"Encik."

Qaiser berpaling ke sebelah. Berkerut dahinya melihat budak tadi datang bersama seseorang.

"Encik ke yang bagi duit ni?"

Hanya anggukan yang diberi sebagai jawapan. Nampak elok saja pakaian wanita ini. Tak adalah nampak susah sangat sampai perlu meminta sedekah.

"Encik dah salah faham. Anak saya ni, bukan peminta sedekah. Ambil balik duit encik."

Qaiser kelu seketika. Dia fikir, budak tadi meminta wang darinya dengan menjual kerepek. Ternyata dia dah salah faham.

"Tak apa. Anggap saya bagi kepada dia." Qaiser cuba menutup malu.

"Saya tak nak. Encik bagi kepada orang yang lebih berhak. Saya masih mampu nak sara anak saya."

Qaiser sedikit tercabar dengan penolakan wanita itu. Kedua tangannya sudah berada di pinggang.

"Awak nak ambil atau tidak, terpulang. Saya dah beri kepada anak awak. Jadi..." Tak sempat dia habiskan ayat, tangannya ditarik kasar.

Wanita itu letakkan duit tadi di atas tapak tangannya. Tergamam Qaiser.

"Saya enggan terima. Salah saya sebab terlalu cuai sampai anak saya keluar dari kawasan bank. Lagipun, saya tak kenal encik. Tak ada sebab untuk saya terima duit ni."

Wanita tadi terus meraih tangan anaknya dan meninggalkan tempat itu. Qaiser masih berdiri kaku di situ. Duit yang ada di tapak tangannya, dipandang dengan perasaan sebal.

"Bos."

Tersentak Qaiser. Tak sedar sejak bila Edri ada di sini."

"Kau dah lama sampai?"

"Baru aje tapi..." Tersengih-sengih lelaki itu.

"Saya nampak ada perempuan pegang tangan bos. Kenapa dia bagi bos duit?" Tertanya-tanya juga Edri. Sampai terpaku Qaiser memandang wajah wanita tadi.

Qaiser berdecit geram. Duit tadi diserahkan kepada Edri. Sakit hatinya masih berbaki disebabkan sikap wanita tadi.

"Kau ambil duit ni. Anggap ni rezeki kau."

Qaiser berjalan pantas ke arah kereta. Masuk ke dalam kereta, pintu dihempas kasar. Jaket kulit yang tersarung di tubuhnya, ditanggalkan terlebih dahulu.

Dia pandang ke belakang. Wanita tadi masih ada di situ bersama si kecil. Mungkin sedang menunggu sesiapa. Bibirnya tersenyum sinis.

"Sombong."

Itu tanggapan pertama Qaiser terhadap wanita tadi. Dan dia berharap, ini kali terakhir wanita itu muncul di hadapannya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top