BAB 1

"IBU!"

Alma tersentak. Pantas dia seka kedua pipinya yang basah dengan hujung lengan. Wajahnya cuba dimaniskan di hadapan si kecil. Tubuh itu dirangkul erat.

"Ibu tak dengar ke Adam panggil?" Masam mencuka wajah si kecil.

Alma sedikit rasa bersalah. Tiba-tiba dia terkenang kembali kisah yang meragut seluruh kebahagiaannya hampir enam tahun yang lepas. Kini dia bersyukur, hidupnya diserikan dengan kehadiran Adam.

"Maaf, sayang. Anak ibu nak apa?"

"Tengok ni..."

Adam suakan kertas lukisannya kepada Alma. Berkerut dahi wanita itu. Ada tiga orang yang dilukis di dalam kertas itu. Tapi hanya ada dua wajah yang dilukis oleh si anak.

"Yang ni kenapa tak ada mata, hidung dan mulut?" soal Alma.

"Adam tak tahu nak lukis gambar babah."

Alma terus terdiam.

"Ibu bagilah gambar babah. Adam nak lukis gambar babah."

Tertelan air liur Alma. Sejak lelaki itu tinggalkan dia, tiada satu pun kenangan yang dibawa bersama. Dia tak nak terkenangkan apa yang pernah berlaku di antara mereka berdua.

"Ibu..." Tangan Alma digoyangkan.

"Ibu... ibu tak ada gambar babah." Rasa nak tergeliat lidah Alma menyebut perkataan babah.

Dalam hati, dia menyumpah seranah. Lelaki itu tak layak bergelar ayah kepada anaknya.

"Tipu. Ibu cakap dulu ada simpan. Bila Adam dah besar, ibu nak tunjuk. Sekarang umur Adam dah lima tahun." Adam sua lima jarinya kepada Alma.

Serba salah Alma. Silapnya juga kerana terpaksa menipu dulu.

"Ibu... ibu tak jumpa sayang. Mungkin gambar tu dah hilang."

Adam campak kertas lukisannya di atas lantai. Dia terus berlari masuk ke dalam bilik. Alma pantas mengejar anaknya ke bilik.

"Adam..."

"Ibu tipu Adam lagi! Ibu cakap, ada simpan gambar babah." Tiba-tiba Adam menangis.

Cuak Alma. Tubuh itu cuba didakap tetapi anaknya meronta-ronta minta dilepaskan.

"Semua orang ada babah. Dekat sekolah, kawan-kawan selalu cerita pasal babah. Tapi kenapa babah Adam tak balik lagi?"

Bergenang tubir mata Alma. Bibirnya digigit kuat. Alasan itulah yang sering dia berikan kepada Adam. Kononnya ayah Adam bekerja di tempat yang jauh. Dalam usia Adam sekarang, sudah tentu anaknya faham serba sedikit tentang susuk tubuh seorang ayah.

"Adam tak nak pergi sekolah."

"Jangan macam tu, Adam. Ibu dah pernah beritahu, babah Adam kerja. Dia tak dapat balik."

Makin kuat tangisan si anak. Alma hela nafas berat. Tak mustahil keadaan anaknya akan terus begini sehingga ke pagi esok.

"Okey. Ibu bagi gambar babah. Sekarang Adam berhenti menangis."

Mati esakan si kecil. Pipinya dikesat kasar dengan kedua tapak tangannya.

"Betul ke?"

Sebak dada Alma melihat wajah penuh berharap si anak. Dahi Adam dicium penuh kasih.

"Adam tunggu sini. Ibu nak ambil gambar babah."

Adam mengangguk ceria bersama senyuman lebar di bibir. Alma bergegas masuk ke bilik. Pintu ditutup rapat. Ke hulu ke hilir dia berjalan di bilik sambil memikirkan cara untuk menipu Adam.

Tiba-tiba anak matanya terpandang majalah yang ada di atas katil. Cepat-cepat dia capai majalah tersebut. Matanya terus bersinar saat ternampak ada gambar lelaki di situ. Gunting dikeluarkan dari laci.

Selesai memotong gambar itu, bingkai gambar diambil dari rak. Dia keluarkan gambar lama dan diganti dengan gambar di majalah tadi.

"Ibu!"

Terperanjat Alma. Nasib baiklah dia dah kunci pintu sebelum masuk ke sini. Gunting dan majalah tadi disembunyikan di dalam almari. Bergegas dia membuka pintu bilik.

"Nah... ini babah Adam."

Bulat mata Adam melihat gambar yang ada pada bingkai gambar itu. Lama anak matanya merenung gambar tersebut.

"Kacaknya... macam Adam." Tersengih-sengih Adam.

Alma ketawa janggal.

"Adam nak simpan gambar ni boleh?"

"Err... boleh tapi Adam janji, jangan tunjuk sesiapa gambar ni."

Adam angkat jari kelingkingnya sebagai tanda janji. Alma tergelak kecil. Jari kelingking mereka saling bertaut.

Adam terus berlari anak ke ruang tamu untuk menyambung kembali kerja melukis. Alma hela nafas berat. Dia terduduk di atas katil.

Mata terpejam rapat. Biarlah dia dianggap kejam kerana merahsiakan kewujudan Adam dari lelaki itu. Lagipun lelaki itu yang membuang dirinya dengan lebih kejam.

Memegang gelaran ibu tunggal ketika di usia 26 tahun tidaklah sesakit dikhianati oleh orang yang paling dia percaya. Dia bukan saja kehilangan orang yang pernah berjanji untuk setia bersamanya, tetapi dia juga kehilangan ahli keluarganya dalam sekelip mata.

Sampai mati pun, dia tak akan maafkan pasangan itu. Biar Allah sendiri yang membalas setiap kesakitan yang ditanggung oleh Alma selama dia membesarkan Adam seorang diri.


APRON ditanggalkan dari tubuhnya. Kedua tangannya berada di pinggang. Lega akhirnya tempahan yang diminta oleh pelanggan selesai juga.

Kepalanya direnggangkan sedikit. Lenguh setelah seharian menghadap lukisan ini. Wajahynya diraup kasar. Tak sedar sudah hampir jam lima petang. Dia bergegas turun ke bawah.

"Kak Jah... buatkan saya kopi."

Panggilan lelaki itu tak bersahut. Dia pandang ke sekeliling galeri miliknya. Dua orang yang masih ada di sini saling berpandangan.

"Bos cari Kak Jah ke?" soal Edri.

Hanya anggukan yang diberi sebagai jawapan. Edri pandang Matt di sebelah. Sah bos mereka dah lupa beberapa hari yang lepas wanita itu sudah berhenti kerja.

"Kak Jah dah berhenti. Kan semalam bos marah dia sampai dia angkat kaki." Selamba Matt mengingatkan lelaki itu.

Terus berubah wajah lelaki itu. Dia betul-betul terlupa. Nafas dihembus kasar.

"Zaman sekarang ni, semua pekerja hati tisu. Pantang kena tegur, terus angkat kaki." Lelaki itu campak berus lukisan ke meja.

Edri menggeleng sambil berdeham sedikit.

"Masalahnya bos tu garang sangat. Kak Jah tersilap sikit aje bagi warna cat, bos dah mengamuk macam Kak Jah tu buat kesilapan besar." Edri cuba membela Kak Jah.

"Habis tu, kau nak aku berlembut sampai dia pijak kepala aku. Macam korang berdua?"

Edri dan Matt terkulat-kulat disindir. Mereka berdua sudah lama bekerja di sini. Mereka sudah faham dengan sikap lelaki itu yang ada masanya mood seperti singa terlepas zoo.

Nik Qaiser...

Sebut nama lelaki ini, semua orang sudah tahu sifatnya yang tidak suka bercakap tanpa isi yang penting. Setiap kerja perlu disempurnakan dengan baik. Bekerja selama tujuh tahun dengan Qaiser, menjadikan Edri dan Matt sudah masak dengan sikap lelaki itu.

"Bos nak kopi kan. Saya buatkan." Edri cuba mengambil hati.

"Tak payah. Aku dah tak ada mood nak minum."

Qaiser hempas punggung dengan kasar di atas kerusi. Belakang lehernya diurut berkali-kali untuk menghilangkan rasa lenguh.

"Matt..."

"Ya, bos."

"Nanti kau buatkan memo. Cari pekerja baru untuk gantikan Kak Jah."

Matt mengangguk faham. Masuk kali ini, dah berbelas orang pekerja perempuan bertukar ganti. Nak ambil pekerja lelaki, tak sesuai pula untuk kerja mengemas.

"Kali ni, kau tambah syarat. Perlu ada pengalaman kerja di studio lukisan. Aku dah malas nak ajar benda yang sama. Nak ambil cat paiting pun boleh tersalah."

Matt hanya menurut saja. Nak bantah, nanti dia juga yang dibebel.

Tiba-tiba telefon Qaiser berdering. Dia tahu sangat siapa yang menghubunginya pada waktu begini. Ikutkan hati, malas dia nak menjawab.

Sebaik saja dia keluarkan telefon dari poket seluar, tepat tekaan Qaiser saat melihat nama yang muncul di skrin telefonnya.

"Tak balik ke hujung minggu ni?" soal wanita itu dihujung talian.

"Tak. Qai ada kerja banyak minggu ni."

Terdengar wanita itu mengeluh panjang.

"Tak boleh ke Qai balik kejap. Kan mama dan beritahu nak kenalkan..."

"Mama, please. Dah banyak kali Qai cakap, tak bersedia. Jangan paksa Qai buat perkara yang Qai tak suka."

"Habis tu, asyik papa dan mama yang terpaksa mengalah dengan Qai."

Terus terdiam Qaiser. Tiba-tiba suara mama bertukar kepada suara papa. Dia berdiri dan berjalan menuju ke bilik kerjanya. Tidak mahu perbualannya didengar oleh dua pekerja tadi.

"Jangan lupa, papa paling tak suka dengan kerja yang Qai buat sekarang. Tapi disebabkan mama, papa mengalah. Sekarang, Qai masih nak lawan cakap kami?"

"Cita-cita dan berkahwin, itu dua perkara yang berbeza papa. Qai tak nak musnahkan masa depan orang lain dengan berkahwin tanpa rasa cinta."

"Macam mana nak bercinta, kalau dah 24 jam berkampung dekat sana?"

Qaiser pejamkan mata. Terpaksalah dia tadahkan telinga mendengar bebelan orang tua itu. Memang betul apa yang dikata. Dia terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga soal pasangan hidup tak pernah ada dalam senarai hidupnya.

"Umur Qai bukan muda lagi. Dah 34 tahun. Nak tunggu kami dah tak ada, baru nak kahwin?"

"Papa..." Tak suka Qaiser mendengar ayat itu. Itu sajalah modal papa untuk membuatkan dirinya serba salah.

"Bagi Qai masa setahun lagi." Terpaksalah dia berbohong untuk hentikan perbualan ini.

"Suka hati Qai. Papa dan malas nak ambil tahu. Kahwin ke tidak, terpulang."

Talian tiba-tiba dimatikan oleh papa. Jatuh kedua bahu Qaiser. Nafas tarik dalam-dalam. Sejak dia memilih mengejar cita-citanya sebagai pelukis, hubungan dia dan lelaki itu semakin dingin. Tapi tak pernah pula lelaki itu menghalang dia teruskan cita-citanya.

"Kahwin?"

Qaiser tergelak sendiri. Diri sendiri pun dia tiada masa untuk berehat. Inikan pula dia perlu beri perhatian kepada orang lain.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top