EP 8 - Jara
AIR MATA jatuh berderai. Aku mengetap bibir melihat wajah kusam mak yang masih duduk statik di tempatnya. Jika aku berasa sedih, mak lebih-lebih lagi. Mak yang mengandungkan dia sembilan bulan sepuluh hari. Mak juga yang membesarkan dia dengan tulang empat kerat selepas ayah meninggal sewaktu Jara baru lahir. Aku menutup mulut menahan esakan yang kembali menerjah ulu hatiku.
Perasaanku berterabur entah ke mana. Tangan ini bergegar kuat melihat mak mengesat air mata sedihnya. Jiwaku seakan-akan terbang sebaik saja melihat jasad Nur Zarra Asyikin terbujur kaku diselimuti sehelai kain putih. Aku tak boleh nak hadam dan terima keadaan ini secara tiba-tiba. Tak boleh!
Apabila aku pandang mak, jiwaku jadi hancur. Cepatnya kau pergi, dik!
"Tolong sain di sini." Ujar seorang dari doktor yang sedang berada di sisi jasad kaku milik Jara.
Aku hampir meraung melihat jari-jari mak terketar-ketar memegang pen dan menandatangani borang bodoh tu. Tapi nak salahkan siapa? Doktor tu sebab tak boleh selamatkan Jara?
Atau Jara sendiri yang tak tahu dia akan mati begini aje? Aku kecewa, terkilan, marah, tapi aku tahu ni semua ketentuan ALLAH, Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan.
Jara hanya dipinjamkan buat seketika dan sekarang dia dah pergi buat selama-lamanya. Entah kenapa aku susah benar menerima adikku yang seorang tu dah tak ada. Jiwa rasa nak menjerit tapi aku tak boleh menjerit kat sini. Kesian mak yang tengah lemah tu. Kalau aku jatuh tertewas di sini, mak macam mana nanti?
"Nak bawa balik jasadnya atau letak di bilik mayat dulu?"
"Mak..."
Aku tak mampu mengawal esakanku bila dengar pertanyaan doktor tu.
Kata-kata doktor tu seolah-olah menyedarkanku bahawa Jara bukan lagi Jara yang dulu, Jara yang boleh senyum, boleh ketawa, boleh marah dan boleh sedih. Jatuh melurut tubuhku di sisi mak yang masih diam membisu.
"Bawa balik saja," balas mak dengan suara tertahan-tahan.
"Kalau macam tu kami tolong kafankan dulu badan si mati," ucap lelaki yang berseragam putih sebelum meminta kami menjauh sedikit daripada katil yang menempatkan tubuh Jara.
Kain berwarna biru ditarik bagi memberi ruang mereka menguruskan Jara. Aku pula segera memeluk mak kuat.
''Jara tu ha. Mak dah larang, degil." Mak menggeleng kepala sambil memukul bahuku berkali-kali.
"Sampai sekarang ni suara dia panggil nama mak terngiang-ngiang..." Mak mengadu lagi.
Aku tak mampu membalas sebab rasa sedih sangat.
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah mindaku asyik teringat senyuman dan tawa ceria Jara.
Usikan-usikan Jara dan tangisan merajuk Jara. Teringat aku ketika Jara mendapat tawaran belajar di universiti, betapa bahagianya dia bercerita itu dan ini. Katanya dia mahu belajar keras untuk mendapatkan keputusan yang baik dan pekerjaan yang baik. Nanti usaha mak membesarkan dia selama ini akan dibayar dengan bersungguh-sungguh.
Dia budak cerdik yang manja. Walaupun banyak kali aku mengusiknya, tidak pernah hubungan kami retak kerana kata dia, Jara hanya ada mak dan seorang kakak dalam dunia ni.
Bibirku tidak putus-putus mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran mengikut ayat yang terpasang di dalam kereta.
"Macam mana ni?" Tiba-tiba suara mak kedengaran menggumam perlahan. Aku menoleh menyapa wajah tua itu dengan perasaan bagai dihentak-hentak.
"Macam mana ni Abeer... Anak mak tu ha..."
Tangisan mak meledak. Ya Tuhan... Ya Allah...
Aku mengetap bibir. Air mata yang tadinya hampir kering jatuh semula berjejeran ke pipi. Aku faham mak mesti rasa kesal, sedih, kecewa dan teruk kerana kehilangan Jara.
"Mak jangan macam ni, sedih arwah nanti." Pujukku dalam getaran.
"Dia minta mak masak bubur kegemaran dia, Abeer. Tak sempat dia makan air tangan mak ni..."
Aku kelu melihat mak bersungguh-sungguh menangis kerana aku sendiri merasa sakitnya sampai terkena ulu hati. Biarlah mak menangis kerana aku tahu dari tadi mak menahan perasaannya sendiri. Kasihan mak...
😭
"TOLONGLAH Abeer, kalau Abeer kesiankan mak jangan panjangkan kes ini..." rayuan mak susah aku nak terima. Aku yang sedang duduk di lantai terus melutut menghadap mak yang duduk di atas sofa.
"Tapi mak, sekurang-kurangnya ada orang yang bertanggungjawab. Kenapa kes kemalangan Jara tutup tiba-tiba?" Soalku tidak berpuas hati.
"Mak minta kalau Abeer tak nak mak sedih lagi, biarkan aje semuanya. Mak tak nak Abeer. Mak kasihan dengan arwah Jara. Mak tak suka kematian Jara dibesar-besarkan sampai membuka semua cerita tentang arwah. Anggap saja ajal Jara dah sampai. Kalau kita bongkar salah siapa pun, bukannya kita dapat balik Jara. Mak tak nak lepas ni kita bermusuhan dengan sesiapa pula."
Aku terbungkam seketika. Jiwaku hendak memberontak tetapi apabila melihat air mata mak mula jatuh ke pipi membuat aku tak sampai hati.
Sejak pihak polis memberi kata putus untuk menutup kes ini begitu saja, tidur malamku terasa tidak aman dan aku semakin terdesak untuk ke sana dan ke mari mencari ruang agar kami dapat memburu orang yang punya angkara sehingga menyebabkan adikku terkorban. Kehairananku memuncak apabila kekasih Jara langsung tidak muncul dan menerangkan hal sebenar kepada kami.
Sekurang-kurangnya lawatlah kami, jumpa mak aku. Tapi Mad Yan langsung tak tunjukkan muka.
"Salah ke orang cari Mad Yan mak? Dia yang bawa adik masa tu."
"Mak takut kisah tu membuka ruang luka di hati kita berdua. Yang sudah tu sudahlah, Abeer. Hidup perlu diteruskan. Mak sayangkan Abeer dan mak tak nak Abeer terlalu memikirkan benda ni. Abeer kena tumpukan hidup Abeer sendiri."
Aku memegang kedua-dua tangan mak erat sambil tercari-cari sinar di mata mak.
"Mak tahu apa yang ada di hati Abeer. Mak pun begitu juga tapi kita kena kuat Abeer. Kalau kita asyik pandang ke belakang bilanya kita akan maju ke depan?" Soal mak memujukku lagi.
Aku memeluk tubuh mak.
"Janji dengan mak, kita tamatkan aje benda ni. Tak usahlah meminta-minta lagi sebab mak tak sanggup melihat anak-anak mak jadi begini."
Aku mengangguk di bahu mak walaupun hatiku membantah kuat. Sekurang-kurangnya kita perlu tahu kesalahan siapa Jara jadi macam tu, mak! Kalau betul tiada yang bersalah pun, tak mengapa. Tapi jika kemalangan itu berpunca daripada kecuaian, aku rasa kami perlu menuntut keadilan bagi pihak Jara?
"Malam Jumaat ni kita buat majlis tahlil untuk arwah Jara ya Abeer? Semoga arwahnya tenang di sana. Semoga Allah sayangkan dia..." pinta mak sambil menepuk-nepuk belakang tubuhku lembut. Aku sebak!
🌻🌻🌻
Done edit part 8
Untuk order wasap ke 0198817140
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top