EP 6 - Kasanova

KEJADIAN buruk yang menimpa diriku tempoh hari tidak kukhabarkan kepada sesiapa. Risau nanti dijadikan bahan gelak orang lain. Hal Nazri pula dah jadi perbualan hangat di pejabat gara-gara mulut Syamia yang rajin menghebahkan kepada orang lain.

“Ada bau-bau nasi minyak!”

“Kompang dipalu, tunggu pengantin baru!”
Aku dah lali dengan usikan-usikan begitu. Dan aku tak ambil hati pun sebenarnya dengan Syamia sebab dia mentah lagi.

Tengah hari, aku meminta Syamia untuk membelikanku makanan gara-gara kerjaku yang masih berlambak tinggi di atas meja. 

"Ini nasinya." Syamia menghulurkan kepadaku bungkusan di dalam plastik biru.

"Terima kasih Mia, cepatnya balik ke pejabat. Mia dah makan ke?"

"Takut Cik Hanan lapar pula." Ujar Syamia tersengih-sengih.

"Cik Hanan makan dulu, saya nak jumpa dengan abang sepupu saya kat bawah tu. Hairan tiba-tiba aje datang ke sini katanya nak cari orang."

Aku mengangguk kecil. Sebaik saja kelibatan Syamia hilang dari pandangan, aku segera menjamu selera. Syamia membelikan aku lauk daging masak kicap dan sayur terung.

Mentang-mentang dia suka masak kicap, dengan lauk-lauk aku sekali berkicap-kicap. Usai makan, telefonku bergetar menandakan pesanan ringkas masuk.

Dah solat? -Nazri.

Nazri? Mataku membulat besar. Biar betul dia mesej ni? Soalannya pula bukan main alim-alim kucing lagi. Aku mengeluh kecil.

Oleh sebab aku malas berfikir panjang, akhirnya aku padam saja mesej Nazri itu dari kotak memori. Silap masa dia mesej. Masa aku tengah dilanda mood malas yang amat.

Memandangkan masa rehat belum tamat, aku keluar sebentar untuk mengambil angin luar. Namun langkahku terhenti sebaik saja melihat kelibatan lelaki berambut perang sedang berbual-bual dengan Syamia.

Dia tu sepupu Syamia? Aku tercengang tidak percaya. Bagaimana gadis sebaik Syamia boleh bersepupukan lelaki kurang waras seperti dia? Tiba-tiba kenangan dua hari lepas bermain-main di dalam kepalaku semula.

🌻🌻

"ABANG sepupu Mia nak apa?" Aku menyoal sebaik saja Syamia duduk di tempatnya.

"Nak jumpa orang katanya. Dahlah tak tahu nama, sibuk nak mencari. Pening saya melayan dia tu, Cik Hanan," rungut Syamia kecil.

"Lagi satu, kalau dia tu baik nak aje saya kenalkan dia dengan Cik Hanan. Tapi perangai dia tak senonoh sikit. Eh silap, tak senonoh sangat!"

Aku mengangguk-anggukkan kepala. Memang pun!

Yang ni aku setuju dua ratus peratus. Memang tak senonoh. Teruk gila perangai. Tak pernah lagi aku jumpa lelaki berperangai teruk begitu.

"Kalau teruk saya pun tak nak, Mia."

Aku cakap dengan nada bergurau.
"Dah ada girlfriend pun abang sepupu saya tu Cik Hanan. Siap bagi Toyota Altis lagi kat dia sempena hari jadi."
Fuh!

Sekejap. Kereta tu makwe dia yang hadiahkan?

Berpeluh pula aku apabila mendengar cerita Syamia ni. Gila apa beri hadiah kereta sempena hari jadi?

"Uiks, kagumnya saya dengar. Kaya sungguh girlfriend abang sepupu awak ya." Ujarku terkejut.

"Saya pun terkejut juga masa girlfriend dia beri kunci dan beritahu Toyota Altis for you sayang. I cuma mampu beri you ini aje..." Syamia buat mimik lakonan semula.

Aku sibuk menggelengkan kepala sambil merenung Syamia bersungguh-sungguh. "Ada juga perempuan yang sanggup ya?"

Sanggup beri hadiah sebegitu mahal pada pakwe dia yang agak tak handsome tu. Bertuah punya lelaki. Aku sampai sekarang masih lagi dikejar loan kereta setiap bulan.

"Kalau beli setakat hadiah jam Rolex ke, tali pinggang harga lima ribu ke, Jason tu tak pandanglah, Cik Hanan. Dia pun ada berpuluh-puluh biji."
Mak aih, jenama apa tali pinggang lima ribu tu? Buaya? Belut? Dinosor?

"Kaya sangat lah dia tu ya?"

"Mak bapa dia kaya, dia pun saya dengar pandai main saham. Mak bapa saya ni orang biasa-biasa aje, Cik Hanan." Sedih pula suara Syamia bercerita.

"Saya pun biasa juga, Mia. Tapi tak apa, yang penting kita bahagia, kan?"

Syamia tersenyum manis seraya mengangguk.

"Tapi nama dia Jason ke?" Aku tanya. Nak juga tahu nama si rambut karat tu.

"A'ah. Tapi nama betul dia kalau tak salah Ahmad Dasuki. Tapi kita orang panggil dia Jason lah sebab dia tak suka dengan nama original dia tu."
"Elok-elok nama Ahmad Dasuki boleh pula jadi Jason." Komenku.

Syamia tersengih kecil. "Jangan tak tahu Jason tu teringin nak jadi orang putih Cik Hanan. Rambut pun ala-ala perang gitu. Tapi memang dia handsome pun sebab tu banyak perempuan terkejar-kejar dia, macamlah dia prince charming."

Yang ni wajib aku muntah! Tapi aku senyum aje sebab tak nak timbulkan apa-apa spekulasi dalam diri Syamia mengenai reaksiku yang cukup luar biasa apabila dia bercerita mengenai abang sepupunya.

Tiba-tiba Syamia mengeluh apabila perbualan kami terhenti. Aku kembali menatap seraut wajah manis itu. Patutlah cepat sangat Nasir tersangkut dengan Syamia. Dari air muka apabila aje pandang rasa tenang, tingkahnya pun lemah lembut gemalai. Kalau ada adik lelaki nak aje kenalkan dengan Syamia. Tapi aku ada adik perempuan aje. Itupun duk kejar pakwe bad boy. Bad boy pun ada orang suka ke? Tak faham aku dengan taste budak-budak zaman sekarang.

"Yang ni lagilah pening. Dia kacau kita sebab nak cari orang. Duk sibuk cari perempuan yang berpakaian seragam kita ni, katanya dia nak buat perhitungan. Entah siapalah dia nak buat perhitungan sebab dalam ni mana ada perempuan yang mengena dengan cita rasa Jason."

Cita rasa? Aku mengangkat kening.
“Jenis perempuan mana yang dia nak, Syamia?” Saja tanya setakat nak tahu, nak jadi kaki gosip tak bertauliah. Sejak bila aku berminat jadi makcik bawang ni?

“Apa lagi, skirt sampai nampak sini.” Syamia tunjuk paha dia dengan muka menyampah sampai aku rasa susah sangat nak tahan gelak. “Rambut gelombang warna merah, jingga, biru, oren kalau ada pink pun dia kebas juga.”

Isy, spesis apa pula yang Mat Jason tu suka? Spesis perempuan pelangi ke?
“Gincu mesti terang, tak pernah senarai girlfriend dia bibir warna macam kita ni.”

Aku sentuh bibir sendiri. Adalah pakai tapi pakai lip balm aje sebab tak nak bagi kering. Yalah duduk dalam aircond ni tak pakai lip balm mahu pecah-pecah bibir nanti.

“Handbag kalau setakat macam kita ni dia tak pandang punya,”

Aku berdeham kecil apabila terasa Syamia dah mula mengada-ngadakan cerita. Takkanlah teruk sangat?
“Baju mesti ikut body,” ucap Syamia lagi sambil kedua-dua tangannya melukis gaya ‘S’ di udara.

“Serius ke?”Aku menggaru pipi.
Syamia membulatkan mata.

“Kalau Cik Hanan tak percaya, boleh check sendiri.”

Aik, dia ni biar betul. Aku nak check macam mana? Bukannya aku kenal dengan mamat tu pun. Tak ada maknanya nak jadi stalker tak bertauliah dekat insan yang tak ada ciri-ciri jejaka idaman tu. Mungkin jenis perempuan yang Syamia terangkan tadi je yang suka dengan Mat Jason agaknya. Yalah, dia orangkan sama spesis, manusia berwarna-warni.

“Ha, ni dia mesej lagi tanya dah jumpa tak dengan perempuan yang dia terangkan tu.” Syamia mengeluh berat.

Aku terpegun sebentar. Dadaku tiba-tiba jadi berdebar-debar. "Dia ada kat luar tu?" Soalku dengan nada tertahan-tahan.

"A'ah. Dia nak cari sampai jumpa orang tu. Tapi dekat sini yang pakai seragam kita dan bertudung dan tinggi macam saya ni ramai la. Salah seorangnya Cik Hanan sendiri. Apa kata Cik Hanan cuba jumpa dia, saya penat la asyik diganggu macam ni. Dia tu tak pernah contact, tiba-tiba bila cari perempuan rajin pula mengacau kita." Dalam Syamia membebel-bebel tu, aku rasa muka ni dah naik pucat.

Aku menelan air liur kelat. Dia cari aku ke? Untuk apa? Nak ganti baju Polo dia tu ke? Getusku di dalam hati.

RM 300 ke RM 400 wei...

Nak pengsan pula aku terfikir harga sehelai baju Jason ni. Eh, hari tu kau juga yang berlagak besar, Abeer. Setakat baju jenama sikit ni boleh aje beli dengan gaji kau. Sekarang cuak pula fikir duit bakal terbang secara sia-sia kerana tragedi sekecil kacang soya.


Done edit part 6

Untuk order wasap 0198817140

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top