BAB 14

           "MISS tak apa-apa?"

Naura pantas mendapatkan Hilyaa tatkala diberi keizinan untuk masuk ke dalam.

Hilyaa tarik senyum tipis. Kepalanya angguk kecil menandakan keadaan dia baik-baik sahaja. Naura yang berdiri di tepi nya, dia suruh duduk. Tangannya menepuk ruangan kosong sofa di sebelahnya.

Naura pandang Hilyaa seketika sebelum dia alihkan pandangannya ke arah Khalish yang diam memerhatikan tindak tanduknya.

"Boleh ke miss?" tanya Naura agak ragu-ragu. Serba salah dia nak duduk di sebelah majikannya.

Hilyaa tergelak kecil. "Boleh Naura. Sofa ni pun bukan selalu terima tetamu dari luar. Duduk lah." Pelawa Hilyaa murah hati.

Naura turut membalas senyuman itu. Hati kecilnya sungguh terasa senang dengan layanan Hilyaa.

"Terima kasih miss. Sekarang keadaan miss, miss rasa macam mana? Okey?"

"Saya okey je, rasa bertambah baik pun ada. Awak tu... Macam mana kerja tanpa saya? Okey?" Sesekali sepasang mata milik Hilyaa menjeling ke arah Khalish yang diam di hujung sana.

Langsung tak nak menyapa dia eh?

"Okey je miss, walaupun Tuan Khalish jenis yang tegas tapi saya okey je. Kalau saya salah dia tegur saya," ucap Naura perlahan. Takut juga kalau Tuan Khalish mendengar bicaranya.

Masak dia...

"Kalau macam tu lega hati saya dengar." Sungguh, hatinya benar-benar gembira apabila Naura berkata begitu. Dari riak itu pun dia tahu bahawa Khalish benar-benar melayan Naura sebagai anak buahnya dengan elok.

"Ouh ya, Naura boleh tolong saya?" Hilyaa mula bertanya sambil wajah dikalihkan ke arah Naura.

"Tolong apa miss?"

"Tolong buatkan air untuk saya dan Tuan Khalish. Boleh?"

Tanpa rasa keberatan, Naura angguk kepala dengan senyuman di bibir.

"Boleh... miss nak air apa?" Tanya Naura ceria.

"Macam biasa, coklat panas."

Kini Naura pula berpaling ke arah Khalish. "Tuan?"

"Aku pun sama, macam biasa," jawab Khalish mula mengorak langkah mendekati Hilyaa dan Naura.

Naura angguk beberapa kali. Dia mula bangunkan tubuh. Mahu beredar ke ruangan dapur.

"Baik, saya pergi dulu ya?"

Laju langkah kecil itu berjalan ke dapur. Hilyaa yang melihatkan itu hanya menggeleng perlahan. Dia sedar langkah itu laju tatkala Khalish mula menghampirinya.

"Budak tu jenis diam dan malu. Aku payah nak bercakap dengan dia." Duduk sahaja di sebelah Hilyaa, Khalish terus merungut tentang Naura dengan rasa tak puas hati.

Hilyaa tayang riak tak kisah. Kedua-dua tangannya bersilang di dada.

"Habis tu boleh pula dia datang sekali dengan kau ke sini?" soal Hilyaa terselit nada sinis di situ seakan mengejeknya.

"Sorry sikit, kitaorang datang dengan kenderaan asing. Dia kata nak tengok kau jadi aku pun minta dia follow aku dari belakang," usai berkata, Khalish terus menjeling Hilyaa tajam.

Suka hati je buat spekulasi sendiri.

"Kenapa kau tak suka Naura? Budak tu baik apa. Dia diam pun salah, kalau dia bangkang kata kau nanti kau kata dia tak hormat kau sebagai orang atasan dia pula," bebel Hilyaa dengan wajah hairan. Tak faham dia dengan sikap Khalish ni.

Padahal Naura tu dah cukup baik layan Khalish. Naura pun bukan jenis yang banyak complain, malah gadis itu masih boleh menurut apa yang disuruh tanpa rungut.

"Aku bukan tak suka dia cuma cara dia diam tu lah yang buat aku susah nak bercakap dengan dia. Setiap kali aku suruh itu ini, tak angguk, dia geleng. Itu je lah jawapan dia. Bukan dengan aku je, dengan budak-budak sekerja dengan dia pun dia buat benda yang sama. Kadang-kadang kesian juga tengok dia tapi dalam waktu yang sama aku geram juga sebab budak-budak pun banyak cakap pasal dia yang dia jenis terkial-kial nak buat kerja." Panjang lebar Khalish meluah kepada Hilyaa sehingga Hilyaa tidak tahu bagaimana mahu memberi respon.

"Aku rasa skop ni tak sesuai dengan bidang dia. Lebih baik dia dengan skop kerja dia yang lama daripada banyak benda kita akan tanggung rugi," kata Khalish, siap memberi cadangan untuk menukarkan Naura lagi.

Hilyaa yang dengarkan itu semakin terasa panas hati. Bicara Khalish benar-benar melampau seperti memperlekehkan segala apa yang Naura buat selama ni.

"Kau nak cakap keputusan aku salah sebab tukar skop kerja dia? Itu kan yang kau nak cuba sampaikan?"

"Bukan macam tu maksud aku, aku cuma tak nak disebabkan kecuaian dia. Kita semua tanggung rugi."

Hilyaa picit dahinya perlahan. Tawa sinisnya keluar dari bibirnya. Cara Khalish bercakap macam mereka tak pernah menghadapi kerugian selama ini tetapi apa yang dia tak boleh terima sepanjang Naura bekerja dengan dia, gadis itu tak pernah pun bagi apa-apa kerugian di dalam perniagaannya sendiri.

Khalish bercakap seolah-olah Naura itu akan membebani dia kelak.

"Kau tak percayakan kebolehan dia. Baru je 3 minggu aku tukarkan dia dalam skop ni. Biasalah kalau ada salah silap lagi, namanya belajar." Hilyaa jeda. Lama dia diam sebelum dia hela nafas perlahan.

"Aku tahu, Naura boleh buat. Aku percayakan dia sebab aku nampak usaha dia selama ni. Kau mungkin nampak kesalahan yang dia lakukan tapi pernah tak kau nampak yang dia bertungkus lumus cuba buat yang terbaik selepas dia lakukan kesilapan. Pernah nampak?"

Terdiam terus Khalish apabila disembur sebegitu oleh Hilyaa. Malah, kata-kata yang dikeluarkan itu membuatkan Khalish mula berfikir secara meluas.

Ya, dia tak nampak semua tu tapi setiap usaha yang Naura keluarkan, dia nampak tapi dia buat buta hanya kerana perilaku Naura yang tidak menyenangkan di mata kasarnya.

"Kau cuba cakap dengan dia elok-elok. Kalau kau cakap dengan dia kasar-kasar macam mana dia nak selesa dengan kau? Lagi-lagi Naura bukan jenis yang rapat dengan lelaki, kau patut tahu tu." Kali ini nadanya lebih tenang. Nak marah pada Khalish pun dia tak ada tenaga cuma rasa terkilan terhadap lelaki itu masih tersisa.

"Aku dah tak nak dengar semua ni. Jangan disebabkan mulut-mulut orang lain, kau pun sama naik dengan diorang. Sepatutnya kau sebagai orang atasan dia tahu mana yang betul dan mana yang salah. Jangan menilai sesuatu benda yang kau tak pernah tengok struggle dia tapi kau dengar."

Khalish mengeluh perlahan. Agak makan dalam juga bicara Hilyaa pada hari ini sampaikan dia baru sedar yang dia hanya pandang rendah terhadap Naura selama ni.

"Aku minta maaf..."

"Kenapa perlu minta maaf pada aku? Yang patut terima maaf tu Naura, bukan aku," ucap Hilyaa dengan kening sebelah terjungkit.

Khalish angkat kepala. Bibir bawahnya diketap kuat.

"Ye lah, kau cakap lah pada dia."

Jelingan sedas diberikan kepada Khalish. Senang sungguh kerjanya ya?

"Eh, dah tahu buat salah. Pandai lah tanggung." Tanpa rasa kesian walau sekelumit pun, Hilyaa terus menyemburnya lagi.

Perbualan mereka terhenti apabila kelibat Naura muncul dari ruangan dapur sambil membawa dua mug. Gadis itu sempat memberikan senyuman nipis sebelum kedua-dua mug itu diletakkan di hadapan dua majikannya.

"Miss, saya minta diri dulu. Tadi ibu saya call minta saya balik sebab dia sakit," kata Naura kedengaran agak bergetar. Namun, saat ini dia lebih rela tahan dirinya.

"Ibu awak sakit?" soal Hilyaa terkejut.

Naura jatuhkan kepala berkali-kali. Kedua-dua tangannya dimainkan sesama sendiri.

"Dah lama dah, hampir tiga hari dia kata demam tak kebah. Hari ni baru ibu saya call katanya dah kat hospital dah," kata Naura lagi.

Hilyaa diam seketika. Tiba-tiba pintu rumah kondominium berbunyi menandakan ada seseorang menekan code pintunya sehingga terhasil bunyi. Tidak lama itu, kelihatan tubuh Lais memasuki ke dalam rumahnya.

Ketiga-tiga itu pantas alihkan ke arah pintu.

"Tuan Lais..."

Khalish ingin bangun, namun pantas Lais menghalang dengan tangan kanannya.

"Tak apa, duduk lah. Saya nak hantar barang ke atas," ucap Lais dengan senyuman di bibir. Kakinya berura-ura ingin naik ke atas.

"Alang-alang nak naik atas, tolong masuk bilik aku ambil check dengan pen sekali." Pinta Hilyaa tiba-tiba.

Terhenti langkah Lais apabila permintaan Hilyaa menembusi sistem pendengarannya. Dahinya berkerut seperti tertanya tetapi Hilyaa hanya diam sambil berbalas anak mata.

Faham maksud disebalik renungan itu, Lais akur. Tangga terus dinaiki sambil mengangkat beberapa beg naik ke atas.

"Khalish..."

"Ya?"

"Boleh kau balik dulu? Aku ada benda nak cakap dengan Naura," mohon Hilyaa dengan muka penuh berharap. Dia harap Khalish faham situasinya sekarang.

Khalish jatuhkan kepala beberapa kali. Dia mula bangun dari duduk. Sebelum sempat dia beredar, pesanan dititipkan buat Hilyaa.

"Jaga diri dan jaga kesihatan. Kalau boleh aku nak tengok kau sihat cepat-cepat."

Hilyaa senyum tipis.

"Ya, kau pun sama."

Serentak itu tubuh Khalish mula menjauh darinya sehingga kedengaran bunyi pintu mula dibuka menandakan Khalish sudah pun beredar.

Hilyaa alihkan pandangan ke arah Naura yang tidak jauh darinya. Bibirnya menarik senyuman manis.

"Naura... sini sekejap," panggil Hilyaa. Meminta Naura duduk di sebelahnya.

Naura diam tetapi langkah tetap berjalan mendekati Hilyaa. Dalam kepalanya juga sudah mula bermacam-macam fikiran yang timbul, namun dia tetap menyedapkan hatinya.

"Awak nak berapa, awak cakap je. Saya akan tanggung kos sakit ibu awak." Tanpa basi-basi, Hilyaa terus menghulurkan bantuan.

Tetapi laju Naura menggeleng kepalanya. Riak wajahnya juga berubah resah semacam.

"Miss, jangan buat saya macam ni. Saya masih boleh tanggung kos perubatan ibu saya." Tolak Naura sekeras-kerasnya. Tidak mahu menyusahkan majikannya.

Tidak lama kemudian kelibat Lais mula turun ke bawa sambil membawa barang yang diminta oleh Hilyaa. Huluran Lais itu, Hilyaa sambut.

"Tak apa Naura, niat saya ikhlas nak tolong. Anggap sahaja duit yang saya bagi ni untuk bantu segala perubatan yang mana tak cukup." Sambil bersuara, jemarinya laju bekerja menulis sesuatu di atas check sehingga di hujung check itu dia letakkan tanda tangan.

Check itu dikoyak lalu dihulurkan ke arah Naura. Kening sebelahnya juga terangkat, menyuruh Naura menerimanya.

Naura serba salah, dia alihkan pandangan ke arah Lais yang berdiri di hadapannya. Lais turut tersenyum sama sambil kepala dijatuhkan.

"Ambil lah..."

Dengan hati yang berat, Naura ambil juga check itu. Hampir terbeliak biji matanya melihat jumlah wang yang tertera di tepi check itu. Dia pantas angkat wajah, ingin bersuara.

"Saya dah tulis, saya tak nak bazirkan check saya yang lain untuk tulis semula jumlah lain. Jadi ambil, ya?" Laju Hilyaa memotong. Tak bagi peluang langsung untuk Naura mencelah walaupun dia pun tak sampai hati mahu berbuat begitu.

Tapi kalau dia tak buat, gadis itu akan menolaknya berkali-kali.

Hampir menangis Naura dibuatnya. Tangan Hilyaa digenggam erat kemudian tanpa dipinta air matanya laju turun tanpa sempat dia tahan.

Bukan sekali Hilyaa memperlakukan baik kepada dirinya, namun sudah berkali-kali.

Entah berapa banyak jasanya terhadap majikan dia.

"Terima kasih miss, terima kasih sangat-sangat."

Hilyaa menepuk tepi bahu Naura perlahan. Dia tidak tahu macam mana cara untuk memujuk tetapi sekurang-kurangnya dapat lah dia memberi ketenangan untuk gadis itu.

"My pleasure..."

°°°

            KAD yang terpampang di atas meja itu, Hans toleh sehingga membuatkan jemarinya yang sedang memetik tali gitar itu terhenti.

Dahinya sedikit berkerut membaca tulisan yang tertera di atas kad itu sebelum gitar yang di pegangnya sedari tadi, kini diletakkan di atas pehanya.

"Aku nak kau pergi. Walaupun aku tahu kau dah pernah dapat kad ni tapi aku nak ingatkan kau semula," ucap Eijaz agak serius.

"Aku tak lupa lah." Hans meletakkan kad itu semula. Rasanya 5 hari yang lalu dia dah dapat kad ini dan sekarang Eijaz kembali memberinya lagi hanya untuk ingatkan dia?

Ingat dia ni jenis pelupa ke?

"Ya, memang kau tak lupa tapi aku bukan nak kau datang seorang diri," kata Eijaz penuh makna.

Hans yang dengarkan itu semakin bertambah jelas kerutan di dahinya.

"Habis tu kau nak aku datang dengan siapa?" soal Hans hairan.

"Hilyaa lah, siapa lagi."

Sebut sahaja nama Hilyaa, riak wajah lelaki itu berubah. Lama Hans diam sehingga Eijaz yang melihatkan itu mula terasa tidak senang duduk.

Petanda tidak baik ni.

"Kenapa? Dia tolak lamaran kau ke?"

Bagaikan sudah dapat menangkap maksud disebalik wajah itu. Eijaz langsung bertanya tanpa tapis.

Hans geleng perlahan.

"Tak, dia tak cakap apa-apa pun. Lagipun aku sendiri bagi dia masa untuk fikir masak-masak."

Terlepas nafas leganya. Dia duga Hilyaa sudah membuat keputusan menolak lamaran lelaki itu. Hans ni pun satu, buat terkejut orang je.

"Habis tu yang kau buat muka macam minta penampar tu dah kenapa?" Geram punya pasal terus Eijaz sembur. Menguji kesabaran dia betul.

Manakala Hans pula termenung memikirkan sesuatu. Dia hela nafas lemah. Berhati-hati Hans meletakkan gitarnya agar menyandar di tepi dinding sebelum kepalanya yang terasa kusut, dia pegang. Ditepuk-tepuk perlahan.

Benar-benar terasa serabut.

"Aku...aku tak tahu lah nak cakap macam mana tapi kau tahu kan aku tak pernah bercinta?" Rasa itu diluahkan kepada Eijaz. Hanya Eijaz sahaja mengenainya bagaimana.

Bercinta di zaman sekolah atau belajar tidak pernah dia alami. Dia hanya sibuk dengan dunianya sahaja.

Tiada masa dalam sesebuah hubungan. Lagipun dia malas. Baginya sangat buang masa.

Eijaz yang melihatkan keadaan Hans yang agak tidak terurus itu jatuh kesian.

Selama ini, Hans hanya menunjukkan riak tenang walaupun dirinya menerima berbagai masalah. Apabila melibatkan syarikat besar pun Hans tidak tertekan begini. Masih steady dan tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah.

Tetapi tidak dengan yang sekarang.

"Ya, aku tahu, sebab tu aku suruh kau ajak Hilyaa datang sekali ke anniversary tu. Masa tu lah kau boleh kenal-kenal dia lebih rapat, bercakap dengan dia. Selesakan diri dengan dia." Awal-awal Eijaz sudah menduga apa yang bakal berlaku kerana dia tahu...

Hans tidak pernah bercinta ini kan pula pertama kali untuk rapat dengan seseorang perempuan. Pasti gabra buat kali pertama.

"Kalau kau biar je diri dia, Hilyaa akan rasa terabai dan tak mustahil dia akan tolak lamaran kau, sebab apa? Dia tak nampak usaha kau untuk jadikan dia isteri. Kau cuma lamar dia lepastu dah."

Hans ketap bibir. Termenung dia buat seketika sebelum dia alihkan semula pandangan ke arah Eijaz.

"Habis tu kau nak aku buat macam mana? Aku bukan jenis yang suka bagi ayat manis."

"Bukan macam tu maksud aku..." Eijaz melepaskan nafas lemah. Kedudukan tubuhnya yang sedang duduk di atas kusyen itu diperbetulkan.

Tak pasal-pasal dia kena ajar Hans benda-benda macam ni.

Hans mungkin cekap dalam melakukan sesuatu tugas mahupun kerja tapi bukan soal perasaan.

"Kita kalau nak jadikan orang tu isteri, kita kena lah pikat hati dia dulu baru dia jadi lembut nak terima kita. Bukan sekadar ayat tapi dengan perbuatan kita pun boleh jadi." Sedikit kata-kata nasihat diberikan. Siap package cara-caranya lagi tanpa sedar.

Hans terpinga sendiri. "Maksud kau?"

Eijaz tarik senyum senget.

"Kau tahu jawapannya Hans sebab kau selalu buat. Aku tak perlu ajar sebab benda tu dah ada dalam diri kau, tunggu nak bertindak atau tidak je." Jari telunjuknya menunjuk kepada diri Hans menandakan Hans sendiri tahu apa makna dalam bicaranya.

Biar lelaki itu fikir sendiri.

Manakala Hans ambil keputusan untuk diam. Tangannya tenang mencapai cawan di tepi mejanya sebelum air kosong itu diteguk penuh nikmat. Tiba-tiba terasa tekaknya kering pula.

Walaupun begitu, isi kepalanya masih memikirkan kata-kata Eijaz itu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top