BAB 13
"LET'S get married..."
Hilyaa bungkam. Anak matanya terkedip-kedip memandang seraut wajah dingin itu.
Dia tak salah dengar, bukan?
"Awak tengah bergurau ke sekarang ni atau awak nak kenakan saya?" soal Hilyaa kembali. Masih tidak percaya dengan apa yang baru dia dengari.
Hans ajak dia kahwin?
Tak pernah dia jangka dek akal fikirannya!
"No, muka aku ni macam nak kenakan orang ke? Aku bukan jenis suka main cakap je," tegasnya, benar-benar memaksudkan kata-katanya.
Lagipun perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main.
Lidah Hilyaa terkelu tanpa suara. Masih dalam fasa terkejut. Tanpa dipinta dalam kepalanya mula diasak dengan berbagai soalan.
Macam mana Hilyaa nak percaya sedangkan dia tak pernah pun mengimpikan untuk berkahwin pada saat ini, bahkan dia tak pernah terdetik pun dalam hatinya untuk berkahwin!
Tengok-tengok hari ni dia kena purpose. Sudah lah purpose di hospital. Tempat orang awam sakit dan menerima rawatan.
Tak kena dengan tempat betul.
Mana dia tak hampir kena kejutan jantung!
"Hans..."
Hilyaa tarik nafas paling dalam. Dalam kepalanya mula menyusun ayat yang sesuai untuk diberikan kepada lelaki itu.
Hujung jarinya dimainkan. Mengawal rasa debar yang kian berdetak.
"Saya... tak tahu nak cakap apa tapi benda ni memang saya nak cakap dekat awak dari awal cuma tunggu masa sahaja." Hilyaa sempat kemam bibirnya perlahan sebelum dia kembali sambung.
"Terima kasih sebab dah selamatkan saya. Eijaz dan Lais dah ceritakan semuanya pada saya jadi awak jangan lah rasa serba salah pada saya." Hilyaa tarik senyum tipis. Cukup sekadar membendung perasaannya.
"Maksud kau?"
Bahu Hilyaa mengendur. Tak akan Hans tak faham? Atau kata-katanya terlalu berkias sampai sukar lelaki itu mahu menangkap?
"Awak ambil keputusan untuk berkahwin dengan saya sebab awak nak bertanggungjawab kan? Jadi sekarang awak tak perlu bertanggungjawab apa-apapun sebab saya tahu awak buat mesti ada alasan. Lagipun masa tu awak terpaksa untuk selamatkan saya, bukan? Jadi saya faham niat sebenar awak jadi tak perlu lah awak ambil keputusan untuk mengahwini saya semata-mata," tutur Hilyaa tulus sambil anak matanya membalas pandangan serius itu.
Hans tak patut buat keputusan begini. Baginya apabila lelaki itu selangkah memasuki kehidupannya yang serba kelam ini, mungkin dunia lelaki itu turut terpalit sama.
Dia tak nak sesiapa pun merasai apa yang dia rasa dan dia sanggup hidup begini seorang diri tanpa meminta sesiapa pun masuk ke dalam kehidupannya.
Kerana dunianya terlalu kelam untuk dilihat. Bahkan mungkin cahaya juga tidak mampu untuk menembusi kehidupannya yang serba hitam ini.
"Aku tahu bukan mudah untuk kau terima tapi aku tak nak dengar jawapan tu sekarang," balas Hans senada. Serentak itu dia alihkan pandangannya ke arah lain.
Manakala pandangan Hilyaa semakin tajam menikam riak dingin itu.
"Aku akan bagi kau masa sampai lah kau betul-betul dah sedia. Masa tu aku akan terima dengan hati yang terbuka apa jawapan kau sekalipun."
Biarlah dia berikan Hilyaa masa untuk fikir masak-masak sebelum membuat keputusan. Hans tahu, Hilyaa masih keliru dengan keputusannya andai hari ni juga gadis itu memberi jawapan.
"T...tapi atas sebab kenapa?" soal Hilyaa, inginkan jawapan sebenar.
"Aku tak akan ambil keputusan ni tanpa sebab, semuanya bersebab."
"Sebabnya kenapa perlu saya? Saya cuma nak tahu jawapan sebenar." soal Hilyaa kedengaran terdesak. Terselit juga nada geram di situ apabila Hans tidak menjawab soalannya.
Dia tertanya-tanya kenapa dia yang dipilih?
Sedangkan dia bukan ada apa-apa pun. Tak ada apa istimewa pun dalam dirinya, melainkan dia cuma tahu dirinya akan mampu menyusahkan kehidupan orang lain kelak.
Kulit Hilyaa yang cerah itu memudahkan warna kulit itu bertukar kepada kemerahan. Hans cuma diam perhatikan tanpa suara.
Tahu akan isi hati gadis itu tengah panas akibat perbuatannya tetapi dia sendiri akan tetapkan bila jawapan itu akan keluar dari mulutnya.
Dia janji.
"Jawapan tu aku akan jawab bila diri aku sepenuhnya jadi milik kau."
Sepasang mata itu pun menatapnya penuh redup.
Menghantar segala rasa yang tidak pernah selama ini Hilyaa rasakan. Serentak itu juga jantung milik Hilyaa berdetak kuat. Kuat sehingga dia sendiri dapat rasakan detak itu.
Apa yang jadi pada dirinya?
"Jaga diri baik-baik. Aku minta diri dulu." Hans mula meminta diri. Wajah di kalih ke arah lain usai berkata.
Langsung tidak berpaling.
Langkah demi langkah kedengaran semakin jauh sehingga bunyi pintu wad terkatup rapat. Menandakan Hans sudah pun beredar dari wad yang didiami oleh Hilyaa.
Manakala Hilyaa masih statik di situ. Tidak bergerak walaupun seinci. Bicara Hans masih terngiang-ngiang dalam kepalanya membuatkan Hilyaa semakin tidak keruan.
Ini bukan berita yang baik baginya.
°°°
HAWA menekup mulutnya terkejut. Bukan itu sahaja, malah mata Hawa juga turut membulat mendengarkan cerita Hilyaa.
"Serius? Y...you tak main-mainkan?"
"Buat apa I nak main-main? I pun terkejut juga tahu tak," ujar Hilyaa sedikit tidak puas hati apabila Hawa seakan tidak mahu mempercayainya.
Hawa jerit kecil. Tangannya laju memegang jemari Hilyaa lalu digoyangkan dengan teruja.
"Tak sangka usikan I jadi kenyataan. Masin juga kan mulut I ni?" Kening cantik milik Hawa itu terangkat beberapa kali. Bibirnya juga mengorak senyum melebar menandakan betapa gembiranya hati dia saat ini
Hilyaa hanya pasrah diperlakukan sebegitu.
"Tapi... I takut lah Hawa..."
Senyuman di bibir Hawa mula kendur apabila suara Hilyaa memberat sebegitu. Dari riak wajah itu pun Hawa tahu mesti Hilyaa banyak berfikir.
"Kenapa perlu takut? Kalau you takut sebab Hans tu muka ais batu jangan risau, dia tu baik sebenarnya..." Sengih Hawa. Jujur pada mulanya dia pun tidak berkenan dengan Hans kerana wajah sombong itu.
Tetapi bila dia kenali Hans sebagai kawan rapat Eijaz, pada ketika itu dia dapat melihat hati nurani Hans.
Lelaki itu suka menolong orang cuma dia tak tahu kenapa bila dengan perempuan perubahan sikap Hans berubah serta merta. Namun, lain pula dengan Hilyaa sehingga dia pun agak terkejut mendengar khabar berita ini.
Hilyaa geleng kepala perlahan. "Bukan sebab tu."
"Habis tu?" Hawa tertanya. Dahinya berkerut ingin tahu apa yang berselirat di dalam kepala Hilyaa.
Hilyaa sempat hulurkan senyuman tipis sebelum kepalanya menunduk merenung telapak tangannya yang mula berpeluh.
Air liurnya terasa berpasir.
"Kalau I terima Hans, macam mana kalau Hans tak boleh tahan dengan I ? Macam mana kalau I yang sakitkan dia lepastu dia tinggalkan I ?"
"Hey... kenapa cakap macam tu?" soal Hawa agak terkejut.
Hilyaa genggam tapak tangannya kuat.
"I takut Hawa. I takut kalau I terima dia and punca rumah tangga kitaorang tak bahagia disebabkan I. I tak nak sakit..."
"Hilyaa... dengar dulu apa yang I nak cakap pada you." Bahu Hilyaa ditarik agar menghadapnya.
"You kena yakin dengan takdir Allah. Apa yang Allah dah tetapkan mungkin itu yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang apa yang jadi sekarang ni pun sebab Allah nak bagi yang lebih baik buat kita." Lembut Hawa menasihati Hilyaa sambil jemarinya memegang hujung jemari Hilyaa. Cuba menyakinkan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.
Hilyaa terdiam. Sepasang matanya melekat penuh ke seraut wajah Hawa. Agak terkedu juga dia apabila Hawa berkata begitu sehingga terasa meresap ke dalam dirinya.
Tidak tahu macam mana dia nak ungkapkan perasannya sekarang ni.
"Y...yakin pada takdir Allah?"
Hawa angguk kepala beberapa kali dengan senyuman kecil di bibirnya.
"Tak apa, Hans bagi you masa, bukan? Dalam waktu macam ni you banyakkan berdoa, minta petunjuk daripada Allah." Sambung Hawa lagi.
Hilyaa terkebil sendiri."Daripada Allah?"
Bibir Hawa masih utuh dengan senyuman.
"Ya, daripada Allah. Insyaallah, Allah akan bantu kita. Dah, jangan fikir sangat. Sekarang, I nak you cakap je nak makan apa. I belanja," ujar Hawa kini melepaskan pegangan dari tangan Hilyaa. Telefonnya dicapai, mencari aplikasi untuk order makanan.
Manakala Hilyaa sudah jauh berfikiran ke arah lain. Bicara Hawa tadi sungguh membuatkan hatinya tersentak hebat.
Minta petunjuk daripada Allah? Macam mana dia nak buat kalau selama ni dia tak pernah melakukan segala suruhan-Nya?
Layakkah dia meminta pertolongan daripada Allah sedangkan dia sudah terlalu lama terpesong? Hidupnya selama ini kekurangan didikan agama.
Dia pernah belajar agama, dia pernah melakukan solat tapi semua itu terlalu lama ditinggalkan sehingga dia lupa bagaimana cara untuk melakukannya.
Dia terlalu jahil.
Ya, dia mengaku itu.
°°°
ERAT pegangan Lais ke atas bahu Hilyaa. Bagaikan tidak mahu lepas. Hilyaa pula hanya biarkan Lais memaut tubuhnya yang masih terasa lemah itu.
Lais dengan berhati-hati membawa Hilyaa masuk ke dalam kondominium milik kakaknya. Sesekali matanya menjeling persekitaran kondominium mewah ini.
Tak pernah dia jangka Hilyaa menetap di sini.
"Tak nak duduk dalam bilik. Letak je kat sini dulu." Suara Hilyaa apabila Lais membawa langkah mereka berura-ura ke anak tangga.
Lais akur. Langkah mereka mula bertukar arah ke sofa di ruang tamu. Berhati-hati dia menduduki Hilyaa yang cuba untuk duduk sendiri.
"Kau masih rasa tak larat?"
Hilyaa senyum tawar. Mahu menipu dia tak mampu sebab memang sekarang ni tubuhnya melemah semacam. Dia masih boleh bangun dan dia juga masih boleh berjalan cuma untuk berjalan seperti biasa itu perlukan masa yang agak lama kerana badannya sungguh terasa bisa saat ini.
Seakan tenaganya disedut keluar dari badannya.
"Ya, lepas je bangun dari tidur dalam kereta tadi badan aku rasa bisa. Aku boleh je bangun cuma nak bergerak tu ambil masa juga lah," jawab Hilyaa sederhana. Nafas dihela perlahan.
"Kalau macam tu aku tidur sini lah, temankan kau. Nak?" Lais mula mengeluarkan idea.
"Papa?"
Saat gelaran papa keluar dari bibir Hilyaa, serentak itu wajah Lais berubah, namun dia cuba mengawal agar riaknya tidak kelihatan ketara.
"Tak apa, aku nak tidur sini dengan kakak aku. Tak salahkan, bukan? Bukannya aku tidur dekat tepi jalan pun," jawab Lais agak selamba. Terselit juga nada seperti sakit hati di situ.
"Lais..." Seru Hilyaa perlahan.
"Apa?"
Wajah Lais yang bersahaja itu ditatap dalam. Bibirnya di kemam rapat sebelum dia utarakan soalan.
"Kau marahkan papa, ya? Jangan lah marahkan dia. Lagipun dia--"
"Dalam waktu macam ni kau masih nak bela papa? Kau sedar tak papa langsung tak tengok keadaan kau walaupun kau hampir nyawa-nyawa ikan kat hospital? Bukan setakat tak tengok, nak ambil tahu apatah lagi. Kau masih nak bendung kesalahan papa?!" Suara Lais laju mencelah dan tanpa sedar nadanya mula meninggi.
Hilyaa yang dengarkan itu terdiam terus tambah kecut dengan wajah Lais yang memerah itu. Seraut wajah itu tegang dengan warna mata yang sama dengannya itu menikam tajam ke arahnya.
"Aku...aku tak salahkan papa kalau dia tak nak ambil tahu pasal aku sebab memang disebabkan salah aku yang dulu dia jadi maca--"
"Ouh... please lah kak... please stop blame yourself! How many times have you hurt yourself because of this? This is not your fault. Tolong lah jangan salahkan diri macam ni," kata Lais laju mencantas kata-kata Hilyaa yang bagaikan dia boleh tangkap apa yang kakaknya hendak disampaikan.
Manakala Hilyaa di situ bungkam habis. Lidahnya terkelu seribu bahasa. Hendak bersuara pun dia tak terasa perlu kerana melihat riak tegang itu pun membuatkan dia mengambil keputusan untuk diam.
Lebih baik dia diam daripada tak pasal-pasal dia disembur oleh adik sendiri.
Lais lepaskan nafas penat. Mata dipejam seketika apabila sedar akan rasa marahnya mula menguasai di segenap tubuhnya. Perlahan-lahan tubuhnya duduk bersebelahan dengan Hilyaa yang diam terkutik seakan terkesan dengan kata-katanya.
"Hilyaa... aku minta maaf sebab terkasar dengan kau. Aku cuma tak tahan bila papa perlakukan diri kau macam ni sedangkan kita ni adik beradik. Papa tak patut layan kau macam ni jadi bila kau masih tegakkan apa yang papa buat tu aku jadi sangat marah," ulas Lais kali ini nadanya lebih tenang.
"Tak apa, aku pun minta maaf sebab buat kau marah. Kalau kau nak duduk sini, esok je lah. Malam ni kau still lah lagi kat rumah papa alang-alang tu cakap dengan papa yang kau nak teman aku kat sini, boleh?"
Hilyaa tetap Hilyaa. Keizinan itu keutamaan baginya.
Melihat wajah Lais yang agak sukar untuk terima pendapatnya membuatkan bahunya jatuh lemah.
"Lais... kau kena juga minta izin papa. Nanti dia risau pasal kau. Marah macam mana pun kau pada papa, dia tetap papa kita. Hormat dia." Pujuk Hilyaa tidak sudah-sudah. Lais ini pun satu.
Keras sungguh kepalanya!
"Kau makan apa sebenarnya sampai dalam diri kau ni terlampau baik? Orang pijak-pijak kau pun, kau still boleh bertolak ansur macam ni." Geram pula Lais melihat Hilyaa kata sebegini sedangkan apa yang Dato Ku Jazman buat selama ni benar-benar melampau.
Dia sendiri pun tak mampu untuk lihat cara Dato Ku Jazman melayan Hilyaa. Kalau dia ditempat kakaknya, dia tak rasa dia mampu dan sesabar itu untuk ditahan.
Hilyaa hanya senyum tipis. Tak terasa dengan kata-kata Lais seakan menyindirnya. Dia tahu, Lais tengah tak puas hati dengannya.
"Cakap pasal nak marah ni kan, aku pun sebenarnya nak marah kau sebenarnya," ujar Hilyaa tiba-tiba sambil memeluk tubuh. Sejurus itu dia menyandarkan badannya ke sofa akibat lenguh duduk tegak sedari tadi.
"Eh, asal pula?" ujar Lais penuh rasa tidak puas hati.
Hilyaa mengecilkan matanya. Saat ini, kepalanya memutarkan memori semasa dia ditinggalkan oleh Lais di hospital. Bukan setakat itu sahaja, rasa mahu sahaja dia cubit-cubit pinggang Lais kerana sanggup buat dia begitu.
"Kau jangan buat-buat tak tahu eh. Kau sebenarnya tahu kan apa yang Hans nak cakap pada aku masa kau konon-konon pergi tandas kan?" soalnya langsung tidak berkias. Malas buang masa.
"Mana ada... tak baik memfitnah orang, tahu tak?" Walaupun sudah tertangkap tetapi Lais masih mahu menafi kesalahannya. Wajah selamba mungkin ditayangkan.
"Eh, tak payah nak berlakon sangat lah. Orang pergi tandas pun berak juga tapi tak ada lah sampai tiga jam kau tinggalkan aku kat situ. Kau ingat aku ni bodoh ke apa?" Akibat geram dengan lakonan Lais terus bahasa kasarnya terkeluar. Tidak cukup dengan itu jemarinya mengetuk kuat kepala Lais sehingga terdengar bibir Lais mendesis sakit.
"Weh, sakit lah kau pukul kepala aku macam ni." Tapak tangannya melekap ke kepalanya. Boleh tahan bisa juga Hilyaa mengetuknya.
Hilyaa berwajah selamba. "Siapa suruh kau tipu aku. Kau ingat aku ni senang digula-gulakan?"
Lais tersengih tak bersalah. Sepasang masa itu menjeling dia tajam.
"Alah, jangan lah marah. Aku nak bagi ruang antara kau dengan dia je. Macam mana? Kau okey?"
Hilyaa diam. Dia ketap bibir perlahan sebelum nafas dihela perlahan.
"Okey apa? Macam ni lah, masih fikir patut ke atau tak aku tolak lamaran dia?"
"Kenapa? Kau nak tolak lamaran dia ke?" Lais terus menyoal apabila jawapan Hilyaa kedengaran seperti tidak yakin.
"Aku rasa itu keputusan yang tepat," jawab Hilyaa tanpa ragu. Matanya dipejam buat seketika apabila otaknya mula sesak.
"Kenapa? Kalau ye pun mesti ada sebab kau tolak." Lais menatap Hilyaa dengan pandangan redup.
Dia tahu, Hilyaa tak akan buat sesuatu keputusan tanpa sebab. Dia sudah lama kenal dengan kakaknya yang seorang ini.
Hilyaa membuka matanya serentak itu pandangannya dihalakan ke arah Lais yang masih menunggu jawapan dari mulutnya.
"Kau tak ingat apa yang berlaku diantara arwah mama dengan papa?" soal Hilyaa kedengaran lirih.
Lais terkelu seketika. Tidak sangka Hilyaa akan mengingatkan dia perkara itu. Melihatkan wajah Lais begitu, tidak semena-mena bibirnya menarik senyum tawar.
"Kau rasa sanggup ke Hans nak tahan dengan perangai dan penyakit aku yang sekarang ni? Aku tak nak sakitkan dia, Lais... Permulaan mungkin tak akan rasa apa-apa tapi aku takut... Aku takut aku tak dapat bahagiakan dia dan aku akan sakitkan dia." Lemah kata-katanya seakan menahan rasa sakit ini.
Dia ingin rasa kebahagiaan dalam dirinya tetapi dia tak nak pentingkan dirinya sendiri.
Lais tarik nafas dalam. Kedudukan tubuhnya diperbetulkan menghadap ke arah Hilyaa.
"Aku tahu kau masih dibayangi dengan masa lalu tapi sampai bila kau nak terus macam ni. Kau kena lawan rasa takut tu, Hilyaa... Aku cuma nak yang terbaik untuk kakak aku. Kau seorang je kakak aku yang aku ada dalam dunia ni," ujar Lais sedikit menyuntik semangat dalam diri kakaknya.
Hilyaa perlu lawan rasa takutnya. Kalau kakaknya tidak atasi rasa trauma yang dialami selama ini, sampai bila-bila Hilyaa akan terus begini. Dibayangi dengan masa lalunya.
Bahu Hilyaa ditepuk perlahan. Bibirnya juga menarik senyum tipis.
"Tak apa, masih ada masa untuk kau fikir betul-betul. Aku tak nak kau menyesal kemudian hari. Aku tak rasa Hans akan buat kau macam tu sebab dari anak mata dia aku tahu dia bukan orang yang mudah dalam berkata."
Hilyaa angkat wajah. Lama dia merenung seraut wajah Lais itu. Wajah itu penuh keyakinan yang dia sendiri tak berapa yakin.
Tunggu lah masanya tiba. Masa tu dia akan buat keputusan.
Keputusan sama ada kehidupan akan masih kekal sama atau berubah.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top