BAB 1

           JARI jemarinya menggepal erat di bawah meja. Hilyaa ketap bibir kuat sambil mata tunduk menatap meja kaca.

"Apa masalahnya kalau jual studio tu. Lagipun takkan kau nak bekerja dekat situ je sampai kau mati?" soal Dato Ku Jazman kasar, merenung anaknya tajam. Wajahnya memerah menahan amarah yang bila-bila masa bakal tercetus.

Hilyaa telan air liur perit. "B...bukan macam tu, Hilyaa sayang dengan studio tu pa..."

"Apa yang istimewa sangat dengan studio tu sampai kau nak lepas pun susah? Selama ni kau kerja situ pun bukan ada perkembangan apa-apa," ujar Dato Ku Jazman masih berkeras dengan pilihannya.

Hilyaa menggelengkan kepalanya perlahan. "Jangan pa... Studio tu je peninggalan arwah mama. Takkan papa dah lupa." Rayu Hilyaa lirih. Air matanya kembali bertakung.

Dato Ku Jazman mendengus.

"Aku tak kira, dalam seminggu ni kalau kau masih berdegil juga tak nak hantar dokumen tu, jangan tanya kenapa aku rampas tanpa bertanya pada kau dulu." Amaran Dato Ku Jazman dengan wajah yang tegang.

"Keluar."

Tangannya menggigil di bawah meja itu  disembunyikan dengan menggengam erat, sesekali dia meramas. Dadanya terasa sesak itu dikawal dengan cuba menenangkan dirinya.

Sabar, Hilyaa...

Sabar.

"Hilyaa pergi dulu papa."

Suasana bertukar sepi membuatkan Hilyaa bertambah sebak. Agak lama sebelum dia buat keputusan berpaling sahaja. Tidak tahan dengan ruangan sempit ini, laju Hilyaa mencapai beg tangannya sebelum membawa langkahnya ke pintu pejabat papanya.

Cukup untuk hari ni.

"Hilyaa?"

Namanya yang diseru membuatkan langkah Hilyaa mati buat seketika.

Dia kenal pemilik suara itu!

Air liur diteguk payah. Wajahnya tidak berani berpaling menatap gerangan tersebut.

Apabila merasakan gerangan itu mula mendekatinya, Hilyaa gelabah. Dia terus berjalan ke arah lift, mahu melarikan diri daripada gerangan tersebut.

"Hilyaa!"

"Ergh... Hilyaa kena cepat ni. Nanti kita jumpa, ya?" Laju Hilyaa bersuara sambil cuba menarik hujung baju pergelangan tangannya yang sempat dicapai oleh abang sepupunya.

Arghh! Dia tak sempat nak lari masuk ke lift!

Ku Eijaz merenung adik sepupunya tajam. Rasa sangsi terhadap Hilyaa semakin menjadi-jadi apabila Hilyaa cuba melarikan wajahnya dari pandangan matanya.

Eijaz cuba mencari wajah Hilyaa tetapi Hilyaa sekali lagi mengelak. Dengan perasaan yakin, dia tahu apa yang terjadi. Hilyaa dipandang serius.

"Bagitahu Eijaz, pakngah pukul Hilyaa lagi ke?" soal Eijaz tegas. Tajam matanya merenung Hilyaa bagaikan pemangsa.

Hilyaa yang masih tunduk itu diam sebelum perlahan-lahan dia angkat wajahnya sedikit. Hilyaa ketap bibir.

"Jawab Hilyaa, Eijaz tanya ni," sekali lagi dia menyoal tetapi kali ini nadanya lebih lembut. Dia dapat rasakan gigilan di pergelangan tangan itu.

Matanya yang terasa panas perlahan-lahan turun ke pipi. Namun, pantas tangan naik ke pipi menghapuskan segala titisan tersebut.

Dia sudah tidak mampu menahan rasa sakit ini.

Eijaz diam. Hujung baju Hilyaa dilepaskan. Biarkan gadis itu bertenang dahulu. Apabila suasana semakin bertambah sunyi, Hilyaa bersuara.

"Hilyaa pergi dulu." Laju Hilyaa berjalan ke arah lift tanpa sempat mendengar balasan Eijaz yang masih berdiri kaku itu.

Eijaz merenung lama bayangan itu sebelum hilang. Bibirnya melepas keluhan lemah.

°°°

          "EIJAZ? Kau okey tak?" Meja pejabat itu diketuk sebanyak tiga kali. Mahu menyedarkan kawannya dari terus terusan mengelamun.

Eijaz tersentak lalu dia angkat kan mukanya. Kelihatan wajah Hans yang beriak risau itu menyapa matanya.

Sejak bila pula Hans ada di sini? Rasanya dia tak dengar pintu terkuak pun tadi.

"Asal muka kau macam tertelan kapur ni?" tegur Hans dengan kening sebelahnya  naik ke atas. Dia tak tahu apa yang Eijaz fikirkan sampai dia masuk ke dalam pejabat lelaki itu pun langsung tak sedar.

Eijaz mengeluh. Pen di tangan dijatuhkan sebelum dia sandarkan tubuhnya ke kerusi pejabatnya. Mata dipejam rapat dengan rasa penuh serabut di kepalanya.

Kenapa dia perlu rasa macam ni?

"Adik sepupu aku." Eijaz mula membuka cerita. Macam biasa, Hans yang akan menjadi sesi luahan dan tempat dia meminta nasihat.

"Kenapa dengan dia?" soal Hans tenang. Kerusi duduk di hadapan Eijaz ditarik sebelum dengan selamba dia labuh kan duduk di situ.

Dia sedia maklum dengan adik sepupu yang Eijaz selalu ceritakan kepadanya.

Tak lain, tak bukan pasti gadis bernama Ku Hilyaa Adlyne.

Dia kenal Hilyaa pun sewaktu dia dan Eijaz tersempak di sebuah restoran. Ketika  itu lah dia kenal dengan Hilyaa, dan Eijaz selalu ceritakan tentang Hilyaa.

Kadang-kadang dia rasa sahabat dia yang seorang ni jatuh cinta pada adik sepupunya sendiri tapi dia juga sedia maklum lah Eijaz sudah bertunang.

Entah, dia pun tak faham kenapa Eijaz perlu susah-susah ambil tahu pasal adik sepupunya itu.

"Tadi dia macam tergesa-gesa waktu keluar dari bilik pakngah aku. Aku dapat rasa ada sesuatu tak kena." Segala rasa tidak senang itu diceritakan dengan mudah.

Apa-apa masalah diantara Hilyaa dengan ayah sepupunya, dia tidak pernah cerita kepada sesiapa termasuk Hans sendiri. Disebabkan aib keluarga dia diamkan semua ni tetapi sampai bila dia harus butakan mata dan pekakkan telinga?  Melihat sahaja tanpa berbuat apa-apa sedangkan semua itu berlaku dihadapan matanya.

Bila Eijaz cuba masuk campur, ayahnya melarang keras. Katanya dia tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan pak saudaranya itu, begitu juga bondanya.

"Maksud kau?" Berlapis-lapis dahi Hans cuba memahami situasi sebenar.

"Aku ada dengar yang pakngah aku nak jual studio peninggalan arwah makngah aku tapi studio tu Hilyaa yang kendalikan."

"Jadi?"

Eijaz pandang Hans. "Aku tahu Hilyaa tu sayang sangat dengan studio tu. Tak mungkin dia akan bagi senang-senang pada papanya untuk jual."

Hans terdiam. Tidak tahu mahu komen apa. Dia bukan kenal Hilyaa tu sangat. Dia cuma kenal sebagai adik sepupu rakannya sahaja.

Suasana sunyi diantara mereka tidak lama apabila Eijaz mula bersuara kembali.

"Kau datang sini nak bincang pasal majlis tu ke?" Suara Eijaz tiba-tiba. Rasa kekok diantara mereka tadi cuba dibuang.

Hans jatuhkan kepala. "Ya..."

"Jadi, kau dah tempah bunga dengan kakak aku lah?" Eijaz angkat sebelah kening sambil mata menatap Hans yang elok bersilang kaki di hadapannya.

"Awal-awal dah aku tempah. Hari rabu ni dia hantar kat hotel aku. Esok tu baru mula buat. Aku okey je, asalkan hari jumaat tu semua segala kelengkapan siap," ujar Hans tenang. Mata sesekali melilau memandang sekeliling pejabat Eijaz.

"Hans... Aku nak minta tolong boleh tak?"

Bebola matanya laju pandang Eijaz di hadapannya. Dari riak itu jelas kelihatan terdesak.

"Tolong apa?"

"Tolong perhatikan  Hilyaa dalam sebulan ni. Aku rasa tak sedap hati." Luah Eijaz jujur. Hans yang mendengarkan itu sudah berubah air mukanya.

Dia? Perhatikan Hilyaa?

"Aku tertanya-tanya, kenapa kau selalu bersusah payah nak jaga adik sepupu kau sedangkan kau dah ada tunang?" Soalan yang selama ini bermain di dalam kepalanya pantas diajukan.

Lain yang topik dibahasakan, lain yang dia tanya soalan.

Eijaz lepaskan keluhan lemah.

"Sebab aku diamanahkan seseorang untuk jaga Hilyaa sebelum ni, dulu aku boleh lah jaga tapi sekarang? Kau sendiri tahu, jadi kali ni je aku minta tolong. Aku sanggup bayar kau beribu-ribu kalau kau nak."

Hans diam, lama dia fikir sebelum kepalanya menggeleng tanda menolak tawaran tersebut.

"Tak boleh Jaz, ni luar kerja aku. Kena ikut prosedur." Hans tetap dengan keputusannya.

"Tapi Hans, aku..."

"Maafkan aku."

Eijaz mengalah. Dengan lemah dia jatuhkan kepala. Senyuman tawar ditarik ke bibir.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top