05 - MAKHLUK ULAR JADIAN
Suasana di dalam hutan itu sunyi sepi. Seorang berkurudung hitam berjalan perlahan. Dia berkaki ayam. Kakinya masih kelihatan seperti kaki manusia namun kulit kakinya jelas putih pucat dan seakan-akan bersisik ular. Urat-urat biru pada kakinya juga jelas kelihatan. Kuku kakinya pula bewarna hitam. Terdapat sisa-sisa rumput basah melekat pada kakinya.
Pemuda tersebut hanya terus melangkah tanpa sebarang bunyi seolah-olah jasadnya tidak mengandungi jisim. Dia dianugerahkan kebolehan menyelinap masuk dipelusuk hutan tanpa sebarang bunyi. Dirinya bagaikan seekor ular.
Bahkan darah makhluk ular jadian turut mengalir di dalam dirinya.
Sekian lama perjalanan, akhirnya dirinya berhenti melangkah. Di penghujung hutan. Bagaikan jalan mati. Hanya dipenuhi dengan pokok-pokok yang tumbuh rapat bersama semak-samun yang meninggi.
Tangannya dihalakan kehadapan. Jari-jemarinya dibuka luas. Kuku pada jemarinya panjang, runcing dan bewarna hitam. Urat-urat biru juga jelas kelihatan di atas kulit putihnya yang bersisik.
"Uluxe...hadir.... menuntut keadilan..." Ujarnya dengan suara mendatar. Namun suaranya hanya kedengaran halus. Perlahan bagaikan bisikkan ular.
Iris matanya yang runcing kian membesar. Anak mata kuning kehijauannya tiba-tiba bersinar.
Medan sihir bewarna kuning muncul di hujung telapak tangannya.
Angin kencang tiba-tiba datang menguasai kawasan itu. Daun-daun pokok ditiup kencang hingga berguguran. Kerudungnya turut bertebangan sehingga menampakkan susuk tubuhnya. Medan sihir yang muncul seketika tadi kian membesar. Serentak dengan itu ribut kecil mula menghadirkan diri. Kencang. Bunyi deruman angin semakin kuat kedengaran. Terlalu kencang sehinggakan kerudung pada tubuhnya tertanggal dan terbang pergi.
Wajahnya dinginnya kini jelas kelihatan. Rambutnya hitam. Berwajah putih pucat sehinggakan urat halus bewarna biru kelihatan. Memiliki sepasang mata seakan-akan seekor ular yang bewarna kuning kehijauan.
Jalan mati yang berada dihadapannya kini bercahaya dengan begitu terang sehinggakan mampu menyinari kawasan gelita tersebut.
Medan sihir yang muncul pada tangannya serta merta lenyap. Tangannya diturunkan. Cahaya perlahan-lahan menghilang. Angin kencang yang datang sebentar tadi kini sudah berlalu pergi.
Hutan rimbun yang menjadi jalan mati sebentar tadi kini berganti dengan sebuah rumah agam yang kelihatan agak terbiar. Rumah agam tersebut selama ini dilindungi dan disembunyikan dengan satu medan sihir. Sihir yang menghalang kewujudannya disedari. Namun pemuda berdarah separa ular jadian itu telah berjaya memecahkan medan sihir tersebut.
Perlahan lahan dirinya melangkah dan berdiri dihadapan pintu rumah agam tersebut.
Tanpa diduga pintu dibuka dari dalam. Niatnya ingin menghancurkan pintu tersebut namun ianya tidak menjadi.
"Selamat datang Uluxe." Satu suara kedengaran dari dalam. Mempelawa pemuda berdarah ular jadian itu untuk masuk, namun Uluxe masih kekal berdiri di muka pintu.
"Varnel...." Suara halusnya Uluxe kedengaran dingin. Menyebut nama lelaki yang mempelawanya masuk. Pandangan mata ularnya tajam menikam.
"Masuklah Uluxe, kenapa perlu datang dengan kemarahan?" Varnel tersenyum.
"Aku datang untuk membunuh." Uluxe memberitahu.
"Bunuh? Bunuh siapa?" Varnel ketawa. Lelaki yang berusia 40-an itu menyilangkan kedua tangannya.
Seraya itu Uluxe terus merengkuh kolar baju Varnel dengan kasar. Varnel terus berhenti ketawa. "Aku akan bunuh kau Varnel!" Walaupun suaranya hanya halus namun nadanya masih kedengaran begitu tegas.
"Kau... tak boleh bunuh aku." Varnel menjongketkan keningnya. Kelihatan bersahaja. Langsung tidak gerun dengan ugutan itu.
"Kenapa kau rasa macam tu?" Wajah Varnel dirapatkan pada wajahnya. Mulutnya dibuka luas sehingga menampakkan sepasang taringnya yang panjang. Lelaki berdarah ular jadian itu mula menyeringai. Air racun mula kelihatan pada taringnya dan terus menitis pada Varnel.
"Kerana kau masih perlukan aku untuk menjadi manusia sebenar." Varnel cuba untuk mengalihkan perhatian Uluxe. Terasa panas dan bisa apabila racun itu menyentuh pada kulitnya. Belum lagi dipagut.
"Kau berbohong! Aku dah tunggu sangat lama! Kau biarkan aku terseksa sebagai makhluk jadian..." Hati Uluxe terasa semakin panas apabila Varnel menyuarakan janjinya yang tidak ditunaikan itu. Sudah bertahun-tahun Uluxe menantikan janj itu.
Uluxe sudah lama dambakan untuk menjadi seorang manusia. Varnel telah berjanji ingin membantunya sekiranya sejumlah racun daripada tubuh Uluxe diambil. Prosesnya sungguh menyeksakan dan memedihkan namun Uluxe merelakannya. Semuanya kerana Uluxe ingin menjadi manusia. Namun semuanya adalah dusta. Dan kali ini Uluxe tidak akan membiarkan Varnel terus menipu.
Uluxe sudah nekad ingin membunuh Varnel. Biarpun nyawanya menjadi taruhan. Uluxe sudah nekad. Sekiranya bukan sekarang..Mungkin satu hari nanti.
"Uluxe. Dengar, aku tidak pernah menipu. Ini adalah kerana satu kesilapan." Varnel masih cuba untuk membuat Uluxe termakan dengan kata-katanya.
"Aku terlupa bahawa, ianya memerlukan cahaya gerhana untuk memenuhi upacara tersebut. Jadi kau masih ada peluang untuk menjadi manusia."
Uluxe hanya diam merenung tajam mata biru milik Varnel, dirinya langsung tidak termakan dengan pujukkan Varnel. Lelaki ini hidup dengan penuh pendustaan.
"Aku akan bantu kau..." Varnel tersenyum. Dia yakin Uluxe pasti akan bersetuju dengannya. Walaubagaimanapun...
"Aku tidak akan sesekali mempercayai kau.."
"Tetapi? Bagaimana pula dengan kekasih hati kau, Heda ?" Sengaja Varnel menggunakan nama gadis itu. Heda adalah kelemahan utama buat Uluxe.
Genggaman pada kolar baju Varnel terus dileraikan. Heda. Dia betul-betul ingin hidup bersama Heda sebagai seorang manusia. Bukan sebagai makhluk jadian.
"Tetapi ada satu perkara kau perlu lakukan sebelum tiba malam gerhana."
"Apa yang aku perlu lakukan?"
"Kau perlu bunuh seseorang..."
☆
"Ignace...tolong selamatkan saya.."
Ignace pantas menoleh. "Acantha?!"
Acantha tiba-tiba berdiri di belakang Ignace.
"Kenapa awak keluar dari bilik,Acantha?"
"Saya cari awak ..." Acantha memberitahu. Matanya yang bewarna jingga mula berkaca-kaca.
"Kenapa? Apa yang berlaku? " Ignace berkerut seribu.
"Mereka cuba bunuh saya. Mereka masih nak bunuh saya." Perasaan takut tidak mampu dibendung lagi. Air matanya terus tertumpah.
"Acantha... awak mungkin bermimpi. Bertenang.itu hanya sebuah mimpi ngeri." Ignace cuba menenangkan Acantha.
Namun ianya tidak berhasil. Acantha semakin teresak-esak menangis.
"Acantha, awak kini berada di dalam rumah saya. Semuanya akan selamat." Ignace menarik tangan Acantha memasuki semula kedalam kamar tidur Nachel.
"Tak ada sesiapa pun boleh masuk kedalam rumah ini. Bahkan bilik ini." Acantha didudukan di atas katil.
"Tiada siapa boleh masuk?" Acantha bertanya bersama linangan air mata.
"Ya, tiada siapapun boleh masuk." Ignace kemudian bergerak ke arah jendela yang ditutupi dengan kain langsir. Kain langsir yang labuh bewarna merah hati diselak.
"Tengok ni. Tingkap berkunci malah dilindungi besi tempawan." Ignace menjelaskan tentang keadaan jendela didalam kamar tersebut dengan harapan dapat menenangkan Acantha.
Acantha seakan-akan mempercayai kata-kata Ignace. Dirinya mula untuk bertenang.
"Tidurlah, esok kita kena bangun pagi." Ignace mula berjalan ke arah pintu.
"Ignace..." Acantha berdiri dan terus menarik tangan Ignace sehinggakan langkahnya terhenti.
"Ya?" Dahi Ignace berkerut.
"Tolong tunggu sehingga saya tertidur."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top