PROLOG
"TEKNO." Wanita berusia separuh abad itu memandang skrin digital yang terpampang di hadapan kelas. Dia diam seketika sebelum kembali menyambung pengajarannya.
"Mereka adalah golongan yang mampu menghasilkan apa-apa sahaja benda menggunakan tangan mereka. Dalam bahasa mudahnya, mereka boleh memanipulasi sesuatu objek untuk dijadikan sesuatu yang sangat berguna tanpa memerlukan alatan lain."
Logo berwarna merah menjadi perhatian mereka. Maklumat yang panjang lebar muncul pada papan itu itu pula dibaca satu-persatu. Agak mengambil masa, namun siapa mereka untuk mempertikai sejarah dunia?
"Inviso. Kumpulan cyberhuman yang sangat licik. Mereka sesuai untuk dilatih menjadi penyiasat, perisik dan apa-apa watak yang memerlukan kelicikan. Cyberhuman di bawah kategori Inviso agak sukar untuk ditangkap dan dipantau, menyebabkan penjenayah yang memiliki kelebihan ini mempunyai wang ganjaran yang sangat tinggi."
Kali ini, logo berwarna perak menyapa pandangan mereka. Beberapa pelajar menunjukkan riak bangga, tanda berpuas hati kerana berjaya berada di bawah kategori itu.
"Seterusnya, Neuro. Jika Tekno dan Inviso lebih ke arah kemahiran fizikal, Neuro pula hebat dalam bidang yang memerlukan pemikiran. IQ cyberhuman di bawah kategori Neuro sangat tinggi, melebihi 200 dan ke atas lagi.
Neuro mampu membina strategi dalam sekelip mata. Merekalah yang membantu cyberhuman dalam membangunkan bandar serba maju ini. Teknologi yang mereka cipta juga hebat, tetapi tidak sebaik ciptaan Tekno yang jauh lebih mahir dalam bidang ciptaan. Tekno dan Neuro sering bekerjasama untuk menghasilkan rekaan baharu demi menaik taraf lagi bandar kita."
Ternganga semua pelajar di dalam kelas apabila melihat beberapa alat ciptaan Neuro. Apabila muncul ilustrasi rekaan kolaborasi antara dua kategori itu, mata mereka membulat.
"Itu kan..."
Semua orang mula berbisik sesama sendiri. Kehebatan dua kumpulan itu tidak dapat ditandingi dua kumpulan lain.
"Akhir sekali, Kombat. Seperti namanya, Kombat mempunyai kelebihan fizikal yang lebih kepada kekuatan seperti badang dalam lagenda dahulu kala. Berhadapan dengan seorang Kombat bukanlah satu pilihan yang baik, jika kamu tiada sebarang strategi. Seorang Kombat mempunyai peluang untuk ditumpaskan jika sekurang-kurangnya seorang daripada setiap kategori bergabung."
"Cikgu!" Seorang budak lelaki terus berdiri. Ketinggiannya yang tidak seberapa itu membuatkan beberapa pelajar menahan tawa.
"Ya, ada apa?" soal Puan Munah. Dia memandang pelajarnya yang seorang itu. Pelajar yang sering dipandang rendah kerana markah peperiksaannya yang sangat... teruk.
"Cyberhuman... tak ada kelemahan ke?" tanyanya agak kuat. Pandangan sinis rakan sekelasnya cuba dibiarkan.
Suasana di dalam kelas berubah sepi. Setelah beberapa saat, tawa mereka pecah. Ada yang menampar meja, dan ada yang memukul belakang tubuh rakan mereka. Masing-masing tidak dapat menahan rasa geli hati dek soalan pelajar itu.
"Diam!" Puan Munah merotan meja di hadapannya. Kelas kembali sepi apabila wanita itu mula mengangkat rotan saktinya.
"Ehem... Bagus soalan kamu. Jawapannya..." Mata Puan Munah meliar memandang sekeliling kelas. Ada pelajarnya yang masih merasakan soalan tadi itu, karut. Bagi mereka, cyberhuman itu cukup kebal tanpa kelemahan. Wanita itu menggeleng kepala. "...ada."
"Huh!" Terbeliak mata murid-murid di dalam kelas itu. Mereka berpandangan, tidak percaya.
"Mustahillah, cikgu! Cyberhuman ni kan kuat! Macam hero! Hero mana ada kelemahan," bantah seorang pelajar perempuan. Kata-katanya disokong pelajar lain.
"Yalah, cyberhuman jauh lebih hebat berbanding manusia yang tak guna tu. Kita semua ada kuasa. Mereka ada apa je?" Kali ini, pelajar lelaki berkaca mata pula yang bersuara.
Kelas kembali kecoh dengan perbincangan mereka. Perbincangan yang turut diselitkan kata-kata penghinaan terhadap kaum manusia.
"Ehem..."
Deheman Puan Munah kembali mendiamkan mereka. Wanita itu mungkin sudah berusia, tetapi wanita itu mampu membuatkan mereka terdiam selama satu minggu. Apa lagi? Rotanlah!
"Ada. Cyberhuman ada kelemahan mereka." Puan Munah menyambung kata. "Kelemahan seseorang cyberhuman tidak terletak pada fizikal, tetapi pada mental."
"Mental?"
"Pernah kamu rasa sedih?"
Semua orang terdiam. Sedih... Perkataan yang sangat asing dalam hidup mereka.
"Kamu tahu, apa itu air mata kesedihan?"
Sekali lagi, mereka semua terdiam.
"Cyberhuman tidak mampu untuk memproses perasaan sedih, tidak mampu menghasilkan air mata yang diisi perasaan sedih dan tidak mampu untuk merasa tekanan melampau sehingga menyebabkan depression. Itu, adalah kelemahan seorang cyberhuman."
Saat itu, pelajar di dalam kelas terpaksa menerima kebenaran pahit. Status hebatnya seorang cyberhuman, rupanya hanyalah satu angan-angan. Tiada sesiapa mampu lari daripada kelemahan.
•||••||••||•
50 tahun yang lalu...
"Engkau ni, memang dah melampau!"
Zap!
Sebilah pisau selamat ditanam ke dalam tubuh lelaki itu. Darah memancut keluar, membasahkan lantai dengan cecair pekat berwarna merah.
Mata lelaki itu membulat. Dia memandang ke hadapannya, tidak percaya. "Ka... kau... tak guna..."
Si dia, yang berpakaian serba kuning hanya tersenyum sinis. Misinya, selesai. Dia memandang ke arah kiri dan kanannya dengan ibu jari yang diangkat, tanda bagus.
"Dah, jom. Lelaki ini, tak perlu ditanam pun. Biar sahaja mati menjadi rangka," katanya kepada mereka yang lain.
Masing-masing mula melangkah pergi, meninggalkan lelaki itu sendiri. Perlahan-lahan, nyawanya ditarik sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di dunia itu.
"Mulai hari ini... manusia, tidak akan dapat dipercayai lagi."
Undang-undang mula dikuatkuasa. Tiada jawatan yang dapat disandang kaum manusia. Jika ada pun, jawatannya hanya jawatan yang hina seperti hamba atau pekerja bawahan.
Semuanya kerana lelaki yang baru sahaja dibunuh tadi. Lelaki itu, seorang manusia.
Manusia tak guna yang memperhambakan semua orang. Manusia yang disangka jujur, namun menyimpan topeng syaitan di sebalik kejujurannya.
Semua kesalahan akan dibawa ke tali gantung. Daripada sebesar-besar kesalahan seperti membunuh, sehinggalah ke peringkat kesalahan kecil seperti tidak menyiapkan kerja sekolah, yang juga akan dibawa ke tali kematian itu.
Kini, pemerintahan tirani itu ditamatkan. Seseorang berpakaian kuning, di bawah kategori Neuro, telah berjaya merampas nyawa presiden... bekas presiden itu.
Era baharu muncul, dipimpin mereka yang bergelar cyberhuman. Mulai saat itu, manusia adalah kaum yang kotor dan tidak layak dihulurkan kebaikan.
Ianya... undang-undang yang wajib dipatuhi. Atau kau sendiri yang akan mati.
•||••||••||•
Ali menekan butang keluar. Nafas ditarik dalam-dalam. Otaknya mula memproses baik-baik kata yang dibacanya sebentar tadi.
"Bahaya juga manusia ni," bisiknya sendiri.
"Tapi... layak ke semua manusia terima hukuman tu?"
Ali hanya diam, tidak mampu menjawab soalan itu. Kertas di atas mejanya dipandang lama.
"Entahlah, bukan masalah aku kot? Lebih baik aku fokus dengan pertandingan ni." Kertas itu dibelek. Puan Munah sempat mengedarkan poster pertandingan itu kepada mereka semua sebelum beliau meninggalkan kelas untuk hari itu.
"Hmm, kena beritahu ayah dululah kalau macam tu." Ali tersenyum teruja. Kertas itu terus disimpan ke dalam beg dan dia mengemas segala benda di atas meja. "Wei, Viktor! Kau nak..."
Perbualan diteruskan sehinggalah mereka sampai ke perkarangan sekolah. Masing-masing melambai tanda selamat tinggal. Ali berjalan perlahan dengan senyuman riang. Tidak sabar. Masih terngiang-ngiang di kepala apa yang dibacanya.
HADIAH UTAMA :
• Anugerah dan sijil khas
• Wang emas dengan empat angka
"Huh, aku wajib sertai pertandingan ini!"
.
.
.
.
.
C y b e r h u m a n
-------------------------
" Salah ke jadi manusia biasa? " - Ali
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top