7 - Cyberhuman

C y b e r h u m a n
-------------------------
" Salah ke jadi manusia biasa? "  - Ali
.
.
.

[ P e t a  C y b e r h u m a n ]

* Ada penambahan baru pada peta

.

KOLOSEUM Cyberhuman riuh-rendah dengan pelbagai suara. Ribuan penduduk Cyberhuman kini berkumpul di satu tempat, dengan tujuan yang sama.

   Menyaksikan perlawanan yang telah dijanjikan.

   "Seriuslah, cyberhuman lawan manusia?" Seorang lelaki dalam lingkuan 20-an bertanya kepada rakannya dengan riak tidak percaya. "Aku macam tak percaya pula..."

   "Tak percaya apanya? Seriuslah ni! Kalau tidak, buat apa kita semua datang ke sini!" Rakannya menepuk kerusi di hadapannya. Terkejut orang depan.

   "Bukan apa. Bangsa cyberhuman ni kuat sangat untuk bangsa manusia yang lembik tu! Sekali bagi penumbuk je, melayang terus!" Riak wajah lelaki itu sangat bongkak. Namun, tiada sesiapa yang menegurnya. Malah, ada yang bersorak dengan kata-kata lelaki itu.

   "Tsk, tak baiklah cakap macam tu." Rakannya membidas. Baru sahaja lelaki itu mahu memarahi rakannya, ayat yang tergantung itu disambung semula. "Kalau bagi penumbuk, aku rasa patah tulang mereka. Entah-entah kena jentik pun dah robek daging mereka."

   Eh eh, mereka cakap seperti mereka ini naga pula. Sekali jentik terus melayang? Beberapa manusia yang menyorokkan identiti mereka membuat muka. 'Dasar bongkak,' fikir mereka.

   "Hah, siapa yang bertarung malam ni?" Suara seorang perempuan. Masing-masing menghalakan fokus mereka kepada perempuan itu. Maklumlah, perlawanan yang diadakan ini berlaku tiba-tiba. Perjanjiannya tengah hari tadi, pertarungannya malam itu. Sehebat mana pun teknologi dan sistem mereka, pasti ada yang tertinggal 'kereta api'.

   "Aku dengar...dua orang remaja lelaki dari Akademi Elit Cyberaya."

   Gasp!

   Masing-masing tidak dapat menyembunyikan reaksi terkejut mereka. Pelajar akademi rupanya!

   "Kau tahu ke siapa mereka?" Perempuan itu bertanya lagi.

   "Aku tak kenal pelajar Cyberhuman tu, tapi si budak manusia tu aku tahu. Namanya Ali. Dia agak terkenal dekat pasar. Ramai orang tahu siapa dia." Rakan perempuan itu bersandar pada kerusi seraya berpeluk tubuh. "Aku pernah berbual dengan dia sekali, masa kami berdua membeli air dekat gerai."

   Perempuan itu mengerutkan dahi. "Dia... normal?"

   Lelaki itu mengangguk. "Iyalah. Tak sangka aku dia manusia. Patutlah nampak lemah semacam."

   Semua orang di sekeliling mereka tergelak sinis dalam diam. Manusia menentang Cyberhuman? Lawak jenis apa ini?

   Mata mereka memandang ke ruangan tengah koloseum. Tidak sabar menantikan pahlawan yang bakal menjadi penentu arah masa hadapan mereka.

•||••||••||•

   Jika ruangan dalam koloseum riuh-rendah, lain pula situasinya di kawasan luar. Lebih tepatnya, di bawah pokok Cyberhuman yang gergasi itu. Pokok bercahaya itu menghasilkan bayang empat figura remaja bersama seekor kucing terbang di situ.

   "Kau yakin ke, Ali?" Moon menyoal dengan suara ragu-ragu. "Risau pula aku."

   Khai berdecit. "Tak baiklah kau ni, Moon. Ali dah nak masuk koloseum. Sepatutnya kau bantu dia, bukan tambah beban dia."

   Moon memandang Ali, lama. "Maafkan aku, Ali. Aku cuma..." Ayatnya terhenti di situ. Pandangannya beralih memandang Iman yang menepuk bahunya.

   Iman menggelengkan kepala. "Kami sokong awak, Ali." Pendek tetapi padat. Ayatnya juga mudah untuk difahami, dan dipenuhi sokongan moral buat rakan manusia mereka yang seorang itu.

   Ali menggenggam yoyonya. "Tapi..."

   "Ala, landak kelabu je!" Moon mencelah. Malangnya, kata-kata Moon langsung tidak membantu.

   "Landak kelabu tulah yang aku risaukan. Dia pelajar top kut! Aku ni siapa je? Dahlah dia licik. Silap-silap aku yang melayang ke tempat penonton nanti." Berubah wajah Ali apabila dia terbayang situasi itu. "Eee, takutlah aku!"

   Khai dan Iman mendiamkan diri sahaja. Nak kata apa lagi? Benda betul, takkan nak menipu hanya untuk menenangkan Ali? Takut hancur pula keyakinan Ali nanti.

   "Kau tahu, Ali? Situasi kau ni sebiji macam dalam novel-novel aksi yang aku selalu baca." Moon kembali bersuara. Matanya jelas bersinar memandang wajah Ali yang sedang berkerut itu.

   "Maksud kau?"

   "Kalau dah novel aksi, memang dah wajib untuk watak utama berlawan! Kalau tidak pun, jadi licik dan mempergunakan orang lain. Tapi untuk kes engkau sekarang ni, kau yang pertama. Aku yakin kau akan menang, Ali!" Moon menggenggam kedua belah tangannya.

   Tingkahnya jelas menunjukkan dia bersorak untuk Ali, di mata orang lain. Tetapi di mata mereka bertiga, Moon seperti seorang peminat fanatik novel bergenre aksi yang dapat melihat angan-angannya menjadi nyata.

   Ali, Khai dan Iman melepaskan keluhan. "Dah nasib engkau, Ali. Bertabahlah." Khai menepuk bahu Ali, supaya remaja itu reda mendapat kawan seperti Moon.

   "Hmm... iyalah. Aku ambil kata-kata kau daripada sudut positif." Ali tersenyum kelat. 'Watak utama... Aku tak yakin aku ni watak utama.' Hatinya berdesis sendiri.

   "Jangan risaulah, Ali," kata Iman, memecahkan kesunyian kumpulan mereka. "Setiap orang ada kisah mereka sendiri, dan setiap orang itu ialah watak utama dalam hidup mereka. Mungkin dalam hidup orang lain, orang itu dianggap antagonis. Tetapi antagonis sendiri merupakan protagonis hidup mereka."

   Ali dan Moon berkerut dahi. Haram jadah apa si Iman ini sebut?

   "Hm, aku setuju dengan kata-kata kau, Iman. Satu orang, satu kisah. Tetapi satu kisah, tak bermakna perlu memiliki satu pengakhiran. Pengakhiran juga boleh menjadi satu permulaan," sambung Khai sambil berpeluk tubuh. Pandangannya dialih pada wajah Ali.

   "Aku yakin kau boleh, Ali. Kami akan sokong kau!" Moon yang sedari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersorak ceria. Senyuman lebarnya membuatkan Iman dan Khai turut bersorak sama.

   Ali sekadar tersenyum nipis. "Macam-macamlah kau orang ni." Tubuhnya dipalingkan membelakangi mereka bertiga. Ali menarik nafas dalam-dalam. "Jangan risau. Aku pasti menang!"

   Khai, Iman dan Moon terpegun dengan langkah kaki Ali yang penuh keyakinan itu. Kepercayaan mereka buat remaja itu memuncak tinggi.

   "Pergi, Ali! Dapatkan kemenangan kau dan buat si landak kelabu tu tunduk pada kau!"

   Ali tergelak kecil mendengar suara Moon. Moon tetap Moon. Suara mengalahkan pembesar suara!

   "Jumpa kau nanti."

   "Semoga berjaya, Ali."

   Ali menggenggam penumbuk. "Ya. Semoga berjaya, Ali. Kau pasti menang." Ali berjalan masuk ke gerbang pintu koloseum bersama senyuman lebar yang tertampal pada wajahnya.

•||••||••||•

   "WHOAAAAAA!"

   Sorakan bergema. Pekikan demi pekikan yang sangat bingit bagaikan satu layar belakang suara koloseum itu. Riak teruja mereka terpancar apabila seorang lelaki bersut kelabu muncul di tengah-tengah koloseum.

   "Selamat malam, tuan-tuan dan puan-puan." Pandangannya menghala ke satu arah. Senyuman terukir secara semula jadi. Para aristokrat berada di situ. Ada yang menyangka lelaki itu akan menyambut  para bangsawan dengan formal, namun lelaki itu hanya memalingkan kepalanya.

   "... huh?"

   Golongan bangsawan juga terpana. Baru sahaja salah seorang daripada mereka mahu bersuara, lelaki itu kembali memenuhi ruangan koloseum dengan suaranya yang sedikit garau.

   "Selamat datang ke Koloseum Cyberhuman! Pada petang tadi, kita semua dikejutkan dengan perlawanan antara dua remaja dari Akademi Elit Cyberaya!" Becok mulut lelaki itu berbicara. Sekejap. Dia... bukan orang yang akan berlawan.

   "... manusia?"

   Terkejut. Semua orang terkejut.

   "Macam mana manusia boleh masuk!" Bangsawan yang ingin menyuarakan kemarahannya tadi terus berdiri. Wajahnya merah, menahan amarah.

   "Tsk tsk tsk..." Seorang lelaki tua muncul di sisi lelaki bersut kelabu itu. Kebanyakan mereka yang mengenali lelaki tua itu terlopong. "Mengapa kaum aku tak boleh masuk? Kau cuba memaksudkan yang kaum aku hanya perlu menunggu kekalahan?" Analogman merenung tajam bangsawan tadi.

   Renungan tajamnya membuatkan bangsawan tadi kembali duduk. Dia seorang Neuro, Cyberhuman jenis merancang, dan bukannya jenis berlawan. Analogman mempunyai aura yang mendominasi. Bangsawan itu tidak mampu membalas pandangan lelaki tua itu.

   Analogman tergelak sinis. "Cukup dengan kata-kata yang panjang lebar. Buang masa. Teruskan sahaja."

   Lelaki bersut kelabu itu menundukkan tubuhnya sedikit. "Ehem, ehem. Kita kembali ke topik asal." Dia terbatuk sedikit apabila pandangan tajam Analogman seperti mahu menembusi lehernya. "Kita mulakan...perlawanan!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top