4 - Cyberhuman

C y b e r h u m a n
-------------------------
" Salah ke jadi manusia biasa? "  - Ali
.
.
.

[ P e t a  C y b e r h u m a n ]

*Ada penambahan baru pada peta

.

"ALIYA."

   Ali tersentak apabila nama itu disebut. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah, memandang Dayang yang dalam keadaan statik.

   "Kamu..." Langkah kaki Dayang yang mendekati Ali terhenti apabila remaja itu bertindak melarikan diri tanpa menoleh ke belakang. Bakar yang berada di sisi Dayang melepaskan keluhan berat.

   "Habislah aku..."

   Setibanya Ali di rumah, remaja itu terus menerjah bilik kerja bapanya. Baju yang kotor kerana perlawanannya dengan Analogman, ataupun calar-balar pada wajahnya langsung tidak diambil kisah.

   "Ayah!" Tombol pintu dipulas. Pintu bilik itu dibuka seluas mungkin. Ghazali terkejut melihat anak lelakinya yang tiba-tiba muncul. Memanglah waktu balik sekolah tapi...

   "...Ali?" Ghazali mengerutkan dahi. "Kenapa baju kotor sangat ni? Dengan luka sana-sini lagi. Kamu berguling turun bukit ke, Ali?" tanya Ghazali dengan nada aneh.

   Ali membuat muka. "Apa pula berguling turun bukit? Ali kena serang lah tadi, ayah. Dengan Analogman. Ayah kenal?"

   Bertambah kerutan pada dahi lelaki itu. Tidak pernah dengar pun nama itu sebelum ini. "Kenapa dengan Analogman? Kawan Ali ke?"

   "Tch, bukanlah. Dia pergi beri ucapan penuh motivasi dekat pentas pasar tadi. Konon-kononnya cyberhuman ni sepatutnya pupus dan rasakan apa yang manusia rasa," jelas Ali. Dua saat kemudian barulah dia teringat tujuan dia ke ruangan kerja bapanya.
  
   'Ayahlah ni, tanya aku pergi berguling pula. Tak pasal-pasal aku nyaris terlupa pasal ni,' desisnya sendiri.

   "Ayah, mama...kerja apa eh?" tanya Ali dengan berhati-hati. Topik berkenaan mamanya memang sensitif. Kalau boleh dia dan ayahnya memang tak akan sentuh perihal itu.

   "Mama? Mama kamu kerja sebagai pegawai perubatanlah. Takkan tak tahu lagi?" Ghazali menjawab dengan keluhan. "Ni kenapa tiba-tiba tanya pasal mama?"

   Ali terus menceritakan kejadian yang berlaku di pasal tadi. "Lepas tu, ketua teras M.A.T.A. muncul! Yang Ali pelik, ketua teras Tekno sebut nama mama masa pandang Ali."

   "Ketua teras M.A.T.A. kenal Aliya?" Mata Ghazali membulat. Makin merepek pula anaknya ini. "Eish, kamu salah dengar mungkin. Atau kamu perasan sendiri."

   "Mana ada! Ali yakin dia maksudkan mama. Kalau tak, takkanlah muka dia pucat lepas nampak Ali!" Ali dengan tegas menegakkan pendiriannya yang tidak seberapa itu.

   Ghazali merenung lama anak mata Ali. Dia melepaskan keluhan. "Mama kamu dah tak ada. Tak berguna kita fikirkan tentang ni lagi. Sudahlah, pergi mandi. Jangan lupa bagi Comot makan."

   Wajah Ali bertukar muram mendengar jawapan balas ayahnya. Dia mengangguk perlahan. "Baik, ayah." Kakinya melangkah ke ruang tamu. Comot yang terapung di udara terus ditarik ke dalam pelukan. "Aku rasa mama ada kena-mengena dengan M.A.T.A. lah, Comot."

   "Meow?" Comot mengiau, memandang tuannya yang tampak sugul. "Meowww!" Telapak tangannya ditepuk pada pipi remaja itu. Comot meronta untuk dilepaskan. Ali akur sahaja. Silap-silap bertambah calar pada pipinya kerana Comot nanti.

   "Huh, uncle mesti tahu sesuatu."

   Usai membersihkan diri dan memenuhkan perutnya, malam itu Ali terus  dalam perjalanan menuju ke rumah Bakar yang terletak di kaki kawasan pergunungan.

   "Uncle! Oh, uncle!" Pintu diketuk berkali-kali. Loceng turut ditekan. Laungannya langsung tidak bersambut. Rumah Bakar sunyi sepi.

   "Hah, Comot. Kita masuk jelah." Cap jari diimbas. Sistem keselamatan yang mengenali cap jari itu terus membuka pintu buat Ali dan Comot tanpa sebarang masalah.

   Ruangan yang kemas terhidang di hadapan Ali dan Comot. Kedua mereka terus mencari satu susuk tubuh berbadan besar di dalam rumah itu. Pencarian mereka terhenti apabila mereka terlihat Bakar yang sedang lena di atas sebuah sofa di tengah-tengah ruang tamu.

   "Tadi tak ada. Tiba-tiba ada?" Ali mula berasa curiga. "Uncle." Bahu lelaki itu digoncang perlahan. "Uncle, bangunlah. Ali datang ni." Ali pula yang berasa pelik apabila ayatnya kedengaran lain. Macam Bakar tengah koma pula.

   "Uncle, oh uncle! Bangunlah. Ali nak tanya ni." Nada suara dibetulkan. Ayat juga ditukar. Goncangan yang tadinya perlahan bertukar kuat. Malangnya, Bakar kekal kaku.

   Ali berputus asa apabila lelaki itu langsung tidak bangun. Dia melepaskan keluhan berat. Nampak sangat unclenya ada kena mengena dengan hal ini. "Saya sangka uncle akan bantu Ali. Rupanya tak." Ali terus keluar dari rumah itu.

   Sebaik sahaja Ali dan Comot menghilangkan diri, Bakar terus membuka matanya. Dia menarik nafas dalam-dalam. "Maafkan uncle..."

   Bukan dia tak mahu beritahu, cuma perkara itu akan membuatkan anak saudaranya sedih. Lebih menyakitkan, dia sendiri tidak tahu rasa 'sedih' itu bagaimana.

•||••||••||•

   "Urk!" Boy secara automatik menyilangkan tangannya pada dada sebagai tindakan refleksi. Tendangan demi tendangan menyinggah pada tubuhnya. Remaja itu langsung tidak melawan.

   "Kau dan kaum kau sepatutnya tak wujud atas dunia ni. Kejam! Jijik aku nak hidup dengan manusia! Macam manalah kau boleh ada dekat sekolah ni!" Seorang remaja lelaki meludah pada Boy.

   "Macam tu je ke? Patutnya kau buat...macam ni!" Simbahan air berbau busuk itu membuatkan Boy memejam matanya erat. Sedu yang hampir keluar cuba ditelan, risau pukulan yang akan dia terima bertambah teruk.

   "Kalaulah aku boleh bunuh kau, memang dah lama kau mati, tahu?" Satu lagi sepakan dihadiahkan pada perut Boy. Boy terbatuk kuat.

   "Macamlah aku minta untuk dilahirkan sebagai manusia," bisiknya perlahan.

   Malang buatnya berganda apabila remaja lelaki itu terdengar bisikan halusnya. "Kau cakap apa?"

   Mata Boy bergetar tatkala remaja itu mengangkat penumbuknya. Dia terus memejam mata, sedia untuk memproses kesakitan yang bakal dia terima.

   "Woi, berhenti!"

   Perbuatan kumpulan itu terhenti apabila suara itu menerjah deria pendengaran mereka. Masing-masing memalingkan kepala ke belakang dan figura kecil Ali menyapa pandangan mereka.

   "Kau?" Mereka tergelak beramai-ramai. "Kau nak jadi hero ke, Ali? Budak paling lemah dalam kelas? Kau buat lawak ke, Ali?" Mereka ketawa sinis.

   Rakannya menepuk bahunya. "Budak lemah pun... dia jugalah yang tewaskan pemberontak semalam." Melihat wajah ketuanya berubah kerut, segera dia mengubah ayatnya. "Tak adalah lawan sangat, last-last kalah juga. Tetapi, dia siap terjumpa M.A.T.A."

   Mereka yang mendengar, menoleh ke arah Ali bersama riak yang tidak percaya. Boy yang curi-curi dengar pun terperanjat. Biar betul?

   Ali berdecit. Sempat lagi dia orang berbual depan aku. "Memang aku lemah. Tapi kenapa kau buli dia? Kau sepatutnya lindungi dia!"

   "Sebab dia manusia!" Remaja itu panas hati apabila mendengar ayat terakhir Ali. Dia, cyberhuman, perlu ke lindungi manusia?

   "Kau tak boleh macam ni. Takkanlah hanya sebab dia manusia, kau nak buli dia macam ni?" Ali bercekak pinggang. Matanya mengecil memandang Boy yang tampak terus dikerjakan. "Kau tak kesian ke?"

   "Kau jangan nak ajar aku lah, si lemah!" Remaja itu mula menumbuk dinding. Dinding itu habis retak dan berlubang kerana kuasanya. "Kau buat cara kau sudahlah. Tak payah nak menyibuk hal aku!"

   Riak wajah Ali berubah tatkala remaja itu dan dua orang rakannya mengeluarkan senjata. "Kau..."

   "Gedebuk!"

   Tubuh Ali tercampak ke belakang apabila dirempuh remaja lelaki itu. Dia berdesis kesakitan. Sudahlah luka-luka semasa dia melawan Analogman masih belum hilang.

   "Wei, Aris! Kuatlah lagi!" Rakannya bersorak di belakang. Aris tersenyum sinis mendengar sorakan rakan-rakannya.

   "Hiss!" Comot tiba-tiba muncul lalu menggigit Aris dengan kuat. Pipi remaja itu turut dicakar sehingga berdarah. Aris dan rakan-rakannya membulatkan mata melihat kemunculan Comot dan keganasannya.

   "Ambil ni!"

   Daya yang dikenakan yoyo itu membuatkan ketiga mereka terbaring di atas lantai. Kesempatan itu diambil Ali untuk menarik tangan Boy lalu dibawa ke lorong lain. Mereka berdua mengambil nafas yang tercungap-cungap.

   "Kau... kau okay?" tanya Ali dengan wajah yang memerah.

   Boy mengangguk perlahan. "Aku okay je. Kau?"

   "Hah, aku okaylah!" Ali tersenyum bangga. "Macam mana dia orang boleh tahu kau manusia?"

   Boy mendiamkan diri, tidak mahu menjawab soalan itu. Ali akur sahaja. "Kau janganlah risau. Bukan kau seorang je manusia dekat sekolah ni. Aku tahu yang lain pun mesti ada."

   Wajah Boy berubah mendengar pernyataan Ali. "Serius?"

   Ali tersengih. "Ni rahsia tau tapi..." Ali memandang ke arah kiri dan kanan. Apabila memastikan tiada orang lain di situ selain daripada mereka. "...aku pun manusia."

   Prak!

   Ali dan Boy lantas menoleh ke belakang, mencari sumber bunyi itu. Jantung Ali berdegup kencang kerana tiada sesiapa pun berada di belakang dan hadapan mereka. Kiri dan kanan mereka ditutupi dinding lorong sekolah.

   Mereka berdua terdiam.

   "Err, sudahlah. Aku pergi dulu. Jaga diri." Ali menundukkan sikit kepalanya sebelum berjalan meninggalkan Boy. Boy masih termangu-mangu di situ.

   "Ali... manusia?"

   Ali berlari meninggalkan kawasan itu sambil tercungap-cungap. Risau pula Comot melihatnya. Maklumlah, budak ini baru sahaja lawan pembuli Cyberhuman pula. 

   Ali sampai di muka pintu kelas. Tiba-tiba dia menepuk dahi. "Alamak, aku sibuk lawan dengan dia orang sampai aku lupa nak beli makanan." Perutnya kini dipegang.  Nampaknya ada tanda-tanda untuk menyanyikan lagu rancak.

   "Nah." Sebungkus roti muncul di sebelah Ali. Ali tersentak melihat Khai yang memberikan kepadanya. Ali lambat-lambat menyambut makanan itu. Hehehe... rezeki jangan ditolak. "Terima kasih, Khai."

   "Sama-sama," balas Khai. Dia yang ingin melangkah masuk ke dalam kelas hampir tersandung kerana tidak menyedari Comot di bawah kakinya. Aduh, Comot. Selalunya engkau terbang. Terkejut aku.

   "Lagipun kau mesti penat tolong manusia itu, kan?" Ali hampir tercekik mendengar pertanyaan Moon. Jangan kata... kawan-kawan dia yang mengintip dia dan Boy. Ali menelan sisa rotinya. "Macam mana kau orang... tahu?"

   "Ada orang sebarkan yang Boy itu manusia. Tak hairanlah kalau dia kena buli memandangkan memang nasib kaum dia orang." Khai menerangkan meskipun dia tidak sedar katanya mengguris hati Ali. "Lepas itu, masa dekat kantin, kita orang nampak dari jauh kau selamatkan Boy dekat bangunan sekolah."

   Ali mengigit rotinya. Jadi, bukan dia oranglah... yang buat bunyi tadi.

  "Tetapi rasanya bukan kau selamatkan. Comot yang selamatkan kau rasanya," ujar Moon seraya tangannya membelai kepala gebu Comot. Ali yang mendengarnya mampu menjeling ke arah Moon. Hendak buat macam mana, yang dilawannya itu lebih seorang Cyberhuman.

   Kaum spesies dia pun tidak mampu lawan. Apatah lagi Cyberhuman.

   Iman yang lama berdiam bersuara. "Ali... kenapa awak selamatkan manusia?"

  Ali terkedu apabila soalan itu diujarkan. Baru sahaja Ali ingin menyahut pertanyaan itu, Moon sudah menyampuk. "Ha'ahlah. Semalam pun kau selamatkan dua orang manusia itu. Aduh, aduh, sampai sakit-sakit belakang kami dibuatnya.

  "Hehehe, sorry." Ali tersengih-sengih. Walaupun wajahnya minta penampar, tetapi dari sudut hatinya... rasa kasihan pula akan kawan-kawannya.

  "Mungkin... sebab aku rasa nak tolong? Entahlah." Ali hanya mengangkat bahu. Namun, jawapan itu hanya membuatkan mereka bertiga terpinga-pinga.

   Tidak semena-mena bahu Ali dilanggar menyebabkan roti yang baru dimakan separuh jatuh ke lantai. Terjatuh mulut Ali di situ. Huhuhu, makanan rehat aku...

   "Lain kali nak cakap pun, janganlah depan muka pintu." Lelaki bernama Rudy itu langsung tidak bersalah selepas menghabiskan makanan Ali. Siap selamba kembali ke tempatnya.

   Ali mengutip semula roti itu dengan pasrah. Dia merungut sambil memandang Rudy. "Apasal dengan Rudy tu?"

   "Mungkin dia cemburu kot... yalah, kau kan lawan pemberontak semalam. Siap jumpa ketua teras lagi. Mana tak jealousnya landak tu." Moon membuat andaian sendiri.

   Ali memberi roti ke arah Comot, meminta kucing itu untuk membuangkan baginya. Sedih dan sendu rasanya bercampur dalam hati. Terpaksalah berlapar hari ini.

   Tetapi... bunyi ranting patah itu... bermakna ada orang dengar perbualan mereka tadi ke?

   Erm. Mungkin perasaan dia kot.

 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top