BAB 13
🌺🌺🌺🌺🌺
"TONY?" Perkataan pertama yang meluncur keluar dari bibir Adifa saat bertembung muka dengan seseorang.
Lelaki itu senyum ringkas dan memetik jari memberi isyarat pemanggil sang gadis agar merunutinya.
Perlahan Adifa melacak langkah mendampingi lelaki itu dengan muka separuh teruja serta rindu sedih bercampur rasa.
"Tony... macam mana kau bo... boleh ada di sini? Bukan ke... kau... kau dah mati?" Jenuh gagah dia menghabiskan ayat tersangkutnya gara-gara rasa kejutan yang menyinggah dalam diri.
"Toni mani newi motali?" soal lelaki itu mencangahkan mulut Adifa cuba hadam bahasa apa yang digunakan.
Maksud, 'Siapa Tony? Mati?'
"O... omak aih. Ba... bahasa apa kau cakap ni, Tony? Sepatah pun kakak tak faham."
Adifa mengalami kecelaruan fikiran dan situasi. Apa sudah jadi? Tony yang sudah mati hidup semula dalam alam ini? Bicara pula dalam bahasa asing, sungguh memeningkan kepala.
Lelaki yang dianggap Tony itu sengih. Tanpa meladeni pertanyaan gadis itu, dia memintas pergi.
Adifa yang kesangsian rasa seraya menyaingi langkah lelaki itu.
"Boleh kau cakap melayu tak? Aku tak faham apa kau cakap."
"Aku bukan Tony. Tapi, Tamani Teketayochi. Yang membawa maksud, pengikut setia. Dan aku setia menjadi pengikut Yeisati Niusi. Di sini semua gelar aku Tamani. Takkan Teluki Abebochi dah lupa siapa aku?"
"Apa? Teluki apa?" Apa yang dijelaskan lelaki itu lagi membiulkan daya fikiran Adifa hingga berbelit lidah hendak menyebut semula apa yang lelaki itu sebutkan tadi.
"Teluki Ābebochi. Bunga Teluki. Haih, nama sendiri dan bahasa sendiri pun dah lupa? Baru tinggalkan Kerajaan Daqa' 200 tahun, dah lupa semua? Dulu kau paling handal dan terkenal dengan gelaran Yeqwaniqwa Liqi. Si pakar bahasa. Sekarang bila dah kembali dah mula hilang ingatan ke?" Jelas kerutan terentap ke muka Tamani dek kehairanan dengan respons sang gadis.
Kerajaan Daqa'? 200 tahun? Bunga Teluki? Kenapa dia digelar dengan nama itu? Itu bukan nama dia. Bertambah bingung Adifa dengan penerangan lelaki itu. Tahu pula dia berbahasa melayu? Ingatkan hendak menggunakan bahasa asing itu sampai bila-bila.
Walaupun begitu, dia juga tertanya siapa Yeisati Niusi itu? Belum sempat dia membuka mulut, lelaki yang perkenalkan diri sebagai Tamani itu membawa dia pergi dari situ. Entah ke mana hala tuju, Adifa tidak tahu dan dia baru menyedari tentang seseorang yang membawa dia masuk ke situ juga telah ghaib dari pandangan mata.
Dia menumbuk pandangan ke setiap sudut kawasan di sekeliling hingga tidak sedar suasana di situ sekelip mata bertukar menjadi sebuah kawasan terpencil yang dihiasi bunga-bunga teluki. Terdapat juga air terjun jernih kebiruan dan titi kecil di tengah untuk menyeberangi. Adifa ditelan dengan perasaan terpegun.
"Heyi Ābeba, izihi neni," suara Tamani melupuskan khayalan Adifa di sepanjang perjalanan mereka.
Maksud, 'Hey Bunga, kita dah tiba di sini.'
Sekali lagi Tamani bercakap dalam bahasa yang Adifa tidak faham membuat gadis itu kebam bibir kerana tidak tahu mahu membalas apa.
Tamani sengih sambil geleng melayan ekspresi gadis itu. Lalu, menterjemahkan bahasa yang digunakan.
"Haisy, 200 tahun hilang makin teruk ingatan kau. Ini kalau Yeisati tahu keadaan kau, entah apa akan jadi. Hm, kita dah sampai. Jom masuk dalam. Ada seseorang dah menunggu kau." Tamani sudah melangkah atas titi menyeberangi sungai kecil yang mengalir dari gunung.
Adifa yang masih tercengang dengan apa yang berlaku hanya mengekori jejak Tamani.
"Teluki Ābebochi? Yeinati ina yeābati ligochi beti nachewi!" Tiba-tiba seorang wanita lingkungan usia 50-an meluru memeluk Adifa mengejungkan tubuh gadis itu tanpa sempat melihat rupa sebenar mereka dek ralit menyaksikan keindahan air terjun yang dipagari bunga teluki.
Maksud, 'Bunga Teluki? Anak mama dan papa sudah pulang!'
Bahasa asing ini merimaskan sang gadis kerana sepatah pun dia tak faham, apatah mahu membalasnya. Apa bahasa yang mereka guna? Tempat apakah ini? Aneh sungguh. Itu yang Adifa rasa. Pantas, tubuh itu ditolak kuat hingga wanita itu terundur ke belakang.
Sekali lagi dia dikejutkan hidangan mata apabila wanita yang memeluknya tadi itu seseorang yang dia kenali.
Tanpa dipinta, air matanya berlinang dan kemudian mengalir membasahi pipi.
“Ma... ma? Pa... pa?” Menggetar bibir Adifa ketika mencuar perkataan itu.
Kedua pasangan suami isteri di hadapannya kini menjadi tinjauan mata lembutnya sebelum mereka kembali ke dalam dakapan rindu bertindan tiga.
Gerak bibir lelaki bernama Tamani Teketayochi ternaik pada hujungnya.
“Syukurlah kau masih ingat imama dan ābate kita.”
Mereka tersenyum bahagia. Adifa yang masih diserang kejutan bertimpa itu sejak pertemuan antara dia dengan Tony lagi hanya diam walau selirat seribu pertanyaan bagaimana mereka boleh hidup dalam alam ini? Sungguhpun begitu, semua pertanyaan itu hanya berkubur dalam perasaan rindu yang membuak dan akhirnya soalan yang di awangan terbang hilang entah ke mana. Dia tidak peduli. Yang penting dia bertemu orang yang dia rindui dan kasihi tak kisah walau apa yang jadi pada dirinya ini hanya mimpi. Dia tekad takkan persoalkan kerana dia takut untuk mengetahui kebenaran yang menyakitkan.
MALAM itu kedua orang tua Adifa di Alam Yemayitayi menyediakan makan pakai dan tempat yang selesa untuk gadis itu bermalam.
Bahasa asing yang digunakan diterjemahkan semula oleh Tamani ke dalam bahasa melayu. Mujur Tamani tahu berbahasa melayu atau sememangnya dia pakar bahasa? Entah, Adifa sendiri tidak pasti kerana baru berjumpa sehari.
Esoknya, Tamani yang mahu keluar pergi bertugas ditahan Adifa. Gadis itu berkeras mahu ekori lelaki itu kerana mahu menjelejah daerah berdekatan situ sekali ingin tahu selok-belok Alam Yemayitayi. Itulah nama marcapada ini yang dikatakan Tamani semalam.
Suka tak suka, ketegasan Adifa mengakurkan Tamani dan gadis itu dibenarkan pergi bersamanya. Adifa senyum melebar keriangan. Inilah masanya untuk menerokai dunia baru ini.
“Kequt’awi ina kezenidowi niusi tet’eniqeqi. Ātišešubachewi. Ketechale asiweidu.” Menyempat pula si bapa menitip pesan pada kedua anak kesayangannya ini.
Adifa yang tidak mengerti melirik mata ke arah Tamani meminta penjelasan.
“Ābate kata, jaga-jaga dengan Dirganasa dan Zenidowi Niusi. Jangan sampai bertembung dengan mereka. kalau boleh, elakkan,” nyata Tamani tentang maksud itu mengagetkan Adifa.
“Tapi, kenapa? Siapa mereka?”
“Mereka bahaya. Apa yang pasti kau bukanlah lawan mereka. Tapi, jangan risau. Selagi kau bersama aku dan Yeisati Niusi, kau selamat. Jadi, marilah kita. Aku nak temukan kau dengan Yeisati. Tentu dia gembira kau dah kembali. Mari lekas!” Tamani memetik jari dan muncul kuda putih di hadapan rumah itu meluaskan lagi pencemaran kejutan dalam diri Adifa.
Tidak sempat bertanya lanjut, tubuhnya tiba-tiba sahaja sudah berada atas kuda menjadi pembonceng.
Seimbas pandang mereka tiba di satu kawasan tanah lapang dan kuda itu perlahankan langkah menuju ke suatu tempat seperti gelanggang berbentuk empat segi berpenjuru besi naga api. Terdapat juga pintu gerbang besi sebesar pencakar langit. Ada tanda butang merah dan lambang bola api di tengah itu menakjubkan Adifa yang memirsa renungan. Terjelengar dia ke setiap sudut.
Zas!
Tiba-tiba mereka dikejutkan satu anak panah melayang betul-betul melintasi hadapan mata mereka hingga terlompat kuda itu membuat mereka berdua jatuh ke tanah.
Kesakitan pada tubuh akibat terhempap atas tanah kian terasa. Sebaik keduanya bangkit, tusukan mata terpasak pada seseorang yang berpakaian kesatria aries bersama busur panah dalam genggaman mendekati mereka berdua menghangatkan situasi.
Terbuka lebar birai mata Tamani dan Adifa saat mencerna pandangan ke arah figura itu. Siapa dia?
“Zenidowi Niusi!”
Maksud, ‘Raja Naga!’
“Mr. Jimmy?”
Sebutan nama yang berbeza secara serentak membahangkan lagi suasana. Tamani dan Adifa berpandangan dek pelik dengan buah bibir yang tercurah tadi.
Lelaki berpakaian kesatria itu menyerahkan busur panah dalam pegangan kepada pembantunya. Wajah itu juga amat dikenali Adifa.
“Capone?” Laju mengalir nama itu dari ulas bibir Adifa dan sebilah pedang racisso mendarat tepat ke leher gadis itu menggoncangkan jantung sang gadis.
“Ye Capone neeri minidini newi?” soal kesatria berwajah beku itu.
Bermaksud, ‘Apa benda Capone itu?’
Adifa langsung tidak percaya lelaki itu sudah pandai berbahasa asing. Sedangkan selama dia kenal lelaki itu, langsung tak tahu berbahasa inggeris apa lagi bahasa asing sebegini. Kali ini terbalik pula. Dia pula yang terperangah kerana tidak memahami bahasa yang diutarakan lelaki beruniform kesatria ini.
Fuh, dia benar-benar hampir tidak mengenali figura itu kerana penampilannya jauh lebih gagah dengan berambut sedikit panjang keperangan. Ada mahkota bertatahkan emas terletak elok atas kepala berserta lambang naga merah berkilau memegunkan dia. Akan tetapi, lelaki ini juga punca dia tersesat masuk ke alam ini dan bertemu di sini juga? Ah sudah! Kes naya. Adifa mula mencari akal mahu melarikan diri dari menjadi tahanan lelaki bermuka dingin ini.
“Mr. Jimmy, Encik Capone... saya... saya janji tak bukak mulut pasal apa yang saya nampak tu. Tolong lepaskan saya. Saya merayu jangan bunuh saya.” Adifa merayu sambil jeling pada pedang yang masih melekat pada pangkal lehernya. Tergerak tubuh sikit, pasti berdarah akibat terhiris. Jadi, dia hati-hati.
“Sile mini kenitu neeri newi yemitawerawi?” Si kesatria memberengis wajah lalu menekan pedang ke leher Adifa dan pantas dihadang Tamani.
Maksud, ‘Apa yang kau mengarut ni?’
“Ihiteni diraoni kini fichi. Keiniidihi ātashicheirewi. Beqa’ 200 āmeti beānite mikiniyati t’efa!” tegas Tamani dengan bersuara gelegar demi pertahankan gadis yang dianggap Teluki Ābebochi itu membuat sang raja naga menyeringai marah.
Lantas, menukar daratan pedang dengan menyasar tepat ke dada Tamani mengejutkan kedua beradik itu.
Maksud, ‘Lepaskan kakak aku, Raja Naga. Jangan ganggu dia lagi. Cukuplah 200 tahun dia menghilang kerana kau!’
“Hulatechihumi izihi bitihonu t’iru newi. Bezihi yemoti qeni huletachihumi tedeseti. Inikwani wede ehaneme ehaneme bedehina met’u,” rengus Zenidowi Niusi. Dia mengangkat pedang mahu melibas kepala kedua mereka dan...
Maksud, ‘Baguslah dua dua sudah ada di sini. Nikmatilah hari mati ini berdua. Selamat menuju ke Neraka Pembunuhan.’
Bam!
Sedas tembakan peluru memitar tepat pada sasaran mengena mata pedang hingga tercampak jauh membarankan sang raja naga. Matanya mula bertukar merah berapi serta genggaman penumbuknya juga bertukar menjadi rekahan api memindahkan tenungan ke arah si penghalang pembunuhan.
Adifa dan Tamani turut memandang ke arah itu.
“Yeisati Niusi!” Sekali lagi nama itu melewati mulut kecil milik Tamani.
Seseorang muncul bersama senapang berukiran emas menunggang kudanya berhenti betul-betul tiga langkah di hadapan Zenidowi Niusi.
“Difireti!” Zenidowi Niusi mengarahkan orang kuatnya bernama Defireti yang bermaksud keberanian ini ke Istana Naga Merah dan mahu mereka dikurungkan ke dalam Penjara Neraka Pembunuhan ciptaannya.
“Dehina, etaye!” Defireti mematuhi perintah sang raja naga.
Maksud, ‘baik, tuanku!’
Belum pun sempat tangan pembantu raja naga ini menyentuh kedua beradik itu, letusan senjata api berdentum lagi mematikan niat mereka dan persaingan sengit berlaku apabila bara sang naga kembali berapi.
Ternganga Adifa menonton aksi persengketaan antara kedua raja itu dengan menggunakan kuasa masing-masing yang entah datang dari mana. Yang seorang kuasa bebola api. Yang seorang kuasa naga berapi. Api lawan dengan api bila nak menang?
Asyik menyaksikan adegan itu, dengan tidak semena-mena cetusan tempias api terkena pada paras Adifa hingga terluka membuatkan gadis itu meringis sakit dan perit.
“Argh! Sakit...” Adifa menekup pipi dengan tangan. Darah yang mengalir membimbangkan Tamani lantas tubuh itu ditarik ke pelukannya. Cuba melindungi sang kakak dari terkena bahan api.
Pekikan itu menghentikan pertelingkahan kedua sang raja itu serta-merta. Langit yang berputar alam itu jua kembali ke sedia kala. Kedua mereka bertepatan pandang ke arah gadis asing itu. Apa akan jadi apabila gadis itu tiba-tiba terkulai tubuh dek kejutan peperangan. Pengsankah atau sebaliknya?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top