#8-Najib Sebagai Pembantu Rumah


Najib meletakkan Ouro ke dalam sangkar yang terletak di bahagian barat daya rumah. Besar betul sangkar ini, memang sesuailah untuk Ouro buat lompatan balik kuang, cakaran hikmat, tarian raver atau apa-apa yang terlintas di fikiran otak kucingnya. Menurut Puan Dahlia, sangkar itu dahulunya menempatkan beberapa ekor cicak tokek, tetapi semuanya telah dijual kepada penggemar masakan eksotik.


     
Najib tersenyum riang mengenangkan tugasan pertamanya yang akan dimulakan malam nanti. Buat masa ini Puan Dahlia memberi kebenaran kepada Najib untuk berehat-rehat dahulu atau mengemaskan segala keperluan Najib ke dalam bilik barunya atau bersiar-siar di kawasan rumah. Kalau nak mencuba roller-coaster yang di bahagian selatan rumah itu pun Puan Dahlia tak melarang. Baik sungguh Puan Dahlia. Najib rasa lega dan bersyukur ke hadrat Ilahi.
.................................................................

Tepat pukul 7.26 malam, Najib bersiap-siap di biliknya. Dia menyarungkan baju melayu birunya yang lengkap dengan sampin dan tanjak berserta keris tersemat di pinggang. Dia perlu berpakaian kemas untuk melaksanakan tugas pertamanya. Nampaknya malam ini akan ada darah yang tumpah. Akan ada perut yang dibelah. Dan akan ada yang terkorban akibat diseksa.


 
Emm..maksud Najib, dia nak siang kambing.


     
Najib melangkah perlahan mencerobohi kubu pertahanan yang selama ini dijaga oleh Mak Nab. Tetapi nampaknya Mak Nab tiada di situ. Puan Dahlia telah memberi cuti hari ini kepada Mak Nab dan Najib dimaklumkan bahawa Mak Nab telah keluar berlibur di ibu kota bersama-rakannya.Tidak mengapalah, Najib lebih suka melakukan kerjanya secara individu. Baginya berdua bukanlah lebih baik. Menyemak saja.


     
Najib memulakan rutinnya sebelum memasak iaitu mengasap parang-parang dan pisau yang ada. Setelah semuanya siap diasapkan dengan penuh berhati-hati, Najib memerahkan lemon yang dibekalkan oleh Puan Dahlia. Menurut Puan Dahlia, dia lebih suka sekiranya Najib menggunakan lemon. Mungkin hasilnya akan lebih menarik. Najib memulakan langkah dan bunga-bunga silatnya dengan penuh bergaya. Nampaknya begitu banyak anasir-anasir jahat yang berjaya dihalaunya. Najib rasa mesti masakan Mak Nab selama ini tidak sedap dan mungkin Mak Nab juga tidak pernah untuk membaca jampi-jampi serapah penghalang masakan jadi tak sedap (ini semua khurafat).


     
Siap sahaja melakukan semua itu,Najib mencapai phone yang diletak di atas kuali tadi dan segera mengambilgambar selfienya. Gambar itu dimuat-naik ke akaun Facebooknya dengan caption 'Baru je habis bersilat.You all jangan lupa, sebelum memasak mesti bersilat dulu!' Najib berpuas hati apabila semakin ramai follower di akaun Facebooknya.


 
"Baiklah tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, hari ini saya akan kongsikan resepi Nasi Mandy Kambing ala Arabian Najib. Bahan-bahannya ialah..." Najib beraksi seakan-akan dirinya terakam dalam rancangan Ketuk-ketuk Kepala Engkau.







Nasi Mandy Kambing ala Arabian Najib.
Bahan-bahannya:
400gram beras basmathi
1 sudu besar rempah serbuk mandy
Rempah tumis (bunga lawang,kulit kayu manis, buah pelaga, buah limau kering,bunga cengkih)
1 ½ kilogram kambing (daging dan tulang)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 biji cili hijau
3 sudu besar minyak masak atau minyak sapi
Garam



Cara memasaknya:
1.Rebuskan kambing sehingga betul-betul empuk.
2.Asingkan daging kambing ke dalam bekas yang lain. Ketepikan.





"Selalunya Najib guna petua mae Najib untuk hilangkan bau hamis kambing.Caranya ialah ramaskan beberapa helai daun sirih dan gaul dengan daging kambing. Biar agak-agak 20 minit macam tu dan basuh seperti biasa ye. Najib berani jamin kambing tu tak kan bau hamis dah macam tiak bangla. Hihihi.."Najib ketawa riang. "Kita teruskan dengan buat nasi mandy ye."


 


1.Rendam beras 20 minit atau lebih kemudian toskan.

2.Tumiskan rempah tumis, hirisan bawang besar dan bawang putih. Apabila bawang garing masukkan rempah serbuk. Tumis sebentar dengan api kecil. Tutup api.

3.Campurkan tumisan rempah tadi dan beras ke dalam periuk nasi.

4.Letakkan 2 sudu kecil pewarna kuning atau boleh gantikan dengan saffron, 2sudu kecil garam dan 2 biji cili hijau. (saffron adalah salah 1 rempah termahal dunia. Najib guna saffron untuk rasa yang lebih asli)

5.Masukkan 600ml air rebusan berserta daging kambing ke dalam periuk. Tanak sehingga masak.







"Kita buat Sos Harrah dan Salad Arab untuk lengkapkan hidangan Nasi Mandy ala Arabian Najib ini ye.."





Sos Harrah.
Bahan-bahannya:
2 biji tomato
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil perahan lemon
3 biji cili padi.
Daun ketumbar secukupnya
Garam

Kisar semua bahan tanpa air. Hidangkan
.

Salad Arab.
Bahan-bahannya:
2 biji tomato,dipotong dadu
1 batang timun,dipotong dadu
1 biji bawang besar
Daun ketumbar secukupnya
Garam dan sedikit serbuk lada hitam


Hanya campurkan semua bahan dan gaul rata.








Setelah semuanya siap masak,Najib mencedok Nasi Mandy Kambing ala Arabian Najib bersama beberapa ketul daging kambing ke dalam pinggan. Diletakkan juga Sos Harrah dan Salad Arab ke dalam pinggan itu. Disusunnya cantik-cantik supaya nampak menarik. Najib mencedok sesudu nasi dan lauk kemudian dimasukkan ke dalam mulutnya.


 
"Mmm..sedap! Jangan lupa cuba resepi kita pada hari ini Nasi Mandy ala Arabian Najib. Kita berjumpa lagi di hari dan waktu yang sama, minggu hadapan dalam rancangan...Ketuk-ketuk Kepala Engkau!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top