CYP 9 - gnossienne

━━━━ CINTA YANG PEKAK ━━━━
Gnossienne
╰┈┈┈┈┈ Apabila kau sedar seseorang yang kau kenal mempunyai rahsia sendiri yang kau tak pernah tahu pun walaupun kau sudah kenal dia dengan penuh mendalam sebelum ini.

.

SUARA-SUARA berpusing mengelilingi kepalanya saat kesedaran mula menyapa. Berkerut-kerut Habri membuka mata sambil menahan deringan yang terasa di sebelah telinga. Mendengar rintihan dari Habri, Puan Fatihah dan Hana pantas bangun mendekati katil anaknya.

"Habri, ya Allah. Habri dah sedar? Macam mana boleh pengsan ni?" Puan Fatihah menyelak rambut-rambut serta ubun anaknya. Kalau tadi, kepalanya yang terpusing-pusing, kini rambutnya pula digerakkan tanpa rela.

"Ibu, janganlah tanya banyak soalan. Habri kan baru bangun." Satu suara mencelah. Tersentak Habri mendengar nada ayu tersebut. Matanya mengintai telefon yang dipegang Hana sebalik Puan Fatihah. Rahangnya jatuh. "Kak... long?"

Pergerakan Husna pada skrin telefon agak lambat berbanding biasa. Kualiti imej pun teruk menyebabkan senyuman Husna sukar kelihatan. Dengan suara anak buahnya menjadi latar belakang. Riuh betul! Tanpa sedar, Puan Fatihah sudah meminta diri untuk memanggil doktor.

"Macam mana saya ada dekat sini?" Habri bangun dari duduknya lalu mengurut lehernya yang terasa lenguh sehingga dia mengaduh, pedih. Baru dia perasan ada wayar yang melekat pada belakang tapak tangannya.

"Kau nak gerak pergi mana pula? Nak pergi tandas ke? Ke nak air?" Hana menghalang adiknya yang cuba bergerak-gerak. Botol air berwarna ungu turut dihulurkan. Habri lantas menggeleng, perlahan. Soalan tadi diulang semula. "Macam mana saya ada dekat sini?"

"Kau pengsan tadi. Dalam kurang enam jam." Hana menjawab seraya tangannya kekal memegang telefon. Entah dapat dilihat atau tidak oleh kakak sulung mereka.

Mata Habri terbeliak besar. "Enam jam?" Habri laju mengangkat wajah, memandang jam tergantung di hadapan katilnya. Jarum jam menunjukkan pukul 9. Serentak itu, tingkap yang tidak jauh bersebelahannya ditoleh. Nampaknya langit sudah bertukar warna tatkala dia tidak sedarkan diri. Ah, terlepas solat Asar dan solat Mahgrib!

"Awak langsung tak ingat apa-apa?" Giliran Husna pula mengujarkan pertanyaan. Namun, fikiran Habri kosong tanpa sebarang memori. Apa yang bermain di dalam memorinya cumalah temujanjinya pagi tadi, balik dan... eh?

Dalam sibuk dia mengorek sisa ingatannya, Puan Fatihah telah membawa seorang doktor menemui mereka. Habis satu demi satu ditanya doktor dan tubuhnya habis diperiksa. Tidak terlupa juga pada telinga takut ada komplikasi kerana dikatakan kepalanya terhantuk pada lantai hospital! Terdiam Habri mendengar sebab-sebab utama dia terbaring ke katil ketika itu.

Kurang tekanan darah.

Trauma.

Selesai berbincang, doktor itu mengatakan bahawa Habri boleh keluar dari hospital esok harinya.

"Habri okey ke? Nasiblah ada orang datang bantu awak, tau. Kawan perempuan awak kata awak pengsan lepas tengok... pesakit lepas kemalangan." Puan Fatihah menggigit bibir sendiri sambil membantu meletakkan dua buah bantal di belakang Habri. Sementara Habri pula terpinga-pinga. Sejak bila dia ada kawan perempuan pula ini?

"Kawan?" Habri mengerutkan dahi.

"Haih... kawan sendiri pun tak ingat. Tak silap dia kata... nama dia Raika? Ke Raina?" Hana membuat andaian sendiri. Dia sudahlah tidak mahir dalam mengingati nama-nama orang. "Kau nak apa-apa kat kafe tak? Doktor pun kata kau kurang tekanan darah dan..." Katanya mati. Tidak tahu hendak bertanya atau tidak berkenaan apa yang dilihat Habri menerusi pesakit kemalangan itu.

"Kalau macam tu, nak Big Mac, kentang goreng. Ha, lepas tu kalau ada air, nak air Milo panas... kurang gula." Habri terus memesan makanan penuh selamba. Nadanya bagaikan ingin duduk makan di restoran mamak pula!

"Amboi, kau ingat aku nak pergi mekdi? Bertuah punya adik. Aku beli jelah apa yang kau makan." Hana menjengil ke arah Habri. Telefonnya bertukar tangan dengan Puan Fatihah. Walau muka si Hana itu terherot-herot, masih dapat kedengaran tawa terhibur disorok semasa kakak bongsu itu berlalu pergi.

"Habri nak air ke?" Puan Fatihah memberikan botol air berwarna ungu tadi. Mahu tidak mahu, Habri pasrah mengambil huluran itu, tidak sampai hati ingin menolak. Satu demi satu tegukan bagi menghilangkan rasa pedih yang mencucuk-cucuk pada lehernya.

"Habri, adik pasti tak nak sambung terapi?"

"Uhuk! Uhuk!" Habri lantas duduk tegak, terbatuk-batuk kerana tersedak air. Pertanyaan kakaknya itu betul-betul merupakan soalan yang tidak sangka akan keluar dari mulut itu. Dia mengelap air menggunakan tisu yang dihulur ibunya.

"Itulah, ibu boleh tanggungkan..." Pernyataan murni Puan Fatihah serta-merta dipotong Habri. "Tak apalah, ibu. Ini pun baru... sekali Habri pengsan. Lepas ni tak akan jadi lagi." Ayat sendiri ditelan pahit.

Husna menyembunyikan keluhannya. Bagaimana dia tidak endahkan? Habri sendiri terketar-ketar memegang stereng sampai lera berjalan kaki daripada menaiki sebarang kenderaan. Hatta sebuah bas pun Habri berdegil tidak mahu menjejak masuk ke dalam perut bas tersebut.

"Saya nak solat Isyaklah..." Habri berura-ura ingin bangun, tetapi sekali lagi dihalang si ibu. Puan Fatihah mencubit perlahan lengan Habri. "Eip, makan dulu. Lagipun mesti awak solat Isyak nak terus qada semua solat kan? Nanti tak fasal-fasal pengsan lagi. Ni ibu ada roti beli kat kedai tadi."

"Tapi..."

"Kalau awak pengsan, siapa yang nak angkat awak? Ibu tidak larat. Ke nak suruh pak cik tua tadi angkat awak macam pengantin?" Pernyataan Puan Fatihah membuatkan bebola mata Habri membulat besar. Huluran roti itu pun tidak diambil disebabkan terkejut sangat. Eh, biar betul ibu aku ini?

"Eh, ada ke, ibu?" Husna menyelit, ingin tahu. Tidak cukup itu, anak-anak milik Husna turut menambah tanpa dipinta. "Ayah Su kena angkat gaya pengantin? Ayah Su nak kahwin ke?"

"Mana adalah." Habri menyangkal tuduhan anak-anak buahnya? Gila ke apa kahwin sama sejenis. Aduhai, maknanya ada orang tengoklah dia terbaring termasuk wanita itu sekali? Malunya...

"Awak pengsan, awak mana sedar." Puan Fatihah menarik tangan anaknya, meletakkan sebungkus roti vanilla ke tangan anaknya. "Haih... sudahlah suami Yaya masuk hospital. Awak pula jadi geng masuk hospital sekali."

"Masuk hospital? Kenapa pula?" Habri berpaling pelik. Baru sahaja dua tiga hari berkahwin sudah kena tahan di dalam wad? Dia ada puji masakan isteri tak sedap ke apa? Tidak semena-mena bahunya terhinjut mendengar bunyi letupan daripada plastik roti yang dipicitnya tadi.

"Keracunan makanan dekat restoran. Masa tu suami Yaya tengah rehat dari buat shift Grabfood." Puan Fatihah menjelaskan dengan gelengan di akhir ayat. Macam-macam zaman sekarang.

"Ish, ish, ish... mesti makanan dia tak bersih. Tak macam makanan dekat rumah kita. Mama masak sedap-sedap!" Kanak-kanak lelaki itu sempat memuji makanan ibunya. Husna apa lagi? Terus digomol pipi gebu anaknya. "Aww... terima kasih Airiel."

"Eleh, masakan tok ibu lagi sedap." Habri membantah bersama mulut yang penuh. Sengaja betul hendak bergaduh dengan budak lima tahun. Tercebik-cebik Airiel menahan marah. "Mana adalah, masak-an mama lagi sedap."

"Mana Airiel tahu. Airiel mana datang sini." Satu lagi gigitan diberikan pada roti itu. Eh, betul apa dia kata? Airiel ini boleh dikatakan membesar dalam zaman kuarantin. Kali terakhir jumpa pun gigi budak itu pun tak ada.

"Betullah!"

"Dah, dah, dah. Nanti kalau boleh rentas negeri, kita sama-sama rasa masakan mama Airiel." Puan Fatihah membuat kata putus disertai sorakan cucunya. Kalau tidak dihentikan, pasti bergaduh sampai Subuh si Habri dan Airiel ini. Mengalahkan budak-budak berebut gula-gula!

Mata Habri berpusing 360 darjah tanda meluat akan kebahagian budak kecil. Tiba-tiba, dia teringatkan sesuatu. "Eh, macam mana ibu dapat tahu saya dekat hospital?"

"Kawan kamu telefon guna telefon kamulah." Puan Fatihah menyandarkan telefon Hana pada salah satu lampu meja berdekatan. Lenguh pula tangan tuanya ingin memegang telefon sepanjang masa.

Habri menghabiskan separuh roti vanilla itu, mengumpul keberanian. Ragu-ragu dia cuba mengutarkan soalan kepada ibunya. "Ibu ada nombor telefon Raisha ke?"

"Eh... pergi tanya ibu pula. Itu kan kawan kamu." Puan Fatihah menjongketkan kening, aneh akan perangai anak lelakinya.

"Ke bukan kawan adik?" Husna meneka dan terkena tepat pada batang hidung! Habri rasa segan lalu meneruskan kunyahan sisa terakhir roti tersebut. Perasan kelakuan adiknya, Husna menyambung tekaannya. "Ke tu teman wanita adik?"

"Sejak bila Habri couple ini?" Puan Fatihah memberi pandangan pelik. Rasa tidak sedap hati pula jika Habri betul-betul bercinta senyap-senyap di belakangnya. Lebih-lebih lagi dengan fitnah zaman sekarang yang makin berleluasa.

"Bukanlah... kita orang baru jumpa." Habri kemudian menerangkan daripada A sehingga Z. Tetapi tidaklah terlalu terang serta mestilah bertapis-tapis ceritanya. Tidak mungkin dia ingin menceritakan dia dimarahi teruk di majlis perkahwinan sepupu sendiri dan peristiwa dia hampir melamar Raisha di hadapan orang ramai. Nasib baik sang saksi dalam salah satu situasi tersebut (Hana) sibuk membeli makanan!

"Jadi, Habri nak nombor nak kira berkenalanlah?" Husna terangguk-angguk. Tidak perlu dilihat reaksi adiknya, tengok sahaja gaya buang tabiat itu pun sudah tahu.

"Tak boleh." Puan Fatihah membantah. Jadi betullah Raisha ada beri nombor pada wanita itu! "Lagipun, kalau nak berkenalan... biarlah berkenalan melalui kakak-kakak awak. Bahaya lelaki mesej dengan perempuan tanpa sebab yang jelas! Boleh jadi zina maya. Ibu tak nak anak-anak ibu terlibat dengan gejala macam tu."

"Okey..." Habri mengiyakan segala leteran Puan Fatihah itu. Rasa roti di dalam mulutnya menjadi pahit pula tidak fasal-fasal. Meskipun begitu, tidak dinafikan juga ada benar di dalam nasihat ibunya.

Tapak kaki berdentum-berdentam menghampiri mereka. "Eh, kenapa terkulat-kulat je muka kau ni? Baru lepas tertelan limau ke apa? Ha, ini akak belikan." Hana selamba meletakkan bungkusan plastik di atas paha Habri. Dibuat riba adiknya itu seperti meja makan pula!

Habri menyandarkan belakangnya pada bantal seraya matanya menjeling setiap bungkusan makanan dibeli Hana. Datang sudah kakak bongsunya ini. Untung dibawa makanan!

"Oh, ya... mana kak ngah? Kenapa tak telefon dia?"

"Oh... akak telefon dia tapi dia tak angkat. Mungkin tengah dalam kuliah ke, belajar... bla bla bla..."

"Kenapa tiba-tiba cakap bla bla bla ni?"

...

Di meja makan ruangan dapur, Raisha tekun mencatat sesuatu pada sebuah buku. Memang lain daripada yang lain! Walhal boleh sahaja dia menulis di dalam bilik, namun tinggal setengah jam lagi untuk dia bergerak menuju ke butik neneknya. Jadi, lebih baik dia bersiap-sedia terlebih dahulu.

Buku tulis berkulitkan lukisan arnab itu menjadi salah satu rutin paginya. Setiap hari, Raisha akan menulis '3 perkara aku bersyukur' pada sebelah pagi dan sebelah malam. Lagipun, doktor Insyirah yang mencadangkan tabiat ini baginya. Walaupun pada mulanya dia tidaklah rajin mana, tetapi alah bisa, tega biasa. Sehari kalau tidak melakukan jurnal, rasa tidak lengkap langsung hidup.

3 Perkara Aku Bersyukur
1 - Dapat bersahur untuk ganti puasa hari ini
2 - Dapat melawat Gopal semalam
3 -

Penselnya berhenti menari. Automatik fikirannya meligai pada salah satu memori semalam. Lelaki itu... pelik betul. Mahu terbang jantung dia apabila lelaki itu pengsan tanpa sebarang amaran. Satu lagi, telefon pun tidak reti mahu meletakkan kata kunci! Kalau kena curi, menangis sahajalah dekat situ!

"Terima kasih, nak... sebab tolong anak mak cik."

Pensel yang diketuk lembut pada pipinya serta-merta terhenti. Entah mengapa bila teringatkan ibu lelaki itu secara tiba-tiba teringatkan arwah ibu sendiri. Kalau ikutkan... sudah lama dia tak melawat ke kubur ibu bapanya.

"Tapi aku... layak ke?" Raisha membisik perlahan ketika penselnya sibuk bergerak membentuk beberapa bunga pada mukasurat tersebut.

Memori lain menerjah pula. Seingat dia, lelaki itu mengatakan dia pekak. Sebenarnya dia terkejut juga mengenangkan tidak semua individu kehilangan pendengaran tidak dapat mendengar. Selesai membuat kajian mengalahkan doktor, baru dia belajar sedikit-sedikit.

Bahawa setiap individu ada ciri-ciri unik masing-masing. Ada yang pekak sebelah dan ada yang pekak sepenuhnya.

Seseorang itu mungkin memerlukan alat pendengaran dan seseorang itu mungkin sebaliknya.

Juga bahasa isyarat dan membaca menerusi gerak bibir. Tidak semua dapat mahir. Bahkan, bahasa isyarat pun berbeza mengikut negara orang!

"Jadi... dia pekak sejak lahir ke apa?" Tangan Raisha terjeda. Dahinya berkerut. Dia membisik, geram terhadap diri sendiri. "Apa fasal pula aku fikir fasal dia ni? Bukan ada kena mengena dengan hidup aku pun. Entah-entah dia dah lupakan aku."

"Lupakan sapo ni?" Sapaan secara tiba-tiba itu memeranjatkan Raisha. Segera Raisha berpaling ke belakang, mendapati sosok tua menyorok di balik tubuhnya.Dia menggembungkan pipi, tidak puas hati. "Ish, bibik Qis ni. Terkejut saya."

Hilai tawa tersembur daripada bibir sang bibik itu. "Maaflah, bibik Qis tengok macam syok sangat termenung. Jadi bibik kejutkan dekat bahagian-bahagian penting jolah." Logik betul pemikiran bibik Qis ini.

"Mana ada termenung. Kalau ada pun, sebab teringatkan satu drama." Raisha menutup cerita sebenar. Mustahil hendak beritahu dia termenungkan lelaki pula! "Bibik Qis tadi bukan baru pergi solat Dhuha ke?"

"Eh, siap doh pun. Raisha je yang koya." Bibik Qis mengusik sehingga terkeluar dialek Kelantannya. "Raisha oyak nok gi butik pukul milen? Tinggal 15 minit jah lagi ni."

"15 minit?" Kalut Raisha membuktikan kebenaran kata bibik. Matanya mengerling pada jam tangannya. Jam digitalnya sedikit lagi ingin berubah angka menjadi 9:00 pagi. "Ah, dahlah tak pakai tudung lagi!"

Bibik Qis menggoyangkan kepalanya, terhibur melihat Raisha berlari naik ke bilik. Langsung hilang keayuan dijaga semasa menulis jurnal tadi. Dia mengorak langkah pada periuk nasi yang kehabisan isi. Penutup periuk dialihkan dan periuk dibawa ke singki untuk direndam.

"Bibik dah gosokkan tudung saya?"

"Ya, sayang!" Bibik Qis melaung. Tangannya disinsingkan bagi mengelakkan setitik air membasahi baju. Periuk itu disi air.

Hakikatnya, dia tidak begitu rapat dengan Raisha sebelum ini. Bukan dia sahaja, bibik-bibik yang lain dahulu pun tidak berani. Malah, bertegur sapa dan menegur anak buah pun tidak pernah terlintas dalam fikiran. Hinggalah selepas Raisha tamat persekolahan...

"Astagfirullah." Bibik Qis menutup pili air setelah menyedari air telah keluar dari periuk. Dia pula yang koya mengalahkan anak buah. Periuk itu lantas diletakkan ke tepi singki.

"Terima kasih bibik Qis sebab gosok baju saya," ucap Raisha dalam sibuk menuruni anak tangga. Beg tangannya juga sudah sedia terletak di bahu. Nampak bagaikan seorang wanita yang berkaliber. Padahal nak jaga kaunter sahaja kot.

"Hati-hati! Nanti terjatuh pula!" Pesanan bibik Qis dibalas dengan anggukan sekilas daripada Raisha. Raisha pantas bergerak ke pintu pagar. Semua pergerakan tidak boleh lambat biarpun sesaat. Sebab kalau jalan sesak, memang jarak perjalanan akan mengambil masa satu jam.

Raisha menarik pintu pagar. Cepat-cepat dia berpatah balik untuk bersalam dengan tangan bibik Qis yang masih basah. "Pergi dulu, bibik! Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam..." Bibik Qis memerhatikan Raisha pergi melalui ekor mata. Seperti biasa, tugasnya membuka pintu automatik, membenarkan kereta Raisha keluar daripada perkarangan rumah. Seusai kereta Raisha beredar, bibik Qis membawa diri ke dalam rumah dan meneruskan kerja.

"Tak silap Puan Sri ada kata nak makan ikan masak asam sebelum dia pergi kerja. Bolehlah... alang-alang Raisha nak buka puasa nanti." Bibik Qis melanjutkan diri ke kawasan dapur. Boleh keluarkan ikan dan tunggu ikan lembut sementara membuat kerja rumah. Langkahnya terhenti di tepi meja makan, tempat di mana Raisha menulis tadi.

"Raisha... Raisha... tok den den nok simpan buku dulu." Mata bibik Qis jatuh pada buku tersebut. Kala matanya terbaca pada salah satu mukasurat yang diselak angin, lidahnya menjadi kelu. Tangannya menggigil menutup buku itu, tidak sanggup membaca lagi. Hati ibunya pedih memikirkan Raisha yang dianggap seolah-olah anaknya sendiri.

"Raisha..."

11:00 pagi.

Raisha meletakkan beg di dalam loker disediakan di dalam bilik kakitangan itu. Akhirnya! Dia dapat juga mengharungi trafik serta segala kereta-kereta yang tersekat-sekat. Sudahlah lemas asyik pakai topeng muka sepanjang masa! Telefonnya diintai. Ini kira salah satu cara untuk bersedia akan apa jua stress akan datang selepas ini.

Ting!

"Eh, mesej daripada siapa pula ini?" Raisha menekan mesej baru daripada nombor tidak dikenali. Mahu dielak, risau itu mesej berkenaan butik neneknya pula.

+60 14-614 XXX
Assalamualaikum.
Ini akak Habri, ala Habri yang pengsan semalam dekat hospital tu.
Terima kasih sebab tolong adik akak.

Huh, mesej daripada kakak lelaki semalam?
















✨✨✨

Watak aku : *terseksa dan trauma kerana dipenuhi kasih sayang yang terlalu banyak*

Aku : *menulis sambil dengar lagu ceria*

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top