CYP 6 - paro

━━━━ CINTA YANG PEKAK  ━━━━
Paro
╰┈┈┈┈┈┈┈ Firasat kamu bahawa apa sahaja yang kamu lakukan, akan selalu salah.

.


                                           BEBERAPA jam sebelum majlis, Puan Fatihah mengangkut beberapa barangan memasuki bonet kereta dibantu kedua anaknya. Habri laju meregangkan tulang sendinya seusai meletakkan kotak yang terakhir. Entah barangan apalah yang ada di dalam kotak-kotak tersebut. Matanya menjeling ke arah Hana baru keluar lengkap berpakaian.

   "Hrm... pakai mengalahkan pengantin. Akak ke Yaya yang nak kahwin nanti?" Selamba Habri melontarkan ejekan tidak bertapis itu, membuatkan wajah Hana berkerut-kerut menerimanya.

   Hana menggepalkan penumbuk sambil tersenyum sarkistik. "Wah, apa adik kata tadi?"

   "Dah, dah. Jangan nak jadi anjing dengan kucing pula dekat sini. Kita nak gerak dah." Puan Fatihah menutup pintu bonet, sekaligus menghentikan pengcakaran dua beradik itu. Jika dibiarkan, sampai bertongkat dan berjanggut pun tidak akan menemui penamatnya. Puan Fatihah mengerling pada anak terunanya.

   "Betul Habri tak nak ikut sekali? Sanggup nak jalan kaki pergi sana?"

   "Tak apalah, ibu. Habri okey je." Habri menolak, lembut. Melihat respon Puan Fatihah yang masih ragu-ragu, dia memaksakan senyumannya. "Betullah saya kata. Ibu dengan akak pergilah. Kata nak singgah kedailah kejap. Nanti kalau jem, habis nanti."

   "Kita kan ada kereta terbang," seloroh Hana dengan tangannya sibuk menggosok-gosok kereta terkenal di Malaysia. Jarinya yang berhabuk dibawa ke depan mata. Urgh... berapa bulan kereta ibu tak dibasuh ini?

   "Kalau macam tu, akak naiklah kereta terbang akak tu."

   "Huh... kalau... kalau ada, dah lama akak naik." Hana memeluk tubuh, menyorok gagap yang terselit di dalam bicaranya tadi. Haih... susah betul kalau ada mulut celupar sepertinya. Hampir-hampir sahaja dia mengingatkan Habri terhadap peristiwa itu.

   "Okeylah, ibu nak pergi dulu. Jangan lupa kunci pintu sebelum keluar. Kalau dah sampai, jangan lupa telefon ibu, tau." Puan Fatihah membuka pintu kereta sementara matanya kekal terpaku pada Habri.

   "Okey. okey. Ibu risau sangatlah. Saya bukan budak kecil lagi." Habri melambai-lambai lemah ke arah Puan Fatihah. Terlalu melindungi betul ibunya yang seorang ini! Habri menyelit, menambah. "Lagipun saya boleh siapkan kerja uni sebelum keluar."

   "Yalah. Jangan syok sangat buat sampai terlupa nak keluar rumah." Hana melaung di sebalik cermin kereta yang terbuka. Habri menayang muka menyampah dan mengangguk tanpa rela. "Ya, ya. Ingat orang apa."

   Puan Fatihah menghempas pintu, perlahan sebaik sahaja punggungnya mendarat pada kerusi. Kunci kereta dicucuk lalu dipulas. Dia membiarkan enjin kereta dipanaskan sambil melayan hatinya yang masih risau terhadap Habri. Lagipun, dia tidak boleh terlalu menggesa sang anak melakukan sesuatu yang menggerunkannya. Tambahan pula...

   Habri membetulkan fon telinga yang tergantung pada leher.

   Habri alami kemalangan... bukan sahaja mengorbankan ayahnya, malah meragut kebolehupayaan anaknya untuk mendengar.

   Dia... masih ingat lagi hari itu.

   Puan Fatihah kelam-kabut menyambut anaknya. Yalah, baru sahaja mahu masuk ke dalam kereta, anaknya sudah berlari dan memeluk tubuhnya. Jantungnya berdebar apabila merasakan badan Habri menggeletar tanpa henti. Perubahan nafas anaknya juga semakin tidak teratur.

    Puan Fatihah menunduk, mendapatkan Habri yang menggigil tidak kesudahan. "Habri, Habri okey ke? Sakit ke?"

   "Kenapa dengan Habri, ibu?" Si kakak sulung turut keluar dari kereta, mendekati mereka. Resah dia melihat Habri tidak fasal-fasal menangis ketakutan. Padahal mereka cuma mahu pulang sahaja.

  Puan Fatihah mengangkat bahu, sekilas. Dia mengeratkan pelukan seraya tangannya menggosok rambut anaknya berkali-kali. Tidaklah terlalu kemas, takut berikan kesakitan pada kaki Habri yang baru sahaja dibedah.

  "Ha... Habri minta maaf... "

  Lidah Puan Fatihah kelu.

  "...ayah. Habri minta maaf, ayah."
 
...

   Langkah Habri diatur laju ke tempat letak kereta masjid. Telefon yang melekap pada telinga diturunkan juga akhirnya. Mahu mencair semua tahi telinganya menerima segala bebelan ibunya tadi. Masakan mulut itu tidak berleter? Berjanji mahu sampai sebelum sepupunya berakad nikah, dia boleh pula berlenggang-kangkung datang masa orang sudah berkahwin!

   "Haih... syok sangat bela kucing, sampai lupa tujuan aku datang sini." Habri mengomel sendirian. Selipar miliknya ditanggalkan. Memang sepatutnya dia datang di waktu yang ditetapkan, namun perjalanannya diganggu oleh makhluk-makhluk berbulu! Sebagai pencinta mamalia kecil, pastilah diusap seekor demi seekor setiap kucing yang datang mengadapnya. Tidak mungkin dia dapat dibiarkan seekor pun yang pergi tanpa dibelai!

   "Atau tu cuma alasan nak jadi malas je?" Habri tergelak mengenangkan nasib sendiri. Tubuhnya memang alergik betul kalau mendekati mana-mana majlis keramaian. Nanti dia yang jadi patung tak berbayar dekat situ sepanjang hari. Kalau ini bukan sepupunya tidak berkahwin hari ini, tidak ingin dia mencemar duli melangkah keluar dari guanya.

    DUSH!

   Kedua-dua mereka berlaga serentak. Tergesa-gesa Habri menjarakkan diri lalu menggosok dagunya berkali-kali. "Aduh. Maaf. Maaf."

   Itulah jadinya apabila jasad di dunia, rohnya ke alam lain. Habri mengesat matanya, menyedari dia melanggar seorang perempuan. Aduhai... tidak fasal-fasal terbatal air sembahyang! Tidak sempat dia mengulang maafnya, perempuan di hadapannya sudah membidas kasar.

   "Aduh, jalan tengoklah di hadapan! Yang jalan senget kenapa?" Perempuan itu membetulkan tudungnya bersama bibir yang terherot-herot, bengang. Awning itu pun dinaikkan-naikkan tanpa belas kasihan. Garang betul! Aksi ganas pada tudung itu dihentikan saat dia memandang Habri. "Da... eh, kau kan?"

   Habri juga sudah membulatkan mata. Rasa bahang menyimbah mukanya menyedari dia bertembung sama perempuan beberapa minggu yang lepas. Tidak mungkin ini... "Jo... jod..."

   Ah, jangan merepeklah! Lebih baik dia menyapa perempuan ini terlebih dahulu. Hrm...

  Habri mengemam bibirnya sendiri memandang air muka Raisha. Kening Raisha sudah bercantum dan rahangnya bergerak-gerak seakan mahu menelannya. Habislah... dia mesti ada tersalah kata tadi.

   Puas Raisha mencerlung ke arah Habri, barulah dia berteriak sesuatu. "Ah, kau pervert hari tu, kan? Kau ikut aku, ke? Tak malu!" Raisha langsung menjauhkan diri daripada Habri bersama wajah berkerut-kerut yang tidak boleh ditahan lagi.

   Habri hampir-hampir sahaja tergaru kepala. Lah, kenapa pula dia mendapat nama jadi pengintip ini? "Bukan, bukan. Ini majlis kahwin saya puny..."

   "Kahwin kau? Ke kau ex kepada pengantin perempuan kawan aku? Eh, ex kau dah kahwinlah! Huh, menyesal aku selamatkan kau hari tu." Raisha menyambung kecamannya tanpa memberikan Habri peluang sedikit pun untuk bercakap.

   Habri kehilangan kata, kepalanya ditunduk merenung karpet masjid. Mindanya melayang lagi sehingga tidak sedar orang-orang asing lalu di sebelahnya. Bulu romanya meremang memikirkan tanggapan orang sekelilng berkenaannya. Apa yang dia cakap sampai Raisha tidak sudah-sudah memarahinya? Haih... pada masa-masa begini, sungguh tiada sebarang hasrat di hatinya mahu membuat onar di majlis sepupu sendiri.

   Dia menelan air liur, cuba memperbaiki keadaan. "A... awak... nama siapa?"

   Tak apalah, dah teruk dah.

   Tengoklah itu, rasanya makin menyirap sahaja muka Raisha sekarang. "Ah, sibuk sahaja kau ni nak tahu nama aku. Jangan kacau akulah." Raisha memalingkan tubuhnya, sekaligus meninggalkan hamba Allah yang tidak tahu apa-apa ini.

   "Eh, awak!" Tangan Habri keras seperti baru. Bagaikan dipetik jari di hadapan mata, begitu cepatnya Habri perasan di mana lokasinya berada. Dia sekarang berada di tumpuan orang ramai. Mujur ada segelintir sahaja yang memerhatikan drama akasia mereka tadi dan tidaklah menganggu sepupunya beramah-mesra dengan orang lain.

   "Maaf, maaf." Habri beransur keluar dari kawasan masjid, menghindari pandangan beberapa orang. Kalau beginilah, baik tunggu dekat luar sahaja huhuhu!

   Di dalam khalayak beberapa orang itu, Hana memasang mata menyaksikan episod sinetron lakonan adiknya tadi. Kepalanya ditolehkan bersilih berganti ke arah Puan Fatihah dan ibu bapa saudaranya yang berbincang sesuatu. Lambat-lambat, keluhan panjang dilafazkan lantas langkahnya dipercepatkan bagi menemui adiknya di luar.

   "Assamualaikum, Raisha?" Afiq menyapa Raisha sekali gus menghilangkan lipat-lipatan pada dahi Raisha. Meskipun jauh di sudut kalbu, hendak sahaja dia tergelak terbahak-bahak membaca riak muka Raisha, tetapi mengenangkan angin Raisha, dia batalkan sahaja niatnya.

   "Ha, jumpa pun kau orang. Haih... ingatkan tak datang." Raisha menyahut sapaan mereka tadi. Pantas sahaja emosinya berubah-ubah bagaikan diketik suis! Tadi bukan lagi main mengamuk!

   "Kalau tak datang... rugilah. Tak dapat rakam momen Gopal yang gagah tadi." Afiq menghembus nafas, lucu seraya telefon di tangannya digoyang-goyangkan.

   Rizal mencelah. "Oh, ya. Tadi seronok betul kau bergaduh dengan laki tadi? Dia ada buat salah dengan kau ke?" Mendengar pernyataan Rizal itu, laju sahaja perasaan malu menghangatkan wajah Raisha. Sebentar tadi gaduh tidak kenal rasa segan pula!

   "Mana kau tahu?" soal Raisha.

  "Tahu apa bendanya. Memang jelas lagi nyata kot. Bukan selalu ada penggambaran filem depan mata. Nasib baiklah drama tak popular sangat dan tak ganggu orang lain mana." Afiq menambah penambah rasa, menyebabkan Raisha terkulat-kulat gara-gara perbuatan sendiri. "Jadi itulah laki yang kau tolong hari tu?"

   "Lelaki mana?" Rizal memegang peranan kawan 'mak-mak' mula ingin mengambil tahu. Jika boleh, sampai nama moyang kawan sendiri pun hendak diketahui sama!

   "Ah... ya. Tapi aku tak sangka dia ikut aku sampai sini pula. Heh, jengkel betul." Raisha tidak terdetik pun rasa bersalah, bahkan meneruskan syak waksangka terhadap Habri tadi. Afiq menggeleng kecil mendengarnya. "Kau ni, jangan main tuduh je."

   "Main tuduh apa? Terang lagi nyata kot."

  "Seingat aku... isteri Gopal tu ada sepupu lelaki seorang. Tapi aku tak ingatlah siapa. Mana tahu yang kau tegur tu sepupu dia ke?"  Rizal mengagak berdasarkan maklumat yang diterima oleh Gopal. Hakikatnya, Rizal tidak menyedari bahawa tekaannya itu benar belaka!

  Membisu Raisha akibat termakan kata-kata sendiri. Tubuhnya dibebani dosa merangkak menaiki bahunya. Bibir bawahnya digigit.

   Rizal sempat lagi menambah tanpa menyedari Raisha sudah ditenggelami rasa bersalah. "Haih... kalau betul, rasa macam kesian pula kena halau dari majlis sepupu sendiri."

   "Hei, kalau betul, kau minta maaflah kat dia," cadang Afiq. Matanya beralih dari Raisha mengarah kawasan Gopal dan isterinya yang semakin kurang dikerumuni orang ramai. Ternyata usaha menunggu kesesakan itu beransur tidaklah sia-sia!

   "Jomlah pergi dekat Gopal. Nanti dia ingat kita mengumpat dialah," ajak Rizal. Sudahlah kawan mereka tadi tersilap langkah semasa upacara akad nikah. Risau difikir mereka bergosip berkenaannya pula. "Lagipun Jianying suruh ambil gambar kita banyak-banyak nanti. Kata nak editlah."

   Tengok, betul-betul bersifat keibuan! Setiap minit langsung tidak lekang nama kawan!

   Dalam kesibukan penulis memuji sifat Rizal, Raisha terkaku memikirkan ayat-ayat yang dilontarkan pada Habri beberapa minit yang lalu. Haih... terasa mahu dicubit-cubit mulutnya yang tiada adab ini. Hendak tidak hendak, dia haruslah meminta maaf pada lelaki itu bagi menghilanhgkan rasa bersalahnya.

   "Aku nak keluar kejap. Nanti aku masuk balik." Raisha beura-ura membawa diri, menyebabkan Afiq berhenti selangkah. "Lah... kau tertinggal barang dalam kereta ke? Ke... hrm, tak apalah. Pergilah. Kita orang tunggu kau bergambar."

   Selepas memberitahu pemergiannya. Raisha resah menjenguk-jenguk ke luar, mencari jejak lelaki itu. Tempat letak kasut juga diterokanya. Ironinya, walaupun itu tempat mempertemukan mereka berdua, dia masih tidak dapat berjumpa secebis helaian lelaki itu. Ataupun mungkin lelaki itu sudah pulang dari majlis sepupu sendiri disebabkan olehya? Raisha meraup muka, kasar.

   Itulah kau, Raisha. Mulut tiada insurans sangat. Macam mana kalau lelaki tadi terkecil hati dan tidak maafkan kau?

  Ring! Ring!

  Peti aiskrim diseret ke tepi. Tangannya yang ingin mencapai sepaket aiskrim Milo terbantut mendengar deringan telefon tiba-tiba. Nasib baik nada telefonnya tidak mengeluarkan lagu pelik-pelik... kalau tidak, mahu menahan malu sama akak kaunter dari jauh.

  "Assalamualaikum?" Muncung telefon didekatkan pada telinga.

  "Lailahaillallah! Mana kamu ni, Habri? Ke dekat rumah lagi? Kita orang nak bersurai dah pun. Haih... kakak kamu pun hilang." Tegang nada Puan Fatihah memarahi anak bongsunya. Katanya sejak tadi on the way... on the way... batang hidung pun tidak terlihat.

   Baru sahaja Habri mahu membalas, telefonnya dirampas oleh kakaknya. Siap dibuka pembesar suara pula itu! "Akak teman Habri jalan kaki gi kat kedai. Seberang masjid tu. Beli aiskrim. Tiba-tiba kempunan aiskrim."

  "Sekurangnya bagitahulah ibu. Ya Allah, kamu berdua ini." Puan Fatihah lama kelamaan seperti pasrah sahaja. Darah daging dia juga ini.

  "Maaf, maaf, ibuku sayang. Ha, ibu tanyalah Yaya ke siapa-siapa? Nak aiskrim ke? Biskut ke? Perkena air pun sedap juga panas-panas ni. Nanti kita orang belikan." Hana berkata penuh bersemangat. Lagaknya seperti mempromosikan satu persatu barangan kedai itu pula. Manakala Habri pula telah mengambil aiskrim Milonya yang tergelanda tadi.

   Haih... jangan guna duit aku sudahlah.

  "Yalah... nanti ibu tanya dia orang."

  "Okey!"

  Ya Allah, sabar sahajalah!



  
















✨✨✨

Habri is my spirit animal. 😔

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top