CYP 5 - nodus tollens

━━━━ CINTA YANG PEKAK  ━━━━
Nodus Tollens
╰┈┈┈┈┈┈┈ Kesedaran di mana perjalanan hidup kau sudah tidak masuk akal lagi.

.

                                             HABRI memijak lantai keluar dari bilik. Telefonnya diangkat  tangan kanannya. Ini kerana Amran tidak habis-habis memaksanya keluar bilik, menyapa dunia luar. Walaupun dia tidak mahu dan ingin lawan mata bersama siling, terpaksalah dia mengikutkan kehendak Amran.

  Tetapi dia tahu, Amran buat semua ini untuk dia.

  "Ah, baru bangun? Ke tidur dalam kelas tadi?" Hana yang mencuci sayur berkata saat mendengar bunyi pintu Habri terbuka. Tahulah sangat, adiknya itu akhirnya keluar setelah lama berperam di dalam bilik.

  "Tak adalah, saya yang kejut dia lepas kelas." Amran membanggakan diri di sebalik telefon.

  "Ha, tidur dalam kelas lagi en?" Hana langsung tidak hairan dengan suara Amran secara tiba-tiba itu, sebaliknya menggunakan maklumat itu untuk mengenakan adiknya.

  "Mana ada tertidur. Cuma pejam mata," nafi Habri.

  "Samalah tu."

   Puan Fatihah yang melipat baju di ruang tamu berpaling pada telefon dipegang Habri. Tahulah dia bahawa Habri sengaja membuka pembesar suara telefon itu. "Assalamualaikum, Amran. Sihat?"

   "Waalaikumussalam, mak cik. Alhamdulilah, sihat. Adalah perkena pancake segera masa kelas tadi."

    Telefon Habri beralih pada tangan Puan Fatihah. Sementara dia mencari alas perut di dapur, biarlah kawannya bergosip dengan ibunya.

    Sememangnya satu keluarganya sudah lama mengenali Amran memandangkan mereka berdua bersekolah sejak sekolah menengah lagi. Dari ibu bapa Amran sehinggalah makanan kegemaran Amran, semua ahli keluarganya tahu. Nasib warna seluar dalam Amran tidak dikaji.

  "Pancake segera? Sedap ke?"

  Habri membuka peti. Sesekali dia mengaduh jengkel apabila Hana sengaja menolak lembut peti. Ada sahaja nak mengenakan adik bongsunya.

  "Uish, sedap mak cik. Lagi-lagi kalau cicah susu. Dia lebih kurang macam roti canailah juga tapi dia lebih gebu. Nanti suruhlah Habri belikan kat kedai-kedai. Saya boleh hantar gambar rupa dia."

  Eh, tak fasal fasal dia terlibat sama.

  Bebola matanya meneroka pelosok peti. Terdapat banyak bekas tupperware yang susah dikenal pasti lauknya. Di tingkat paling atas, terdapat sebotol sambal dan juga sekotak nasi ayam yang dibeli semalam. Pada kesudahannya, dia mengambil semangkuk limau yang sudah dikopek isi. Lagi elok dari bangun bangun makan maggi... uhuk! Uhuk!

  Habri membawa keluar sarapan paginya ke ruang tamu, di mana Amran dan ibunya masih belum habis bersembang kencang. Ini kalah gosip antara jiran sebelah sedunia. Tengok itu... siap berborak fasal mak cik Magri Ayang yang dia sendiri tidak kenal. Baik dia cepat-cepat duduk di sofa sambil menonton televisyen.

  "Kau dah ambil makanan, Habri?" Amran menyoal tiba-tiba. Habri berkerut pelik. Ha... sudah. Macam mana dia tahu aku duduk dekat sini? Dia duduk bersila di hadapan sofa, mendekati telefon di atas permukaan meja kayu yang kecil. "Macam mana kau tahu saya ambil makanan?"

  "Kan aku dah kata, aku dah pasang CCTV dekat rumah kau. Kau yang tak percaya," seloroh Amran sebelum menambah lagi. "Kalau kau berdansa dalam bilik tu pun aku tahu."

  "Wah, kaulah lipas yang selalu ada dalam bilik saya tu?" Habri memuji sarkistik. Sekupas biji limau dimasukkan ke dalam mulut.

  "Apa kau ni? Tu pak cik akulah." Kedua-dua sahabat itu berhambur tawa. Puan Fatihah sorok senyum, terhibur dengan keletah dua adik-beradik lain ibu bapa itu.

  Amran kemudiannya meminta diri. "Okeylah, aku nak pergi siapkan laporan yang bertangguh seminggu lepas tu. Aku pergi dulu, ya? Jaga kesihatan Habri." Habri terdiam mendengarnya, namun dia mengiyakan. Mendengar reaksi Habri itu, Amran lantas menyambung.

  "Kalau macam tu, bye, mak cik. Bye, Habri. Assamualaikum."

  "Waalaikumussalam."

  Skrin telefon itu kembali pada halaman kunci. Tiga puluh saat berlalu, skrin telefon itu pun berubah hitam. Habri sambung menelan setiap kupasan limau itu sambil menonton drama Kampung People yang dimarathon ibunya. Ini masuk kali ketiga kaum hawa di rumahnya menonton ulang cerita ini sehingga dia sudah menghafal setiap skrin diujarkan para pelakon itu. Namun, dia  tidak hairan mana memandangkan cerita ini pun menggelikan hatinya.

  Puan Fatihah meletakkan beberapa seluar dan baju yang selesai dilipat ke atas meja. "Nanti angkut baju-baju awak ni masuk dalam bilik. Jangan letak atas katil pula, terus masukkan ke dalam almari." Habri gatal kepala menerima teguran itu. Memang tabiatnya bawa baju terus dicampakkan ke atas katil. Mana tidak membebelnya sang ibu?

  "Awak dah cek mesej daripada Yaya ke belum? Baik baca mesej cepat-cepat." Puan Fatihah bertanya seraya tangannya mengangkut semua baju miliknya.

    "Kenapa?" Habri terkebil-kebil. Ada apa-apa yang berlaku ke?

    "Cek sahajalah!" laung Puan Fatihah yang sudah masuk ke dalam bilik.

    Habri meletakkan mangkuk yang kosong bersebelahan bajunya. Telefonnya itu dicapai. Hati Habri tidak fasal-fasal berdebar. Kenapa ibunya suruh periksa mesej sepupunya dengan kadar segera? Ada apa-apa terjadikah? Kalau begitu kenapa tidak memaklumkan secara terus sahaja kepadanya? Dalam sibuk dia mengelamun, Habri sudah pun membuka aplikasi What'sapp di telefon.

  Allah, ada banyak betul mesej!

  "Ada 15 mesej dari Amran... 491 mesej dari kawan semester... 18 mesej... 25 mesej..." Habri membaca setiap mesej yang diterimanya. Masuk akal jika mesejnya bertimbun lebih dari seribu! Rasa bersalah serta terbeban timbul di dalam hati mengenangkan dia mengabaikan semua mesej yang diterimanya. Mesti mereka fikir yang dia sombong. Memang dia patut pun terima sebegitu rupa.

  Mesej dari kumpulan sepupunya dibuka. Hrm... 269 mesej.

Alia Sepupu IparHa, Habri baca!

Yaya Sepupu : Lamanya awak tak buka. Dah seminggu tak balas.

Habri : Maaf...

Alia Sepupu Ipar : Tak apa, mesti kau sibuk sebab masih belajar, kan? Apa-apa pun, kita orang ada berita panas-panas dari oven! Masih baru dan hangat lagi.

Habri : Apa benda tu?

Yaya Sepupu : Sebenarnya...

Alia Sepupu Ipar : Yaya nak kahwin!

Yaya Sepupu : Akak...

Alia Sepupu Ipar : Eh, betullah kan? Yaya lambat sangat. Akak tolonglah taipkan beritahu.

  Perasaan Habri bercampur aduk. Buat pembaca yang fikirkan Habri cemburu ke apa, tolong letak fikiran itu jauh-jauh. Sebaliknya Habri berasa hairan. Bukan ke perkahwinan antara calon ibu saudaranya dengan Yaya lagi dua minggu? Eh, betullah nak kahwin.

Habri : Dengan Jamsyir ke?

Yaya Sepupu : Eee, nauzubillahiminzalik. Mohon dijauhkan.

Alia Sepupu Ipar : Awak ketinggalan bas ni. Itulah lama sangat dah tak baca mesej. Yaya ada buat perjanjian dengan Mak Long awak.

Habri : Perjanjian apa?

Alia Sepupu Ipar : Biarlah aku habis taip dulu. Engkau ni. Siku kan menangis.

Habri : Maaf, maaf.

   Itulah, jangan lawan sangat kalau dikelilingi sekumpulan perempuan. Tidak fasal-fasal kena tempelak oleh kaum tersebut.

Alia Sepupu Ipar : Ala, macam drama Melayu. Kena cari calon suami kalau tak nak kahwin dengan calon suami mak mak cadangkan. Dan kebetulan sepupu kau ni jumpa cinta monyet zaman sekolah dulu.

Habri : Oh...

Alia Sepupu Ipar : Buatlah reaksi teruja sikit.

Habri : Ush, hebatlah awak Yaya! Menangis saya lihat kehebatan awak.

Yaya Sepupu : Dahlah tu.

Habri : Maaf.

Yaya Sepupu : Jangan minta maaf. Kak Alia pun gurau jelah.

Alia Sepupu Ipar : Eh, akak mana ada gurau.

Yaya Sepupu : Akak.

Alia Sepupu Ipar : Maaf.

  Habri tergelak kecil. Laju jarinya menari pada papan kekunci telefonnya, menanyakan bila majlis perkahwinan itu berlangsung. Semakin lanjut mereka bersembang, tangannya kian perlahan menaip. Simpati mula muncul ketika matanya membaca setiap mesej yang dihantar sepupunya. Rupa-rupanya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga sebelah disebabkan perbezaan agama. Meskipun calon pengantin lelaki sudah masuk Islam selama 5 tahun, nenek keluarga lelaki tersebut masih tidak dapat menerima hakikat. Sampai sanggup menghina serta memaki sepupunya. Tambahan pula, perkahwinan cucunya itu tinggal lagi dua minggu.

  Rumit juga masalah ini.

...

  Kakinya menekan pedal brek. Hujung tudung yang jatuh ke bawah Raisha betulkan. Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya menemui dirinya. Hatinya riang tidak sabar menyaksikan kawannya yang sudah lama membujang menaiki pelamin.

  Majlis perkahwinan itu diadakan secara kecil-kecilan bagi mematuhi SOP yang ditetapkan. Tengoklah, kereta pun cuma ada beberapa ketul sahaja. Ironinya, inilah masjid yang menemukan dia dengan lelaki itu beberapa minggu lepas.

  Pintu dihempas perlahan. Kepalanya digeleng beberapa kali. 'Apa fasal aku terfikir fasal lelaki itu pula? Dah, dah. Ini hari bahagia kawan-kawan kau. Kau sepatutnya fikir fasal dia orang.'

  Seusai mengunci pintu kereta, mata Raisha menangkap kelibat seseorang. Lelaki tua itu seakan-akan gelisah, menjenguk ke dalam masjid. Kelakuannya pun seperti tidak berani menjejakkkan kaki ke dalam. Terpandang kamera pada tangan berkedut itu, tahulah Raisha siapa lelaki itu.

  "Pak cik ni ayah Gopal kan?" Pertanyaan itu terkena tepat pada batang lelaki tua itu. Ayah Gopal tertunduk lalu mengangguk, mengiyakannya. "Anak ini pula... kawan Gopal ke?"

  "Ya, saya kawan dia."  Raisha tersenyum di sebalik topeng. "Kenapa pak cik tak masuk dalam? Kan anak pak cik nak kahwin tu."

  "Pak cik tak rasa pak cik layak masuk dalam ni. Pak cik berbeza dari Gopal. Mesti pak cik tak diterima bila masuk dalam, baik pak cik duduk dekat luar." Nada si ayah mengendur. Kamera di tangannya digenggam erat. Hatta tidak dapat masuk ke dalam, dia mahu merakamkan momen-momen bahagia anaknya.

  Terkedu Raisha dibuatnya. Air mata simpati yang bergenang segera diusap, tidak mahu kelihatan lemah di hadapan ayah rakannya itu. Dia menghulurkan cadangan. "Dekat sebelah pintu utama tu rasanya dia orang akan buat salam akad nikah, pak cik boleh rakam dekat situ. Pasti Gopal akan faham. Orang lain pun akan faham."

  "Terima kasih, nak." Bagaikan mendapat kekuatan, pak cik itu akhirnya memberanikan diri ke pintu utama. Sempatlah dia berterima kasih beberapa kali kepada Raisha. Ketika tiba di pintu utama, pihak mertua siap mempersilakan ayah Gopal merakam lebih dekat walaupun ditolak oleh si ayah. Setelah Gopal memujuk, barulah ayahnya mengalah.

  Raisha masuk ke dalam. Upacara akad nikah dimulakan. Dia juga mengeluarkan telefonnya, merakam dari jauh. Maklumlah, dia lambat membelit-belitkan tudungnya hingga jauh tersorok ke belakang. Nanti-nantilah dia sertai kumpulan rakan-rakannya.

  "Saya nikahkan kamu dengan, Sina Yaya Binti Siao Afiq, yang telah berwali-walinya kepada saya, dengan mas kahwinnya 500 ringgit tunai dengan senaskah Al-Quran."

  Bukan setakat Gopal berdebar, sekali dengan Raisha berdegup jantung mengalahkan pengantin perempuan. Yalah, tengok kawan paling badut gemuruh bersalam dengan ayah mertua sendiri, mestilah teruja mahu menontonnya! Walau bersalam tidak bersentuh disebabkan menjaga penjarakkan sosial.

  "Aku terima nikahnya Siao Afiq Bin Siao Afiq dengan..."

  Maka, bergema masjid bersama tawa tetamu. Siap ada yang tepuk-tepuk kawan di sebelah. Teruk sangat ketawa galaknya! Tiba-tiba, suara kawannya, Rizal sebaris di hadapan melaung. "Hoi, hoi, hoi! Kau nak kahwin dengan bapa mertua kau buat apa?" Sekali lagi, semua orang di dalam masjid tergelak.

  Berjarakkan satu meter bersebelahan Rizal, Afiq telah merakamkan situasi tersebut. Lah, dia orang duduk dekat situ rupanya!

  Ucapan akad nikah diulang semula gara-gara kesilapan Gopal. Kebiasaan pengantin lelaki, pasti gemuruh. Bukan apa, selepas ini mereka perlu memegang amanah sebagai seorang suami dalam mengukuhkan hubungan keluarga. Tidak hairan kalau para pengantin lelaki menjadi cemas dan berpeluh tangan semasa bersalam dengan tok kadi. Atau muka tok kadi itu yang terlalu garang.

  Sebaik sahaja ucapan akad nikah dilafazkan, ramai menyebut-menyebut rasa syukur kepada Allah. Nampaknya dua insan telah bersatu pada hari yang mulia ini. Sesudah solat sunat selepas akad nikah didirikan, acara pembatalan air sembahyang didirikan. Hrm... baru terfikir. Ramai juga orang mahu berkahwin sebelum satu Ramadan ini.

  Raisha yang kini duduk semeter dari belakang Afiq bangun bersama segaris senyuman. Bolehlah dia mengucapkan tahniah kepada kawannya nanti. Belum sempat dia melangkah ke hadapan, dia dirempuh seseorang dari tepi.

  "Aduh. Maaf. Maaf." Suara garau itu memohon maaf berkali-kali. Dia juga sudah menjarakkan diri daripada dirinya. Untung tidak dikeluarkan pembaris satu meter.

  "Aduh, jalan tengoklah di hadapan! Yang jalan senget kenapa? Da... eh, kau kan?" Raisha menjatuhkan tangannya dari terus membetulkan tudungnya yang sedikit senget. Bahunya tegang, seakan-akan tidak percaya akan apa yang muncul di depan mukanya.

  Habri pun sama-sama terperanjat. Wajahnya merona merah, tidak menyangka akan berjodoh semula sama perempuan beberapa minggu lalu. "Jo... jod..."

  Raisha tidak tahu memberi reaksi apa. Bagaimana lelaki ini boleh ada di sini? Ini waktu Dhuha kot, bukan masa untuk menunaikan solat fardu. Benak fikirannya mula dipenuhi perkara-perkara negatif. Sekejap, macam mana kalau lelaki ini sebenarnya mengekori dia? Atau lelaki ini tidaklah baik mana. Rasa takut yang dicipta sendiri menyeluruhi tubuh. Kawan-kawannya juga sudah jauh ke hadapan. Apa dia nak buat?

  Pertemuan apa begini?



















✨✨✨

Ha, sudah...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top