CYP 3 - alexithymia

━━━━ CINTA YANG PEKAK  ━━━━
Alexithymia
╰┈┈┈┈┈┈ Situasi di mana tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan yang kau alami sekarang ini.

.

"ASSALAMUALAIKUM... saya dah balik." Habri menarik pintu pagar seraya tangannya menjatuhkan plastik berisi barangan kedai runcit itu ke tepi. Puan Fatihah yang mendengar suara garau itu, lantas menjenguk anaknya. "Waalaikumussalam. Lambatnya balik? Solat dekat masjid ke tadi?"

  "Ha'ah. Oh, ni ibu, barang-barang." Habri mengambil plastik tadi lalu menghulurkannya kepada ibunya. Tiba-tiba kakinya terasa digesel oleh sesuatu. Dia menoleh ke arah makhluk berbulu yang sibuk memanja di bawah kakinya itu. Haih, perangai macam itu sebenarnya ada makna! Percayalah.

  "Haih... tak menyabarlah awak ni, Tete." Habri menyeluk makanan kucing ke dalam plastik yang dibawa ibunya. Apabila paket whisker itu dikeluarkan, habis tidak berhenti-henti ngiauan kucing jantan itu. Hah, sudah dikatakan! Memang ada udang di sebalik batu.

  "Kejaplah..." Habri mengunci pintu pagar sementara Tete teruja membuat tawaf sekelilingnya. Kalau terpijak ekor, tahu pula merajuk beberapa hari! Tangannya ingin menutup pintu kayu terhenti tatkala mendengar bunyi pam dari tandas dapur. Hrm... kenapa rasa macam terlupa sesuatu, ya?

  "Adik! Ah..." Huru hara bunyi di dalam dapur menangkap telinganya. Habri pantas berpaling ke arah suara itu. Alamak, dia terlupa sesuatu! Tanpa sempat Habri berlari selamatkan diri, dia sudah disergah terlebih dahulu oleh kakaknya. "Mana... mana air akak?"

  "Ah... lupa." Tersengih-sengih Habri menutup rasa bersalah,  juga rasa takut dalam masa yang sama.

  "Huh... lupa? Banyak kali akak cakap? Siap telefon lagi ingatkan. Takkan adik tak..." ... dengar. Hana menghentikan ayatnya di situ. Tidak mungkin dia mahu melontarkan ayat sebegitu kepada satu-satunya adik miliknya. Nafas segera dihela perlahan. "Haih... lain kali kena tulis nota untuk awak lepas ni."

  "Yalah, tapi akaklah kena ingat nak tulis nota. Sebelum itu, nah." Habri meletakkan paket makanan kucing pada dada kakaknya. Hana memberi pandangan menyampah. Paket itu digoyang-goyangkan. "Ha, ni apa ni?"

  "Lah, itu makanan Tetelah. Kesian kucing kesayangan akak lapar." Habri memberitahu dalam nada menyindir, tangannya menunjukkan ke arah Tete yang sudah berhenti membuat pusingan marathon sekeliling mereka. Melihat semua mata tertumpu padanya, laju kucing itu menayangkan perutnya yang montel. Hah, pandai sangat memikat hati!

  "Alololo! Kesiannya Tete kakak. Nanti akak bagi makan, ya?" Hana berubah sekelip mata dari sosok garang menjadi manja seperti kucing. Pantas digomol perut kucing itu hingga kepalanya dicakar perlahan pun tidak dirasa.  Haih... dia hendak makananlah, bukan mahu dibelai-belai begini!

  Habri menjeling tidak puas hati ke arah perangai tidak senonoh kakaknya. Nasib kakaknya yang ketiga sahaja duduk di rumah, kalau ketiga-tiga kakaknya melepak bersama-sama, mahu botak kepala ibu serta dirinya sendiri. Kakaknya pertama sudah berkahwin jauh di Perlis manakala kakaknya yang kedua sedang belajar bidang kedoktoran di Melbourne, Australia.

  Si Hana itu... hrm, selain menghabiskan beras, dia kerja sebagai pembekal barangan (dropship) secara atas talian. Katanya dapatlah juga duit, itu pun pergi mendermakan sebahagian duit itu untuk membeli pakaian-pakaian yang entah bila mahu dipakai. Membazir betul!

  Habri berpusing ke arah Puan Fatihah yang mengeluarkan barangan dapur satu demi satu untuk menyusunnya. Pantas dia masuk ke dalam kawasan dapur. "Ibu nak saya tolong apa-apa ke?"

  "Oh... erm, tolong ibu keluarkan ikan dari peti, lepas tu letak dekat singki kejap." Puan Fatihah mengalih kepalanya sekilas ke arah peti bersebelahan almari dapur. "Ibu ingatkan nak masak ikan masak lemak hari ini. Nanti kamu larat, turunlah bilik."

  Langkah Habri terhenti sesaat. Perlahan-lahan senyuman kekok dikuntumkan. "Mestilah larat. Setakat jalan beberapa langkah je masuk dapur." Tawanya yang kering dilontarkan, menyorok rasa bersalah. Pintu peti itu langsung dibuka dan dikeluarkan sekotak aiskrim berisi ikan itu. Jangan terkejut, benda ini memang sangat normal dalam kalangan rakyat Malaysia!

  "Yalah kalau macam tu." Puan Fatihah merenyukkan plastik. Bolehlah guna untuk jadikan plastik buang sampah nanti. Sengaja dia membuka topik baru, mahu berbual-bual lebih panjang bersama anak terunanya. "Kamu pergi masjid, ada jumpa sapa-sapa tak?"

  "Jumpa sapa je? Ada pak cik-pak cik, kucing, orang-orang Grabfood dengan Foodpanda, pak iman dan..." Ayat Habri terbantut ketika seseorang mula melayar dalam mindanya. Ya, wanita itu yang menyelamatkan dia daripada tiga orang lelaki yang menakutkan. Tidak silap, nama dia Raisha kan? Tanpa sedar, wajahnya mula merona sedikit.

  "Dan... Habri bukan dah pak cik ke?" Puan Fatihah senyum mengusik.

  "Mana ada, ibu ni." Habri memasamkan muka. "Saya baru 25 tahun. Masih dalam 20-an lagi."  Walaupun umurnya tidak layak mendapat duit raya lagi, tetapi dia masih lagi muda trang tang tang lagi! Haih... sudahlah, sedih pula.

  "Yalah, maksudnya ibu pun boleh dipanggil akak akak lagilah?" Puan Fatihah mengaplikasikan logik anaknya di dalam dirinya. Haih, satu keluarga memang kuat perasan betul!

  "Mestilah, ibu. Kalau macam tu, akak pun sama! Muda lagi." Hana menyampuk sambil masuk ke dalam bakul, angkat sendiri. Tete yang menunggu makanan di bawah kaki Hana merenung tuannya, jengkel. Cakar kan, baru tahu.

   Puan Fatihah menaikkan sebelah keningnya. "Bukan hari tu ada anak jiran sebelah panggil awak, mak cik ke?"

  "Aaaaaa... ibu ini.

  Seusai menolong dan bergelak tawa bersama keluarganya, Habri meminta diri untuk masuk ke dalam biliknya. Sememangnya umur sebegini pasti orang akan tanya bila akan naik pelamin ataupun bila mahu menimba cahaya mata. Masalahnya, sahkan cahaya mata, cahaya jodoh pun belum tentu dapat jatuh ke riba. Tahu-tahu sahaja wajah Raisha menjengah lagi ke dalam fikirannya.

  "Eh, takkanlah... aku baru jumpa dia kot. Takkanlah nak ajak kahwin terus." Habri menjadi malu sendiri akan imaginasinya. Lagipun, mahukah Raisha berkahwin dengan orang yang baru dikenali. Memikirkannya pun kedengaran merepek sahaja.

  Tombol pintu dipulas.

  "Tapi, kalau dia nak macam mana?"

  Pertanyaan itu tidak dijawab, sebaliknya dia disambut dengan aura biliknya sendiri. Samar-samar dalam kegelapan dapat dilihat pakaian-pakaian kotor di dalam bakul sudah menggunung. Kertas-kertas tugasan universiti yang bersepah merata seperti tisu-tisu di lantai. Cadar yang meliputi tilam pun sudah tertarik jatuh ke bawah.

  Kepalanya tertunduk memandang pada kertas dipijak oleh kakinya. Lambat-lambat kertas itu dicapainya. Ini bukan salah satu tugasan universitinya. Ini...

  Aku tahu aku tak patut fikir macam ni.
  Tapi semua yang terjadi, semua salah aku.
  Kalau aku berusaha bersungguh-sungguh,
  Mungkin semuanya akan okey.

  Matanya turun ke perenggan seterusnya.

  Mungkin lebih baik kalau aku...

  Bacaannya dihentikan.

  "Tak, dia takkan mungkin nakkan aku."

  Langkah kakinya diorakkan menggerakkan seluruh tubuhnya masuk ke dalam bilik. Suis lampu hanya dilihat namun langsung tidak diusik. Pintu biliknya terus dikatup rapat.

  "KATUP!"

  Raisha terburu menerbalikkan telefonnya ke meja tatkala mendengar bunyi bilik staff terbuka. Alih-alih, ia merupakan kawan sekerjanya yang keluar penuh lelah, membawa stok baju baru daripada bilik tersebut. Hrm... rasanya bukan boleh kata kawan sekerja, tetapi gadis itu lebih kepada junior sekerja baginya.

"Eh, Alisa... tak buat live ke hari ini? Ke tak sempat nak topap telefon?" Raisha menongkat dagu memerhati kawannya yang sibuk menyusun baju-baju ke tempat asalnya. Alisa pantas menggembungkan pipinya, mengerling ke arah Raisha. "Oh, mulut kau. Aku dah topaplah hari tu. Lagipun kalau nak buat live, kenalah buat pada masa yang tepat."

  "Masa yang tepat?" Raisha bertanya lagi.

  "Yalah, kalau nak buat promosi baju-baju butik ini, masa pun main peranan juga. Selain selalu buat video pendek dekat Instagram dengan TikTok, kita kenalah buat live pada waktu yang tepat, iaitu pada waktu orang berehat dari kerja atau waktu malam. Barulah masyuk..." jelas Alisa bersama penerangan yang panjang lebar. Sebab inilah juga dia dilantik untuk mengambil alih akaun media sosial butik mereka. Jadi tidaklah terlalu bergantung harap pada jualan gerai sahaja, malah turut boleh mencari rezeki melalui jualan secara atas talian. Memang sambil menyelam, minum airlah!

  "Macam waktu kau tengok oppa-oppa kau?" Pertanyaan Raisha membuatkan Alisa tersipu-sipu malu. Aduh, tadi bukan main berucap seperti orang profesional, apabila petik sahaja artis koreanya, terus bersikap seperti anak kucing!

  "Oh! Oh!" Alisa terus menyangkut baju sebelum laju menyeluk keluar telefonnya. "Kau ingat tak lukisan baju kau, tu? Ala yang kau lukis saja-saja tu?"

  "Oh... yang aku lukis baju kurung tu? Kenapa? Eh, jangan kata kau ada post dekat mana-mana!" Raisha membeliak mata. Padahal lukisan itu hanya terlukis di dalam buku catatan kedai. Alisa melarikan pandangan matanya. "Ah... itu. Aku dah terbuat dah."

  Paparan siaran Instagram mengejutkan Raisha. Segera telefon pada tangan Alisa dirampas Raisha. Raisha merungut panjang. "Ah, Alisaaaaaa... kau kenapa? Aduh, itulah terlebih pandai sangat" Ibu jarinya menekan perkataan komen, namun setiap komennya itu membuatkan Raisha terkedu sendiri.

@kiwiiepieart_ : Wah, lawanya! Nampak ringkas je, tapi kalau ada, sumpah aku nak pakai. Aduh, nak lukis dekat watak-watak akulah!

@fesyenista : Rekaan baju ini sudahlah menarik, bahkan menutup aurat lagi. Ini kawan awakkah yang lukis? Adakah dia pereka fesyen?

@jiransebelah : Eh, nenek jiran sebelah aku pun boleh lukis macam tulah.
@hellyanthus_ : Lepas tu suruhlah nenek  tu lukiskan.

  Lukisan baju kurung yang dimuatnaik oleh Alisa mencapai sebanyak 1085 sukaan dan 80 komen dalam masa sehari. Lukisan baju kurung merupakan baju kurung moden bereka lengan panjang dengan bajunya yang terbelah di hadapan. Kain batik yang membalut tubuh menjadi pelengkap ditambahi  juga kain kurung baju itu sendiri. Paling kreatif, kain tersebut bukanlah dilukis bertatahkan berlian, bahkan bertatahkan kulit cangkerang yang bersinar-sinar.

  Kata lukis saja-saja, jadi mengapa lukisan itu seperti lukisan profesional?

  "Maaf, aku tanya ni, tapi... kau tak nak sambung belajar ke?" Wajah Raisha kekal tunduk ke bawah. Dadanya sesak, tenggelam dalam perasaan yang dia sendiri tidak pasti. Telefon itu dikembalikan semula kepada pemilknya. Raisha mengetap bibir sebelum nafas dihela perlahan. "Entahlah."

"Entahlah?"

Raisha membiarkan soalan Alisa tergantung. Telinganya sudah lali mendengar orang bertanya fasal masalah kehidupannya, ketika dia jauh ketinggalan oleh orang lain. Dia boleh sahaja mengejar kembali, akan tetapi dia yang malas ingin peduli.

  Atau dia takut?

  "Oh..." Raisha melihat lelaki itu ketawa janggal. Matanya lantas membulat bersama sinar di iris matanya memandang senyuman lelaki itu. "Dan terima kasih sekali lagi."

  Eh...

  Fikirnya, lelaki itu sama sahaja seperti lelaki gatal lain yang pernah dia jumpa di sekolah dahulu. Pelajar lelaki yang selalu merenung wajahnya terlebih dahulu sambil tersengih nakal. Pelajar lelaki yang menghantar mesej yang bukan-bukan pada dirinya. Kerana itulah dia membina kubu dan dinding bagi dirinya...

  "Kenapa pandang-pandang aku? Kalau setakat tayang muka kau yang dah pecah macam tembok itu, orang lain pun boleh termuntah. Ke pandang-pandang aku sebab nak jadi alas kaki kasut aku?"

  Tergamam lelaki itu ketika dihina sedemikian rupa. Tidak jadi untuk dia terus merenung dan menikmati kecantikan gadis itu, sebaliknya rasa amarah menguasainya. "Kau!"

  "Nampaknya kau tak kenal lagi diri aku, kan? Aku kan anak orang kaya, tak macam kau orang. Nak dekat dengan aku... kononnya. Baik cermin muka satu satu, ke takut cermin pecah tengok muka kau orang. Kesiannya..." Raisha terus menerus memberi ayat pedas terhadap sekumpulan budak lelaki itu. Laju kawannya menarik dia, melarang dia mengacau senior-senior tersebut lagi.

  "Sudahlah tu, Raisha."

  Perbalahan mulut itu berlanjutan hingga cikgu pun terpaksa turun padang bagi memberhentikan pergaduhan mereka. Ya, kerana hal itulah dia dipulaukan ramai orang akibat mulut lacangnya. Tetapi dia tetap tanamkan semua itu di dalam hati, semua ini supaya tiada lagi lelaki dapat mengacau dirinya.

  Namun...

  "Bukanlah, awak! Ah, maaf saya terbaca nama awak. Aduh, saya betul-betul tak tahu yang awak tak suka kalau nama awak dibaca orang."

  "Maaf sangat-sangat dan terima kasih tolong saya tadi.  Aduh, dahlah awak buat baik dekat saya, lepas tu saya buat awak macam ini pula."

  Kecuali lelaki itu... sahaja yang lain.

  "Raisha? Kau okey ke? Ah... aku minta maaf. Aku tersalah kata, ya?" Alisa sudah panik melihat Raisha termenung jauh. Mana tahu ada perbuatannya mahupun kata-kata yang memberi kesan medalam pada Raisha.

  Raisha berdehem, kecil. "Tak adalah, aku okey je..." Aduh, kenapalah dia teringatkan lelaki itu? Malunya. Bukannya lelaki itu ingat fasal dia pun.

  "Betul ke?"

  "Yaaaa, betul. Kau nak aku cakap Korea ke? Jinjjaya!"

  "Ding! Ding!"

  Bunyi loceng pintu itu menghidupkan aura bekerja antara mereka berdua. Serta-merta dua orang pelanggan wanita itu disambut dengan mesra. Yalah, tidak mungkin mahu disepak dan dihalau keluar pula. Tidak fasal-fasal anugerah pekerja terbaik langsung diluncutkan. Itu fikir si Alisa sahajalah.

  Tidak mengapalah, Raisha. Fokus dekat pelanggan!

 
 














✨✨✨

Aiyo, lore baru 🤨

Kalau pembaca AL (termasuk aku) sudah terangguk-angguk (sambil menangis tersedu-sedan), macam... oh, patutlah.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top