CYP 2 - dès vu
━━━━ CINTA YANG PEKAK ━━━━
Dès Vu
╰┈┈┈┈┈┈┈ Perasaan di mana kau rasa sejam dari sekarang, semuanya akan jadi memori yang berharga dan tanggapan memori itu akan berubah-ubah bergantung pada diri kau pada masa hadapan nanti.
.
JAM 1:35 minit petang. Plastik berjenama kedai runcit ragu-ragu diletakkan ke tepi. Habri mengeluh seketika di tepi tingkap masjid. Hrm, inilah jadinya bila datang tanpa perancangan. 'Alamak, nak letak dekat mana en barang-barang ni? Kalau tinggal macam tu saja, risau pula orang curi. Dahlah ini stok terhad zaman PKPB ni. Haih... bawa sekali sahajalah."
Akhirnya, beg plastik itu dijinjit kembali. Aduhai... adakah orang tergamak nak mencuri makanan kucing? Cepat-cepat Habri mengalukan diri sendiri ke tempat wuduk. Sempat lagi dia kalut keluar dari masjid kerana terlupa menyemak kod QR menggunakan aplikasi My Sejahtera. Haih... macam-macam betullah Habri!
Seusai menunaikan solat berjemaah, hampir seluruh para jemaah mengeluarkan diri mereka daripada ruangan solat. Ada segelintir mereka masih bertapa di dalam, sama ada membaca Al-Quran mahupun melakukan lagi satu solat sunat. Mungkin cara itu salah satu cara mereka menghamburkan rasa rindu terhadap rumah Allah setelah terikat dengan perintah kawalan buat beberapa bulan lamanya.
"Okey..." Habri menyarung kedua seliparnya. "Lepas ini aku nak pergi beli air milo pula. Nanti habis membebel pula kakak aku."
Tidak semena-mena terasa bayang-bayang mula mengerumuninya. Suara garau tertawa kecil sebelum mengusik Habri. "Membebel? Kesiannya kau."
Habri perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Kelihatan tiga orang lelaki memakai jaket berdiri mengelilinginya. Aduhai, dia memang sepatutnya menghentikan tabiat buruknya bercakap seorang diri! Lagi satu, yang ini, gangster mana pula? Rasanya dia tak adalah hutang dengan sesiapa!
"Ah, encik boleh tepi sikit, tak? Encik menghalang laluan..." Bahunya dirangkul tiba-tiba. Amboi, main sentuh sahaja anak orang tanpa mengetahui dia berpenyakit atau tidak! Lelaki itu mengejek cara Habri berbicara. "Lembutnya cara kau bercakap! Macam perempuan pula!"
Aduh, bercakap sopan pun hendak dimarahi? Mujurlah dia tidak bercakap lagak gangster. Nanti tidak fasal-fasal kena belasah. Habri menghela nafas panjang. "Kalau encik nak solat, silakan. Tapi tak perlulah rangkul saya, zaman ini bukan zaman bersentuh-sentuh! Kalau saya kena COVID ke apa, merana encik dekat hospital nanti!"
"Eh, banyak pula cakap kau ni!" Lelaki itu membidas penerangan panjang lebar Habri. Namun, lelaki itu serta-merta menarik kembali tangannya. Tahu takut!
"Kau budak kaya, ya? Ada airpods!" Tangan si kawan berura-ura ingin menarik keluar alat pendengaran yang disangka fon telinga tanpa wayar. Pantas tangan itu ditepis Habri, membuatkan sekumpulan lelaki itu bertambah panas.
"Oh, berlagak ya engkau? Mentang-mentang orang kaya, pandang rendah pada orang biasa macam kita orang!" Tahu-tahu sahaja Habri sudah menempa amarah daripada lelaki-lelaki itu. Walhal, mereka yang membuka langkah terlebih dahulu.
Alamak! Matanya laju meneroka keadaan sekeliling. Masa inilah waktu orang mahu balik cepat-cepat! Huhuhu... pak cik-pak cik dekat dalam tak akan tiada siapa yang memasang telinga? Tolonglah halau tiga orang ini! Tak akan mahu bertumbuk depan masjid?
Pandangannya dialihkan kepada sekumpulan lelaki yang mula menyarung wajah berang. Ya Allah, selamatkanlah dia!
...
Tiba sahaja di perkarangan masjid, pintu kereta terus dikatup rapat. Bunyi kereta dikunci dari dalam beserta bunyi siren kedengaran sebelum Raisha memalingkan wajahnya pada bentuk kubah putih masjid. Perasaan bercampur baur meragut hatinya setelah lama dia tidak menjejak kaki ke sini.
'Tak apa kan kalau aku masuk sekejap?' Teragak-agak Raisha untuk mendekati ruangan masjid itu. Dia cuma mampu memandang dari jauh sambil berfikir... Tidak mengapakah jika dia yang masuk? Beg tangannya digenggam erat. Tambahan pula, tidak mustahil kalau dia akan menjadi seorang sahaja spesies yang tersesat di dalam kalangan pak cik tua yang sedang beribadah di dalam masjid.
Lagipun, layak ke dia?
Raisha pantas membatalkan niatnya. Baik dia solat sahaja di butik dia bekerja nanti. Asalkan dapat melepas rindu pada masjid ini pun sudah cukup baginya. Baru sahaja dia ingin mencapai pemegang pintu kereta, matanya terpaku pada seseorang yang dia sangat kenali.
"Eh, Gopal. Lama tak jumpa!" Sapaannya berjaya membuatkan lelaki itu mengangkat wajahnya. Itulah Gopal, salah satu kawan rapatnya. Dia lelaki berbangsa india yang baru sahaja memeluk Islam beberapa tahun yang lepas. Kalau kawannya itu tengah sarungkan baju grabfood, pasti tengah bersiap-siap mahu berkerja sekarang. Yalah, tidak mungkin mahu pergi tengok bola pula.
Bersinar mata Gopal melihat rakan lamanya. Pantas senyuman itu dibalas. "Lah. Raisha rupanya. Kenapa kau datang sini?" Lengan bajunya yang jatuh disinsingkan sedikit.
"Ah..." Raisha terkedu seketika. Lekas mimik mukanya memainkan peranan. "Haih, soalan bodoh mana kau tanya ini? Aku datang masjid nak solat Zuhurlah. Nak buat apa lagi? Lagipun, aku dah bawa kain telekung dengan sejadah sekali." Beg tangannya dinaikkan, kononnya menunjukkan kain telekung yang terlipat di dalam.
Gopal menyengih atas kesilapannya sendiri. Ia langsung tidak membuatkan Raisha tersenyum sama, bahkan membawa kepada rasa bersalah yang timbul di dalam diri Raisha. Raisha menukar topik. "Kau cakap dengan aku ni, tak ada orang nak order ke sekarang?"
"Oh." Gopal merenung baju yang ditunding Raisha lantas memandang ke arah Raisha kembali. "Aku rehat sekejap. Nanti aku sambung balik lepas Asar. Alang-alang itu aku nak maka... eh, aku nak pergilah ini."
Lagaknya kelihatan tergesa-gesa. Mesti risau terlambat mendapat tempat duduk startegik di kedai Mamak! Mentang-mentang sudah dibolehkan makan di luar, seronok betul cari-cari makanan yang ada di kedai berdekatan!
"Ha, pergilah. Aku pun nak masuk masjid ini." Raisha menunjukkan ke arah masjid. Sedaya-upaya dia cuba menapis nadanya supaya tidak terlalu menyesal. Yalah, mahu tidak mahu, terpaksalah dia masuk ke masjid juga. Selesai mengucapkan selamat tinggal antara satu sama lain, Raisha lalu melangkah memijak lantai masjid dan mencari ruangan muslimah.
"Lah, budak pondan macam kau pun datang masjid juga ke?" Suara-suara sumbang itu menarik minat Raisha. Cepat-cepat dia menuju ke arah tempat letak kasut berhampiran ruangan muslim hinggalah muncul sekumpulan lelaki mengerumuni seorang mangsa yang tidak bersalah.
Habri yang dirangkul semula oleh lelaki itu menunjukkan riak tidak selesa. "Janganlah kacau saya, abang. Saya nak balik rumah ini."
"Berabang-abang pula dengan aku. Eh, aku bukan gay macam kaulah." Lelaki itu serta-merta menjarakkan dirinya daripada Habri. Walhal, dia yang mendekati Habri terlebih dahulu. Dasar tidak sedar diri. Habri pula sudah pasrah di dalam hati. Haih... panggil encik salah, panggil abang lagilah salah. Mahu menangislah begini.
Sahabat lelaki yang ketot itu mengangguk-angguk seperti burung belatuk, mempersetujui kata-kata kawannya tersebut. "Entah. Golongan lembut macam kau ini macam Sajat, tau. Baik tak payah datang ruangan lelaki sahaja. Cakap pun macam perempuan."
Cukuplah itu, kau orang semua. Dia nak balik rumah sahaja! Sudahlah mengelilinginya seperti artis, malah siap berlawan debat, 'siapa lebih pedas berbicara'!
"Siapa kata?" Permandangan mereka terus mendadak berubah ke arah suara lantang perempuan itu. Raisha lantas menambah lagi. "Biarlah dia bersikap lembut sekalipun. Asalkan dia tak serupa dengan perempuan. Kau orang ini datang masjid, tetapi perangai macam syaitan juga. Eh, solat ke tak? Ke main kat belakang saf?"
Ambil engkau! Berdas-das ayat panas dilontarkan oleh Raisha sampai tersentap habis ketiga-tiga lelaki itu. Si ketua itu cuba menghalau Raisha. "Eh, menyibuk pula per...."
"Suka hatilah aku menyibuk ke tak! Yang kau kacau lelaki ni, kenapa? Tak ada kerja? Ke penganggur kaki lima semua ni? Muka pun nampak lagi teruk dari tu." Raisha memotong kata-kata itu dengan panjang lebar. Bukan setakat panjang, bahkan membakar ego di antara mereka!
"Kau..." Salah seorang dari mereka menahan penumbuknya, risau hinggap pada muka perempuan itu. Kalau terkena dan ada Ahli Jawatankuasa Masjid yang ternampak, mahu dihalau mereka dari masjid juga sekaligus menjatuhkan maruah mereka!
"Apa hal itu?" Laungan pak cik tua dari dalam menyentakkan mereka semua. Pak cik itu sudah menggumam di dalam hati. Haih, hendak khusyuk solat sunat tadi pun tidak tenang gara-gara mereka berempat.
"Dah. bla. Bla." Lelaki itu mengajak kawan-kawannya untuk meninggalkan Habri sementara pak cik tua tadi sibuk melipat kembali sejadah miliknya. Sudahlah menyibuk, lancang pula perempuan itu.
Raisha menoleh ke arah Habri. "Kau okey tak? Lain kali jangan lemah sangat."
Kepala Habri tersengguk-sengguk tanpa sedar. Dalam masa yang sama, dia tidak habis berterima kasih dan mengidolakan wanita di hadapannya di dalam hati. Berani betul dia suarakan lelaki-lelaki lagi tua dari dirinya sendiri. Dia pun tak berani mana nak melawan. Matanya terarah pada pin nama pada tudung wanita itu. Raisha?
Raisha merenung dadanya dan Habri berselang-seli. Matanya terbeliak memikirkan salah faham yang tercipta di dalam kepalanya. Tangannya terus dibawa menutupi dadanya. "Apa kau pandang aku? Pervert!"
"Ma... mana ada. Saya tak pandang pun benda tu..." Habri panik menidakkan berserta dengan tangannya yang digoyangkan berkali-kali. Ah, ke dia tidak suka orang tahu nama dia? Huhuhu, manalah dia tahu!
Atau dia sangka benda lain... ah!
Raisha sudah menayang muka jijik. "Eee, menyesalnya selamatkan. Jangan jumpa aku lagi!" Dia beura-ura beredar dari situ. Memang solat dekat butiknya sahajalah tempat terbaik sekarang ini!
"Bukanlah, awak! Ah, maaf, saya terbaca nama awak sebenarnya. Bukan buat bukan-bukan. Uh, ke awak tak suka juga orang baca nama awak? Ah! Sa.. saya minta maaf." Penjelasan Habri berjaya membuatkan Raisha berpaling semula padanya. Namun, dia laju menyambung keluhannya tanpa memberi Raisha peluang mencelah.
"Eh?"
"Ah, maaf sangat-sangat dan terima kasih tolong saya tadi. Aduh, dahlah awak buat baik dekat saya, lepas tu saya buat awak macam ini pula. Tch, aduh..." Habri kini tenggelam dengan rasa bersalah yang melampau. Tangannya menggosok berkali-kali lehernya seraya kepalanya ditundukkan.
"Eh, tak apa..." Raisha langsung berlembut hati mendengarnya. Lagi-lagi ucapan dan gerak-geri Habri seperti tidak dibuat-buat.
"Huh... saya memang tak patut dimaafkan..."
"HOI, dahlah tu!"
"Kau orang sedar kan pak cik ada dekat sini?" Pak cik tua itu muncul di belakang mereka. Maka, secara automatik, pengtengkaran mulut itu dihentikan serta-merta. Rasa kekok pula memenuhi atmosfera sampai mereka berdua memandang barisan semut yang berkawad pada tiang masjid juga jalan tar.
Cepat-cepat Habri meminta diri. "Saya balik dululah. Terima kasih pak cik jadi imam hari ini."
"Bila masa aku jadi imam? Aku duduk sebelah kau kot." Pak cik itu merenung tidak puas hati ke arah Habri. Walaupun sebenarnya dia sedang menahan tawa mendengarnya, sengaja berseloroh dengan orang muda.
"Ah, jarak jauh sangat. Susah saya nak cam." Habri memberikan alasan sambil tersengih di sebalik topeng muka. Padahal jarak beberapa meter sahaja kot!
"Memandai sahaja kau. Kau buat apa lagi dekat sini? Ke nak tolong aku cuci masjid? Boleh je kalau kau sudi jadi batang mop. Rambut kau pun macam berus mop sahaja aku tengok." Dari gurauan tiba-tiba menjadi ugutan bapa-bapa kepada si anak lagaknya.
"Eh, mana adalah, pak cik." Habri membetulkan rambutnya secara spontan. Janganlah sebut isu rambut, sensitif! Meskipun dia memang tak betulkan rambutnya sebelum keluar tadi. Hrm... apalah anggapan akak kaunter tadi?Habri lalu mengakhirkan kata. "Err... saya baliklah dulu, pak cik dan... awak. Assamualaikum."
Raisha terkedu seketika. Lambat-lambat dia menjawab ucapan salam itu sesudah pak cik tersebut. "Waalaikumussalam... dan sama-sama."
"Eh?" Habri terpinga-pinga.
"Sama-samalah, sebab... awak cakap terima kasih tadi." Raisha mengelakkan mata mereka dari bertembung. Ah, rasa mahu sahaja menghempas sahaja wajahnya ke bantal! Malunya... yang kau pandai-pandai lepas cakap sudah kenapa, Raisha?
"Oh..." Habri tertawa, janggal. Tidak mungkin nak balas 'sama-sama' juga? Pantas dia memejamkan matanya bersama senyuman yang lebar. "Dan terima kasih sekali lagi."
Lekas Habri berlalu pergi. Padahal mukanya turut memerah seperti tomato! Sorok-sorok dia cuba menutup wajahnya. Memang tidak cukup dengan tutup separuh muka sahaja, rasa mahu menyarung sut kepala Iron Man sahaja sekarang!
Melihat Habri yang sudah berlalu pergi, pak cik tua itu mengalih tumpuannya kepada Raisha. "Kau nak solat ke? Ruangan muslimah ada dekat sebelah kanan sana. Jangan lupa scan MySejahtera dekat situ." Bibirnya dijuihkan pada pelekat kod QR pada salah satu tiang masjid.
Raisha laju mengangguk-angguk. "Terima kasih, pak cik."
Sempat dikerlingkan matanya pada pak cik tua itu. Terdapat tanda nama yang mempunyai logo masjid tersemat pada dada. Patutlah nampak tenang dan peramah semacam, pak cik itu merupakan salah seorang AJK di masjid ini!
Telefonnya dikeluarkan. Pandangannya teralih pada Habri yang sudah berjalan di luar perkarangan masjid. Wajah lelaki itu pun seperti dia pernah nampak, tetapi di mana ya? Tetapi, yang anehnya... kenapa dia pulang tanpa sebarang motor mahupun kereta?
Hrm.... ah, fikir positif sahajalah! Mungkin jarak rumahnya dengan masjid tidak begitu jauh.
🎧
Tak tahulah nak komen apa. Saya kan ikan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top