CYP 10 - hikikomori
━━━ CINTA YANG PEKAK ━━━━
Hikikomori
╰┈┈┈┈┈ Keadaan sosial teruk yang dialami seseorang sehingga sanggup mengasingkan diri. Ianya sering disebut-sebut di Jepun di mana seseorang yang mempunyai sindrom Hikikomori biasanya digambarkan sebagai seorang yang dewasa.
.
Seseorang itu akan bertapa berseorangan di dalam rumah ibu bapa mereka, tidak mampu pergi berkerja mahupun ke sekolah untuk beberapa bulan dan beberapa tahun lamanya.
.
.
.
RAISHA tersentak apabila sabun pencuci muka termasuk ke dalam mata. Cepat-cepat dia membilas mata yang semakin memedih dengan air. Boleh pula lalai sampaikan terbuka mata semasa meraut wajah. Seusai mukanya dibilas, disapunya lagi krim malam pada setiap kulit mukanya.
Tapak kaki bergema saat tubuh tua itu memasuki ruang dapur. Raisha tersenyum sekilas melihat neneknya datang mencapai cawan. Memang sudah menjadi salah satu tabiat Puan Sri Rabbiya untuk minum seteguk air sebelum melelapkan mata.
"Nak tidur dah ke, Raisha?" Puan Sri Rabbiya sekadar berbasi-basa dengan cucunya sambil memusing butang air sejuk menjadi suam. Lagipun, tekaknya tidak serasi sangat dengan air sejuk pada waktu malam-malam sebegini.
"Iyalah, dah mengantuk dah ni." Raisha menguap tanpa dipinta. Betul-betul tepat betul masanya rasa kantuk datang! Wajahnya masih basah dikesat. "Raisha masuk tidur dulu ya, tok mummy."
"Yalah, tapi jangan main telefon sampai tertidur lewat malam pula. Esok ada temujanji. Kan tok mummy sekat internet Raisha nanti." Puan Sri Rabbiya memberikan amaran menggunakan kuasa vetonya. Tahu-tahu sahaja cucu tunggalnya suka berjaga malam. Bukan main permainan video, sebaliknya sibuk menatal media sosial!
Wanita itu tersengih menerima amaran tersebut. "Yalah, yalah. Raisha nak tidurlah ni. Oh, ya." Raisha berjalan terkedek-kedek menghampiri Puan Sri Rabbiya. Segera disalam tangan berkedut itu ketika gelas Puan Sri Rabbiya diletakkan ke tepi. "Selamat malam, tok mummy. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam... selamat malam juga, Raisha."
Dedaun pintu berbunyi saat ia diselak. Ini mahu tidak mahu perlu disuruh beberapa orang gaji mereka untuk meletakkan minyak pada sisi pintu. Kalau keluar merayap makan maggi pukul 3 atau 4 pagi pasti akan ditangkap neneknya gara-gara bunyi bising pintu tersebut. Raisha melepaskan keluhan tidak berpenghujung. Pintu dikatup rapat.
Baru sahaja punggungnya ingin mencecah lembutnya katil, telefonnya di dalam poket seluar memekakkan nada dering, meminta diangkat. Ini tidak lain tidak bukan pasti kesinambungan mesej daripada siang tadi. Nama 'Kak Husna' ditekannya.
Kak Husna
Itulah gambar surau dekat Australia sekarang.
Ini pun baru lepas solat Isyak.
Kalau nak tahu, solat Isyak dekat sini pukul 7 tau!
Mesej yang dihantar itu dari dua jam lagi. Tidak mahu membiarkan Husna tergantung, jarinya terus menaipkan kata balasan.
Pukul 7? Awalnya!
Kak Husna
Memanglah awal. Matahari terbit dekat sini pun dalam pukul 6 lebih macam tu.
Awak sekarang mesti pukul 10 kan? Ke tak mengantuk lagi?
Adalah ngantuk sikit.
Kak Husna
Kalau awak ada buku Sejarah, bacalah... mana tahu kesannya menjadi sampai sekarang ke.
Esok pun kerja.
Kalau tak boleh tidur, kira baring-baring pun tak apa.
Okey.
Raisha terdiam sesaat. Apa lagi hendak dihantar pula? Sekali lagi nada deringnya berbunyi lagi.
Kak Husna
Eh, okeylah akak nak gerak.
Kena makan-makan dulu sebelum balik hostel.
Kang akak panggil kawan akak, dia tak dengar. Labah-labah besar pula yang keluar.
Saya dengar labah-labah sana besar. Betul ke?
Eh, macam pelik sahaja ayatnya. Hendak dipadam, butang hantar telah pun menjalankan tugasnya. Malah, mesej pun sudah dibaca.
Kak Husna
Tak adalah besar mana.
Tapi tunjuk dekat adik-adik akak, mesti dah menjerit kalah puntianak.
Cuma kalau masuk dalam baju, mengucap sahajalah.
Satu garisan muncul di wajah. Nafasnya dihembuskan lucu. Fikirnya, tidaklah menarik sangat bermesej-mesej bersama kawan secara atas talian, namun ia jauh melangkaui jangkaan. Pada mulanya, setiap mesej pasti dibalas secara acuh tidak acuh. Mana tidaknya, dia sendiri tidak pandai berbual dengan orang tidak dikenali.
Walaupun begitu, Husna mempunyai gaya tarikan sendiri. Sekali perbualan bermula, mesti tidak akan terhenti! Ada sahaja ideanya ingin membuka kata dengan orang. Padanlah wanita itu mempunyai ramai kenalan di tempat orang.
Kak Husna
Baiklah, akak betul-betul nak pergi ini.
Awaklah heret akak nak terus berbual huhuhu...
Eh, saya pula.
Kak Husna
Yalah, setiap patah perkataan akak bagi bayar sejuta. Hehehe...
Wah, banyak cantik muka akak.
Kak Husna
Akak memang cantik. Hahaha. Tengoklah profil akak.
Gambar seekor kucing hitam memakai spek mata.
Tak tahu pula akak makhluk jadian.
Kak Husna
Itulah rahsia akak yang Raisha tak tahu.
Okeylah, akak betul-betul nak kena pergi ini.
Jumpa esok!
Status Husna yang bertanda 'online' hilang serta-merta. Akhirnya Husna berjaya menyudahkan perbualan itu. Jika tidak, sampai ke Subuh borak-borok itu masih lagi berlangsung. Raisha menyelak isi perbualan lama. Nampak sangat dia tidak bersemangat pada awalnya. Ayat pun dibalas sepatah-patah.
Macam sombong pun ada. Tetapi itulah... macam dia katakan, dia bukan ada idea sangat hendak berkenalan dengan orang baru. Dia pun baru tahu kakak lelaki semalam atau dipanggil Habri... belajar bidang kedoktoran di Australia.
"Belajar... huh?"
Telefon di tangannya dipegang erat. Segera dia mengalihkan perhatian sebelum suara-suara di dalam kepala menguasai emosinya. Lebih baik dia pergi menulis jurnal kemudian meletakkan kepala ke bantal. Kakinya ditujukan ke meja di mana bukunya berada.
"Kejap." Langkahnya terpasak ke tanah. "Bukan ke tadi aku letak buku aku dekat luar pagi tadi? Macam mana boleh ada dekat sini?"
Jantung Raisha berdegup kencang sementara tangannya laju membelek setiap halaman buku tersebut, mencari-cari batang penselnya. Mujur masih terselit pada mukasurat yang sama, dengan kedudukan yang tidak berubah. Tangannya sejuk memikirkan soal bibik Qis. 'Macam mana kalau bibik Qis baca bahagian tu? Tapi bibik Qis macam tak kisah je petang tadi?'
Mencari nahas betul dia! Kalau Puan Sri Rabbiya yang terjumpa dan baca, pasti akan menjadi satu hal pula. Ataupun... layanan mereka akan berubah dan berbeza jika mengetahui keadaannya yang sekejap-sekejap bertambah teruk. Hatinya cuba disedapkan. 'Mungkin tak baca kot...'
Lambat-lambat, Raisha menarik kerusi.
Pensel digenggam.
...
Bunyi 'aaamin' dilafazkan panjang barulah tangannya naik menyapu seluruh muka. Habri melipat sejadah. Kalau hendak lipat sejadah ini unik sikit. Apa? Ingat lipat baju ke ada cara-caranya? Lipat sejadah perlu temukan sisi dengan sisi, tidak elok jika temukan tapak kaki bersama bahagian kepala yang bersujud. Selepas melipat, Habri lalu antara celah-celah ruang kertas yang bersepah bagi meletakkan sejadah di tepi meja belajarnya.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada pintu bilik mengejutkan Habri. Sedarlah dia siapa tuan empunya tangan yang mengetuk. Dia pantas menyahut ketukan itu. "Masuklah, ibu. Pintu tak berkunci pun."
Yalah, kalau si kakak bukannya reti mengetuk. Malah, pintu biliknya sudah tentu akan ditendang tanpa amaran. Tahu sangat perangai Hana itu.
Kuakan pintu kedengaran. Puan Fatihah masuk bersama bakul baju yang diheret di hadapannya. Suasana bilik anaknya itu suram dan kebanyakkan ruang bilik itu cuma disimbah oleh cahaya dari tingkap semata-mata. Itu pun langsir diseret rapat menemui antara satu sama lain.
"Oh, baju saya ke? Terima kasih, ibu. Nanti saya lipat." Habri membiarkan ibunya menolak bakul baju itu rapat ke almari. Mahu diletakkan di ruang yang ada, semua itu telah dipenuhi kertas-kertas yang bersepah-sepah. Komputer riba dicapainya, bersedia untuk menyiapkan karangan yang akan dipinta malam lusa.
Puan Fatihah menggoyangkan kepalanya kecil memerhati anaknya kembali sibuk belajar. Dia memaksa langkah menerusi celah-celah kertas dan plastik yang bersepah bagi mendekati tingkap anaknya. "Lain kali bukalah langsir ni. Habis masam bau bilik."
Terpejam-pejam mata Habri terkena biasan cahaya yang memasuki ruang biliknya. Bunyi burung-burung berkicauan semakin bergema tatkala tingkap bilik itu dibuka. Puan Fatihah menambah lagi. "Dan kemaskan sikit plastik-plastik roti yang bersepah dekat bawah ni. Macam mana lipas tak masuk? Belajar belajar juga, tapi kebersihan pun perlu dijaga."
Habri tersengih. Kakinya diangkat naik ke kerusi, memberi ruang untuk ibunya membuang plastik-plastik makanan ke dalam tong sampah. "Okey, ibu. Nanti saya kemas."
"Nanti... nanti..." Puan Fatihah menarik sedikit rambut anaknya. Bau busuk! "Ni mandi tak lagi hari ni?"
Melihat anaknya diam tiada balasan, tahulah dia apa jawapannya. Habri menggerakkan-gerakkan tetikusnya, menghidupkan semula komputernya yang terlelap sebentar tadi. Matanya berselang-seli bergerak dari sosok ibunya dan paparan tulisannya yang masih belum lengkap."Tak apa, ibu. Nanti esok pagi saya mandi."
"Yalah. Kalau tak mandi, ibu suruh kak Hana siram awak pakai baldi esok." Puan Fatihah mencubit lengan anaknya sampai Habri mengaduh kecil. Habri mencebik konon-kononnya terasa seraya tangannya menggosok-gosok lengan. Ibunya pula bukan mahu simpati, siap ketawa kecil.
"Dah, dah. Jangan buat muka macam tu. Ibu ada banyak kerja nak pujuk awak seorang." Puan Fatihah kini berdiri tegak di muka pintu. Sempat dia menawarkan sesuatu kepada anaknya. "Nak ibu buatkan air? Air nescafe kegemaran Habri ke?"
"Tak apalah ibu. Nanti saya makan. Lepas Asar ke? Tak perlu ibu susahkan diri," jawab Habri, ringkas. Seluruh perhatiannya kini tertumpu pada karangan biologi yang perlu disiapkannya.
"Mana ada susahnya. Bukan ibu kena daki gunung sambil kacau air." Puan Fatihah berseloroh kecil. Terbit senyuman kecil pada wajah si anak. Walaupun begitu, jari-jari Habri giat menari-nari pada papan kekunci komputer riba. Khusyuk sangat buat kerja hinggakan kalau ada gempa bumi pun pasti masih larit menaip!
Serupa benar akan arwah suaminya dahulu.
'Selagi tak siap, selagi tulah tak akan rasa lapar...' Hati Puan Fatihah dibuai sayu. Pintu bilik anaknya ditutup, risau Tete si kucing datang mengganggu. Kucing itu pun tidak boleh lihat orang sibuk, pasti dia akan menyelit sama. Perasan watak utama sungguh!
"Meow..." Panjang umur! Baru sahaja mengumpat hal dia.
"Tete lapar ya? Kejap, ibu bubuhkan makanan." Puan Fatihah menunduk, mengusap kepala kucing hitam yang sudah dianggap ubun-ubun anak sendiri. Dia berjalan menuju ke dapur diekori Tete yang berlari keseronokan. Hana yang menonton drama Korea tergelak melihat aksi comel kucingnya. Tak sabar sangatlah itu!
Tawa Hana mati saat kepalanya teralih pada pintu bilik Habri yang dilindungi langsir keunguan itu. Suara-suara pelakon kacak Korea tidak lagi menarik minatnya. Sebaliknya rasa risau yang menyeluruhi dan memerangkap hatinya. Masakan tidak, ya?
Sejak daripada kejadian hospital semalam, Habri langsung tidak keluar daripada bilik. Bagaikan hari-hari sebelum ini. Kadang-kadang dia ada juga dengar kuali berketung-ketang dan pinggan mangkuk berlaga pada waktu malam, menandakan adiknya tidak tidur malam sejak dua menjak ini. Bulan puasa pun kian mendekat.
Apa dia boleh buat untuk tolong adiknya? Diam Hana dalam fikirannya sendiri.
...
Hilai tawa para pekerja di sebalik kaunter menyebabkan kepala Raisha terangkat. Tidak beberapa lama kemudian, satu bebelan mula dilontarkan oleh senior dari belakang dapur. Itulah... sibuk bergosip padahal sekarang waktu bekerja. Erk. Terasa pula mengenang dia, Alisa dan Minha berperangai saling tak tumpah seperti pekerja tadi.
"Ya, tok mummy. Raisha dekat kedai nasi ayam ni. Bibik Qis mengidam katanya. Ya, nanti Raisha baliklah. Hrm... hrm... baik. Bye, tok mummy." Panggilan ditamatkan oleh pihak sebelah. Raisha menjatuhkan kaki yang disilangkan tadi. Tidak manis pula diperhatikan orang tambahan pula dia sedang memakai seluar. Nampak sangat gaya tidak sopan.
Dan... lagi elok dia jauh dari pandangan mata orang, lagi-lagi lelaki.
"Bang, saya nak order nasi ayam kampung... tapi tak nak kampung."
"Kau ingat aku niaga lawak hambar ke?"
Raisha menoleh ke arah pelanggan lelaki yang berceloteh dengan tuan kedai. Sebenarnya, dia tidaklah gemar mana menyantap makanan luar. Lidahnya berselera orang Barat meskipun hakikatnya darahnya berketurunan orang Melayu. Kalau betul-betul mahukan makanan Melayu sekalipun, dia lebih sukakan jika itu masakan bibiknya.
Disebabkan sayang akan bibiknya yang seorang itu, dia senyap-senyap ingin membeli nasi ayam buat bibik Qis. Katanya kempunan makan nasi ayam Kelantan semasa berbual dengannya tengah hari tadi. Jadi, apa salahnya dia menabur sedikit duit untuk wanita itu?
'Tapi bibik Qis tak mention apa-apa pun fasal jurnal. Mungkin bibik Qis memang tak baca agaknya.' Raisha membuat satu kesimpulan yang melegakan hatinya. Dia melekapkan ibu jari pada telefonnya lalu skrin telefon itu bercahaya memaparkan pelbagai aplikasi yang bermacam-macam warna. Aplikasi what'sapp jugalah ditekannya.
Jianying Comel 🙈💕
Macam mana dengan Gopal?
Bukan hari tu aku dengar dia masuk hospital sebab keracunan makanan ke?
Rizal
Ya, memanglah.
Tapi dia dah okey dah sekarang.
Afiq
Katanya ada racun tikus dekat dalam minuman Gopal.
Nasib baiklah tak ada kerosakan pada organ-organ.
Kedai tu pun dalam siasatan polis buat masa sekarang.
Racun tikus?
Siapa pula yang berdendam dengan Gopal pula ni?
Afiq
Itulah tu.
Katanya masih dalam siasatan polis lagi.
"Akak, nasi ayam akak dah siap!"
Panggilan itu memaksa Raisha menutup telefonnya. Tergesa-gesa dia mengambil pesanan itu. Sekeping duit berwarna merah dihulurkan oleh Raisha. Baki bertukar tangan. Akhirnya, sebungkus nasi ayam tiba juga di tangan. Dia sempat mengibas-ngibaskan tudungnya perlahan, melalukan angin masuk menyejukkan leher.
Masuk ke dalam kereta, Raisha menyangkutkan bungkusan itu pada salah satu penyangkut di belakang kerusi. Telefonnya dibuka kembali sementara menunggu enjinnya dipanaskan.
Tangannya menekan aplikasi mesej itu semula. Tetapi, ruangan perbualan lain yang dia tersalah tekan. "Eh, ni mesej kak Husna."
Kak Husna
Raisha tinggal dekat area Puchong, kan?
Boleh tak tolong cari-carikan kucing akak?
Semalam adik akak mesej akak, Tete hilang.
✨✨✨
Aduh, Tete buat perangai pula!
Dan fasal Gopal kena racun tikus tu, boleh rujuk Eternal Love ya. Hahaha bukan racun tikus je Gopal kena tau. *gelak janggal*
Pembaca EL : ...
*ketawa kekok*
Dark Nooroo : 😑
Apa pandang-pandang? Dah, pergi buat cover!
Dark Nooroo : Bukan tu tugas kau ke?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top