BAB 8

Di hujung sempadan Kerajaan Hagan...

TUBUH SEORANG wanita bersalut abu terbaring betul-betul di garis sempadan. Di sebelah sana adalah Kerajaan Jednerog. Sebuah kerajaan yang dihuni oleh makhluk berkuasa sakti. Selama ini kerajaan itu terlindung dari pandangan mata kasar.

"Panglima... jaga anak kita." Gumam wanita itu yang dalam keadaan tidak sedar. Separuh badannya ditimpa salji yang turun. Salji yang hanya turun di kawasan Kerajaan Jednerog sahaja.

Seekor makhluk aneh muncul dan terbang berlegar-legar di udara. Makhluk aneh itu berbentuk seperti seekor kuda tetapi mempunyai sayap. Terdapat tanduk di dahi makhluk itu. Itulah makhluk magis yang mendiami Kerajaan Jednerog. Pegasus unicorn atau dikenali sebagai pegasus. Pegasus itu melakukan pusingan beberapa kali. Mahu memastikan apa yang dilihatnya benar. Seterusnya pegasus itu terbang rendah dan seterusnya berdiri di sisi tubuh wanita itu.

Perlahan pegasus itu menolak tubuh wanita yang sedang terbaring menggunakan hidungnya. Berkali-kali, namun tiada gerak balas. Pantas tubuh itu diapungkan ke udara menggunakan kuasa melalui tanduknya dan dibaringkan di belakangnya. Setelah memastikan semuanya selamat, pegasus itu mengepakkan sayapnya lalu terbang semula ke udara.

Pegasus itu terbang masuk ke tingkap sebuah istana. Bunyi tempikan pegasus itu mengejutkan para pengawal dan dayang istana. Serta-merta pintu bilik terbuka lalu dayang dan pengawal menerpa masuk.

"Ampunkan kami Putera Ardus. Kami..."

"Bantu gadis ini." Pegasus itu bersuara.

Para dayang tunduk hormat. Seterusnya mereka menurunkan gadis itu dan dibaringkan ke atas katil dalam kamar tetamu. Kamar tetamu diraja sudah lama tidak menerima pengunjung.

"Siapa gadis ini, tuan putera?" Tanya Ketua Dayang. Mereka tidak diberitahu akan kehadiran tetamu hari itu. Gadis itu kelihatan comot dengan kesan abu.

"Bersihkan dia dan tukar pakaiannya. Dia tetamu beta." Putera Ardus telah bertukar kepada bentuk manusia, memberi arahan dan seterusnya keluar dari kamar itu. Dia menunggu di luar kamar dengan pertanyaan sarat di benaknya.

Dia tertanya-tanya bagaimana gadis itu bisa menembusi perisai sempadan. Setahunya tidak pernah ada mana-mana rakyat Hagan pernah menembusi perisai itu. Dari pengamatannya gadis itu bukan sebarang manusia. Dan mungkin juga dengan kuasa sakti, gadis itu bisa tembus ke kerajaan mereka.

Pintu terbuka. Seorang dayang muncul. "Tuan putera, kami sudah selesai menukar pakaian gadis itu."

Putera Ardus segera masuk ke kamar. Hatinya meronta-ronta mahu melihat bagaimana rupa gadis itu. Adakah cantik seperti yang dia bayangkan? Para dayang menjauhi katil peraduan. Memberi ruang kepada Putera Ardus.

Putera Ardus terpaku dengan kecantikan milik gadis itu. Sangat jelita walaupun sedang tidur. Lebih jelita dari puteri beradu yang disebut dalam legenda.

Putera Ardus tidak dapat menahan dirinya dari menyentuh pipi gadis itu. Putih licin bagai salji. Bibir merah bak delima. Untuk pertama kali, hatinya bergetar. Putera Ardus menyelak rambut panjang gadis itu. Wajah itu sungguh menawan dan ayu.

"Sungguh indah wajahmu gadis. Siapa namamu dan dari mana asalmu? Adakah kau bidadari kiriman Langit kepadaku?" Putera Ardus membelai pipi gadis itu.

"Permaisuri Inrigo dalam perjalanan ke mari." Salah seorang pengawal masuk membawa berita.

Putera Ardus mengangguk lalu turun dari peraduan. Bondanya pasti akan marah jika melihat perlakuan dia tadi. Dirinya adalah pewaris kerajaan. Seharusnya tidak berhubung dengan orang biasa. Apa lagi makhluk manusia.

"Putera Ardus, siapa gerangan gadis ini?" Permaisuri Inrigo tiba-tiba menerpa masuk. Baginda mengesan bau makhluk yang bukan dari kerajaan mereka. Segera baginda risik menggunakan kuasa sakti. Rupanya putera baginda sendiri membawa pulang makhluk manusia.

Putera Ardus segera mendapatkan bondanya dan tunduk hormat. "Dia terbaring di tengah garis sempadan Hagan dan Jednerog."

"Gadis itu berdarah Phoenix." Permaisuri Inrigo mencium bau darah burung api dari gadis itu. Burung legenda yang biasanya membawa kemusnahan.

"Dia tidak seharusnya berada di sini. Pulangkan dia ke Kerajaan Hagan. Kita tidak tahu siapa gadis ini." Permaisuri Inrigo memberikan arahan dengan nada cemas.

"Bonda... gadis ini cedera parah. Kita rawat dia dahulu. Selepas gadis ini sembuh kita hantar dia pulang." Putera Ardus memujuk bondanya. Dari pengamatannya gadis itu luka parah. Perlukan masa untuk sembuh. Lagi pula dia tidak mahu melepaskan gadis itu pergi. Dia yakin gadis itu adalah bidadari kiriman Langit yang dia pinta dalam doanya.

Permaisuri Inrigo berfikir sebentar. Gadis itu memang kelihatan lemah sekali. Denyut nadi gadis itu juga sangat halus. Kalau tidak dirawat pasti akan mati. Jika gadis itu mati di dalam Istana Kayangan pasti bencana lebih besar akan terjadi.

"Baiklah. Tapi anakanda harus berjanji akan menghantar gadis ini pulang selepas dia sembuh nanti." Permaisuri Inrigo memberi keizinan.

"Terima kasih bonda."

"Namun anakanda harus ingat... jangan pernah jatuh cinta kepada gadis ini. Phoenix dan pegasus tidak boleh bersatu. Bencana akan menimpa kerajaan kita jika anakanda ingkar." Satu amaran Permaisuri Inrigo berikan. Baginda risau jika Putera Ardus punyai niat lain terhadap gadis itu. Baginda harus mencari tahu siapa gadis burung api itu.

"Baik bonda. Anakanda akan sentiasa ingat." Putera Ardus mengiringi bondanya keluar dari kamar. Sudah terlambat amaran dari bondanya. Dia sudah jatuh cinta kepada gadis manusia itu.

"Sentiasa ingat, anakanda. Jangan jatuh cinta kepada Phoenix itu." Sekali lagi Permaisuri Inrigo mengingatkan. Entah kenapa hati baginda disapa rasa kurang enak. Seolah-olah ada sesuatu akan berlaku disebabkan gadis itu.

"Bonda, yakinlah dengan anakanda. Niat anakanda hanya mahu membantu gadis itu." Putera Ardus memberikan jaminan.

"Baiklah. Bonda percaya. Bonda mahu menemui ayahanda sebentar."

"Bonda tolong jangan beritahu ayahanda dahulu. Nanti ayahanda halau gadis itu. Kasihan dia." Rayu sang putera. Jika ayahandanya tahu pasti gadis itu akan dirawat di kamar perawatan. Maka tiada peluang untuk dia berdampingan dengan gadis itu.

"Baiklah. Tapi anakanda harus berjanji akan menghantar gadis itu kembali ke Hagan sebaik sahaja dia sembuh." Permaisuri Inrigo ragu-ragu dengan permintaan puteranya. Mengapa Putera Ardus mahu menyembuhkan gadis itu sendiri? Bukankah ada pegasus perawat yang mampu merawat gadis itu agar sembuh lebih cepat?

"Anakanda berjanji, bonda."

"Baiklah. Bonda pegang janji anakanda. Jika ingkar anakanda akan dihukum seberatnya. Ketua Dayang, ikut beta." Permaisuri Inrigo dan rombongan pengiring baginda beredar dari situ.

Ketua Dayang mengekori Permaisuri Inrigo. Pasti permaisuri itu akan menyampaikan arahan khusus buatnya. Sementara itu Putera Ardus kembali ke kamar.

"Kamu semua boleh keluar sekarang!" Putera Ardus memberi arahan. Dia mahu berdua-duaan dengan gadis itu.

Sebaik sahaja para dayang keluar, Putera Ardus melabuhkan duduk di birai peraduan. Dengan diiringi senyuman, matanya menjelajah ke segenap inci wajah gadis itu.

"Beta akan panggil kamu Iris." Putera Ardus membelai pipi Iris. Keinginan untuk bibirnya menjamah pipi mulus gadis itu membuak-buak. Mukanya ditundukkan dengan bibir hampir mencecah pipi Iris.

"Ampun tuanku. Ketua Dayang mohon menghadap." Kedengaran laungan dari luar.

Putera Ardus terpaksa membatalkan niatnya. Dia mendengus kasar sambil membetulkan duduknya. Lalu dia melaung, "Masuk."

Pintu terbuka. Ketua Dayang muncul dengan beberapa Pegasus Perawat. Lantas mereka semua memberi tunduk hormat kepada Putera Ardus.

"Ada apa semua ini?" Putera Ardus tidak mengerti. Dia tidak mengarahkan sesiapapun untuk datang membantu.

"Arahan dari Permaisuri. Pegasus perawat akan bergilir merawat gadis ini sehingga sembuh."

"Tapi beta boleh sembuhkannya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Beta tidak perlukan bantuan kamu semua. Keluar dari sini!" Putera Ardus mengusir semua yang ada di situ. Dia tidak mahu rancangannya hancur.

"Ampun tuanku. Arahan baginda permaisuri sudah jelas. Baginda menghantar bantuan agar gadis ini sembuh segera. Jika tuanku ingkar, baginda permaisuri akan memberitahu akan kewujudan gadis ini kepada baginda raja."

Putera Ardus terpaksa mengalah. Dia tidak mahu ayahandanya tahu akan kehadiran gadis itu. Dengan lemah dia mengangguk.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top