BAB 4

"LINDUNGI PUTERI Adelita dengan nyawa kamu sendiri!" Titah Raja Maksim. Pasukan tentera mereka gagal mempertahankan Pelabuhan Hagan. Bila-bila masa sahaja tentera Kerajaan Quyen akan menyerang istana. Para pembesar istana dan juga panglima sudah melakukan persiapan untuk mempertahankan istana.

"Menjunjung titah tuanku." Panglima Taekai tunduk hormat.

"Ayahanda, biarlah anakanda mengalah. Kita terima sahaja lamaran Raja Qusay." Rayu Puteri Adelita. Jika perang boleh dielakkan, dia sanggup korbankan diri.

"Anakanda... kau terlalu berharga. Tidak mungkin ayahanda izinkan anakanda menjadi gundik Raja Qusay. Lagi pula, kerajaan kita tidak akan tunduk kepada manusia kejam sebegitu. Baginda hanya mahukan Bukit Edu."

Puteri Adelita hanya tunduk. Bukit Edu adalah harta berharga kerajaan mereka. Lebih dikenali sebagai telaga emas. Lamaran yang datang dari kerajaan lain bukanlah lamaran untuk dia, melainkan mahu berkongsi kekayaan Kerajaan Hagan. Raja Qusay adalah salah seorang dari raja yang melamarnya. Namun Raja Qusay sangat dikenali kerana sifat buas dan kejamnya. Membunuh sesuka hati, ibarat menukar pakaian.

Raja Qusay telah pun mempunyai seorang permaisuri dan 20 puluh orang gundik. Puteri Adelita akan menjadi gundik ke 21. "Kerajaan kita dan rakyat tetap akan menderita sekalipun anakanda menjadi gundik Raja Qusay. Kekayaan kita, baginda akan kuras sampai tidak bersisa."

Puteri Adelita mengalirkan air mata. Titah ayahandanya sudah jelas. Sebentar tadi Kalsum mereka tinggalkan di Istana Mawar bagi menggantikan kedudukannya. Panglima Varya akan menyamar di Istana Besar. Ini untuk mengelirukan tentera Raja Qusay dan sekali gus memberi dia dan Panglima Taekai masa untuk melarikan diri.

"Ampun tuanku." Panglima Roul datang menghadap.

"Ada apa panglima?"

"Patik sudah arahkan para wanita dan kanak-kanak berpindah ke Gua Ciadien. Mereka semua sudah mula bergerak ke sana. Puteri Adelita hanya perlu menyusul, tuanku. Setelah tuan puteri masuk, barulah pintu gua akan ditutup menggunakan jampi. Puteri harus segera berangkat sebelum tentera Raja Qusay mengesan kedudukan Gua Ciadien."

Raja Maksim mengangguk faham. Saat untuk baginda dan puterinya untuk berpisah sudah tiba. Baginda turun dari takhta lantas mendapatkan Puteri Adelita. Satu-satunya waris yang baginda ada untuk membangunkan Kerajaan Hagan kelak. Gua Ciadien terletak jauh di dalam hutan dan dilindungi dari mata kasar dengan jampi.

"Anakanda janji dengan ayahanda akan jaga diri baik-baik. Ikut segala arahan Panglima Taekai."

"Baik ayahanda." Puteri Adelita memeluk ayahandanya.

"Panglima Varya... segera bertukar pakaian dengan Puteri Adelita!"

Puteri Adelita memandang ayahandanya buat kali terakhir. Berat hatinya untuk meninggalkan istana dan ayahandanya. Perpisahan ini mungkin untuk selama-lamanya. Puteri Adelita memberi isyarat kepada Panglima Taekai untuk mengiringi baginda ke bilik persalinan bersama Panglima Varya. Panglima Taekai masuk ke bilik persalinan satu lagi untuk menukar pakaian. Panglima itu akan menyamar sebagai orang tua.

"Maafkan beta, Varya. Jasa kamu tak dapat beta balas." Puteri Adelita menyerahkan persalinan diraja Hagan kepada Panglima Varya. Segala perhiasan dan alat kebesaran ditanggalkan. Kesemuanya diserahkan kepada Panglima Varya. Dia memakai pakaian rakyat biasa sahaja. Satu-satunya perhiasan yang dia pakai adalah Kalung Batu Ignis. Pesanan ayahanda tadi, dia hanya boleh bercerai mati dengan kalung itu.

"Sudah menjadi tanggungjawab patik sebagai pelindung tuanku. Patik hanya minta tuanku menjaga adinda patik, Vashti. Dia akan menjadi dayang pengiring tuanku bila tiba di Gua Ciadien nanti."

Mereka sudah siap berpakaian. Panglima Varya adalah satu-satunya panglima wanita Kerajaan Hagan. Menjadi pelindung Puteri Adelita sejak mereka sama-sama menginjak remaja. Tetapi hari ini Panglima Varya perlu bertukar tempat dengannya.

"Doa beta untuk kamu, Panglima Varya. Semoga kamu tidak akan ditimpa bencana." Hari ini tiada protokol yang perlu dipatuhi. Puteri Adelita memeluk Panglima Varya. Berat hatinya untuk mengizinkan pengiringnya bertukar tempat dengan dia. Menggantikan tempat dia bermakna harus berdepan kematian. Arahan ayahanda sesuatu yang tidak boleh dia bantah. Air mata Puteri Adelita mengalir perlahan.

"Terima kasih tuanku."

"Tuan puteri, tiba saatnya untuk kita pergi." Panglima Taekai mengetuk pintu.

Puteri Adelita dan Panglima Varya keluar dari bilik persalinan. Panglima Taekai sudah pun bersalin pakaian. Dia menyamar sebagai lelaki tua. Hampir sahaja Puteri Adelita tidak mengenali panglima gagah itu.

"Kita keluar melalui laluan tikus tuan puteri." Panglima Taekai memberi arahan. Namun kelihatan Puteri Adelita masih melengahkan masa.

"Panglima, izinkan beta..." Puteri Adelita kelihatannya mahu kembali ke Balairung Seri.

"Tuanku harus segera pergi sekarang." Panglima Varya menghalang pergerakkan Puteri Adelita. "Tentera Raja Qusay sudah tiba di Sungai Emerald!"

"Beta mahu berjumpa ayahanda."

Panglima Varya memberi isyarat agar Panglima Taekai membawa Puteri Adelita keluar secara paksa. Pantas Panglima Taekai mengenakan jampi penurut ke atas Puteri Adelita.

"Ampunkan patik, tuanku." Panglima Taekai meraih lengan Puteri Adelita.

Dengan jampi penurut, puteri itu terpaksa mengikut apa sahaja arahan Panglima Taekai. Kaki melangkah tanpa kerelaan hatinya. Mereka keluar secara tergesa-gesa seperti yang mereka rancang. Keluar sahaja dari laluan tikus, Panglima Taekai membawa Puteri Adelita masuk ke dalam hutan. Mereka bakal menyertai rakyat yang sudah lama keluar dari rumah masing-masing.

Dari jauh kelihatan kanak-kanak dan wanita berjalan menuju ke Gua Ciadien. Tiada siapa di antara hamba rakyat yang pernah melihat rupa Puteri Adelita. Panglima Taekai menyelit masuk ke dalam barisan yang panjang itu. Dia berjalan perlahan sambil merangkul lengan Puteri Adelita.

"Tuan puteri harus berjanji tidak akan menimbulkan huru-hara di sini sebelum patik padamkan jampi ini." Bisik Panglima Taekai. Selagi tiada siapa tahu identiti mereka, keselamatan mereka masih terjamin.

Puteri Adelita mengangguk.

"Sekarang giliran tuan puteri memapah patik yang tua ini." Panglima Taekai bergerak perlahan.

"Panggil kita Adelita. Tentu panglima tidak mahu penyamaran kita terbongkar."

Panglima Taekai mengangguk. Namun timbul musykil. Apa panggilan yang sesuai untuk Puteri Adelita memanggilnya memandangkan mereka berlakon sebagai datuk dan cucu?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top