BAB 2
"AYAHANDA KITA tahu?" Tanya Puteri Adelita sebaik mereka sampai di pertengahan perjalanan. Jika Panglima Taekai sudah tahu, tidak mustahil ayahandanya juga sudah tahu. Panglima Taekai langsung tidak bersuara sejak mereka keluar dari lorong tadi dan sekarang mereka hampir tiba di Sungai Emerald.
Panglima Taekai mengangguk.
"Habislah kita, ayahanda pasti murka. Kita keluar istana tanpa keizinan. Kita hampir timbulkan huru-hara di pasar." Puteri Adelita membayangkan apa hukuman yang menanti dia setibanya di istana kelak.
"Baginda tuanku sudah menitahkan hukuman pancung buat Panglima Varya dan Dayang Kesuma."
"Pancung? Panglima tidak berbohong?" Puteri Adelita terperanjat. Terus dia berdiri di hadapan lelaki itu. Matanya memandang tepat mata Panglima Taekai. Mencari kebenaran kata-kata panglima itu. Dia seakan tidak percaya. Panglima Varya dan Dayang Kesuma teman rapatnya di istana. Tidak sepatutnya mereka berdua terhukum kerana olahnya.
Panglima Taekai mengalihkan pandangannya. "Kami para panglima dapat berkomunikasi melalui fikiran. Apa yang Panglima Varya fikirkan, kami akan tahu. Sebaik sahaja Panglima Varya sedar tuanku menyamar, dia arahkan patik untuk menunggu tuanku keluar dari istana."
"Jadi panglima..." Puteri Adelita tidak tahu tentang semua itu. Namun sekarang dia harus selamatkan Panglima Varya.
"Patik mengekori tuanku sejak tuanku keluar dari laluan tikus tadi."
"Jika begitu, kenapa tidak dari awal panglima menangkap beta?" Keras suara Puteri Adelita.
Panglima Taekai tidak menjawab. Haruskah dia beritahu kebenarannya? Dia terleka memerhatikan senyuman puteri itu hingga tidak sedar mereka sudah tiba di pasar.
"Sebaiknya tuan puteri berfikir tentang orang-orang di sekeliling tuan puteri sebelum mengambil sebarang tindakan. Nyawa tuan puteri adalah keutamaan bagi Panglima Varya. Jauh lebih penting dari nyawanya sendiri. Barangkali Panglima Varya sudah menanti di hadapan tukang pancung."
"Panglima, kita harus lekas tiba di istana!" Puteri Adelita melanggar batas seorang puteri dengan menyentuh tangan Panglima Taekai tidak berlapik.
Panglima Taekai terkejut. Terus dia tarik tangannya. Pertama kali disentuh seorang wanita. Hukuman bagi hamba rakyat menyentuh bangsawan adalah berat apatah lagi menyentuh seorang puteri. Cepat-cepat Panglima Taekai mengenakan sarung tangannya kembali.
"Baik tuan puteri. Patik akan arahkan pengawal membawakan kereta kuda." Kali ini Panglima Taekai menjarakkan kedudukannya dari Puteri Adelita lebih jauh dari tadi.
"Beta tahu panglima ada kuasa sepatu angin. Beta harus sampai cepat ke istana. Beta tidak mahu kedua-dua sahabat beta dipancung." Puteri Adelita merayu dengan air mata berlinangan. Dia menggoncangkan tangan Panglima Taekai sambil merayu.
"Tuan puteri, jika menggunakan sepatu..."
"Beta tidak peduli. Anggap ini arahan dari beta!" Puteri Adelita bersuara tegas.
Panglima Taekai menjadi serba salah. Menyentuh Puteri Adelita sudah menjadi kesalahan besar. Apatah lagi terpaksa memeluk tubuh puteri itu sepanjang menggunakan sepatu angin. Dia pasti akan dihukum pancung.
"Menjunjung titah tuanku." Panglima Taekai menunduk hormat. Dia mendekatkan kedudukannya dengan Puteri Adelita. Dia ragu-ragu untuk memeluk puteri itu.
"Ayuh panglima! Cepat!"
"Maafkan patik, tuan puteri. Patik..." Panglima Taekai memeluk pinggang Puteri Adelita. Arahan tetap harus dipatuhi sekalipun nyawanya bakal melayang. "Tuan puteri harus juga memeluk patik."
Puteri Adelita mengangguk. Tangan dilingkarkan di pinggang Panglima Taekai. Matanya bersabung dengan mata redup Putera Taekai. Satu perasaan aneh muncul. Dia berpelukan dengan lelaki yang selama ini hanya memerhatikannya dari jauh. Mata panglima itu seakan menyimpan satu rasa.
"Tuan puteri boleh pejamkan mata jika takut." Putera Taekai bersuara untuk menghilangkan gemuruhnya. Berada sedekat itu dengan Puteri Adelita membuatkan dadanya hampir meletup.
Puteri Adelita pejamkan mata saat terasa kakinya terapung. Sebaik sahaja mereka bergerak, Puteri Adelita memeluk erat tubuh Panglima Taekai. Risau kalau dirinya terlepas terbang entah ke mana. Apa yang dia rasa hanyalah angin menampar pipinya.
Panglima Taekai mengambil kesempatan memerhatikan wajah jelita puteri itu. Mungkin ini kali terakhir dia akan menyaksikan semua itu. Ingin sahaja tangannya menyentuh pipi puteri itu. Untuk kali pertama dan terakhirnya. Pastinya saat pulang ke istana nanti dia akan dihukum pancung kerana menyentuh Puteri Adelita.
"Tuan puteri boleh buka mata. Kita sudah sampai."
Lembut suara Panglima Taekai menyapa telinganya. Perlahan Puteri Adelita membuka mata. Wajah kacak panglima itu menyapa matanya. Seterusnya dia melepaskan pelukan namun hampir terjatuh kerana tidak dapat mengawal diri. Mujur tubuhnya disambut Panglima Taekai.
"Tuan puteri! Tenang. Tarik nafas dahulu. Ini kali pertama tuan puteri bergerak menggunakan sepatu angin. Tubuh tuan puteri..."
"Beta faham panglima. Tapi beta harus cepat. Beta terdengar bunyi gong hukuman." Puteri Adelita melepaskan tangan Panglima Taekai. Dia terus berlari masuk ke dalam kawasan istana. Berlari selaju mungkin ke tapak hukuman.
Panglima Taekai mahu mengekori Puteri Adelita namun dia ditahan seseorang. Terus Panglima Taekai menoleh. Panglima Roul. Wajahnya bertukar pucat.
DI TAPAK hukuman, Panglima Varya dan Dayang Kalsum sedang diikat di tiang. Puteri Adelita segera berdiri di tengah-tengah antara mereka. "Ayahanda! Anakanda pohon jangan hukum Dayang Kalsum dan Panglima Varya."
Raja Maksim terkejut melihat puteri baginda. Tiada siapa akan mengenali perempuan itu sebagai Puteri Adelita kalau bukan kerana kalung kebesaran yang dipakai.
"Anakanda tahu apa hukuman terhadap orang yang cuai..."
Puteri Adelita bertindak nekad. Terus dia mencabut pedang yang tersisip di pinggang pengawal dan diletakkan di lehernya sendiri. "Jika ayahanda tidak mengampunkan mereka, anakanda akan menghukum diri anakanda sendiri."
Tindakan puteri itu membuatkan Raja Maksim tergamam. Begitu juga dengan semua yang ada di situ. Bukan sekali puterinya melakukan kesalahan tapi berkali-kali. Namun kali ini kesalahan amat besar. Keluar dari istana seorang diri tanpa keizinan malah menyuruh orang lain menyamar sebagai puteri.
"Kali ini beta lepaskan Dayang Kalsum dan Panglima Varya. Puteri Adelita diperintahkan dikurung di dalam Istana Mawar. Tidak diizinkan keluar walaupun untuk ke Istana Besar atau taman." Usai berkata-kata Raja Maksim berlalu dengan diiringi pengawal pengiring dan dayang.
Raja Maksim segera masuk ke Balairung Seri dan duduk di atas takhta. Puteri Adelita satu-satunya pewaris kerajaan. Baginda tahu pada usia ini memang anak-anak akan banyak memberontak. Nakalnya puteri itu melebihi seorang putera.
"Tuanku." Perdana Menteri Neolan masuk menghadap secara tergesa-gesa. Menunduk hormat dengan muka yang agak pucat.
"Ada apa mamanda menteri?"
"Utusan Raja Qusay menanti di luar istana, tuanku."
"Apa maksud mamanda menteri?" Raja Maksim bingkas bangun dan turun dari takhta mendekati Perdana Menteri Neolan. Baginda sedia maklum siapa Raja Qusay.
"Baginda Raja Qusay mahu melamar Puteri Adelita. Jika kita menolak, mereka akan serang Kerajaan Hagan. Mereka tiba dengan kapal-kapal perang tuanku." Terang Perdana Menteri Neolan. "Saat ini bala tentera Raja Qusay sedang mengepung Negara Hagan. Raja Qusay sendiri turut serta, tuanku."
Raja Maksim tahu yang saat ini tiada pilihan lain selain menerima lamaran Raja Qusay. Haruskah dia mengorbankan puterinya demi hamba rakyat?
"Lamaran itu hanya helah Raja Qusay untuk menguasai Bukit Edu. Bukit emas yang menjadi sumber kekuatan ekonomi kita."
"Mamanda menteri bersegeralah berjumpa dengan Raja Qusay. Minta tempoh dari mereka. Titahkan semua panglima dan menteri pertahanan masuk menghadap beta di kamar urusan negara." Raja Hagan berharap ada buah fikiran dari menteri dan panglima untuk mengelak bencana ini.
"Menjunjung titah tuanku." Perdana Menteri Neolan menunduk sembah sebelum keluar dari Balairung Seri.
Tinggal Raja Hagan seorang diri mundar mandir sambil memikirkan tindakan yang patut diambil untuk mempertahankan Kerajaan Hagan tanpa mengorbankan Puteri Adelita.
"Ampun tuanku! Panglima Taekai masuk menghadap." Panglima Taekai menunduk sembah.
"Panglima Taekai datang ke sini atas arahan perdana menteri?" Raja Maksim agak pelik kerana tidak sampai beberapa ketika perdana menteri keluar dari Balairung Seri Istana.
"Tidak tuanku. Patik datang untuk menerima hukuman." Putera Taekai melutut sambil menatang pedangnya. "Patik membawa tuan puteri pulang ke istana menggunakan kuasa sepatu angin. Patik sedia dihukum pancung tuanku."
Fahamlah baginda sekarang kenapa Panglima Taekai melutut sambil menatang senjata. Memang adat panglima jika terasa bersalah akan minta dihukum menggunakan senjatanya sendiri. Baginda juga maklum kuasa sepatu angin pasti membuatkan panglima itu bersentuhan tubuh dengan Puteri Adelita.
"Beta akan jalankan hukuman sebaik sahaja kita keluar dari bencana ini." Saat itu bukan masa yang sesuai untuk menghukum Panglima Taekai. Kerajaan Hagan masih memerlukan khidmat bakti panglima muda itu.
"Bencana apa tuanku?" Tanya Panglima Taekai.
"Saat ini Kerajaan Hagan umpama genting menanti putus; biang menanti tembuk."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top