BAB 1
"Tuan Puteri jangan lari... panglima tolong." Seorang dayang berlari sambil berteriak menuju ke kawasan hutan.
Di belakang dayang itu, Panglima Varya yang juga turut mengejar. Namun agar sukar bagi Paglima Varya yang memakai gaun sutera untuk berlari laju.
Sejurus selepas dayang dan Panglima Varya masuk ke dalam hutan, seorang gadis keluar dari bangsal kuda. Gadis itu tersenyum kemegahan. Akhirnya dia lepas dari orang-orang yang selalu mengekorinya. Dia adalah Puteri Adelita.
Puteri Adelita memakai pakaian orang kebanyakan. Gaun labuh yang lusuh dan juga sandal jerami. Tiada sebarang perhiasan kebesaran dan tanda yang dia adalah puteri dan bakal pemerintah Kerajaan Hagan.
"Cuaca indah sekali. Langit bagaikan memberi izin kepada kita untuk mengecap kebebasan." Puteri Adelita mendongak ke arah langit. Tangan dinaikkan untuk melindungi matanya yang silau. Pagi bakal beranjak ke tengah hari tidak lama lagi.
Dengan hati yang berbunga Puteri Adelita meninggalkan bangsal kuda. Perlahan dia menyelinap melalui laluan rahsia yang dia gelar laluan tikus oleh dayang-dayang istana. Ada kalanya dia keluar bersama dayang untuk meneroka kehidupan luar istana tapi biasanya mereka hanya sampai ke Sungai Emerald. Panglima Varya sentiasa dapat menangkapnya. Namun kali ini dia pastikan Panglima Varya tidak mampu menangkapnya. Dia sudah titahkan Panglima Varya memakai gaun sutera tadi.
Tidak seperti biasanya, kali ini dia keluar seorang diri. Kesuma, dayang kepercayaannya telah berlari ke hutan memperdayakan dayang-dayang lain dan juga Panglima Varya. Sudah lama dia mengimpikan untuk melihat sendiri suasana luar istana. Terutama melihat pasar.
Puteri Adelita berjalan sambil tersenyum riang. Sesekali dia terserempak dengan hamba rakyat. Dia hadiahkan senyuman. Udara segar dihirup sepuas-puasnya. Dan mata melihat pemandangan indah taman bunga dan padang ragut sebelum tiba ke Tasik Emerald. Dia berhenti sebentar di padang ragut untuk melihat sekawan lembu sedang meragut rumput. Pemandangan yang jarang dia lihat. Pohon Emerald tampak gah disimbah cahaya matahari.
Perjalanan diteruskan. Dia akan melepasi jambatan tidak lama lagi. Sebaik kaki tiba di jambatan, Puteri Adelita pusingkan kepala ke kiri dan ke kanan. Terukir senyum setelah dia pasti tiada siapa yang mengekori. Kaki terus melangkah.
"Tasik Hula, kali ini beta... oops..." Tangan menutup mulutnya sendiri dan ketawa. "Lupa... hari ini nama kita Adelita."
Tanpa berlengah lagi Puteri Adelita melangkah melalui jambatan Sungai Emerald. Jambatan itu merupakan satu-satunya jalan keluar dari Istana Kota menuju ke pasar. Senyuman masih lagi terukir. Membayangkan keseronokan yang dia akan tempuhi di pasar nanti Puteri Adelita rasa teruja. Janjinya kepada Kesuma akan pulang sebelum matahari terbenam.
"Wah pasar." Teruja dia melihat papan tanda Pasar Hula. Terus dia hayun langkah masuk ke kawasan pasar.
"Bau apa ni?" Puteri Adelita menutup hidungnya. Bau yang sangat kurang menyenangkan. Sedang dia berjalan perlahan tiba-tiba tubuhnya ditolak dari belakang menyebabkan dia tersembam jatuh. Tiada siapa yang membantu, dia bangun sendiri dengan berpaut pada salah satu meja jualan.
"Arrgh!!!" dia menjerit sebaik sahaja terlihat kepala lembu dan kepala kambing di atas meja jualan.
"Kenapa cik?"
Puteri Adelita menggeleng dan terus beredar dari situ. Seumur hidupnya ini kali pertama dia melihat kepala kambing dan kepala lembu. Namun itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus meneroka pasar. Kakinya terus melangkah.
Tap!Tap!Tap!
Rasa gerun mula muncul melihat seorang penjual dengan memotong ayam. Pisau yang lebar dan tajam itu menimbulkan perasaan ngeri. Dia teruskan langkah. Kali ini dia terlihat lembu di gantung pada pencangkuk. Seorang lelaki sedang melapah lembu itu.
"Tiada apa yang menarik di pasar. Busuk. Kata dayang seronok. Ada menjual barang perhiasan. Kita mahu balik." Puteri Adelita pusingkan tubuhnya dan ayun langkah untuk kembali pulang ke istana.
"Cik adik lawa ni dari mana. Kita tak pernah nampak cik adik sebelum ni."
Sekumpulan lelaki berdiri menghalang laluan Puteri Adelita. Dia tunduk, tidak berani mengangkat wajah. "Maaf kita kena balik is.. balik rumah."
"Petai, Jering... nampaknya kita ada pelawat istimewa." Lelaki itu menyeringai seronok.
"Durian, kita patut adakan sambutan istimewa untuk cik adik manis ni." Jering menjeling ke arah Durian dan Petai.
"Bagi laluan untuk kita balik."
"Awal lagi hendak balik. Pasar baru dibuka. Mari kita tunjuk apa yang menarik dekat sini." Durian cuba meraih tangan Puteri Adelita namun gagal.
"Kita mahu balik. Tolong bagi laluan." Puteri Adelita mengundur selangkah ke belakang. Dia mengintai dari ekor matanya. Tiada siapa yang mempedulikan mereka. Peluh mula merecik. Tiada pengiring yang boleh diharapkan untuk menolong saat ini. Tiada Panglima Varya yang akan melindunginya.
Setelah dia yakin dirinya tidak akan terlepas, Puteri Adelita berpusing dan lari menyelinap masuk ke salah sebuah lorong di pasar itu. Dia berlari laju melanggar semua yang ada dengan harapan akan berjumpa dengan jalan keluar. Namun hampa kerana jalan yang dilaluinya adalah jalan mati. Di hujung jalan terdapat sebuah tembok tinggi.
"Cik adik hendak lari ke mana?"
Puteri Adelita berpusing. Dia mengundur ke belakang hingga badannya terkepung. Tiada jalan untuk dia lari. Benar kata ayahanda, dunia luar amat berbahaya buatnya.
"Cik adik akan jadi penghibur kami. Menyerah sajalah. Jangan lari." Sekali lagi Durian cuba meraih tangan Puteri Adelita.
"Jangan sentuh kita!" Puteri Adelita berteriak. Namun tiada siapa yang akan mendengar teriakkannya.
"Cik adik berteriak pun tiada guna. Pasar ini di bawah pengaruh kami. Apa yang terjadi tiada siapa akan tegur." Jering ketawa melihat usaha sia-sia gadis itu. Mereka adalah samseng pasar. Tiada siapa yang akan berani menegur.
Puteri Adelita mengangkat mukanya. Dia bakal mati di tangan lelaki-lelaki yang berwajah menggerunkan itu. "Tolong lepaskan kita." Puteri Adelita menangis teresak-esak
"Kami akan lepaskan cik adik selepas kami puas bergembira." Pemuda bertubuh kurus itu bertindak lebih berani dengan menyentuh rambut Puteri Adelita.
Pang! Tiba-tiba tangan pemuda itu terasa sakit dipukul sesuatu. Dia terpinga-pinga. Kepala ditolehkan ke kiri, saling berpandangan dengan sahabatnya. Kepala ditolehkan ke kanan. Seorang lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi berdiri di sebelahnya.
"Tidak wajar menyentuh wanita yang bukan milikmu," ujar lelaki tadi.
"Wanita ini juga bukan milik kamu. Sebaiknya tidak perlu masuk campur urusan kami." Durian tunjukkan muka bengisnya. Dia tunjukkan juga buku lima di tangannya.
"Mana kau tau wanita ini bukan milik aku." Lelaki itu menolak sedikit topinya menggunakan hulu pedangnya. Pedang itulah yang dia gunakan untuk mengetuk tangan Durian tadi.
Sebaik terlihat wajah lelaki itu, Puteri Adelita ukirkan senyum. Dia sudah selamat sekarang. Namun lelaki-lelaki tadi masih mengepungnya.
"Seorang jejaka budiman tidak akan membiarkan wanitanya berjalan seorang diri di pasar. Sejak awal wanita ini masuk dia hanya berseorangan. Lagi pula tiada bukti wanita itu sudah dimiliki. Tiada gelang tanda." Jering perasan ada sesuatu yang tidak kena. "Atau dia bukan wanita sembarangan."
"Kau siapa sebenarnya?" Durian menolak topi lelaki tadi dengan kasar. Topi itu terjatuh dan memperlihatkan rupa lelaki itu. Serta-merta wajah Durian bertukar pucat.
"Pan...gli...ma Tae...kai." Jering tergagap-gagap menyebut nama itu. Petai cuba untuk lari namun dia terkepung oleh pengawal pasar yang tiba-tiba entah dari mana.
"Sudah lama kalian bermaharajalela di pasar. Memeras ugut semua penjual. Menculik dan memperkosa gadis. Tiada siapa berani mengadu kerana takut. Tapi hari ini kalian bertiga tidak akan terlepas."
Durian dan Petai terketar-ketar ketakutan. Selama ini mereka hanya mendengar nama Panglima Taekai. Hanya Durian seorang yang pernah bertemu panglima itu.
"Kalian bertiga akan dihukum pancung!"
"Pancung? Mengapa?" tanya Taekai.
"Kalian lihat kalung gadis itu." Putera Taekai beranjak sedikit memperlihatkan Puteri Adelita di belakangnya.
Buntang mata mereka melihat kalung berlambang matahari di dada gadis itu. Sama persis dengan bentuk matahari pada bendera Kerajaan Hagan. Tahulah mereka siapa gadis itu. Nampaknya mereka tidak dapat mengelak dari hukuman pancung.
"Bawa mereka ke istana!" arah Panglima Taekai. Para pengawal segera melakukan kerja mereka.
Tanpa menghiraukan Puteri Adelita, Panglima Taekai segera berlalu dan mendapatkan kudanya. Urusan dia sudah selesai. Pengawal akan membawa Puteri Adelita pulang ke istana.
"Panglima, tunggu kita." Puteri Adelita mengejar Panglima Taekai. Namun selepas seketika... "Aduh." Dia tunduk memeriksa sandalnya. Nampaknya dia terpaksa berjalan kaki kerana sandalnya sudah putus. Kakinya juga luka kerana berlari tadi.
Puteri Adelita duduk di atas batu sambil cuba membetulkan sandalnya. Namun apalah yang dia tahu. Selama ini dia hanya memakai sepatu sutera.
"Tuan Puteri."
Puteri Adelita mendongak. Dia sangka panglima itu meninggalkannya seorang diri. Rupanya masih ada di sini. Di tangan panglima itu ada sepasang sepatu kain.
"Izinkan hamba tuan puteri." Panglima Taekai tunduk. Dia menanggalkan sandal jerami Puteri Adelita. Terlihat luka di tapak kaki puteri itu. Puteri Taekai membaca mantera untuk memulihkan luka. Serta-merta luka di kaki puteri itu hilang. Usai itu dia sarungkan sepatu tadi ke kaki Puteri Adelita dengan berhati-hati.
Puteri Adelita mengambil kesempatan mengintai wajah panglima itu. Sangat kacak. Persis seorang putera. Tapi sayangnya hanya seorang panglima. Panglima Taekai juga seorang yang sangat berhati-hati. Dia menggunakan sarung tangan saat menyarungkan sepatu.
"Kita tunggu kereta kuda tiba." Panglima Taekai bangkit.
"Panglima seeloknya kita berjalan kaki sahaja untuk mengelak curiga hamba rakyat. Panglima boleh arahkan pengawal bergerak dahulu." Puteri Adelita memberi cadangan memandangkan tidak mahu sesiapa curiga.
"Baik tuanku." Panglima Taekai tunduk hormat. Seterusnya dia mengarahkan askar bergerak ke istana terlebih dahulu.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top