10 | CIMMERIAN
"Sibuk, ke?" soal Farrel apabila dia melangkah masuk ke dalam pejabat Kayla itu. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi di hadapan meja kerja gadis itu.
"Sikit." balas Kayla sambil sibuk menaip menggunakan papan kekunci.
Matanya ralit memerhati skrin komputernya.
"Nanti Zafran datang." ujar Farrel lalu mencapai satu fail di atas meja kerja Kayla itu.
Diselak helaian demi helaian isi dalam fail itu.
Berkerut dahi Kayla dibuatnya. Dia menoleh memandang Farrel dengan hairan.
Zafran nak datang? Buat apa pula lelaki itu ingin datang?
"Kenapa pula dia nak datang?" tanya Kayla pelik.
Fokusnya terganggu gara-gara pernyataan Farrel itu. Anak matanya menatap Farrel yang sibuk membelek fail kerjanya.
"Dia ada meeting dengan Derick tadi. Selepas ini, dia nak ajak lunch. Kau nak tahu tak muka Derick macam mana tadi? Macam harimau hilang anak. Garang semacam." balas Farrel lalu tertawa kecil.
Derick masih lagi tidak boleh menerima keputusan Kayla yang satu itu. Tidak habis-habis ingin menayang wajah tidak puas hati apabila berkenaan dengan Zafran.
"Tak habis-habis lagi dia itu. Pasal lunch itu pula. Dia ke yang kata? Dia ajak aku sekali, ke?"
Farrel menutup fail di tangannya itu lalu meletakkannya di tempat asal. Badan disandarkan pada kerusi dengan selesa.
"Ha'ah. Dia ajak kau seorang tapi kau jangan risau. Aku selaku sahabat kau yang paling baik, aku akan teman kau."
Farrel menepuk dadanya dengan penuh bangga apabila menggelar dirinya sebagai sahabat Kayla yang paling baik.
Terjongket kening Kayla sebaik sahaja mendengar apa yang diperkatakan Farrel itu. Dia memincingkan matanya memandang lelaki itu.
"Zafran nak belanja makan?"
Tersengih Farrel dibuatnya apabila Kayla serkap jarang.
Kayla mencebik menyampah. Dia sudah agak niat sebenar Farrel.
Dasar mengambil kesempatan dalam kesempitan. Ada-ada saja sikap Farrel itu yang membuatnya naik menyampah.
Bila disuruh belanja makan bukan main kedekut tapi bila ada yang nak belanja bukan main laju tawar diri.
"Kau ini memang kedekut taik hidung masin, kan? Dasar muka tembok China. Orang tak ajak tapi buat muka tak malu serah diri." tutur Kayla menggunakan ayat kiasannya.
Tergeleng kepalanya dengan tingkah Farrel itu.
Farrel hanya menayang sengih sejak tadi. Dia faham dengan ayat kiasan gadis itu. Bukanlah susah mana untuk memahami atau dia yang terlalu bijak?
Tok! Tok! Tok!
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Serentak Kayla dan Farrel memalingkan wajah mereka memandang ke arah pintu pejabat Kayla.
Farrel mengangkat tangannya ke arah Zafran yang melangkah masuk ke dalam pejabat Kayla itu. Zafran menarik senyuman membalas sapaan.
"Farrel dah bagitahu yang aku nak ajak kau lunch?" soal Zafran.
Kayla menganggukkan kepalanya. Dia memandang ke arah Farrel.
Seperti tadi, Farrel hanya menayang sengih.
"Kalau macam itu, jomlah pergi sekarang. Sekarang dah masuk lunch hour." ajak Zafran dengan senyuman.
"Okey," balas Kayla perlahan bersetuju.
Perlahan-lahan dia bangkit berdiri lalu menyarungkan kot pada tubuhnya. Farrel terlebih dahulu berjalan mendekati Zafran.
Ketiga-tiga mereka melangkah keluar dari pejabat Kayla itu. Kotak lif dituju lalu mereka bertiga memboloskan diri ke dalam lif tersebut.
"Nak pergi sekali atau asing-asing?" Zafran menoleh memandang Kayla dan Farrel.
"Kayla naik kau. Aku naik kereta sendiri. Nanti share location dekat aku. Bye, Kayla."
Bagai lipas kudung Farrel meninggalkan lif tersebut tanpa sempat Kayla membantah sebaik saja pintu lif terbuka.
"Tak guna kau, Farrel." marah Kayla perlahan.
Zafran tertawa kecil mendengar Kayla yang memarahi Farrel dalam diam itu.
"Jom, Kayla."
Kayla menganggukkan kepalanya sebagai jawapan. Dia berjalan seiring dengan lelaki itu menuju ke arah kereta Zafran.
Badan diboloskan ke dalam kereta di bahagian sebelah pemandu. Tali pinggang dipakai. Kayla memandang Zafran yang mula menghidupkan enjin kereta.
"Sekejap ya. Aku nak hantar location dekat Farrel."
Telefon dikeluarkan dari dalam poket seluar. Sempat Zafran memandang Kayla dengan ekor mata.
Buat kesekian kalinya dia tersenyum.
Dia jadi senang apabila dapat bertemu dengan gadis itu sekali lagi.
Walaupun berlaku sesuatu di luar jangkaannya dua hari yang lalu, tetapi itu tidak menjejaskan sedikit pun rasa gembiranya apabila dapat menatap seraut wajah manis itu.
"Luka kau macam mana? Jahitan tak terbuka, kan?" soal Zafran ingin tahu.
Dia cuba memecahkan kesunyian yang membelenggu mereka. Pemanduan dimulakan.
"Okey saja. Tak terbuka pun." Kayla membalas seadanya.
Dia merasakan canggung apabila hanya mereka berdua saja di dalam kereta itu.
"Aku minta maaf kalau buat kau tak selesa dan tak suka. Tiba-tiba saja aku ajak kau makan tengah hari bersama-sama. Mesti kau rasa canggung."
"Tak. Tak apa. Aku okey saja." potong Kayla laju. Dia bukan tidak suka tetapi dia cuma merasakan canggung.
Farrel pun satu. Sengajalah itu ingin mengenakannya. Disuruhnya dia pula menumpang kereta Zafran. Saja cari pasal.
Suasana sunyi kembali menguasai keadaan mereka ketika itu. Kayla mengemam bibirnya.
Tidak betah dia duduk berlama-lama di dalam kereta jika berkeadaan begitu.
"Kenapa kau tiba-tiba ajak aku lunch?" tanya Kayla ingin tahu.
Zafran memberhentikan keretanya apabila lampu isyarat berwarna merah.
"Aku cuma nak kenal rapat dengan kau supaya kau lebih percaya aku. Aku tak nak kau ragu-ragu letak kepercayaan kau kepada aku. Aku tak akan khianati kau."
Tatapan mata mereka bersatu. Terlebih dahulu Zafran mengalihkan pandangan apabila lampu isyarat bertukar kepada hijau.
Kayla membuang pandangannya ke luar tingkap. Kata-kata Zafran itu begitu mendalam dan seperti mempunyai maksud yang tersirat.
"Kau tak kisah ke kalau aku nak kenal rapat dengan kau?"
"Tak."
Kayla tidak kisah jika ingin berkawan dengan lelaki itu tetapi dalam pada masa yang sama keselamatan lelaki itu perlu dititikberatkan.
Kawan, pasangan dan keluarga. Keselamatan mereka semua bakal terjejas kerana pekerjaan gelapnya yang satu itu.
Musuh berada di mana-mana. Bahaya tidak mengenal tempat.
"Tapi kau tak kenal siapa aku lagi." bisik Kayla dengan nada yang perlahan.
"Kayla,"
"Hm,"
"Siapa kau sebenarnya? Maksud aku..."
"Aku bukan seperti yang kau sangka, Zafran. Aku bukan orang yang baik-baik."
Zafran menoleh ke arah Kayla. Dia cuba mencari pembohongan di sebalik sepasang mata coklat itu tetapi tidak ada yang dia temukan.
Pandangan itu begitu yakin dan memaksudkan kata-kata yang baru sahaja dituturkan.
Kereta Zafran sudah pun terparkir di dalam tempat letak kereta. Kelihatan Farrel yang sudah menunggu di luar kereta lelaki itu.
Pandangan Kayla tidak sedikit pun beralih daripada membalas pandangan Zafran itu. Dia menghembuskan nafasnya perlahan.
Zafran perlu tahu kenyataan yang satu itu. Dia yang sendiri yang akan membongkarkan rahsianya yang satu itu.
"Macam yang kau nampak malam tadi. Aku salah seorang manusia seperti Derick. Aku...pembunuh."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top