07 | CIMMERIAN

Langkah Kayla berubah rentak kepada perlahan saat dia mendengar derapan langkah di belakangnya. Pendengarannya begitu tajam.

Bukan satu atau dua orang tetapi ramai. Tanpa menoleh, dia terus saja melangkah laju.

Nampaknya keahliannya dalam misi ini tidak berjalan dengan lancar. Dia berharap bahawa Marco, Derick dan Farrel dapat menyelesaikan misi mereka itu tanpa dirinya.

Saat matanya terlihat sebuah lorong yang berdekatan, terus saja dia membelok masuk ke dalam lorong itu. Hanya ada dua pilihan saja sekarang.

Antara melarikan diri atau bersua muka dengan mereka.

Dia tidak tahu siapa dan mengapa mereka mengikuti dirinya. Mungkinkah mereka daripada salah sebuah kumpulan mafia seperti De Greco?

Apabila dia ingin membelok lagi masuk ke dalam sebuah lorong, tanpa sengaja dia merempuh kasar badan seseorang. Nasib saja dia dapat mengimbangkan dirinya.

Terbuntang matanya saat wajah Zafran menyapa pandangan matanya. Bagaimana pula di saat genting sebegini dia boleh terserempak dengan lelaki itu?

Tanpa berfikir dua kali, dengan pantas dia merentap lengan lelaki itu untuk mengikuti langkahnya.

"Eh kau siapa? Kenapa tiba-tiba tarik aku ini?" soal Zafran dengan hairan.

Bertambah terkejut apabila gadis yang tidak dikenalinya itu menolaknya bersembunyi di tepi sebuah kereta. Dirinya dipaksa untuk mencangkung.

"Diam." arah Kayla di hadapan Zafran.

Tangannya yang memakai sarung tangan itu menutup mulut lelaki itu supaya tidak bersuara. Dia cuba memasang telinganya untuk mendengar apakah dirinya masih lagi diikuti.

Zafran terkaku sebentar. Hanya mendengar sepatah perkataan saja daripada gadis yang memakai penutup hidung dan mulut itu, dia sudah dapat mengecam suara itu. Mikayla.

"Mana dia pergi?"

"Aku nampak tadi dia lalu sini."

Jari telunjuk di bawa ke bibir yang ditutupi dengan pelitup mulut dan hidung itu sebagai isyarat diam.

Zafran merasakan hairan dengan gadis itu. Kayla bersembunyi daripada siapa?

"Cari dia."

"Kayla?"

Terbuntang mata Kayla saat Zafran menyebut namanya. Dia berpandangan dengan lelaki itu.

"Tunggu dulu. Aku dengar ada orang bercakap. Cari sekarang dekat mana."

Kayla memejamkan matanya. Satu tindakan yang salah apabila dia menarik lelaki itu untuk mengikutinya tadi.

Nampaknya dia terpaksa memunculkan diri di hadapan mereka.

"Jangan sesekali kau berani untuk keluar. Pejam mata kau. Jangan pandang apa-apa." pesan Kayla kepada Zafran.

Dia tidak mahu lelaki itu secara tidak langsung campur tangan dengan urusannya.

Zafran tidak mengangguk ataupun menggeleng. Dia masih lagi tertanya-tanya mengapa mereka perlu bersembunyi.

Anak matanya memerhati Kayla yang sudah bangkit berdiri.

"Aku dekat sini." ujar Kayla. Dia berjalan mendekati lelaki-lelaki itu. Dia dapat melihat dengan jelas wajah mereka.

Tidak ada satu pun wajah itu dikenalinya. Siapa mereka sebenarnya?

Dia berhenti betul-betul di hadapan sekumpulan lelaki itu. Matanya memerhati jikalau lelaki-lelaki itu membawa sebarang senjata.

Tidak ada. Tangan mereka kosong.

Bermakna dia perlu lebih berhati-hati. Mungkin mereka membawa pisau ataupun pistol.

"Kau orang nak apa daripada aku?" Pandangan matanya tajam memandang satu-persatu wajah-wajah sekumpulan lelaki itu.

"Kau Queen, kan?" soal lelaki berbaju biru gelap itu.

Nampak seperti dia ialah ketua kumpulan itu kerana suara itu tadi yang mengarahkan untuk mencarinya.

"Kau siapa?" Kayla tidak menjawab pertanyaan itu.

Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan. Dia masih tidak tahu siapakah lelaki-lelaki itu.

Bagaimana mereka boleh mengenali dan mengecamnya juga dia tidak tahu.

Zafran yang masih bersembunyi itu hanya memasang telinga. Seperti arahan gadis itu, dia memejamkan matanya.

Dia jadi khawatir dengan gadis itu. Apa urusan Kayla dengan mereka?

"Jadi betullah kau Queen. Serang dia."

Kayla membuka langkah bersedia. Serentak empat orang lelaki yang berada di belakang lelaki berbaju biru gelap itu menyerangnya.

Dia mula mempertahankan dirinya. Kaki diangkat tinggi menendang kepala salah seorang lelaki itu.

Tangan pula bergerak menumbuk lelaki di belakangnya yang cuba menyerang.

Saat dia sibuk mempertahankan dirinya, salah seorang daripada lelaki itu menendang kuat belakang badannya. Kayla menyeringai sakit.

Hampir saja dia tersungkur tetapi dia dapat menyeimbangkan dirinya.

Dia berpaling lalu membalas semula serangan tersebut dengan menendang perut lelaki itu. Lelaki itu menundukkan badannya menahan sakit.

Dengan pantas dia meletakkan tangannya pada belakang lelaki itu lalu melompat menendang seorang lagi lelaki. Tepat terkena pada wajah lelaki itu.

Kayla menyiku kuat belakang badan lelaki yang menjadi sokongan untuknya melompat tadi.

Lelaki itu jatuh terduduk di atas jalan tar. Dihentak kuat belakang kepala lelaki itu dengan sikunya.

Kedua belah penumbuknya dikepal. Masih ada dua orang lagi lelaki yang teguh berdiri. Dia sudah mengagak sejak awal tadi mereka membawa senjata apabila melihat kedua-duanya mengeluarkan pisau.

Tangannya meraba-raba pada poket belakang seluarnya untuk mengeluarkan pistol tetapi niatnya segera dibatalkan apabila mengenangkan ada Zafran.

Jika tidak ada lelaki itu, pasti kerjanya menjadi lebih mudah.

"Kau orang nak apa sebenarnya?" soal Kayla dengan jengkel.

Ikutkan hati mahu saja ditamatkan riwayat kelima-lima lelaki itu dengan sekelip mata. Dia mampu melakukannya tetapi sebelum itu niat mereka mencarinya perlulah dia tahu.

"Perlu ke kau tahu?" balas lelaki pertama itu dengan nada sinis. Dia turut sama mengeluarkan pisau dan kali ini dia juga menyerang.

Tidak seperti tadi dia sekadar hanya memerhati.

Kayla mula mengelakkan dirinya daripada menjadi mangsa tikaman salah seorang daripada tiga lelaki itu. Dia memutarkan badannya lalu kaki diangkat tinggi menendang lelaki yang cuba menikamnya tadi.

Penumbuk dilayangkan ke wajah salah seorang daripada mereka. Kemudian, dia menendang kuat perut lelaki itu.

Nafasnya tercungap-cungap kerana terlalu penat.

"Mati kau!"

Kayla terjeda sebentar saat mendengar perkataan itu.

Masanya seakan terhenti. Dia bagai hilang di dalam sebuah khayalan yang diciptakannya sendiri.

"Kayla!"

Zap!

Bang!

Mulut itu meringis kesakitan saat lengannya terhiris dengan pisau itu.

Lelaki yang sudah jatuh menyembah bumi itu dipandangnya sepi. Dia memanggung kepalanya memandang lurus ke hadapan.

"Kau, okey?" soal Derick saat dia berjalan menghampiri.

Wajahnya jelas menampakkan riak kerisauan. Lengan Kayla disentuhnya ingin melihat luka itu tetapi dia dihalang oleh gadis itu.

"Okey. Tak teruk pun."

"Kayla."

Serentak dua pasang mata menoleh ke arah punca suara itu. Kelihatan wajah Zafran yang terpempan.

Dia benar-benar tersentak saat mendengar bunyi tembakan itu.

Pandangan matanya jatuh kepada tangan Derick yang memegang pistol, tangan Kayla yang terluka dan tubuh lelaki-lelaki yang bergelimpangan terbaring di atas jalan tar itu.

Dia benar-benar keliru dengan apa yang dilihatnya. Pandangan matanya bersatu dengan mata Kayla.

Siapa Kayla sebenarnya?

"Siapa dia? Macam mana dia boleh ada dekat sini? Dia dah nampak apa yang kita buat, Kayla. Kau tahu kan maksudnya apa?" soal Derick bertalu-talu.

Tangannya yang memegang pistol itu diangkat dan diacukan ke arah Zafran.

Zafran tersentak. Dia memandang wajah Kayla dengan penuh persoalan. Adakah dia bakal mati kerana melihat adegan Derick menembak salah seorang lelaki itu?

"Jangan."

Kayla menggenggam lengan Derick dan dijatuhkannya ke sisi.

Itulah pendirian mereka. Jika ada seseorang yang tidak dikehendaki melihat aksi mereka itu, mereka akan membunuhnya kerana tidak mahu rahsia mereka terbongkar sampai ke pihak polis.

"Ikut aku, Zafran."

"Pardon?" Derick menyoal dengan nada tidak percaya.

Kayla sudah gilakah? Zafran sudah melihat segala-galanya dan gadis itu hanya membiarkan Zafran hidup.

Malah gadis itu menyuruh Zafran mengikuti mereka lagi.

"Kau nak bantah arahan aku ke, Derick?" Matanya tajam menikam sepasang mata biru milik Derick itu.

Derick berdecit perlahan apabila Kayla sudah menggunakan kuasanya sebagai seorang ketua.

"Fine!" Derick akhirnya mengalah.

Dia berdecit perlahan lalu memandang jengkel ke arah lelaki-lelaki yang masih terbaring di atas jalan tar itu. Ada yang masih sedar dan ada juga yang tidak sedarkan diri.

"Uruskan dia orang." arah Kayla kepada Derick. Dia mula mengorak langkahnya meninggalkan lorong itu diekori Zafran.

Derick merengus perlahan memandang bayang-bayang mereka yang semakin menghilang.

Telefonnya dikeluarkan dari dalam poket seluar. Nombor seseorang dicari di dalam kenalannya lalu telefonnya dilekapkan ke telinga.

"Aku ada job untuk kau. Nanti aku share location."

Telefonnya disimpan kembali ke dalam poket seluarnya usai dia berkongsi lokasi kepada gerangan yang ditelefonnya itu.

Dia melepaskan tembakan kepada lelaki-lelaki yang masih bernyawa itu. Tepat di bahagian kaki mereka. Tidak mahu mereka melarikan diri.

Badan diboloskan ke dalam perut kereta. Begitu juga dengan Zafran yang mengambil tempat di sebelahnya.

Farrel menolehkan kepalanya ke belakang.

"Zafran?"

Berkerut dahinya saat melihat seraut wajah lelaki itu. Baru sehari yang lepas mereka bertemu kerana urusan kerja dan hari ini tiba-tiba sahaja lelaki itu ada bersama Kayla.

"Macam mana..."

"Dia nampak apa yang Derick buat." potong Kayla laju sambil memejamkan matanya menahan perit pada lukanya.

Zafran hanya mendiamkan diri sahaja kerana masih terkejut. Dalam pada masa yang sama, dia masih tertanya-tanya dengan siapakah dia berhadapan sekarang ini.

"Derick? Derick ada dengan kau?" soal Farrel bertalu-talu.

Berdecit perlahan Farrel apabila kelibat Derick sudah pun kelihatan di luar kereta.

"Farrel. Tukar tempat duduk dengan aku. Kau duduk belakang." arah Kayla senada.

Tanpa banyak bicara, Farrel melangkah keluar dari kereta untuk menukar tempat duduk dengan gadis itu. Derick turut sama masuk ke dalam kereta di bahagian belakang.

Marco yang sejak tadi diam mula memandang ke arah Kayla. Kelihatan gadis itu memejamkan mata sambil bersandar pada kerusi.

Wajah Zafran dan Derick dipandangnya melalui cermin pandang belakang.

"Apa yang jadi?" soal Marco dengan serius.

Ikutkan tadi mahu saja dia bersama Farrel mencari Kayla dan Derick . Namun, belum sempat mereka keluar dari kereta, kemunculan Kayla dan Zafran membatalkan niat mereka. Derick juga menyusul beberapa ketika.

"Ada orang ikut aku tapi aku tak tahu siapa. Selepas itu, aku terserempak dengan Zafran. Jadi aku tarik dia sekali untuk ikut aku. Tak lama itu bila aku berlawan, Derick datang tolong. Dia tembak salah seorang sampai mati. Jadi Derick nak bunuh Zafran sebab nampak apa yang dia buat." terang Kayla panjang lebar.

"Kau nak bunuh Zafran ke, Derick?" soal Farrel tidak percaya.

"Apa pasal aku tak boleh bunuh dia? Kau orang ini apa hal?" Derick mempamerkan reaksi tidak puas hati.

"Zafran ini anak saudara Syed Amir, CEO Z'Mara Holdings. Syarikat kita dengan syarikat dia rakan kongsi tahu, tak?" balas Farrel bersama pandangan tajam.

Derick memandang ke arah Zafran yang duduk di antaranya dengan Farrel. Zafran sedari tadi hanya membisukan diri mendengar bicara mereka.

"Bunuh? Mereka ini pembunuh, ke?" bisik hati Zafran perlahan. Dia memandang mereka dengan pandangan tidak percaya. Dia beristighfar di dalam hati.

Nampaknya dia menaruh hati kepada orang yang salah. Sejak pertama kali dia bertentang mata dengan Kayla, dia akui yang dia sudah jatuh cinta pandang pertama.

Kedengaran gila tetapi itulah hakikatnya.

"Seriuslah?" soal Derick tidak percaya.

Farrel menganggukkan kepalanya sebagai balasan. Derick mengeluh kasar lalu bersandar pada tempat duduk.

Semakin sulit jadinya keadaan mereka. Kini kereta itu dihurung dengan suasana yang sunyi. Marco memandang penghuni di dalam kereta itu.

"Kay,"

Marco memandang Kayla yang sejak tadi mendiamkan diri.

Wajah gadis itu disentuh dan ditepuk perlahan pipi Kayla. Kayla tidak membalas.

Hanya matanya terpejam rapat bersama kerutan di dahi. Dia dapat melihat peluh yang merenik-renik membasahi dahi gadis itu.

"Kenapa?" tanya Farrel apabila melihat tingkah Marco itu. Walaupun wajah jejaka itu tenang, tetapi suaranya kedengaran panik.

"Derick! Kau tak bagitahu pun Kay terluka!" marah Marco dengan wajah tegang.

Tangan Kayla yang sejak tadi menggenggam lengan kiri gadis itu ditariknya perlahan. Tangan itu sudah basah dengan darah.

"Dia kata yang dia okey! Manalah aku tahu sampai teruk macam itu!" Derick juga membalas dengan nada yang sama.

"Sudah! Jangan nak bergaduh!" marah Farrel pula.

Suasana begitu tegang di antara mereka. Marco terus sahaja menghidupkan enjin kereta. Pedal minyak ditekan lalu dia memulakan pemanduan.

"Aku okeylah." ujar Kayla perlahan apabila Marco memandu laju di atas jalan raya itu. Nampak gayanya lelaki itu benar-benar risau dengan keadaannya.

"Aku reti rawat." celah Zafran. Melihat keadaan gadis itu membuatkan dia menjadi bertambah risau.

Marco memandang Zafran dari cermin pandang belakang itu.

"Kau pasti?" soal Marco dengan ragu-ragu.

Zafran membalas dengan anggukan.

Marco meneruskan pemanduan menuju ke rumahnya yang dihuni bersama Farrel dan Derick.

Apabila mereka tiba di sebuah rumah banglo yang tersergam indah, kereta diparkir ke dalam garaj. Terlebih dahulu Farrel masuk ke dalam rumah mendahului yang lain.

"Jom, Kay." ajak Derick lalu membantu gadis itu untuk keluar dari kereta.

Kayla didudukkan di atas kerusi batu yang terletak di garaj itu.

"Nah." Farrel meletakkan peti pertolongan cemas di hadapan Zafran.

Peti tersebut dibuka lalu Zafran meneliti isi dalam peti tersebut. Sarung tangan getah dipakai pada kedua belah tangannya.

Kayla membuka jaket yang dipakainya. Lengannya yang terluka dihalakan ke arah Zafran. Luka itu diteliti sebentar oleh Zafran sebelum dia merawat.

"Aku terpaksa jahit luka ini. Luka ini agak besar." ujar Zafran perlahan.

Marco dipandang. Marco menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Zafran mula menyambung kerjanya.

"Dah." tutur Zafran usai dia selesai merawat luka gadis di hadapannya itu.

Wajah Kayla dipandangnya. Seraut wajah manis itu kelihatan sedikit pucat. Tidak seperti hari di mana mereka bertemu buat pertama kalinya.

"Terima kasih." ucap Farrel bagi pihak Kayla.

Zafran menarik senyuman nipis lalu menganggukkan kepalanya. Dia mula mengemas alat rawatan yang sudah dia gunakan.

"Sekarang ini macam mana?" celah Derick sambil merenung dalam Zafran.

Tangan pula disilangkan ke dadanya. Pandangannya itu tidak dapat ditafsirkan. Seperti tersimpannya satu muslihat.

"Bunuh?" sambung Derick.

Matanya masih tidak lepas daripada memandang Zafran. Sebelah keningnya dijongketkan apabila pandangan matanya dan Zafran bersatu.

"Jangan." Kayla menatap wajah itu dengan pandangan yang kosong.

Sahabat-sahabatnya pula dipandang. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.

"Kenapa pula? Aku tak peduli tentang dia anak saudara siapa pun. Masalahnya dia dah nampak benda yang tak sepatutnya dia nampak." bantah Derick keras.

Dia tidak faham mengapa Kayla mahu menyelamatkan Zafran.

Kayla terdiam. Dia tidak tahu apa yang dia rasakan sekarang. Hatinya menolak untuk membunuh Zafran. Dia merasakan tidak rela untuk melihat lelaki itu mati di tangan Derick.

Walaupun sepatutnya Zafran harus dibunuh, tetapi dia tidak mahu. Jika diikutkan, sesiapa sahaja yang melihat aksi pembunuhan mereka, pasti akan dibunuh.

Semuanya demi keselamatan mereka.

"Aku pasti yang dia tak akan buka mulut." bicara Kayla perlahan antara yakin dengan tidak yakin.

Derick mengetap giginya. Anak matanya bergerak memandang reaksi Marco dan Farrel. Kelihatan dua jejaka itu seperti tidak ada tanda-tanda ingin membantah.

"Kau gila, ke? Kita kenal rapat dengan dia pun tak. Macam mana kau boleh yakin dia tak akan buka mulut?" Derick bersuara dengan tidak puas hati.

"Derick, please." Mata itu ditatap dengan sebuah rayuan.

Derick mengeluh kasar. Dia tidak mampu menebak dengan apa yang difikirkan gadis itu.

"Fine." Derick akhirnya mengalah. Badan disandarkan pada tiang. Kepala ditoleh memandang ke arah lain.

Dia masih tidak berpuas hati dengan keputusan gadis itu.

"Disebabkan kau dah tolong aku, aku lepaskan kau tapi jangan pernah buka mulut dekat sesiapa termasuk polis. Aku letakkan kepercayaan aku kepada kau. Jangan berani khianat aku. Aku bencikan pengkhianat."

Pandangan itu bertukar tajam. Zafran tanpa gentar membalas tatapan itu.

"Atau kau mati di tangan aku sendiri." sambung Kayla.

Kali ini dia yakin untuk meletakkan kepercayaannya kepada lelaki itu. Dia percayakan Zafran.

Pintu rumah dikunci rapat. Salah satu lampu di ruang tamu dihidupkan bagi menerangi rumahnya yang gelap-gelita itu. Bilik tidurnya dituju. Jaket yang tersarung di badannya dibuka.

Kayla berjalan menghampiri cermin di dalam biliknya. Lengan bajunya diselak melihat lengannya yang berbalut itu. Wajahnya yang sedikit pucat itu direnungnya.

"Kau dah banyak berubah, Kayla." gumam Kayla perlahan.

Hanya dirinya saja yang tahu siapa sebenarnya seorang Mikayla. Dia bukan seperti Kayla yang dulu. Seorang gadis yang begitu takut dengan sekeliling.

Sejak dia masuk ke dalam kumpulan De Greco, dirinya dididik untuk menjadi seorang yang berani dan tidak berhati perut.

Keadaannya mengubahnya untuk menjadi seorang seperti itu. Anak matanya terbias dengan perasaan sedih yang disimpan rapi. Cukup hanya dia saja yang tahu bagaimana hidup di dalam sebuah kegelapan yang tidak berpenghujung itu.

Helaan nafas berat dilepaskan dari dadanya yang terasa berat. Sungguh berat memikirkan cara untuk lari dari dunianya yang tidak mempunyai hala tuju itu.

Bukan sekali dua hatinya tergerak ingin keluar dari kumpulan De Greco itu tetapi keadaan tidak mengizinkannya. Semuanya perlu dipertimbangkan. Ada halangan yang perlu dia lalui.

Tidak mudah. Semuanya begitu sukar. Terjebak di dalam kumpulan penjenayah itu bukanlah sesuatu yang mudah jika ingin keluar. Jika masa mampu diputar semula, dia ingin lari dan bersembunyi di tempat yang tidak ada sesiapa mengenali dirinya.

Dengan ini, dia tidak akan terjebak di dalam kumpulan itu. Dia juga tidak perlu mempertaruhkan nyawanya untuk hidup sehingga sekarang.

Dia inginkan sebuah kehidupan yang begitu tenang dan aman.

"Dalam mimpi kau saja, Kayla." bicara Kayla dengan begitu sinis.

Gadis itu tergelak kecil. Menggelakkan dirinya yang merasakan begitu dungu mengharapkan sebuah keajaiban berlaku.

Fikirannya terasa begitu berselirat mengenangkan segalanya.

Tiba-tiba saja mindanya terbias dengan wajah milik Zafran. Bagaimana keadaan lelaki itu? Adakah elok saja sejak melihat sesuatu yang tidak sepatutnya lelaki itu lihat?

Rambutnya diraup ke belakang. Tuala mandi dicapai untuk membersihkan diri. Dia ingin menenangkan fikirannya sebentar.

Badan dihempaskan di atas katil empuk miliknya itu. Keluhan dilepaskan mengingatkan apa yang terjadi tadi. Sungguh tidak pernah terlintas di kepalanya bahawa gadis yang dia dambakan itu mempunyai sisi gelap yang tidak dapat diterima dek akal.

Mikayla.

Sebaris nama itu terlintas di kepalanya. Nama yang begitu indah didengari tetapi mempunyai sisi gelap yang paling digeruni.

Kayla bukan seorang gadis biasa.

Walaupun dia sudah terbiasa mendengarkan tentang kes pembunuhan di bumi Amerika itu, tetapi dia tidak menyangkakan bahawa gadis itu juga terlibat sama.

Adakah dia sudah tersalah jatuh hati kepada seorang gadis? Namun, hatinya tetap jua menginginkan gadis itu.

Walaupun ini baru pertemuan kali kedua mereka, hatinya kuat mengatakan bahawa Kayla ialah gadis yang dia inginkan. Dia sukakan gadis itu sejak pertama kali mereka bersua muka.

Kedengaran agak gila tetapi itulah hakikatnya. Dia jatuh cinta pada pandangan yang pertama.

"Kau yakin ke, Zaf? Kau yakin ke nakkan dia? Dia bukan macam perempuan lain dekat luar sana." monolog Zafran sendirian.

Masih jelas di mindanya apa yang berlaku tadi. Darah, mayat yang bergelimpangan dan pistol. Wajahnya diraup kasar.

Ini pertama kalinya dirinya melihat semua itu dengan mata kepalanya sendiri. Selama ini dia hanya mendengar tentang kes pembunuhan dalam berita saja.

Lafaz istighfar meniti di bibirnya. Dia cuba melupakan kejadian yang begitu gerun untuk dilihatnya.

"Kenapa, Kayla? Kenapa kau terjebak dalam kancah yang tak sepatutnya?" soal Zafran perlahan.

Hatinya kuat mengatakan bahawa bukan keinginan Kayla untuk jadi seperti itu. Terngiang-ngiang di kepalanya saat dia berbalas pandangan dengan Kayla sewaktu dia merawat luka gadis itu.

Pandangan mata itu seperti cuba menyampaikan sesuatu. Dia cuba untuk mentafsir apa yang ingin disampaikan Kayla. Pandangan mata itu kelihatan seperti mengharapkan sesuatu.

"Apa yang kau cuba sampaikan, Kayla?"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top