05 | CIMMERIAN
Kayla melangkah keluar dari dalam kereta. Bangunan Z'Mara Holdings yang berdiri gah itu dipandangnya.
Cermin mata hitam masih terletak elok di pangkal hidungnya.
"Kau dah kenapa pakai sunglasses ini?" tegur Farrel hairan.
Dia yang baru keluar dari bahagian pemandu menegur gadis itu. Jejaka itu segak memakai kemeja hitam dan butang kemeja dua dari atas dibukanya. Lengan baju dilipat kemas sehingga ke bahagian siku.
"Sebab aku lawa. Kalau orang nampak muka aku sepenuhnya nanti, takut-takut jatuh hati." Bersahaja gadis itu menjawab.
"Kau beli confident itu dekat mana?"
Bukan main gadis itu puji diri sendiri. Melambung tinggi.
Gadis yang lengkap memakai suit berwarna hitam itu dipandang sambil sebelah keningnya dijongketkan.
"Dekat Shopkart." balas Kayla lalu menarik senyuman senget.
Tergeleng kepala Farrel dibuatnya mendengarkan jawapan gadis itu. Level confident bukan main tinggi.
"Cepatlah. Jangan nak makan gaji buta." Langkah diatur menuju ke pintu masuk utama Z'Mara Holdings.
Bebola matanya diputarkan ke atas tanda menyampah dengan kata-kata Kayla itu. Rentak langkahnya dibawa menyaingi langkah kaki gadis itu.
Farrel berbicara sebentar dengan pekerja di kaunter itu. Kayla pula sekadar memerhati sekeliling.
Ini adalah pertama kali dia menjejakkan kaki ke cawangan perusahaan milik Syed Amir itu. Dia sedia maklum bahawa syarikat itu ditubuhkan oleh seorang lelaki berbangsa Melayu di bumi Amerika itu.
"Jom." ajak Farrel lalu mereka berdua berjalan mengekori seorang pekerja.
Kayla memeluk tubuhnya sambil menayang wajah bosan. Dia terpaksa datang ke syarikat itu untuk mewakilkan Derick.
Demi untuk tidak melihatnya mengamuk, Farrel menawarkan diri untuk menemani. Bukan main masing-masing saja nak cari gaduh.
"Bila nak balik?" soal Kayla lalu kaca mata hitamnya dibuka.
Mereka melangkah masuk ke dalam kotak lif. Farrel memandang gadis itu tidak percaya.
"Tak sampai lima minit lagi dekat sini, kau dah tanya bila nak balik?" balas Farrel tidak percaya.
Dia melirikkan matanya memandang pekerja yang mula menekan butang tingkat 8 itu. Pasti pekerja wanita itu mendengar bicara selamba Kayla itu.
"Aku dah kata aku tak nak datang. Derick itu kenapa pemalas sangat? Makan gaji buta, ke?" marah Kayla perlahan.
Saat pintu lif terbuka, kaca mata hitamnya dipakai semula.
"Kau ini kenapa? Period, ke?"
Kayla mengetap giginya.
Farrel memang sengaja mahu mencari gaduh. Ikutkan hatinya, mahu saja dia keluarkan pistolnya dan diacukan ke arah lelaki itu.
"Sebelum aku tampar mulut kau sampai bisu, baik kau jangan nak cari gaduh." gertak Kayla dengan intonasi yang cukup menyeramkan.
Farrel menarik senyuman senget. Sengaja ingin mengejek. Dia langsung tidak takut dengan ugutan gadis itu.
Punggung dilabuhkan di salah sebuah kerusi tatkala mereka sudah tiba di salah satu bilik mesyuarat.
Farrel turut sama duduk. Nampak gaya Kayla yang masih menyilang tangan ke dada dengan kaki disilangkan ala-ala diva itu, memang dia lah yang perlu bekerja lebih.
Gaya seperti Kayla yang menemaninya. Bukan dia yang menemani Kayla.
Pintu yang terkuak dari luar membuatkan Farrel mengalihkan pandangannya daripada memandang Kayla. Dia bangkit berdiri untuk menyapa.
"Saya Airil Zafran, wakil Tuan Syed Amir untuk bincangkan tentang projek ini. Tuan Syed Amir tak dapat datang atas faktor kesihatan." ujar Zafran lalu menghulur tangannya tanda salam perkenalan.
"Saya Farrel. Ini pula Kayla." balas Farrel.
Salam perkenalan itu disambut dengan ramah sekali. Matanya mengerling ke arah Kayla.
"Kay," bisik Farrel keras apabila Kayla langsung tidak ada tanda-tanda ingin berdiri. Selamba sahaja melilaukan mata memandang sekeliling.
"Tak nak."
Pandangannya dialihkan daripada menatap wajah Zafran yang sejak tadi merenungnya.
Cucuk karang biji mata itu baru tahu. Sibuk saja nak pandang-pandang orang.
"Tak apa. Kita boleh mula sekarang." potong Zafran cuba memecahkan suasana canggung yang terhasil gara-gara kedegilan Kayla.
Dalam diam, dia menarik senyuman melihat tingkah gadis itu. Menarik, bisik hatinya perlahan.
"Okey." balas Farrel perlahan.
Kayla dijeling geram.
Sajalah itu nak jatuhkan air muka dia. Kalau dapat ini, mahu saja dipiat-piat telinga gadis itu kerana tidak mendengar kata.
Saja nak buat perangai.
"Saya harap projek ini akan berjalan lancar seperti mana yang kita bincangkan." tutur Farrel dengan senyuman.
Langkah diberhentikan di luar bilik mesyuarat. Dia bersalaman dengan Zafran yang turut sama memaniskan muka.
"Saya pun harap semuanya akan berjalan lancar."
Kayla menggaru hujung keningnya kerana bosan. Bosan apabila sejak tadi mendengar perbualan tentang pekerjaan itu.
Di sebalik kaca mata hitam itu, anak matanya memerhati Zafran, seorang jejaka yang begitu kemas penampilannya.
Bicaranya juga sopan. Raut wajah itu begitu serius apabila melibatkan kerja tetapi apabila perbincangan sudah selesai, senyuman manis mula terhias di bibir itu.
"Zaf!"
Zafran memejamkan matanya sebentar apabila halwa telinganya menjamu suara yang paling tidak ingin dia dengari itu.
Irham memberhentikan langkahnya bersebelahan dengan sepupunya itu. Sengihan ditarik buat Kayla dan Farrel.
"Jom, makan." ajak Irham dengan ceria.
Zafran menghembuskan nafasnya cuba bersabar. Dia memandang Irham lalu menjegilkan matanya ke arah lelaki itu memberi amaran.
Tak nampak ke dia tengah kerja ini? Irham ini pun. Kerjanya asyik datang ke syarikat itu saja.
Naik bosan dia melihat wajah itu.
"Kau tak nampak ini ada klien?" bisik Zafran keras sambil mengetap giginya.
Irham mencebik apabila dimarahi lelaki itu. Sikit-sikit nak marah. Patutlah makin tua.
Cuba tengok dia ini. Selalu saja ceria dan tak ada pun nak stres-stres.
"Perkenalkan ini Syed Irham. Anak bongsu Tuan Syed Amir." ujar Zafran kembali memaniskan muka.
Irham melambaikan tangannya. Farrel menarik senyuman tetapi tidak Kayla. Wajah itu masih lagi memasang reaksi dinginnya.
"Wow! Lawanya." puji Irham dengan sengihan. Wajah dingin Kayla itu dipandang dengan penuh minat.
Zafran kembali memandang Kayla yang sejak tadi mendiamkan diri. Wajah itu jelas tidak suka datang ke syarikat itu.
"Aku datang nak kerja. Bukan nak jual muka." tutur Kayla sarkastik.
Terus saja dia berpaling dan melangkah pergi. Tidak betah lagi dia berada di situ lama-lama. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikannya daripada menghabiskan waktu di situ.
"Dia reject aku ke itu?" soal Irham perlahan dengan tidak percaya.
Dadanya disentuh. Buat pertama kali seorang gadis memberi kata-kata pedas itu kepadanya.
"Maaflah. Mood dia tak berapa baik hari ini. Saya minta diri dululah." Farrel mengucapkan kata maaf bagi pihak Kayla itu.
Apa sajalah yang membuatkan angin gadis itu seperti ribut taufan itu. Semua orang hendak disemburnya.
Langkah terus dibawa laju mengejar Kayla yang sudah masuk ke dalam kotak lif.
Zafran menarik senyuman. Sikap Kayla itu membuatkan hatinya tertarik untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.
Dia mengharapkan bahawa ada pertemuan kedua di antara mereka. Dia ingin mengenali gadis itu.
Fail ditutup kasar lalu rambutnya diraup kasar ke belakang.
Steven cuba untuk fokus dengan kerjanya tetapi sesuatu perkara sering bermain di dalam fikirannya. Dia memejamkan matanya rapat cuba untuk melupakan segalanya.
Dia ingin fokus.
Tok! Tok!
"Masuk!" arah Steven separa kuat saat pintu pejabatnya diketuk dari luar.
Dia mengangkat wajahnya saat bunyi derapan langkah itu berhenti di hadapan mejanya.
Pandangan matanya bertukar dingin apabila wajah Kayla menyapa pandangannya.
"Apa kau nak?" soal Steven kasar.
Seperti dilanda puting beliung saja anginnya saat Kayla memunculkan diri di dalam pejabatnya itu.
Kalau tahu tadi, dia tidak benarkan gadis itu masuk. Baru saja melihat wajah itu sudah membuatkan dia marah, apatah lagi tatkala gadis itu bersuara.
"Kau sibuk, ke?" soal Kayla perlahan.
Steven mengetap giginya mendengarkan soalan gadis itu. Dia mencerlung tajam memandang gadis itu.
Kayla pula sejak tadi tidak lepas merenung wajah abangnya itu. Seorang abang yang begitu membencinya.
"Kau tak nampak aku tengah buat kerja ini? Kalau kau datang pejabat aku bukan atas dasar kerja, baik kau keluar. Aku tak ada masa nak layan kau." sindir Steven dengan kasar.
Kayla melepaskan keluhan saat mendengar nada suara Steven itu.
"Aku cuma nak cakap pasal..."
"Pasal apa lagi? Kalau kau nak cakap yang kau nak minta maaf, aku tak nak dengar. Bosanlah aku dengar kau ulang benda yang sama." herdik lelaki itu.
"Sampai bila kita nak macam ini, Steven? Aku dah penat nak cuba jelaskan apa yang terjadi. Kau tak pernah nak dengar apa yang aku kata. Kau cuma dengar daripada pihak Enrico saja." tutur Kayla meluah segalanya.
Penumbuk dikepal cuba menahan rasa yang sudah lama dia pendam.
"Ada aku minta, ke? Tak ada, kan? Kau jangan nak tambah serabut kepala aku lah! Kalau aku percaya apa yang Enrico kata, ada masalah dengan kau ke!" balas Steven dengan suara yang sudah naik seoktaf.
Dia bangkit berdiri dan membalas pandangan itu dengan penuh rasa benci.
"Ya, ada masalah! Aku adik kau! Kau layan aku tak ubah macam orang luar! Kau langsung tak nak dengar apa yang sebenarnya terjadi! Apa yang Enrico cakap semuanya tipu!" tengking Kayla kembali.
Nafasnya naik turun menahan amarah.
"Kau pasti ke adik? Mak kita tak sama! Aku tak pernahlah anggap kau macam adik aku!"
"Tapi aku tetap adik kandung kau!"
Sebaik sahaja dia menghabiskan ayatnya itu, Steven melangkah ke arahnya laju lalu mencengkam kuat leher gadis itu.
Kayla membalas pandangan itu walaupun dia sudah bernafas dengan tersekat-sekat. Dia dapat lihat betapa bencinya Steven kepadanya.
"Kau sepatutnya mati!"
"Steven!"
Marco menolak kasar Steven menjauhi Kayla sebaik sahaja dia menerjah masuk ke dalam pejabat Steven.
Derick, Farrel dan Leo turut sama melangkah masuk apabila mereka mendengar bunyi bising dari dalam pejabat itu.
"Kau gila, ke? Dia adik kau lah! Kau nak bunuh dia ke apa?" marah Marco dengan tidak percaya.
Dia tidak pernah terfikir Steven akan bertindak sejauh itu. Sanggup lelaki itu mencekik Kayla dan mengatakan bahawa Kayla sepatutnya mati.
"Dia bukan adik aku!" tengking Steven membantah kata-kata Marco.
Penumbuk dikepal dengan amarah yang masih lagi tersisa.
Leo mendekati Steven untuk menenangkan sepupunya itu. Tangan Steven bergerak menepis kasar tangan Leo yang menyentuh bahunya.
"Sudah, Steven." halang Leo. Dia tidak mahu Steven memburuk-burukkan lagi keadaan.
Kayla menyentuh lehernya. Masih terasa jelas jari-jemari itu yang mencengkam kuat lehernya. Matanya tidak lepas memandang Steven yang cuba menyerangnya tetapi ditahan oleh Marco dan Leo.
Dia sudah banyak kali mencuba untuk menjernihkan hubungan mereka adik-beradik kembali tetapi Steven menolak. Dia cuba untuk merobohkan dinding yang menjadi jurang di antara mereka tetapi Steven tetap jua membinanya berkali-kali.
"Kau pergi matilah! Aku tak nak tengok muka kau! Aku tak ada adik macam kau!" amuk Steven dan masih lagi cuba mara ke hadapan untuk menyerang gadis itu.
Leo memegang bahu Steven untuk menghalang lelaki itu.
"Steven! Jangan bercakap macam orang tak ada agama! Ingat Tuhan!" tengking Farrel apabila sejak tadi dia sekadar hanya menyaksikan dan mendengar kata-kata kasar yang dilemparkan Steven buat Kayla itu.
Dia tidak mampu lagi untuk berdiam diri kerana Steven sudah melampaui batas.
"Persetankan semua itu! Kau dengan aku tak ada beza pun! Dan sekarang kau nak ingatkan aku pasal Tuhan pula? Cermin diri kau dulu!"
Farrel mengepal penumbuknya. Rahangnya bergerak sedikit kerana terlalu kuat mengetap gigi.
Tanpa dapat ditahan lagi dia terus melepaskan tumbukan di wajah Steven dengan kuat. Steven benar-benar sudah melampau.
"Farrel!" Derick menarik kasar lengan Farrel untuk melangkah ke belakang.
Steven menyentuh tepi bibirnya yang sedikit terluka. Wajah Farrel dipandang dengan amarah yang membara.
"Sudah, Steven! Sudah!"
Leo meninggikan suaranya apabila Steven ingin menyerang Farrel. Suasana di dalam pejabat itu begitu tegang sekali. Bahu Steven ditarik kasar.
Wajah masing-masing begitu serius sekali.
"Semua keluar sekarang." arah Steven dengan keras. "Aku kata keluar!"
Seorang demi seorang mula melangkah keluar apabila mendapat tengkingan Steven itu.
Matanya bergerak memerhati langkah mereka. Apabila pintu pejabatnya sudah tertutup, dia mula menjerit melepaskan geram.
Ditumbuk kasar meja kerjanya.
Empat pasang mata tertumpu ke arah Kayla yang sejak tadi membisu. Marco menggenggam lengan Kayla yang masih menyentuh leher itu.
Ditarik perlahan tangan Kayla hingga jatuh ke sisi. Kepala digeleng perlahan.
"Sakit, ke?" soal Marco prihatin.
Kelihatan jelas leher Kayla yang sudah berbekas dengan kesan cengkaman itu. Niat Steven benar-benar ingin membunuh adiknya sendiri.
Steven sudah gila. Sanggup lelaki itu memperlakukan adik sendiri seperti itu.
Sikap Steven sudah berubah. Itu bukan Steven yang dia kenal 15 tahun dahulu.
Semakin lama semakin berubah sikap lelaki itu. Dia hampir tidak kenal siapa sebenarnya Steven Mikael di hadapan matanya sekarang.
Segalanya tampak asing.
"Aku okey." balas Kayla perlahan.
Senyuman nipis ditarik buat sahabat-sahabatnya dan sepupunya itu. Masih kelihatan jelas wajah tegang Farrel.
Kayla merenung wajah itu. Bahu Farrel ditepuk perlahan. Apabila pandangan mereka berdua bersatu, senyuman dihadiahkan buat lelaki itu.
Langkahnya diatur terus berlalu pergi menuju ke pejabatnya.
"Aku risau." ujar Derick dengan resah.
Tanpa pamitan, terus saja dia mengekori langkah Kayla itu. Farrel membuntuti Derick dari arah belakang.
"Aku pergi dulu lah. Ada kerja nak buat. Kau tengok-tengokkanlah Kayla itu." pamit Leo kepada Marco.
Kata-kata Leo itu hanya dibalas dengan anggukan sahaja. Dia memerhati Leo yang berlalu pergi sebelum melangkah mengejar sahabat-sahabatnya yang lain.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top