BAB 2
Buka aje pintu dapur, terpacul wajah Bakar di situ. Eton gigit bibirnya. Geram sebab pagi-pagi yang indah ini dirosakkan oleh Bakar yang tersengih-sengih tunjuk barisan giginya yang kuning itu. Mujur penuh gigi Bakar. Kalau sama jenis dengan gigi Wak Sepat yang banyak ruang tu memang Eton pengsan dululah dekat situ.
"Nak apa datang rumah orang pagi-pagi ni? Tak kerja ke?" Masam wajah Eton menyembur Bakar.
"Amboi… Mana salam wahai Cik Etonku sayang."
"Assalamualaikum…" Eton bagi jelingan tajamnya pada Bakar.
"Waalaikumusalam pujaan hatiku." Bakar saja meletakkan tapak tangannya ke dada.
Eton berdecit.
"Janganlah marah Eton. Pagi-pagi lagi dah berkerut muka tu. Tak elok tau. Hilang keserian wajah kau tu nanti." Bakar tersengih lagi.
"Nak apa?" tanya Eton.
"Nak kaulah. Mau tanya lagi ke." Bakar naikkan keningnya berkali-kali pada Eton.
"Eee… Malaslah layan kau." Eton mahu tutup pintu semula tapi ditahan Bakar.
"Gurau sikit pun tak boleh. Aku datang sini nak beli kuih semperit kaulah. Tak ada semangatlah Eton kalau tak jamah kuih kesukaan aku tu."
Eton tarik muka. Kut ya pun nak kuih semperit jualannya, janganlah pagi-pagi dah berkampung dekat sini. Nampak dekat ibu Syakir dah jadi salah faham pula. Bakar masuk meminang banyak kali pun dah jadi isu antara dia dengan Mak Ani. Jenuh jugalah Eton memperjelaskan pada Mak Ani yang dia hanya akan setia menunggu Syakir.
"Kau tak cirit ke makan kuih semperit tu hari-hari. Tak silap aku baru dua hari lepas kau beli sebalang. Tak kan dah habis kut."
Bakar tersenyum. Boleh pun Eton buang riak wajah yang masam tadi tu.
"Aku memang suka kuih semperit kau tu. Samalah macam aku sukakan kau. Tak dapat kau dapat kuih semperit kau pun jadilah."
"Ish kau ni Bakar. Main-main betullah. Soal hati tak boleh nak dipaksa-paksa. Merana hidup nanti."
"Ya lah…" Wajah Bakar bertukar muram. Gagal lagi nak menangi hati si Eton pujaan hati.
Nak berapa balang?" tanya Eton. Rasa kasihanlah pula tengok riak wajah Bakar yang berubah muram itu. Dia tahu Bakar adalah antara orang yang selalu support perniagaannya ini. Orang jual kuih semperit hari raya aje tapi dia, hari-hari jual. Asal ada order aje, Eton akan mula menguli tepung untuk hasilkan kuih semperit resepi turun temurun keluarganya. Alhamdulillah kuih semperit jualannya mendapat perhatian ramai. Pelanggan tetap semestinya lelaki pujaan anak dara kampung ni, Bakar Hamidi. Lelaki yang tak pernah penat mengejar cinta darinya.
"Berapa yang ada?"
"Tolak yang dah ditempah, ada lima balang lagi tak bertuan. Tapi aku tengah bakar kuih lagi tu. Kalau tiba-tiba ada yang nak, senang sikit kerja aku sebab kuih dah ada." Eton tersenyum.
Tak berkelip mata Bakar merenung wajah Eton. Bergolek-golek hatinya pergi pada si Eton. Senyuman Eton buatkan hatinya dup dap dup dap gitu.
"Bakar…"
Bakar masih di dalam dunianya sendiri. Tersengih-sengih membayangkan kehidupan indahnya bersama dengan Eton dan bakal-bakal anak mereka.
"Bakar!" Jerit Eton siap pakej ketuk kepala Bakar dengan menggunakan senduk di tangannya.
"Aduh. Sakitlah Eton." Bakar gosok kepalanya yang sengal akibat diketuk Eton tadi.
"Kau termenung apa tadi? Berapa balang kau nak?" Mencuka wajah Eton memandang Bakar.
Bakar menggeleng. Tak akanlah dia nak cerita apa yang tengah dia bayangkan tadi. Adanya si Eton baling paket tepung pula dekat dia.
"Bagi aku lima balang tu. Boleh buat stok seminggu."
"Betul ni Bakar." Eton sudah tersenyum suka.
"Ya lah. Aku mana boleh kalau sehari tak makan kuih semperit kau tu. Tidur tak lena tau." Bakar turut membalas senyuman menawan Eton padanya.
"Ni yang buat aku sayang kau ni." Eton terus berlari masuk ke dalam rumah. Teruja sebab hari ini hampir sepuluh balang kuih semperitnya terjual.
"Aku pun sayangkan kau Eton. Kau aje yang tak nampak semua tu." Bakar berkata perlahan pada dirinya.
"Sabar Bakar. Insya Allah kalau ada jodoh tak ke mana."
"Eh, Mak Kinah. Tak perasan pula." Tersipu malu Bakar di hadapan ibu Eton.
"Nak perasan macam mana kalau mata kamu tu hanya pada si Eton." Mak Kinah tersenyum sambil tangannya menepuk lembut bahu sasa si Bakar.
Si Bakar adalah antara anak muda yang digilai anak gadis di kampung mereka. Mak janda pun tidak ketinggalan juga berkenankan si Bakar. Anaknya saja yang buta hati. Nak juga tunggu anak Mak Ani yang entah hidup entah mati tu.
"Nah Bakar. Semuanya lapan puluh ringgit. Aku bagi diskaun."
Bakar keluarkan dua keping not lima puluh ringgit lalu disuakan pada Eton.
"Tak payah diskaun dengan aku. Ikut macam harga biasa aje."
Baru saja beg plastik nak bertukar tangan, Salina adik Syakir melaung ke arah mereka.
"Kak Eton, Abang Syakir dah balik. Ibu suruh Kak Eton datang sekarang juga."
Terus terlepas beg plastik dari tangan Eton. Mata Eton dan Bakar saling berpandangan. Eton kemudiannya melarikan anak matanya pada balang-balang kuih yang sudah bergolek di atas tanah.
"Ya Allah kamu ni Eton. Habis rosak kuih tu semua." Mak Kinah cepat-cepat dapatkan balang kuih yang bergolek di atas tanah.
"Kak Eton cepatlah. Abang Syakir tunggu tu." Salina melaung lagi.
"Maafkan aku Bakar." Eton terus berlari ke arah Salina.
🌹🌹🌹🌹🌹🌹
Hancur, hancur aku
Bila-bila saja
Hancur, hancur aku
Hancur, hancur aku
Bila-bila saja
Hancur, hancur aku
It s okay Bakar. Seandainya ada jodoh pasti bersatu jua...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top