Episod 6

"Dating Di Malam Chap Goh Mei"

Nizam bersiap-siap untuk keluar pada petang itu. Entah kenapa masa Valentine's Day hari tu, Eleena seolah-olah tidak berminat untuk menyambut Hari Kekasih, tapi Chap Goh Mei, dia yang paling beriya-iya.

Nizam pakai baju berwarna merah, kerana Eleena suruh. Oleh kerana warna merah adalah warna kegemarannya, itu bukan masalah. Banyak je baju dia warna merah.

Nizam mengenakan baju kemeja merah bercorak naga yang dia pernah beli dulu sebab sambutan tahun baru Cina 2 tahun lepas. Baju ini masih muat, dan masih elok dipakai.

"Tapi kenapa Chap Goh Mei?" Nizam akui dirinya masih tak faham dengan ketamadunan China. Tapi dia ikut saja kata Eleena.

Kereta BMW Eleena tiba di depan rumah.

"Wah, manyak ong wooo!" usik abang Khairul yang sedang membaca majalah Mangga, membaca gosip terbaru Intan Safarina dengan siapa entah.

Nizam hanya mengangkat tangan dan pakai kasut Converse warna merah.

Dia buka pintu kereta belakang, dan Eleena memakai baju cheongsam warna merah bercorakkan bunga lili.

Sumpah dia rasa dia sedang berdating dengan Puteri Hang Li Po.

"Ni hao, wo de ai?" kata Eleena sambil tersenyum dengan trademarknya nampak gigi taring dan lesung pipit.

Nizam tergamam nak jawab apa. Satu, dia tak tahu bahasa Mandarin. Dua, kalau dia boleh berbahasa Mandarin macam Mao Zedong sekalipun, dia tak boleh nak jawab kerana dia terpukau dengan Eleena.

"Kenapa awak pandang saya macam tu, hihi?" Eleena gelak tutup mulut.

"Kenapa hari ni? Masa Valentine's Day dulu saya ajak keluar, awak lepak rumah main game je?"

"Sebab hari ini adalah Hari Kekasih untuk bangsa Cina, dan Valentine's Day untuk orang Barat," kata Eleena.

"Awak ada darah Cina ke?"

"Kita di Asia Tenggara ni, nak tak nak, kita ada darah dari sana. Orang Melayu ratusan ribu tahun yang lalu bergerak dari Yunnan ke sini, mencari suhu dan tempat bercucuk tanam yang subur. Jadi, sebab itu saya sambut Chap Goh Mei, sebagai hari kekasih saya."

Nizam terkebil-kebil.

"Lagipun, orang ramai la sambut Hari Kekasih pada Valentine's Day. Nak tempah meja makan pun susah. Hari ni, cuba awak tengok, senang je saya tempah," kata Eleena.

"Ye lah, sebab ramai orang. Siapa je sambut Chap Goh Mei sebagai hari kekasih lagi? Cina sini pun ramai yang muda sambut Valentine's Day."

"Ramai orang berkata, Malaysia makin maju. Tapi bagi saya, semakin mundur. Kerana maju bagi saya, adalah bangsa yang mempunyai ketamadunan serta budaya mereka yang kuat. Bukanlah saya menolak globalisasi, tapi globalisasi yang ada hari ini, sangat pro Barat dan mahu menghakis adat ketimuran dan nilai setempat kita," kata Eleena, sambil mendengar lagu-lagu er-hu yang dipasang oleh Cik Osman. Lagu Liang Xiao dari Wang Liqin berkumandang dalam kereta.

"Awak tak suka Barat, tapi awak.."

"Siapa kata saya tak suka Barat. Salah satu sebab kenapa saya kagum dengan Kamelia, kerana dia boleh menerangkan pada saya tentang konsep Ubermensch dalam falsafah Friedrich Nietzsche. Dia beri pinjam buku Zarathustra sementara dia pinjam buku Pramoedya saya. Saya suka jenis ilmu, Barat atau Timur, utara atau selatan. Yang saya tak suka adalah budaya yang menjolok mata, memurahkan wanita seperti videoklip lagu zaman sekarang ini, dan pemusnahan budaya melalui realiti TV dan media sosial seperti chatroom atau Friendster," kata Eleena.

Nizam hanya diam, dan cuba faham apa yang cuba sampaikan.

"Cinta, hari ini hari kita, kita jangan serius sangat, okay?" Eleena pegang hujung jari Nizam. Nizam hanya tersenyum dan berasa dia manusia paling bertuah di muka bumi pada ketika ini.

--

"Ada Apa Dengan Cinta"

Mereka berdua makan di sebuah restoran dim sum di tengah Kuala Lumpur. Hari hujan pada hari itu menambahkan kesyahduan itu. Cik Osman hanya memerhatikan dari luar, melakukan tanggungjawabnya.

"Lepas ni, kita tengok Ada Apa Dengan Cinta, nak?"

"Cerita Indonesia tu ke? Selalu tengok drama bersiri dorang, mengarut je?"

"Itu sinetron, sayang. Saya pun tak tengok sinetron. Macam Bawang Merah Bawang Putih tu," Eleena sekali lagi senyum.

Selepas mereka makan dim sum, kereta meluncur menuju ke Mid Valley dan beli tiga tiket. Cik Osman duduk belakang, memerhati Eleena dan Nizam.

Nizam menikmati filem Indonesia buat pertama kali, dengan perasaan yang ceria dan mahu jatuh cinta lagi sekali. Percintaan Rangga dan Cinta adalah sesuatu yang indah, dan ditayangkan dalam layar perak.

Cerita itu berakhir dengan perpisahan, apabila Rangga ke New York. Tanpa sedar, air mata Nizam menitis.

Malam itu, Nizam diam. Eleena risau apa yang difikirkan oleh Nizam.

"Cinta, kenapa?"

Nizam menangis.

"Saya tak tahu apa akan jadi dengan diri saya tanpa awak, cinta."

Eleena diam dan mengangguk faham.

"Andai satu hari nanti kita terpisah, apa akan terjadi pada salah satu dari kita? Yang saya tahu, saya akan terseksa," kata Nizam.

"Saya pun akan rasa begitu."

"Kalau kita berpisah, saya takkan lupakan awak," kata Nizam.

"Ya, tak mungkin saya akan lupakan awak, cinta."

"Dah macam cerita Wong Kar Wai pulak cerita kita ni," kata Nizam sambil mengelap air mata.

"Chungking Express atau In The Mood For Love?" tanya Eleena.

"Saya tak pernah tengok Chungking Express. In The Mood For Love, saya tonton dengan arwah Azlam," kata Nizam.

Eleena mengelap air mata Nizam. Kereta menuju ke rumah Eleena.

Wahai pujangga cinta biar membelai indah
Teladani kalbuku
Jujurlah pada hatimu

Ada apa dengan cinta
Perbedaan aku dan engkau
Biar menjadi bait
Dalam puisi cinta terindah

Lagu tema Ada Apa Dengan Cinta dari Melly Goeslow dan Eric berkumandang dalam kereta.

Setiap generasi ada cerita cintanya. Dan bagi Nizam dan Eleena, cerita ini adalah cerita cinta untuk mereka.

Pada yang sedang bercinta, kita sering mengambil remeh tentang cinta. Masa belum dapat, kita cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya. Tapi bila sudah dapat, kita biarkan cinta kita mereput.

Akhirnya ia mati, dan kita tangisi kematian itu. Kita mula meletakkan salah itu di pihak yang lagi satu. Kita tak pernah menyalahkan diri sendiri bila cinta kita berakhir di tepi jalan.

Kita sering menyalahkan ex. Ex kita yang jahat dalam perhubungan ini, sedangkan cinta memerlukan dua orang untuk terus berjalan.

Kita selalu salahkan ex bila dia berubah hati, sedangkan kalau kita benar-benar sayangkan dia, sudah tentu kita akan tahu perubahannya.

Tapi pada malam Chap Goh Mei ini, Nizam baring di sofa, dan Eleena memeluknya, dan memujuknya, dan memberi keyakinan padanya, walau apa pun yang terjadi, cinta ini adalah yang paling terhebat.

"Awak, cerita cinta yang mana awak rasa paling terhebat?" tanya Eleena.

"Uda dan Dara? Cinema Paradiso? In The Mood For Love? Romeo and Juliet?"

"Awak rasa cerita cinta kita boleh sampai ke tahap tu?" tanya Eleena lagi.

"Mungkin dengan sedikit teknik pemasaran macam filem Titanic, boleh kot?" Nizam buat lawak.

--

"Result SPM"

Hari keputusan SPM telah tiba. Bagi mereka yang baru lepas SPM, hari ini adalah seperti berada di Padang Mahsyar kalau level sekolah. Ok, melampau lah Padang Mahsyar, tapi bukankah kita di dunia ini sedang menjalankan ujian?

Kamelia datang dengan perasaan terbuka. Walau apa pun keputusan ini, dia tetap tidak mahu masuk universiti. Mungkin Form 6 jika ayahnya tetap mahu dia menyambung pelajaran. Bolehlah lepak dengan Adli.

"Woi Kam!" Adli tepuk meja. Kamelia tersentak.

"Hah? Apa dia?"
"Lepas ni, ikut aku jap?"
"Pergi mana?"
"Beli kasut. Kau nak ikut tak?"
"Beli kasut? Asal tak ajak member yang lain?"

Adli hirup sirap limau bungkus di tangan.

"Ail kena jaga adik, Rafi aku malas sebab asyik menghadap handphone, Nizam dengan Eleena, tak payah ganggulah dorang. Jom la! Aku belanja kau tambang apa semua. Tapi kalau kau mintak belanja makan mahal-mahal, aku tinggalkan kau je," kata Adli.

"Nak pergi mana?"

"Kau rasa mana okay? Leisure Mall ke The Mines? Aku malas nak pergi KL sebab jauh lepas tu semak kepala," Adli menghirup air sirap sampai habis dan buang plastik dalam tong sampah.

"Kau nak beli kasut untuk apa ni?"
"Form 6. Aku dah nekad dah, dapat result ni aku nak masuk Form 6. Shortcut. Kalau diploma kena tiga tahun, lepas tu macam abang aku masuk UiTM tu, kena sahsiah rupa diri, pakai baju tugged in, skema, tak nak aku."
"Nanti kau masuk degree pun kau kena jugak?"
"At least degree takdelah macam budak sekolah sangat. Jom la."
"Adli, aku pun fikir macam tu jugak la. Aku tak nak masuk universiti. Lagipun, aku tak nak susahkan abah aku."
"Lagipun PTPTN ni aku tengok lagi sakitkan orang di masa depan ada lah. Abang aku, sem satu, RM2,000. Ni sekarang dah sem lima dah. Dah sepuluh ribu. Next sem, final. Semua RM12,000. RM12,000 untuk kerja yang gaji tak sampai RM1,500 sebulan. Diploma mana orang pandang lagi dah. At least degree."

Kamelia pandang Adli dengan satu pandangan aneh.

"Kau ni sebenarnya ambil kisah jugak ya pasal pelajaran? Aku ingatkan kau ni budak jahat suka dajal ustaz?"

"Aku buat semua ni bersebab. Kau pernah tengok aku dajal kereta Cikgu Adam, cikgu Seni dulu kita tu? Takde. Cikgu yang mengajar kita dengan ikhlas, cikgu yang tak paksa kita jadi skema, tak, aku tak minat nak dajal. Tapi aku dah cuci tangan dah. Serius, nanti masuk STPM ni aku dah tak nak buat benda-benda ni lagi," kata Adli.

"Eleh, macam boleh percaya je kau ni. Entah-entah niat kau nak masuk Form 6 ni sebab nak menyambung legasi Margeraisme kau tu!"

"Adli Margera stays in CP, Kam. Nanti Form 6 aku nak mintak ke SAAS. Kau ikut aku sekali la. Boleh aku belajar dengan kau. Kau budak pandai."

"Mana ada. Kau lagi pandai. Dah berapa ramai cikgu kau dah kenakan."

"Tu biasa. Haha! Lepas ambik result ni, kita terus gerak tau. Ha, pergi mana?"

"Leisure Mall lah. Senang sikit. The Mines nak lintas highway tu, malas."

"Ok, cun!"

Adli calit tangan Kamelia tanda memorandum of understanding.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top