"Diplomasi Makaroni"
"Ail, tak boleh la macam ni. Lari-lari dari rumah ni aku malas la kena tuduh culik anak orang," kata Nizam sambil hirup teh tarik di mapley belakang supermarket.
"Aku dah tak tahan la dengan mak ayah aku. Dorang layan aku macam budak-budak, aku cakap dengan dia, kalau sekarang aku tak keluar rumah dan tengok dunia, bila lagi?" Ail garu-garu kepala, serabut.
"Ni kau tak balik dari malam tadi la, karang mak kau cari kau kat rumah aku, susah aku nanti," kata Nizam.
Telefon Nizam berbunyi.
"Hi cinta. Saya dengan Ail ni. Dia lari dari rumah. Parents dia ni jenis mengongkong, tapi dia ni nak keluar juga, nak cakap dengan Ail? Kejap."
"Hello Eleena. Haa. Tau tapi tension lah dengan mak ayah yang layan macam budak-budak ni. Ail dah minta kebenaran tapi dia tak kasi. Ail dah 18 pun, kenapa nak layan macam budak-budak lagi. Ish, Eleena, kenapa nak jumpa mak ayah saya? Awak nak cakap apa? Hmm, suka hati awak lah tapi yang saya tahu saya boring duduk rumah sementara tunggu result SPM ni."
"Ail, kau jangan la lari-lari rumah ni. Kan aku dah kata, minta kebenaran dulu. Karang kalau mak ayah kau call polis, cari aku dengan Eleena, dah susah."
"Ya cinta. Kitorang kat mapley belakang. Setengah jam? Ok. Cinta awak juga, Eleena."
"Lagi setengah jam Eleena bawa makaroni untuk mak ayah kau."
Kereta BMW tiba di mapley belakang, Ail dan Nizam terus naik kereta.
"Ail, nanti saya bincang dengan keluarga awak elok-elok," kata Eleena.
"Cinta, tunjukkan jalan rumah Ail?"
Mereka tiba di depan rumah Ail di CP3. Ayah Ail sedang pujuk mak Ail yang sedang menangis.
Eleena keluar dari kereta.
"Assalamualaikum, makcik, pakcik. Makcik dan pakcik ni ibu bapa Ail?"
"Ya, tapi dia dah lari dari rumah," kata ayah Ail.
"Nama pakcik?"
"Kabiron."
"Nama makcik?"
"Asiah."
"Baik, nama saya Eleena. Eleena Mahathir."
"Anak..."
"Bukan."
"Begini, Ail dengan kami sekarang."
"Mana dia?" tanya mak Ail yang mula nak meroyan.
Eleena beri isyarat pada Nizam dan Ail untuk keluar.
"Begini, boleh kami bincang dengan makcik Asiah dan pakcik Kabiron?" kata Eleena.
Ail dan Nizam keluar dari kereta.
"Kau ni nak buat perangai!" kata ayah Ail.
"Sabar, pakcik Kabiron. Kita bincang dulu, okay?"
Nizam bawa casserole makaroni goreng itu ke rumah Ail.
Senyuman nampak gigi taring dan lesung pipit Eleena ni dari dulu jadi senjata cairkan orang, baik muda ke tua, dengan cakap sopan santun, orang yang baran pun jadi tenang.
"Makcik Asiah dan Pakcik Kabiron dah sarapan? Saya buatkan makaroni goreng bersama daging dan tomato."
"Ayah, nak makaroni! Sedaplah!" kata adik Ail yang berdiri di tepi kaki ayah Ail.
"Baiklah, kita masuk."
Kesemua orang kecuali Cik Osman masuk ke rumah.
"Makcik buatkan teh ya, Eleena?"
"Baik."
Makaroni goreng itu diletakkan atas meja. Eleena duduk di kerusi meja berhampiran dengan kepala meja, tempat ayah Ail duduk. Nizam duduk di sebelah Eleena, sementara Ail berdiri di belakang Nizam.
Teh satu teko besi siap dimasak. Eleena bangun untuk bantu adik Ail mengangkat pinggan.
Ayah Ail duduk, dan Eleena juga kembali duduk.
"Makcik Asiah, Pakcik Kabiron, tujuan saya nak bawa Ail jalan-jalan, sebab saya rasa dia memang suka berjalan. Lagipun saya bawa dia sebab saya dah janji dengan dia, kalau dia menang pertandingan Geografi peringkat daerah tu, saya bawa dia jalan-jalan ke Pulau Pinang," kata Eleena sambil menuang air teh pada cawan ayah Ail, mak Ail, Nizam dan adik-adik Ail, serta Ail.
"Tu makcik tahu, dia memang suka tengok rancangan orang mengembara tu, ala yang makan kala jengking, ulat tu.."
"Lonely Planet?" kata Eleena.
"Ya, yang tu."
"Jangan risau makcik Asiah, saya tak bagi dia makan ulat atau kala jengking. Saya ke sana sebab nak teringin nak makan nasi kandar. Lagipun jalan-jalanlah, sebab keputusan SPM belum keluar lagi, tak ada apa nak buat."
Pakcik Kabiron tenang sambil mengunyah makaroni goreng yang digoreng oleh Eleena.
"Sedap," ayah Ail pandang mak Ail.
"Makcik risau kalau dia ni buat masalah nanti," kata mak Ail.
"Itu makcik serahkan pada saya. Kalau dia buat hal, saya ketuk kepala dia."
Ail dah gelak.
"Ail, lain kali nak jalan jauh, minta restu mak ayah. Kalau apa-apa jadi, mereka juga risau. Apa pun kita nak buat, minta restu mereka, sekarang, sebelum awak boleh ikut saya, awak kena minta maaf dengan mak ayah awak terlebih dulu," kata Eleena pada Ail.
Ail salam tangan ayah dan ibunya.
"Ail minta maaf, yah. Mak, Ail minta maaf."
Ayah Ail melepaskan nafas yang berat.
"Tak sangka kau dah 18 tahun dah sekarang. Baiklah, ayah benarkan, tapi dengan syarat, jaga solat, jangan cari pasal di tempat orang, dan jalan elok-elok."
Riak wajah Ail tersenyum puas dan peluk ayahnya.
"Nanti belikan jeruk kat sana, boleh Ail?" kata ibu Ail.
"Boleh mak."
"Sedaplah makaroni ni, Eleena. Kamu masak ke?"
"Ya, saya masak, makcik."
"Nanti boleh tunjukkan cara nak masak makaroni macam ni?"
"Boleh, Insya-Allah, makcik."
Ail akhirnya dapat lesen untuk keluar rumah setelah sekian lama sukar untuk keluar rumah.
Dalam kereta, Ail tak sabar-sabar untuk ke Pulau Pinang.
"Ail, kita alas perut di rumah saya dulu, kemudian kita bergerak dengan Edry, boleh?"
"Awak ni pandai berdiplomatik lah," kata Ail.
"Macam ayah saya juga," kata Eleena, kemudian pandang Nizam, tentang rahsia yang hanya mereka berdua sahaja yang tahu.
--
"Rafi Kenal Friendster"
Seperti biasa, Rafi mencari makwe untuk dia mengorat di MiRC. Dia chat punyalah chat, ada respon dari seorang gadis bernama Lisa.
Setelah berbual-bual, Rafi minta gambar. Tak nak la nanti dapat makcik lagi.
Dia bagi satu url.
Rafi klik.
"Apa ni? Friendster?"
Dia hanya nampak satu gambar Lisa. Dia nak tengok gambar lain, tapi dia perlu ada akaun Friendster untuk itu.
Selepas dia buat akaun, dia nampak gambar-gambar Lisa yang lebih daring. Gambar pakai coli sahaja.
"Awak nak gambar nampak semua tak? RM50. Full body RM100."
Rafi bila melihat liuk lentuk badan Lisa mula hilang pedoman.
Dia fikir dia nak gambar separuh atau gambar full.
"Kalau dua2?"
"Best price RM120 plus tiga gambar biasa."
"Nak."
"Send duit kat nombor akaun ni, lepas tu sebut nombor resit."
Rafi menyalin nombor akaun tersebut.
Berlari Rafi menuju ke Shell untuk menghantar duit tersebut pada Lisa. Lepas hantar duit, dia terus ke cybercafe kembali.
"Dah hantar?"
"Dah."
"Check e-mail."
Lima gambar Lisa, tiga gambar biasa, tapi yang dua itu yang diidamkan Rafi.
"You buat phonesex?" tanya Rafi.
"ofc."
"Berapa?"
"You topup Maxis RM60."
Berlari lagi Rafi membeli topup Maxis RM60.
"Ada banyak lagi perempuan macam ni ke kat Friendster?" tanya Rafi.
Setelah dapat semua, Rafi pulang ke rumah, kunci bilik agar Fuad tak masuk, dan terus dial nombor Lisa. Rafi telefon, tak dapat. Telefon lagi sekali, suara orang India tua bercakap Tamil.
Dalam tak sedar, Rafi dah kena tipu RM180 hanya dalam masa beberapa jam. Satu perempat gajinya kerja KFC lesap macam tu je. Gambar yang diberi tu pun sebenarnya entah model Filipina mana entah yang nampak macam Melayu.
Rafi bengang, lalu bawa motor menuju ke warung char kuey teow Adli.
Adli sedang rilek potong kuchai sambil nyanyi lagu XPDC Apa Nak Dikata. Sejak dia bekerja dengan ayahnya berniaga char kuey teow ni, dia dah tak berapa nak Margera sangat.
"Kau dah kenapa muka macam tapir tertelan ubat gegat ni, Fi?" Adli menegur member yang sedang down kena kencing.
"Aku kena kencing."
"Bodoh, kena kencing, mandi lah. Basuh bahagian yang kena kencing tu. Siapa kencing kau ni? Kau pun tadah je kencing dia?"
Rafi dah serabut dengan Adli.
"Kena kencing, kena tipu."
"Siapa pulak tipu kau ni?"
"Lisa."
"Lisa mana pulak ni?"
"Aku kenal kat chat."
"Ah kau ni, balik-balik chat. Dulu aku buat Najwa dulu tu, aku nak bagi kau beringat, tapi kau tak ubah-ubah perangai kau ni," kata Adli.
"Kau nampak sangat bergurau. Ni dia tipu duit beb! Kang aku report polis, aku sendiri malu."
"Sebab kau bodoh. Kau tau Ail dah start fed up dengan perangai kau? Padahal dia member baik kau tu."
"Aku nak ada makwe gak."
Adli dah tanggal topi dan garu kepala.
"Kau tengok aku, Ail takde makwe, relax je," kata Adli.
"At least ada makwe minat kau?"
"Siapa?"
"Alin Jerawat."
"Butoooo!" kata Adli sambil bangun untuk mengambil order orang yang baru duduk.
Rafi serabut kepala. Dia kena slowdown sikit benda-benda macam ni.
Adli menuju ke tempat buat air sementara ayahnya masak char kuey teow.
"Woi, tapir, nak minum apa?"
"Ais kosong."
"Ais kosong je? Topup makwe boleh, tapi makan tempat aku, ais kosong. Amende!"
"Bajet aku dah lari ni."
"Ah, ye lah. Kau tunggu ais kosong kau jap. Makan?"
"Tak kot."
Adli hanya menggelengkan kepala tanda tak faham.
--
"Kerisauan Kamelia"
"Cik kena buat appointment ya untuk pemeriksaan selanjutnya, buat masa sekarang pihak hospital masih belum boleh buat apa-apa diagnostik lagi. Sample tisu dan darah cik kami hantar ke makmal, dan kami akan beri keputusan peringkat awal sebelum kita buat pemeriksaan seterusnya, okay?" kata Dr Raihana pada Kamelia.
Benda-benda macam ni yang merisaukan Kamelia. Dalam kereta, dia termenung, sambil memikirkan apakah dia akan mati selepas ini. Apa benda ni sebenarnya, dia masih tak dapat jawapan yang pasti.
Menunggu keputusan hospital ni macam menunggu bila nak ke tali gantung, agaknya.
"Kau janganlah risau, Kam. Abah dah sediakan duit kalau apa-apa jadi pada kamu."
"Bah, Kam tak nak masuk universiti, boleh?"
"Kenapa pulak kau cakap macam tu? Belum apa-apa kau dah cakap macam ni. Rilek la. Kalau doktor kata takde apa, takde apa la. Ni sampai kau tak nak pergi universiti. Masa depan orang takde pelajaran ni, susah, Kam."
"Kam tau tapi buatnya Kam kena macam arwah mak, mana abah nak cari duit?"
"Tu abah la kena fikir. Kau tenang je. Bawak bertenang dan fikirkan yang baik-baik."
Dalam studio jamming, dia endah tak endah je walaupun Aboo main lagu All Alone Or dari kumpulan Love. Dia asyik memikirkan tentang laporan makmal yang bakal diterimanya nanti.
Dia baru je nak belajar main gitar, baru je nak ada band, nak kenal dunia, dah macam ni.
Sakit itu menyucuk kembali. Dia rasa dirinya lemah untuk bertarung dengan kesakitan ini.
Dan kerana dia tidak lagi mampu bertahan, dia menangis di meja cashier itu juga.
"Kenapa, Kam? Sakit lagi?"
"Sakit bah, tolong!"
Ayah Kamelia terus papah Kamelia, dan pandu kereta menuju ke rumah.
"Dah, start esok kau duduk rumah je lah, tak payah tolong aku. Nanti kau sakit lagi teruk, risau pulak aku," ayah Kamelia terus kembali turun menuju ke kereta untuk kembali ke studio jamming.
Kamelia menangis seorang diri dalam bilik.
"Tak guna! Tak guna!"
Kamelia terus ketuk-ketuk kepalanya. Kesakitan ini menghantuinya. Kerisauan membelenggunya. Dia masih ingat bagaimana arwah ibu menderita sebelum meninggal dunia dulu.
Dia jadi takut kerana dia belum bersedia untuk meninggal dunia. Kematian Azlam baru-baru ini pun menyedarkannya bahawa mati tu bila-bila masa sahaja.
Cuma baru sekarang dia bertemu bahagia. Ada kawan baik seperti Eleena, dan ada band, dia rasa semua ini masih terlalu awal untuk dia pergi.
Kesakitan dan memori ibu menyelubungi Kamelia.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top