Episod 1

Nota: Bagi yang belum membaca Cheras Perdana vol 1, anda disarankan membaca yang itu terlebih dahulu untuk pemahaman yang jitu.

"2001: Space Odyssey"

Kamelia memulakan tahun baru dengan menonton filem epik sci fi pengembaraan angkasa versi DVD remastered tahun 1968 dari Stanley Kubrick, "2001: Space Odyssey".

Ayah Kamelia datang ke ruang tamu sambil mengunyah biskut raya.

"Space Odyssey?"

"Haah, Ray yang bagi hadiah ni kat Kam hari tu."

"Cerita lama ni, masa abah umur baya kau tengok cerita ni."

Bermula dengan kegelapan, diikuti dengan bunyi lagu orkestra berkumandang, dan crescendo lagu Also Sprach Zarathustra dalam kegelapan, sebelum semua cerita bermula.

Kisah bermula dengan sekumpulan mawas yang hidup berkumpulan sedang mencari lopak air, lalu bertemu dengan sekumpulan lagi mawas dari puak yang lain.

Kamelia ternganga melihat pergaduhan beruk-beruk itu. Akibatnya satu puak lagi kalah, dan puak yang menang menguasai lopak air itu.

Ketika malam, seekor mawas tersedar dari tidur, bahawa ada satu monolith hitam, terpacak di depan gua tempat mereka tidur. Mawas itu mengejutkan semua mawas yang lain, lalu 'memuja' monolith tersebut.

"Bah, benda hitam tu datang dari mana bah?"

"Mungkin alien yang letakkan."

"Abah kata abah dah tengok?"

"Sebab masa abah tengok dulu, arwah atok tak cakap apa-apa. Jadi, fokus betul-betul kat sini," ayah Kamelia bercakap sambil masukkan tembakau dalam paip.

Esoknya, mawas-mawas itu mencari makanan di kawasan rumput kering itu. Si mawas nampak tulang-tulang dari makhluk yang dah lama mereput. Si mawas ketuk-ketuk tulang itu. Pecah tengkorak itu. Dia ketuk lagi. Kemudian dia telah menemui moment 'eureka'nya lalu berteriak bangga.

Lalu mawas-mawas tadi membawa tulang dan memukul ketua puak mawas yang memegang lopak air tadi sampai mati.

"Bah, kenapa dia pukul monyet tu?"

"Rasanya, monyet-monyet tu sama tak macam perangai manusia?"

Kamelia pandang mata ayahnya yang selamba duduk di kerusi malas.

"Jangan tengok abah, tengok filem ni."

Dari tulang itu, dicampaknya ke langit, lalu menjadi kapal angkasa yang terbang menuju ke bulan. Si ayah berbual dengan si anak melalui kamera video.

"Abah, ni macam....webcam."

"Stanley Kubrick, visionary."

Terkebil-kebil Kamelia cuba memberi fokus kepada jalan cerita angkasawan ini.

"Dia cari apa kat bulan ni?"

Ayah Kamelia diam dan terus hisap paip.
Kamelia melihat teknologi dari bayangan Stanley Kubrick. Dia melihat skrin video yang disentuh dengan jari.

"Kan best kalau handphone kita pakai touchscreen, tak payah ada keypad macam handphone Nokia sekarang?"

"Boleh ada video dalam device tu, canggih. Kam rasa future kita mesti macam ni kan?"

Ayah Kamelia tergelak, asap dari paipnya berkepul-kepul.

"Oh, dia jumpa the same black...thing!"

Cahaya matahari memancar ke arah monolith hitam itu dan mengeluarkan gelombang radio.

Angkasawan-angkasawan kemudiannya 'ditidurkan' untuk perjalanan yang jauh menuju ke planet Musytari, menerusi kapal angkasa Discovery One.

Kapal angkasa itu dikawal oleh sejenis program komputer yang diberi nama HAL 9000. Dikatakan HAL 9000 ini kalis dari kesilapan.

Kedua-dua angkasawan itu ditugaskan untuk membaiki antena yang dikatakan oleh HAL 9000 sebagai rosak. Tetapi, angkasawan itu mendapati antena dan EVA pod itu tidak rosak.

Kedua-dua angkasawan itu berpakat untuk mematikan HAL 9000, tetapi HAL mampu membaca bibir kedua-dua angkasawan itu.

HAL 9000 cuba untuk membunuh kedua angkasawan itu, dengan mematikan sistem penting untuk kehidupan angkasawan itu. Salah satu angkasawan masuk ke dalam server HAL 9000 dan cuba mematikannya.

Pada akhirnya, HAL 9000 berjaya dimatikan, dan salah seorang angkasawan itu mendapat satu signal kuat, seperti monolith pada bulan tempoh hari. Angkasawan itu menuju ke Musytari, dan memasuki ke satu vorteks cahaya berwarna-warni, sebelum dia masuk ke satu bilik neo-klasikal.

Angkasawan itu kemudiannya nampak dirinya sendiri, sedang duduk di meja makan, kemudian menua, dan terbaring di atas katil. Dan didepannya itu ada monolith sama seperti yang ditemui oleh beruk-beruk mula-mula tadi, dan saintis di bulan, lalu dia bertukar menjadi bayi yang bijaksana.

"Bah, Kam dapat tangkap cerita ni, tapi apa point semua ni?"

"Inilah cerita tentang manusia. Dari sekumpulan monyet tu, sampai menjadi Ubermensch."

"Apa tu?"

"Ray ada bagi Kam buku Zarathustra tu kan?"

"Ya, dia bagi sekali buku ni dengan DVD ni."

"Manusia, bila sudah berkembang dan berkembang dan bila dah jadi wise, jadilah macam bayi yang bijaksana tu."

"Tapi, bukankah mustahil ke manusia tahu semua benda?"

Ayah Kamelia bangun dari kerusi malas. Dia kemudian memulangkan kembali balang biskut raya ke meja.

"Mustahil atau tak tu, semua atas fikiran."

"Kalau kita dah tahu semua benda, macam mana dengan Tuhan?"

Ayah Kamelia senyum.

"Baca buku tu, baru boleh faham Nietzsche. Dan tahu, apa itu Ubermensch."

--

"Budak Baru Dalam Kelas"

Perhimpunan sekolah pertama di tahun terakhir persekolahan. Akhirnya, selepas enam tahun berseluar biru, dan ini tahun kelima berseluar hijau. Ini tahun terakhir, atau kalau nak pilih Tingkatan Enam boleh tambah lagi dua tahun.

Sudah kali keberapa pagi Isnin, dia harus mengikut ritual ni. Nyanyi lagu Negaraku, negeri Selangor, lagu Bahasa Jiwa Bangsa, dan lagu Cinta IT.

Nizam pun tidak faham sepanjang hampir sepuluh tahun bersekolah sejak Disember 1990, hingga ke hari ini, apa tujuan ini semua.

"Adui, Cikgu Noraini ke?" Nizam dah terfikirkan peristiwa yang berlaku pada tahun lepas yang dia tidak mahu ingat lagi.

"Apa? Cikgu Noraini jadi cikgu disiplin baru? Halamaaaaaaakk..."

Semua kawan-kawan kelas Nizam yang mengetahui tentang peristiwa tu semua memandang sinis ke muka Nizam.

"Pantek la kau, pantek!"

Selepas sejam perhimpunan, mereka semua masuk ke kelas. Kali ini, Nizam di kelas 5 Ikhlas.

Selamat budak kaki tidur tahun lepas tu dah masuk kelas lain. Tension jugak Nizam dengan mamat tu.

Kelas yang bising tadi terus senyap. Ada budak perempuan baru masuk ke kelas.

"Ini 5 Ikhlas ke?" tanya budak perempuan itu.

Dia punya cantik sampai boleh buat seluruh kelas senyap.

Beberapa saat kemudian, cikgu kelas masuk.

Sebelah meja Nizam kosong, jadi budak perempuan itu duduk sebelah Nizam.

Nizam punya jantung macam nak tercabut berdegup.

"Bangun semua!"

"Selamat pagi cikgu!"

"Hai."

Budak perempuan itu pandang Nizam. Nizam telan air liur seperti gaya Vince McMahon yang bakal distunner oleh Stone Cold.

"Hai."

"Boleh saya tahu nama awak?"

"Huh?"

Budak perempuan itu terus memandang Nizam.

"Nizam."

"Oh, nama saya Eleena. Eleena Mahathir."

Dalam kepala otak Nizam, dia ni anak Mahathir ke?

"Senang berkenalan dengan kamu, Nizam."

Dalam hati Nizam tak boleh nak tenang berfikir. Risau macam-macam je.

"Nizam?"

"Ya?"

"Nanti temankan saya ke kedai buku, boleh?"

Entah secara automatik, Nizam menangguk kepala bersetuju. Dia pun tak sedar apa yang dia sedang bersetuju.

Waktu rehat, budak perempuan itu mengikut sahaja Nizam.

"Oh, kedai buku kat sini."

"Terima kasih, Nizam."

Nizam mahu beransur, tetapi kakinya macam susah nak berganjak.

Eleena beli beberapa buah buku latih tubi, dan buku nota untuk ditulis.

"Jom, kita rehat sama-sama."

Nizam membawa Eleena ke kantin, dan membeli bubur ayam yang menjadi kegemaran Nizam di sekolah. Eleena bawa bekal nasi ke sekolah.

"Wah, bawa bekal."

Ternyata bekal nasinya sungguh cantik. Carrot dipotong bentuk mulut, telur rebus dua keping menjadi mata. Sayur brokoli jadi hidung.

"Wow, cantiknya, nasi?"

"Ini namanya bento. Kalau Nizam nak, esok saya buatkan satu untuk Nizam."

"Hah? Eh, takpe Eleena. Susahkan awak je."

Berpeluh sejuk menitik dari dahi Nizam.

Dalam kelas, Eleena hanya mahu berbual dengan Nizam. Nizam dah rasa janggal memandangkan semua member-member lelaki dah usha dia semacam.

"Ayah saya kerja di Wisma Putra, Putrajaya. Dia belum dapat rumah lagi di sana, jadi, sementara itu saya dan keluarga saya bertiga menyewa di Perdana Park."

Perdana Park? Mak aih, itu rumah orang kaya tu. Siap ada tembok dan guard lagi.

"Boleh saya tahu, Nizam suka warna apa?"

Kenapa dia ni tanya soalan awkward?

"Err, merah? Hitam?"

"Bersemangat, dan berani!"

Semangat dan berani hotak dia. Dari tadi awek cun ni asyik tanya macam-macam.

"Bila tarikh lahir awak?"

"25 September."

"Libra."

Selama ni Nizam tak pernah ambik pot pun pasal zodiak.

"Awak?"

"17 Mei."

"Err..bintang apa ek?"

"Taurus."

Dia punya senyum tu.

Dia bagi Nizam origami berbentuk katak.
"Te..te..terima kasih."

"Sama-sama."

Sepanjang hari itu Nizam rasa tak sedap duduk. Kenapa awek ni...macam...mesra...sangat?

Dengan dia sorang je pulak tu?

Siapa dia ni?

Loceng balik berbunyi, semua kemas beg. Nizam siap kemas, dan terus nak keluar dari bilik darjah, tapi kaki dia macam terhenti.

Eleena ikut Nizam dari belakang, kemudian jalan bersama.

"Awak, awak suka makan apa?"

Nizam terpinga-pinga.

"Ayam?"

Eleena senyum. Dan menemani Nizam sampai pagar sekolah. Sebuah kereta BMW warna hitam dengan plat beserta jata kerajaan Persekutuan menunggu di depan. Eleena duduk di belakang. Dan pakaian pemandu itu sangat kemas. Macam uniform.

"Nizam, esok kita jumpa lagi, ya?"

Nizam terpana dan kaget sambil menampar diri tanda tak percaya.

--

"Dajal Kereta Ustaz"

"Woi, Nizam!" datang Adli memeluk dari belakang.

"Weh, Nizam, awek mana yang rehat dengan kau tadi? Cun gila." tanya Rafi.

"Entah, rapat semacam je kau dengan dia?" Ail pula menyampuk.

"Dia budak baru dalam kelas. Lepas tu, dia duduk sebelah aku. Lepas tu, dia ajak aku pergi kedai buku. Lepas tu, dia tanya bila birthday aku, warna kegemaran aku, makanan kegemaran aku. A..a..aku tak tahu, benda ni tiba-tiba."

"Peh, Nizam. Ada awek baru!" Rafi singgung siku Nizam.

"Dah, dah. Sekarang plan kita macam mana?" tanya Adli.

"Plan apa?" tanya Nizam.

"Tadi, Rafi sudah kena marah sama Ustaz Hanafi. Sebab benda ni, yang tergantung kat beg dia ni."

Patung yang menyerupai cover album Korn - Issues tergantung di beg Rafi.

"Dia cakap Rafi ni menyerupai sifat orang kafir. Benda ni kita kena balas balik, demi member-member!" kata Adli.

"Apa kau nak buat?" tanya Nizam.

"Ada laaaa, kita makan dulu. Aku tau ustaz hari ni ada mesyuarat guru. Dia balik lambat."

Mereka pergi ke warung nasi campur tepi bengkel kereta Ricardo.

Nizam ambil sambal ayam, dan sayur kangkung. Ail cuma makan nasi dan telur. Rafi makan ikan dan sayur, dan Adli makan kari daging."

"Asal makan telur je, Ail? Kau takde duit ke?" tanya Rafi.

"Ini dah potong trademark Adli adlo Adli makan telo ni, Ail."

"Aku nak save sikit lah tahun ni."

Nizam faham tentang niat Ail yang mahu mengembara tu.

"Jeng je jengggggg!"

Adli keluar dari poket dia. Paku-paku yang dia rembat dari bengkel Kemahiran Hidup.

Masa Form 3 dulu, Adli telah mendajal motor kapcai Cikgu Rahim dengan memancitkan tayar.

"Adli, aku rasa poket kau ni macam poket Doraemon dari neraka la. Macam-macam benda jahat keluar dari poket kau."

"Kahkahkah, kau tunggu. Tahun ni, adalah tahun Adli Margera menyinar."

"Kau ni banyak tengok Jackass la, Adli."

Selepas makan, mereka kembali ke sekolah, dan Adli meletakkan paku sepanjang 10cm untuk kerja bengkel kayu itu di keempat-empat tayar kereta ustaz.

"Baik kau pancitkan terus?" kata Rafi.

"See, ini yang kau tak faham tentang falsafah pendajalan, Rafi. Sengaja aku tak nak pancitkan tayar dia, dan aku letak empat paku tu, ngam-ngam kat tayar. Jadi, bila dia reverse kereta dia untuk keluar, BAAAAAMMM! Itulah dia Margeraisme!" kata Adli yang menjadikan Bam Margera sebagai idolanya dalam arena pendajalan melalui siri Jackass.

"Ok, sekarang kita semua sorok belakang kantin sebab Ustaz Hanafi dah turun tangga."

Nizam dan rakan-rakan melihat dari jauh reaksi Ustaz Hanafi dari jauh.

"Satu...dua..."

Ustaz Hanafi reverse kereta.

PAAAAAAPPPP!

Empat tayar kereta Ustaz Hanafi pancit serentak.

"KIMAAAAAAAAAAAAAAAKKKKKK!"

Adli tersenyum bangga. Apabila kau mampu buat seorang ustaz mencarut dengan menjerit sebegitu rupa, kau adalah legend.

"Bam Margera mesti proud dengan aku," Adli terus berjalan sambil panjat tembok sekolah untuk keluar.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top