Sakit
Manja.
Ya, stereotaip yang selalu didengari dari mulut orang. Kata mereka, anak bongsu sering dimanjakan, tetapi mengapa aku tidak? Sebaliknya, ibu aku sering melebihi kakak aku. Berani mereka bising bahawa favouritism tidak wujud? Heh.
Dalam keluarga ini hanya kami berdua yang menjadi cahaya mata Puan Erni, ibuku. Abah aku sudah lama meninggalkan kami bertiga. Menurutnya, dia sudah tidak tahan dengan perangai isterinya itu, lalu mengambil keputusan untuk berpisah dengan talak satu ketika aku masih kecil.
Ibu aku langsung tidak kisah untuk menamatkan hubungan mereka kerana baginya dia mampu berdiri di atas kaki sendiri. Dari dahulu lagi, akulah yang sentiasa menjadi penonton di pentas yang pelakonnya terdiri daripada kedua ibu bapaku. Boleh dikatakan aku lebih banyak menyaksikan pergaduhan mereka daripada menghabiskan masa melihat Spongebob, kelakar. Kakak pula hanya bersikap tidak endah. Aku tidak pasti tindakan ibu dan abah itu memberi kesan kepadanya ataupun tidak.
Selepas sahaja kelahiran aku, ibu perasan aku tidak seperti kakak aku. Sehinggalah umur aku mencecah empat ke lima tahun, doktor mengesahkan aku mengalami sedikit gangguan otak yang bakal menjejaskan kehidupan aku. Di saat anak kecil lain senang menyebut huruf A sehingga Z, aku masih tergagap menyebut K. Yup, slow learner, namun itu tidak menghalang aku untuk berusaha sehabis yang mampu sehinggalah suatu hari— Hari yang bermakna bagi aku setelah memperoleh keputusan peperiksaan.
"Ibu, adik dapat nombor sepuluh dalam kelas!" Beritahu aku teruja.
"Nombor sepuluh saja? Ingatkan nombor satu." Kata-kata ibu menyakitkan hati aku, namun aku endahkan.
Aku tahu kakak aku seorang yang bijak akademik. Keputusan peperiksaannya yang sentiasa bagus selalu ibu puji manakala aku langsung tidak. Sebaliknya, aku dipersoalkan dan dibandingkan. Aku tidak suka dibandingkan dan dimalukan depan kakak aku.
Kerap kali aku bertanya pada diri, adakah ibu malu mempunyai anak seperti aku?
Menjelang hari gaji ibu, ibu selalunya akan memberikan wang kepada kami berdua sebagai duit simpanan.
"Ibu, kenapa akak dapat duit lebih dari adik? Akak kan dah besar." Ujar aku hairan. Aku bukanlah anak yang tidak bersyukur. Kadangkala kebajikan aku tidak terjaga, dan aku hanya bergantung pada duit simpanan ini. Dengan wang yang diberi ini aku terpaksa mengikat perut selama berhari-hari. Sebenci itukah ibu kepada aku.
"Alah, kau budak lagi. Mana boleh duit banyak-banyak. Nanti hilang, macam mana?" Kata kakak ketika kami berdua masih bersekolah menengah.
Kakak bukannya tidak tahu sekiranya aku membeli makanan lauk di kedai, dia pasti menyuruh aku menggunakan wang aku terlebih dahulu. Amboi, wangnya disimpan rapi!
Sejak kakak bekerja sebagai arkitek dan aku pula pelajar lepasan SPM, ibu seperti ada tidak ada. Sehinggakan suatu masa aku mengumpulkan keberanian untuk menyoal ibuku.
"Ibu, ibu sebenarnya anggap adik ini anak ibu ke tak? Kenapa ibu selalu berat sebelah eh? Kenapa ibu tak layan adik macam ibu layan akak?" Soalan aku yang bertubi-tubi itu membuatkan ibu terdiam sepi.
Aku masih ingat dengan jelas. Setiap kali kami bertiga keluar membeli-belah, aku yang diabaikan.
"Akak nak beli tak KitKat?" Soal ibu kepada kakak sambil meletakkan bungkusan coklat di dalam troli.
"Akak tak berapa makan coklat la." Jawab kakak teragak-agak.
"Oh, kalau macam itu tak payah lah beli." Ibu meletakkan bungkusan coklat itu kembali ke tempat asalnya.
"Haah, bukan ada siapa makan pun kan." Hati aku bersuara sambil menahan sakit di dada.
Aku pandang mata ibu. Ibu sengaja abaikan aku. Ibu tahu coklat KitKat itu makanan kegemaran aku. Yang menjadi kepedihan di hati ini, ibu tahu makanan kegemaran aku. Ibu sentiasa tahu, tetapi dia pura-pura tidak tahu. Sakit.
Aku senyum palsu.
Satu perkara yang lagi menyakitkan hati aku, kakak tidak pernah membuat kerja rumah dengan alasan penat dan sebagainya. Setiap minggu, akulah yang mengemas rumah, membasuh, menjemur, dan melipat baju. Ibu sibuk bekerja di kilang, jadi dia kerap pulang lewat malam.
Apabila ibu melihat rumah dikemas rapi, ibu memuji kakak. Sedangkan, aku yang mengemasnya.
"Wah, kemasnya! Rajinnya anak ibu." Ujar ibu lalu membelai rambut kakak.
Aku hanya menjadi pemerhati.
"Adik, jangan jadi pemalas sangat. Asyik kakak kamu yang kemas rumah. Kamu bila lagi?"
Aku hanya mampu menundukkan kepala. Aku tidak mampu bersuara. Aku tidak berani untuk menidakkan ibu. Aku takut.
Dan tiba satu hari, di mana hidup aku mulai berubah.
"Ibu, akak kena tukar tempat kerja mulai minggu depan."
"Lah, ya ke? Bagus lah tu, sekurangnya tak ada la terperap dekat bandar ini saja macam adik kamu." Kata ibu sarkastik, kakak hanya tersenyum kecil. Dia pandang aku lama.
"Adik, aku ada benda nak cakap dekat kau." Beritahunya ringkas.
"Apa?" Kaki aku melangkah masuk bilik dan diikuti kakak. Sejujurnya aku dari dahulu mulai menanam rasa benci kepada kakak di dalam hati.
"Aku minta maaf." Degupan jantung aku terhenti sesaat. Dada aku mulai naik turun dek kerana nafas aku yang tidak teratur. Seketika aku merasakan waktu seperti terhenti. Rasa hiba menguasai diri, dan mata aku kian berkaca.
"Kenapa tiba-tiba?"
"Aku tahu, aku banyak lukakan hati kau." Ujarnya lagi.
"Hahaha, apa kau merepek ni?" Soal aku sambil tergelak kecil. Aku cuba berpura sehabis yang mampu walaupun sudah kian jelas air mata sudah bertakung.
"Aku tahu adik. Kau selalu menangis tengah malam. Aku nampak kau haritu. Kau tulis luahan kau dalam diari, aku baca." Luahnya.
Aku diam sepi melihat kakak yang sedang menceritakan semula. Aku tidak tahu reaksi apa yang perlu ditunjuk.
"Mana charger budak ni? Eh benda apa atas meja ni, diari? Besar-besar tulis diari lagi haha." Monolog Aina ketika dia memasuki bilik Syamirah untuk mencari charger phone.
Diari 1001 Luahan.
“Amboi, nama diari taknak kalah!” tawanya kecil.
Aina memandang sekelilingnya memastikan adiknya itu tidak nampak tindakannya itu. Jarinya menyelak helaian demi helaian halaman diari tersebut yang penuh dengan tulisan dakwat hitam.
M/s 1; "Setiap hari aku soal diri aku. Kenapa aku dilahirkan macam ini? Ya Allah, buanglah rasa terbeban ini."
M/s 10; "Hari ini kawan aku cerita pasal ibu mereka. Seronok aku mendengarnya, tetapi dalam hati aku, perit. Perit tau tak. Sakit. Sakit sangat sampai aku rasa macam nak mati. Mesti best kan dapat ibu yang boleh belai anak."
M/s 23; "Ibu tak pernah jaga hati aku. Salah aku ke wujud? Patutnya ibu sendiri yang gugurkan aku!"
M/s 31; "Perlu ke bandingkan keputusan peperiksaan aku dengan kakak aku? Susah sangat ke nak ucap tahniah? Susah sangat ke nak hargai aku walau sedetik? Berat ke bagi ibu untuk rendahkan ego sebagai mak."
M/s 42; "Ibu sentiasa bahagia dengan kakak. Kalau aku tiada, bukannya dia kisah. Ya Allah, sampai bila."
M/s 45; "Dua hari yang lalu, aku telan tiga papan Paracetamol. Bodohkan aku. Bukannya aku dapat mati, kepala aku sahaja yang berat, aku rasa mual. Memang bodoh. Selalu fikir nak lari dari masalah dengan cara nak bunuh diri. Tapi aku tau, bukannya ibu kisah. Seharian aku dalam bilik, ada tak dia jenguk? Tak ada. Lain la kalau anak kesayangan dia."
M/s 50; "Aku nak mati la! Aku benci! Dosa ke aku hidup macam ni. Semua benda tak kena di mata ibu. Apa yang aku buat, semua salah!"
M/s 63; "Aku terasa sangat dengan ibu. Esok aku akan cuba cari kerja part time. Mudah. Aku dapat duit, ibu tak jumpa aku dekat rumah. Memang itu yang ibu mahukan."
M/s 77; "Best la kan kena puji dengan ibu. Anak yang rajin. Konon. Hahaha. "
M/s 100; "Aku tak percaya yang aku hilang dalam diri aku. Semalam aku... aku cuba bunuh diri. Aku kelar tangan aku dengan harapan aku dapat pergi tapi aku takut. Aku takut sangat. Aku berdosa Ya Tuhan." - Ditulis seminggu yang lalu.
"Aku baca semuanya, adik." Kakak pandang mata aku yang menahan air mata dari mengalir keluar.
"Lepaskan adik. Lepaskan kesakitan kau dekat aku. Kau tampar la aku sebanyak mana kau nak. Aku patut terima. Aku tak pernah peduli perasaan kau. Aku sombong sebagai kakak."
Air mata aku mulai mengalir keluar dari tubir mata dengan deras tanpa henti. Rasa serba salah menghuni diri aku.
"Tak lah. Ini kan salah aku. Kau.. kau sempurna. Aku bukan sempurna. Sebab tu, ibu sayang kau. Aku cemburu. Aku cemburu dengan kau. Kau dapat semua perhatian orang." Ucapku dalam keadaan teresak-esak menangis.
"Sebab aku... sebab aku kau nak bunuh diri. Kau nak tinggalkan dunia ni dan aku hampir hilang adik aku. Aku minta maaf adik. Kau menderita lama adik. Kau dah habis sekolah. Bertahun-tahun kau hadap rasa ini seorang diri. Aku tak ada dengan kau. Aku tak layak untuk ucap maaf. Aku tahu benda ni tak akan tebus semula rasa sakit yang kau alami." Kakak peluk aku kuat.
"Tapi aku cuma mampu ulang perkataan minta maaf. Aku minta maaf." Ucapnya dalam tangisan.
Sejak itu, hubungan aku dengan kakak kian pulih. Ibu tidak tahu akan kejadian yang ditulis dalam diari itu dan aku meminta kakak untuk merahsiakannya. Layanan ibu pula semakin berubah, ibu tidak lagi menyebelahi kakak. Akhirnya, kakak bersuara dan jujur dengan ibu tentang ketidakadilan yang berlaku antara kami. Hal ini menjadi kekok antara kami bertiga. Mungkin ibu sudah merasa serba salah.
Pejam celik pejam celik masa berlalu dengan pantas. Minggu depan, aku akan sah bergelar isteri orang.
Kakak pula telah menjadi arkitek yang dikenali ramai setelah perbentangan proposal projek binaan terbarunya berjaya dan menjadi buah mulut eksekutif atasan. Dia juga turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat di luar negara. Ibu pula berhenti bekerja di kilang dan mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu saudara aku di kampung. Dalam diam mereka menjalankan perusahaan kerepek pisang, bukan main!
Aku senyum manis dan memejamkan mata untuk tidur.
"Tuhan, terima kasih untuk segalanya. Terima kasih kerana mendengar rintihan hamba Mu yang lemah ini."
- T A M A T -
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top