BAB 4

Syiqa: Min, jomlah keluar. Kau dah balik sini, kan?

JASMIN tenung skrin komputer riba yang terpasang dengan Whatsapp Web tanpa perasaan. Tak lama untuk mesej itu dibalas orang lain.

Put: Eh? Min dah balik? Tak bagi tahu pun, Min!

Syiqa: Ya, dia senyap-senyap aje balik sini tak bagi tahu kita. Kalau aku tak jumpa umi dia dekat Cold Storage tadi, sampai sudah dia diam.

Put: Cis! Okey, kalau macam tu jom keluar!

Syiqa: Jom! Aku free. Boleh minta Min baca cerita yang aku tengah tulis ni.

Putz: Aku pun free. Sama, nak minta Min check aku punya cerita juga. Jom keluar, Min!

Syiqa: Cun sangat. Btw Put, jangan lupa bawa buku baru kau. Aku nak sign!

Puts: Ya, ada ni aku simpan tepi. Bawa buku kau sekali yang terpaling best seller tu. Aku pun nak sign kau juga. Saja aku tak beli awal-awal, nak kutip sign kau depan-depan. Terharu sikit please!

Syiqa: Hahaha! Best seller la sangat... kau tu lagi hot! Tak sampai sehari buku habis dua ribu copies. Apa kes?

Jasmin tutup skrin komputer ribanya. Tak mahu membaca dengan lebih lanjut perbualan kawan-kawan baiknya. Mood dia yang awalnya ceria tiba-tiba berubah muram.

Keluh paling berat Jasmin lepaskan tanpa dia sedar. Dada yang seperti dipalu itu Jasmin usap perlahan, moga-moga tenang mendatangi sanubari.

Koleksi buku nukilan Syiqa dan Put dia jeling, cantik tersusun sebaris. Memang khas dia beli rak itu untuk mempamer hasil tangan Syiqa Stella dan Putz Idris. Awal-awal dulu, gembira dia untuk kejayaan mereka berdua sangat ikhlas.

Memang terlahir dari hati. Masih dia ingat betapa hebatnya dia menangis hingga tersedu apabila mengetahui buku pertama Syiqa akan diterbitkan di pesta buku. Ketika manuskrip Put dilamar penerbit gergasi pun tak kurang juga teruknya Jasmin berteriak.

Sebab dia benar-benar terharu untuk kejayaan mereka.

Tapi sekarang?

"You do you, Jasmin."

You do you.



JASMIN tolak pintu cermin yang memisahkan ruang biliknya dengan balkoni hingga ke hujung. Sekelip mata rambut dia terbuai dek ditiup angin malam. Dia dongak ke atas, ada bulan penuh bersinar terang.

Jam menunjukkan angka sembilan malam.

Masih terlalu awal untuk tidur tapi terlalu bosan untuk berjaga. Jasmin dah penat tatal telefon. Sekejap dia buka Netflix, sekejap lagi aplikasi TikTok yang menjadi ganti, apa lagi? YouTube, Instagram, Twitter. Semua media sosial yang Jasmin ada, sudah dia buka.

Semuanya tidak menarik perhatian dia.

Jasmin tepu tapi tak tahu nak buat apa untuk menghilangkan satu rasa yang memberat di dada. Sepertinya ada satu gumpalan bebenang sedang berselirat di hatinya, tapi Jasmin tak tahu cara untuk meleraikannya.

Ketika itu pundaknya sudah tidak berdaya menahan rasa. Serasa lelah ingin rebah.

Dia jeling ke dalam bilik, ke arah satu peranti yang terbaring elok di atas meja belajarnya. Komputer riba jenama Asus itu dipandang tanpa pengharapan.

Lambat-lambat, dia atur langkah ke situ. Tangan dipanjangkan untuk mencapai komputer riba yang dibeli hasil berhempas pulas bekerja sambilan ketika sedang belajar dahulu.

Dia tarik kerusi yang tersorong molek bawah meja kemudian punggung dilabuhkan sekejap di situ. Skrin komputer riba dibuka, butang kuasa ditekan.

Klik, klik, klik.

Satu fail yang bertajuk 'Melur' pun terpapar. Jasmin tekan dua kali ikon fail tersebut hingga terserlah senarai nama fail dan dokumen yang bersusun dengan pelbagai tajuk.

Pesan, Zona Romantika, Hey Potter, Ed Voila, Mungkin Yang Nyaman Itu Cinta, Next itu Kamu dan... entah berpuluh lagi fail lain dengan pelbagai jenis tajuk ada di situ.

Jasmin hilang pengetahuan berapa banyak draf cerita dia ada. Banyak...

Seperti Syiqa dan Put, Jasmin juga rajin menulis. Tapi itu dulu. Dah beberapa bulan jari-jemari dia tidak berlari di atas papan kekunci.

Terasa seperti ada satu tali sedang mengikat tangan dan otaknya daripada berbuat demikian. Rasa itu, rasa yang tak mampu Jasmin gambarkan dengan kata-kata tapi cukup untuk buatkan imaginasinya terbata-bata.

Dia tekan satu fail dokumen yang bertajuk 'Tak Tahu Lagi Tulis Apa'. Jasmin baca semua perkataan yang ada di situ. Ada sembilan ribu patah perkataan, enam puluh tiga muka surat.

Semua jalan cerita dah ada dalam kepala Jasmin tapi apabila ideanya hendak direalisasikan dalam bentuk lipur lara, entah kenapa jarinya jadi kaku. Pikirannya pula seolah dipenjara supaya tidak boleh berhikayat.

Kata Syiqa dah Put, itu namanya terkena writers block.

Tujuh bulan, cuma sembilan ribu patah perkataan sedangkan Syiqa dan Put, masing-masing dah keluar dua novel dalam tempoh tersebut.

Tiba-tiba Jasmin rasa sakit hati apabila mengenangkan hal tersebut. Lekas dia tutup komputer riba dan keluar ke balkoni. Pen dan buku notanya dia kelek bersama.

Di balkoni yang boleh kata agak luas juga itu, Jasmin labuhkan duduknya di atas lantai mozek yang sejuk, tak ubah seperti hatinya. Sama-sama dingin dihimpit kesunyian tidak bertepi.

Jasmin tarik kaki merapat ke dada, lalu dipanggung kepalanya dengan lutut. Mengeluh, itu sudah jadi acara malamnya sebelum mula bercinta dengan bulan.

Lama dia berkeadaan begitu. Berdoa kepada Tuhan, dengan harapan bulan itu menjadi perantara menyampaikan kisahnya yang tidak diceritakan kepada sesiapa.

Penat menadah wajah ke langit, Jasmin betulkan duduk. Kaki dilunjurkan selesa. Pen dan buku nota dia ambil letak atas riba. Mata pen mula menari lancar di atas kertas.

Bulan... Sudahkah kau sampaikan kisah aku?



ALIM tanggalkan fon kepala. Sekelip mata bunyi bingit lagu Red dari The Rose itu hilang. Diganti dengan bunyi pelepah-pelepah pokok pinang berselisih sesama sendiri di tepi tasik.

Kuat angin pada malam itu. Walaupun bulan bersinar terang tapi nampak ada redupnya. Ada ura-ura langit mahu menangis.

Alim tongkat dagu dengan tangan kiri. Tangan kanan sibuk menatal skrin iPad mencari idea untuk kerjanya.

Sesekali Alim mengejip-ngejipkan matanya yang terasa berpinar. Dua jam, dia tak berhenti menghadap skrin komputer riba. Apabila lenguh menopang kepala, dia rehatkan belakangnya dengan menyandar ke kerusi.

"Tak ada idea la..." gumamnya spontan. Baru Alim hendak bangun untuk luruskan pinggang, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi seperti perempuan sedang menangis.

Bunyi itu datang dari sebelah kiri balkoni. Alim jadi teringat bulu romanya tiba-tiba meremang sewaktu berkebun pagi tadi.

Dan malam ini dia dengar bunyi orang menangis pula...

Ah sudah.

Liurnya ditelan. Alim nak buat-buat tak tahu ke nak pergi jenguk? Dia tak nampak pemandangan di sebelah sana kerana balkoninya sudah dipasang bidai di kedua-dua bahagian bagi menjaga privasi memandangkan jarak balkoninya dengan jiran sebelah agak dekat.

Cuma bahagian hadapan balkoni sahaja yang dibiarkan terbuka supaya dapat dia lihat pemandangan air tasik.

Alim talakan telinganya ke arah punca bunyi tangisan itu kedengaran. Sahih, dia tak salah dengar.

Langkah diatur menuju ke penghadang balkoni sebelah kiri. Berhati-hati Alim selak bidai membuat lubang untuk mengintai. Dia tak nampak figura sesiapa, tapi bunyi orang menangis tu masih ada.

Muka Alim berubah lesi. Bulu roma tak payah cakap, memang sudah mencanak tinggi.

Tak mahu terlalu jelas nampak ketakutan, Alim pura-pura tak dengar apa-apa. Dia ambil segala peranti miliknya di atas meja kerjanya di ruang balkoni lantas mencicit masuk ke dalam bilik tanpa menoleh ke luar lagi.

Ada hantu dekat rumah sebelah!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top