BAB 3

"ALIM, mama dengan papa nak bertolak lepas Zuhur nanti."

Alim yang ketika itu sedang menarik gril pagar jadi pegun di tempatnya berdiri. Lima saat, masa yang diambil untuk dia mencerna maklumat yang baru diterima. Oh, ya! Mama Lia dengan Papa Bir nak balik ke kampung.

Dia sudah ingat.

"Okey, mama."

"Nanti Alim panaskanlah apa-apa lauk dalam peti tu, jangan tak makan pula."

Alim tarik sapu tangan berwarna putih yang tersangkut di lehernya lalu kain dibawa menyapu muka. Berkilat kulitnya yang bertona kuning langsat itu akibat berlumur dengan peluh. "Makan, mama jangan risau. Pandai-pandailah Alim nanti isi perut."

"Mama awak ni Alim, risau sungguh nak balik kampung lama tinggalkan awak dekat sini." Tak pasti dah berapa lama Papa Bir menelinga perbualan mereka, tiba-tiba saja dia muncul dari dapur sambil bawa bekas berisi air.

Mungkin hendak dijadikan bekal sepanjang pemanduan pulang ke kampung nanti.

"Mana tak risau? Tinggal seminggu ni agaknya seminggu juga dia pergi meragut rumput dekat kebun dia tu macam kambing!"

Alim rasa air liurnya tergumpal dekat tekak hingga dia yang sedang meneguk air jadi tersedak. Dalam batuknya dia ketawa. Mama Lia samakan Alim dengan kambing? Meragut rumput?!

"Mama..." Sengaja Alim leretkan suaranya. Jelas suara dia bergetar menahan gelak. Mak orang lain punyalah risau anak-anak mereka tak makan sayur. Sampai dekat Mama Lia, ada ke patut panggil anak sendiri kambing sebab suka makan sayur.

"Lia ni, lain ke lain. Tak adalah teruk sangat sampai jadi kambing si Alim ni." Papa Bir bela nasib Alim seadilnya. Gaya dia seperti menahan tawa tapi nadanya serius. Mungkin Papa Bir nak gelak sekali tapi bimbang pula isteri naik hantu.

Berlakon itu perlu.

"Dah kalau setiap hari kerjanya makan sayur, sayur, sayur!"

Alim tersengih lagi. "Alim okey. Mama jangan risau. Have fun dekat kampung."

Lengannya terasa dipaut manja oleh Mama Lia. Alim biarkan sahaja, dah biasa. "Alim... jomlah balik sekali ikut mama dengan papa?"

Mata tua yang berhias dengan kedutan itu dia tatap bersama senyum tawarnya. Rasanya tak perlu menyoal lagi, Mama Lia tahu jawapan dia. "Hari panas sekarang. Nanti mati pula pokok-pokok dekat luar tu tak bersiram." Halus dia beralasan.

"Tak apa, nanti mama minta tolong dengan jiran kita untuk siramkan."

Alim menggeleng. "Tak payah la mama, menyusahkan orang pula. Lagipun Alim ada kerja nak kena buat. Nanti mama sampai dekat kampung, kirimkan salam dekat Aki Alang ya?"

Mama Lia seperti mahu membantah keputusan anak muda itu. Cepat-cepat Papa Bir mencuit bahunya dan buat isyarat agar dia hentikan pujukannya setakat itu sahaja.

"Dah la tu Lia. Alim tu sibuk. Jangan kacau dia. Jom gerak, kita dah lambat ni. Pukul berapa pula nak sampai kampung nanti kalau lambat sangat bertolak. Nanti sesak pula nak masuk KL tu."

Kendur air muka Mama Lia. Mata itu berubah sayu. Lemah dia lepaskan pautan tangannya di lengan Alim kemudian digantikan dengan pelukan erat. "Mama gerak dulu, ya? Alim jangan lupa makan. Kalau tak nak masak, beli ajelah makanan luar. Jangan sampai tak tidur buat kerja."

Alim balas pelukan hangat itu. Dia tepuk belakang badan Mama Lia penuh sayang. Sebaik pelukan dilepaskan, dia tundukkan kepala supaya dapat dilagakan pipinya dengan Mama Lia. "Okey, mama. Jangan risau."



MAMA LIA betulkan duduknya sebaik kelibat Alim hilang dari pandangan. Senyum yang tadi ditampal kini perlahan-lahan jadi kendur.

"Ha, itu kenapa lagi?" soal Papa Bir apabila ternampak muka cemberut isterinya.

"Tak ada apa pun. Risaulah nak tinggal Alim tu sorang-sorang. Entah makan entah tidak dia tu. Sudahlah cerewet. Saya pula lupa nak bekukan makanan untuk dia."

Papa Bir memutar stereng untuk keluar dari simpang. Sesekali dia jeling permaisuri hatinya di kerusi sebelah. "Usahlah Lia risau. Alim tu dah besar. Pandailah dia jaga diri nanti."

"Tahu..."

"Habis tu?"

"Entahlah. Abaikan saya."

Tergeleng Papa Bir dibuatnya. Suka hatilah Mama Lia oi...



"UMI, sejak bila rumah sebelah ni ada orang duduk?"

Umi Wafa sudahkan kunyahan nasi dalam mulutnya dulu baru dia jawab soalan Jasmin. "Bulan enam hari tu dia orang pindah masuk."

"Iya? Lama dah, dekat tiga bulan juga. Umi tak cerita pun dekat saya?"

"Lupa."

Jasmin tak puas hati dengan jawapan sepatah-sepatah uminya. "Umi kenal ke jiran kita ni?"

Abi Johan yang ketika itu sedang menghirup teh bunga chamomile di depan Jasmin jadi tersengih sendiri. "Apa pula tak kenal..."

Fokus Jasmin dah berubah arah, tidak lagi dihalakan sepenuhnya dekat Umi Wafa. Bergosip dengan umi ni tak berapa nak seronok. Lambat sungguh dia nak buka mulut, nak pula kena waktu makan. Berjanggut nak tunggu! "Abi kenal ke?"

"Kenal."

"Kawan abi ya?"

Angguk. "Kawan abi dengan umi masa belajar dulu. Rezeki berjodoh pula jadi jiran."

Ooo... patutlah Jasmin tengok dekat depan tu ada satu laluan di celah-celah pokok menghubungkan dua kawasan halaman rumah terbina elok. Rumah mereka itu rumah jenis semi-D tiga tingkat. Selalunya, kawasan perumahan orang lain ada dibina tembok pemisah yang menjadi pembahagi kawasan halaman antara dua rumah.

Tetapi tidak bagi kawasan perumahan mereka.

Bukan konkrit yang digunakan sebagai tembok, tetapi pokok.

Sebelum ini, tembok pemisah yang dibuat daripada pokok itu tertutup penuh. Baru-baru ini, Jasmin nampak ada satu bahagian telah dibuang kemudian digantikan dengan pagar kecil menjadikan halaman rumah mereka dengan jiran sebelah bercantum.

Pelik juga Jasmin. Sejak bila Umi dia baik hati sangat sampai buat pagar bagai.

Rupa-rupanya, jiran sebelah ni kawan baik Umi...

Patutlah. Jasmin terangguk lagi. Menarik, menarik.

"Sibuk tanya fasal hal orang, biar umi pula nak tanya awak. Bila awak nak cari kerja baru?"

Kelat air muka Jasmin. Terus mulut disumbat dengan cekodok pisang buatan Umi Wafa sampai pipinya kembung. Sudah jangka soalan itu yang pertama akan disoal Umi Wafa. "Apa umi ni. Saya kan baru sampai semalam. Takkan hari ni dah nak kena cari kerja."

"Memanglah! Awak ingat awak tu kecil lagi ke untuk umi dengan abi tanggung? Elok-elok dulu kerja dekat pejabat kawan umi tu, awak berhenti. Sibuk nak pergi kerja dekat tempat jauh. Nak berdikarilah, apalah. Kerja tak sampai empat bulan, berhenti pula."

Muka Jasmin berubah makin keruh. Tidak begitu senang mendengar bebelan Umi Wafa yang begitu menyakitkan telinga. Umi Wafa ingat Jasmin suka-suka ke berhenti kerja tanpa sebab yang kukuh?

Gaji Jasmin kerja dekat pejabat kawan Umi Wafa tu, sebulan dapat seribu aje. Mana cukup!

Sebab tu dia pindah pergi kerja dekat Pahang. Gaji dah tinggi, persekitaran kerja pula yang toksik. Penuh dengan manusia-manusia gila. Sikit-sikit nak salahkan orang. Tak kiralah bagus mana Jasmin buat kerja, mesti nama dia akan naik juga dalam bilik mesyuarat sebab menanggung salah orang.

Tak tahan Jasmin hidup dalam persekitaran yang macam tu. Baik dia berhenti kerja. Gaji tinggi tapi kalau hari-hari dia pening kepala buat apa? Lama-lama, Jasmin pula yang jadi gila nanti.

"Nanti saya carilah kerja baru. Umi dengan abi tak payah kasi saya duit pun. Saya dah besar, boleh tanggung diri sendiri dah."

"Menjawab, menjawab! Tengok anak awak ni abi. Saya cakap, ada aje nak dijawabnya!"

Jasmin tayang muka toya. Aik, tiba-tiba dia pula yang dituduh menjawab? "Mana ada saya menjawab. Saya cakap yang betul, umi dengan abi tak payah pun bagi duit dekat saya. Duit saya ada lagi."

"Tengok tu! Menjawab lagi!"

Abi Johan mengeluh berat dengan drama sebabak ibu dan anak itu. Dah biasa lihat tapi tetap memenatkan jiwa dan raganya. "Biarlah dia, uminya. Kalau dia nak kerja, dia kerja. Awak tak payah banyak bunyi. El Jasmin ni dah besar, pandai-pandailah dia uruskan hidup sendiri."

Jasmin kemam bibir tahan daripada melebar. Takut nanti kena halau keluar pula kalau tunjuk senyum bangga depan Umi Wafa. Abi Johan juga yang cool!

Sayang abi!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top