SC [ 1 ]

           Hanan tersenyum manis. Gaun yang terpasang di tubuh anak gadisnya diperbetulkan agar kelihatan lebih kemas. Anak gadisnya hanya diam sambil bermain dengan anak patungnya di dalam genggamannya.

Hari ni, hari pernikahan abang iparnya. Siapa sangka Ziyad akhirnya berumah tangga juga. Hanan sangkakan dia tak akan dapat tengok lelaki itu berkahwin memandangkan lelaki itu sebuk memanjang tanpa ada tanda-tanda ingin berkahwin, umur lelaki itu juga hampir-hampir mencecah ke 37 tahun. Semasa mendengar perkhabaran bahawa Ziyad mahu berkahwin, dia turut tumpang gembira. Apatah lagi Qairul.

Jodoh itu rahsia Allah, tidak kira usia berapa pun kalau dah Allah takdirkan itu waktu yang terbaik, ia tetap akan terjadi.

Rambut Hadira pula disikat lembut lalu getah di pergelangan tangannya ditarik. Setelah memastikan rambut itu sudah rapi, Hanan ikat rambut Hadira dengan gaya ekor kuda.

Jarak wajahnya dengan rambut Hadira dijauhkan. Bibirnya tersenyum puas melihat hasil karyanya.

Ha! Kan comel tu.

"Dira sayang, pandang mama kejap." Pinta Hanan lembut. Cuba menarik perhatian anak gadisnya.

Patuh dengan arahan si ibu, Hadira pusingkan tubuh menghadap Hanan sambil angkat wajah. Mata hazel itu terkebil-kebil pandang Hanan.

"Nape mama?" Hadira bertanya polos  dengan wajah ingin tahu. Hanan senyum tipis. Pipi Hadira diusap perlahan.

"Mama cuma nak tengok anak mama ni. Dira suka tak dengan gaun ni?"

Hadira tundukkan kepala. Gaun di tubuhnya digerak-gerakkan sedikit. Lebar senyuman Hadira dengan kepala mengangguk laju.

"Syuke! Dira ampak acam Esah Pojen, kan?" Hadira tersengih sambil bermain-main gaun di tubuhnya. Sengaja dia kibar gaun di tubuhnya ala-ala Elsa betul.

Hanan tergelak suka. Aduhai, berangan ikut siapa ni?

"Bukan Esah sayang, Elsa." Hanan membetulkan sebutan Hadira.

Hatinya senang melihat wajah ceria Hadira. Anak gadisnya kalau dah tersenyum, manisnya bak gula sama seperti papanya. Kebanyakan Hadira lebih mengikut genetik dia berbanding Qairul.

Tengoklah, kening, anak mata dan rambut kebanyakan ikut dia tetapi kalau bentuk muka sejibik sejibak macam papanya.

Yang penting, cantik!

"Mama..."

Hanan toleh ke arah pintu apabila namanya diseru. Kelihatan Anas mula  berjalan menghampirinya. Manakala, si bapa pula berdiri bersandar ke tepi pintu memerhatikan mereka.

Hanan senyum tipis. Tubuh Anas yang  sudah lengkap berpakaian kemas itu diteliti, kejap.

"Ya, sayang?"

"Mama tak syiap agi?" Anas pandang Hanan sekejap sebelum kembali pandang Qairul di muka pintu.

Hanan senyum tipis. Rambut Anas diperbetulkan sedikit. "Belum sayang, mama baru siapkan adik. Abang boleh tolong tengokkan adik sekejap tak?" Pinta Hanan.

Anas angguk lalu Hadira yang masih dengan dunianya itu, dihampiri.

"Adik, jom main kat bawah," ajak Anas lembut. Hadira pantas angkat kepala.

Hadira angguk. Pergelangan tangan Hadira dipegang lembut sebelum membawa adiknya turun bersama-sama.

Tersenyum Hanan memerhatikan kelibat anak-anaknya keluar dari bilik sebelum bayang-bayangnya hilang. Sedar tak sedar kedua-dua anaknya sudah membesar dengan sihat.

Anas yang berumur 3 tahun itu sangat matang menjaga Hadira yang berumur 2  tahun itu. Jelas sekali ciri-ciri seorang abang di dalam dirinya.

"Sayang senyum apa tu?" soal Qairul mematikan segala fikirannya. Sedar tidak sedar Qairul sedang memeluk pinggangnya.

Tak perasan pula Qairul menghampirinya tadi.

"Abi, Hanan busuk lah. Jangan lah peluk," ujar Hanan tidak senang apabila dipeluk oleh Qairul. Kedua-dua lengan suaminya yang mengelilingi pinggangnya dipegang.

Lelaki itu tak apa, dah mandi. Dia ni tak mandi lagi. Mesti macam-macam dah bau peluh.

Qairul senyum senget. Tepi kepala Hanan dikucup sekilas.

"Wangi je, bau lavender. Abi suka." Hidung sengaja menggesel dengan rambut lembut Hanan. Disedut bau isterinya dalam.

Hanan tarik nafas perlahan. Detak jantungnya mula berirama. Walaupun sentuhan suaminya tidak asing tapi setiap kali menerima sentuhan Qairul, berdebar rasa itu tidak pernah pudar.

"Abi..." Hanan bersuara tegas tapi masih lembut. Wajahnya berkerut konon-konon marah.

Kalau tak dicegah, alamatnya memang lambat.

Qairul ketawa kecil. Pelukan dirungkai lalu hidung mancung Hanan dikepit lembut.

"Okey, okey, abi lepaskan. Sayang bersiap lah, abi dan anak-anak tunggu kat bawah," ujar Qairul, sebelum tubuhnya berpusing, sempat dia melabuhkan kucupan ke pipi isterinya.

Hanan menggeleng perlahan sambil melihat kelibat Qairul benar-benar hilang dari matanya. Senyuman di bibirnya dikawal sebelum dia membawa langkah mengambil tuala sebelum masuk ke dalam bilik air. Mahu bersiap-siap.

🌸🌸🌸

          "Cantiknya isteri Abang Ash. Sesuai sangat!" Puji Hanan suka. Wajahnya tidak lepas menatap wajah isteri abang iparnya dengan penuh minat.

Wajahnya penuh lembut dan polos. Walaupun kulitnya tidak seputih Hanan tetapi tidak memudarkan riak manis dari wajah kakak iparnya. Hidungnya mancung dengan bibir merah bak delima.

Hanan tidak nafikan kakak iparnya benar-benar cantik dari mula mereka bertemu empat mata semasa sesi kenal-kenalan di rumah mamanya.

"Isteri abang, kan? Memang cantik," balas Ziyad bangga. Hanan pula hanya mampu tersengih.

Senyuman manis Layyin, kakak iparnya dibalas. Walaupun Layyin tidak mampu melihat keadaan sekeliling, tetapi dia ikhlas membalasnya. Wajah lembut kakak iparnya dipandang tenang.

Ya, kakak iparnya seorang buta tetapi jika dilakukan pembedahan kemungkinan masih harapan untuk Layyin melihat sekali lagi di dunia ini. Itu yang dikatakan abang iparnya, Ziyad sewaktu awal-awal memperkenalkan gadis itu kepada keluarganya.

Mama pula?

Alhamdulillah, mamanya dapat menerima Layyin dengan hati yang senang. Malah, mencurah-curah kasih mama kepada Layyin. Layanan mama terhadap Layyin tak ubah macam melayan anak dan menantunya sendiri.

"Mesti Hanan ni cantik kan, abang?" Layyin memegang lengan suaminya erat. Bibirnya masih utuh dengan senyuman.

Ziyad disebelah nya turut tersenyum. Bahu Layyin ditarik rapat mendekati tubuhnya.

"Eh tak ada lah. Saya ni biasa-biasa je." Hanan merendahkan diri. Anas di sebelahnya di pandang sekejap.

"Anas, salam kakak," arah Hanan. Tangannya membawa Anas mendekati abang dan kakak iparnya.

Ziyad membantu Layyin dengan membawa tangan Layyin mendekati tangan si kecil. Setelah merasa tangan si kecil lantas belakang tapak tangannya dikucup. Tersenyum manis Layyin merasakan sentuhan itu. Tapak tangannya cuba memegang kepala si kecil dengan bantuan Ziyad.

Anas hanya diam. Matanya terkebil-kebil memandang Layyin sebelum dialihkan menatap mamanya dibelakang. Hanan hanya tersenyum kecil, begitu juga Qairul di sebelahnya.

"Selamat pengantin baru, bang. Akhirnya dapat juga aku tengok kau kahwin. Ingatkan tak sempat." Sempat Qairul ajak  bergurau dengan Ziyad. Ziyad hanya menjeling adiknya menyampah.

"Dah jodoh, nak buat macam mana. Kalau ditakdirkan hari ni aku kahwin, tetap akan jadi juga hari ni," balas Ziyad bersahaja. Layyin di sebelahnya hanya diam.

"Abang..." Tiba-tiba Qiyadh menghampirinya dengan wajah kalut. Habis dahinya berpeluh kepanasan.

"Kau ni dah kenapa? Aku rasa bukan pengantin yang  terlebih penat ni," perli Qairul selamba sehingga lengan kekarnya ditepuk Hanan. Gadis itu menggeleng dengan berkerut sedikit seakan menegur.

Qiyadh hanya menjeling Qairul tajam sebelum mata kembali terarah kepada abangnya. Wajah kakak iparnya sempat dipandang sekilas tadi.

"Abang, kawan abang cari abang. Dia kata nak jumpa pengantin."

"Kejap, nanti abang pergi sana," ujar Ziyad. Qiyadh hanya mengangguk. Sebelum dia beredar, sempat pipi anak buahnya, Hadira dicubit lembut di dalam dukungan Qairul.

"Aku pergi dulu, nak layan tetamu." Tangan Layyin kembali dipegang lalu diletakkan ke lengannya.

Qairul angguk kan kepala. Tubuh pasangan itu mula menjauh dari mereka. Apabila lengannya terasa dipegang, lantas dia berpaling. Senyuman diberikan kepada isterinya.

"Hanan rasa sedih lah tengok Kak Layyin," ujar Hanan tiba-tiba. Riak wajahnya berubah sedih.

"Kenapa?" soal Qairul sengaja mahu tahu.

Hanan dongak kan wajahnya membalas renungan suaminya.

"Mesti dia pun nak macam kita, tengok hari kebahagiaan dia. Hanan tak boleh bayang perasaan Kak Layyin macam mana." Rasa sedih yang bertandang di hatinya membuatkan dia jadi sensitif begini.

Qairul senyum tipis. Tangan isterinya digenggam sedikit.

"Tiada siapa yang tak nak tengok kebahagiaan diri sendiri tapi kita doakan Kak Layyin dapat tengok suatu hari nanti. Insyaallah, dengan izin Allah." Suara Qairul memujuk Hanan.

Hanan senyum sedikit seraya mengangguk.

🌸🌸🌸

          Badan Anas menyandar penuh ke dada bidang Qairul. Matanya tertutup rapat. Kelihatan lena benar tidur di atas badan papanya.

Manakala, Hadira pula di pangkuan ibunya. Matanya tercelik separuh. Hampir nak tidur tetapi tidak sepenuhnya. Tunggu masa je nak rebah.

"Penat betul anak papa ni bermain, ye?" Tangan kasarnya membelai lembut Anas di pangkuannya. Sesekali ditepuk lembut punggung Anas agar kembali terlena.

Hanan hanya tersenyum sebelum kembali beralih menatap televisyen di hadapannya. Hadira yang tidur di atas tubuhnya turut ditepuk peha anak gadisnya perlahan.

"Dah, anak perempuan abi ni sama je. Tak reti penat langsung," ujar Hanan turut mengerling Hadira sekilas di ribanya. Matanya terpejam rapat menandakan sudah dibuai mimpi.

"Sayang pun sama je macam Dira. Hyper active lain macam," tutur Qairul dengan senyuman senget.

"Lain macam? Macam mana tu?" Hanan blur. Sejak bila pula dia jadi hyper active sedangkan dia nak bergerak pun tak berapa nak rajin.

"Degil..." Hidung Hanan dikepit sengaja sampai naik merah. Hanan berdecit seraya menepis tangan kasar itu.

"Mana ada! Hanan tak degil pun, okey?" Nafi Hanan dengan muka tidak puas hati.

Qairul mengangkat sebelah keningnya. "Tak degil sayang cakap? Mari sini abi nak ungkit sikit. Nak tengok orang yang cakap tak degil ni ingat lagi ke tidak dia punya kerasa kepala tu." Qairul membetulkan tubuh Anas di badannya sedikit sebelum menghadap Hanan di sisinya.

"Masa sayang mengandungkan Dira, berapa kali abi larang jangan makan cili? Tapi degil nak juga makan cili, kalau abi sorok, rela beli sorang-sorang lepastu boleh dia sorok dekat abi. Tu tak cakap lagi nak bau minyak petrol." Qairul menghelakan nafas lemah. Bila teringat balik dia rasa nak gelak pun ada. Bila menghadap benda tu, rasa naik buntu pun ada.

Hanan tersengih tak bersalah. "Abi tahu eh. Ingatkan abi tak tahu."

Qairul merenungnya tajam. "Mana tak tahu nya kalau disorok pun dalam laci nightstands, abi kalau dah nampak memang ambil je, buang terus."

Hanan ketap bibir. Patutlah dia rasa ada benda tak kena je lepas dia sorok cili dalam laci. Asal sorok je hilang, nak ditanya pada Qairul nanti kantoi dia beli cili senyap-senyap.

"Maaflah, anak abi juga yang nak makan." Sengih Hanan tak bersalah. Qairul hanya mampu menggelengkan kepala.

"Tak apa, lagipun cerita dah lama dah." Dia langsung tidak kesah cuma risau akan kesihatan wanita itu ketika mengandungkan zuriatnya sahaja. Risau jika kedua-dua nyawanya itu jatuh sakit.

"Abi, Hanan mengantuk lah. Hanan bawa Dira masuk bilik ya?" Tubuh Hadira dipeluk kemas. Baru sahaja separuh tubuhnya hendak bangun, Qairul menegah dengan menarik lengannya lembut.

"Tak apa, biar abi yang bawa Dira masuk bilik. Bagi abi letak Anas dalam bilik dulu." Qairul bangunkan tubuh lalu bergerak masuk ke bilik Anas. Hanan hanya perhatikan tingkah Qairul sahaja.

Tidak lama kemudian kelibat Qairul kembali turun lalu dihampiri nya. Tubuh kecil Hadira diangkat penuh berhati-hati. Hanan pula sudah bangunkan tubuh lalu menghampiri plak tv sebelum ditutup.

Hanan mengekori Qairul di belakang sambil memerhatikan gerak geri tubuh tegap itu. Bibirnya tidak semena-mena menarik senyum kecil.

Jujur dari sudut hatinya paling dalam, dia suka layanan Qairul terhadap anak-anaknya. Lembut, tidak pernah Qairul memarahi atau berkasar dengan anaknya kecuali ketika waktu lelaki itu menegur. Lelaki itu akan bertegas jika anak-anaknya berbuat salah dan memberi nasihat dengan memujuk.

"Eh!"

Hanan terjerit apabila merasakan tubuhnya sedikit melayang. Kedua-dua tangannya laju memeluk erat leher Qairul. 

Terkebil-kebil Hanan pandang wajah Qairul yang jaraknya cuma sejengkal dari wajahnya. Nafasnya hampir putus.

Bukan ke tadi Qairul membawa Hadira masuk ke bilik anak gadisnya? Sekejap betul!

Mata mereka saling berlaga membuatkan Hanan menyerah kalah. Laju anak matanya pandang ke arah lain.

"Berangan apa, ha? Orang panggil tak dengar, kan dah kena angkut," ujar Qairul,  mengemaskan lagi dukungan itu. Takut jika tubuh kecil Hanan jatuh dari pegangannya.

"A...ada ke abi panggil? Hanan tak dengar pun," soal Hanan agak blur.

Geram dengan wajah polos isterinya, Qairul mengucup sekilas hujung hidung Hanan.

"Ada, sayang. Sampaikan abi dekat dengan sayang pun tak perasan lagi."

Hanan ketap bibir, pipinya yang memerah disembunyikan dengan rambut ikal mayang nya.

"Erkh... boleh tak turunkan Hanan?"  Perlahan suara Hanan meminta Qairul menurunkan tubuhnya. Saat ini dia cuma nak turun je. Asal kaki dapat pijak lantai pun dah rasa lega.

"Kalau abi tak nak?" Qairul sengaja menguji Hanan. Kening sebelahnya terangkat.

"Abi..." Hanan hampir mahu menangis. Dah lah dia gayat, Qairul pula usik dia macam ni.

Qairul ketawa kecil. Langkah di bawa ke bilik mereka. Masuk sahaja ke dalam bilik, Qairul menurunkan tubuh Hanan. Laju Hanan melompat turun membuatkan Qairul tidak mampu menahan senyum di bibirnya.

Penakut betul!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top