Bab 70

          Suara tangisan seseorang telah menyedarkan dia daripada tidur yang panjang. Kelopak matanya yang terasa memberat itu, dipaksakan diri untuk dicelik. Buka sahaja mata, kelihatan siling putih menyapa pandangannya.

Kepala ditoleh ke tepi mencari punca tangisan tersebut. Redup tatapan nya melihat dua sosok tubuh yang sedang duduk di sofa. Manakala sosok seorang lagi masih setia berdiri sambil mengusap wajahnya berkali-kali. Tampak serabut.

Qairul duduk di sofa cuba menenangkan Puan Zahra. Tangannya yang dipegang kemas oleh Puan Zahra turut dibalas. Tidak henti-henti tangisan Puan Zahra dengan tubuh menggeletar hebat.

"I...ibu langsung tak jangka. Kalau Hanan tahu, dia pasti bencikan ibu..." Kata Puan Zahra dalam nada tersekat menahan tangis.

Qairul menggeleng perlahan. "Ibu jangan cakap macam tu, saya percaya Hanan tak akan bencikan ibu." Ujarnya cuba menyakinkan Puan Zahra. Wajahnya kian mendung.

Kaku Hanan di dalam perbaringan. Terkedip-kedip matanya memandang mereka. Janggal sungguh di matanya. Hanan ingin memanggil Qairul tetapi suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Hanya mata sahaja mampu melihat dengan pandangan sukar dipercayai.

Ralit memerhatikan gelagat mereka, kepala Qairul berpusing ke arahnya. Pandangan anak mata hazelnya bertembung dengan anak mata hitam Qairul yang bagaikan kaku itu.

Dengan mendadak, lelaki itu berdiri lalu lantas mengangkat kaki menghampirinya. Puan Zahra dan Harriez juga turut berpaling sama.

"Hanan? Ya Allah..." Tangan kanan dibawa ke kepala Hanan kemudian turun ke dahi gadis itu. Jelas terlakar riak risau diserata wajah itu.

"A...air..." Pinta Hanan payah.

"Air? Jap, saya ambil kan."

Laju tangannya membuat kerja menuang air yang sedia ada di dalam gelas. Qairul membantu Hanan untuk bangun sedikit sebelum disuakan gelas itu ke bibir Hanan.  Rakus Hanan meneguk air sehingga tiada baki langsung di dalam gelas. Macam berbulan-bulan tak minum air lagatnya.

Tekak yang awalnya terasa kering sudah kembali lega setelah dibasahi. Qairul ingin membaringkan semula Hanan, namun lengan Qairul dipegang menghalang lelaki itu. Qairul pandang ke arah Hanan.

"Saya nak duduk je, tak nak baring." Ujarnya.

Tidak membantah, Qairul hanya mengikuti sahaja permintaan Hanan. Bantal diletakkan ke belakang Hanan sebagai penyokong sebelum membantu Hanan.

"Maafkan saya, mesti saya banyak susahkan awak kan?" Ucap Hanan serba salah. Perlahan je suaranya.

"Tak, awak tak pernah susahkan saya,  Hanan. Ni memang tanggungjawab saya dari dulu lagi. Awak sakit macam mana pun, awak yang perlu diutamakan dulu sebab awak isteri saya."

Sebutan akhir di dalam kata-katanya membuatkan bibir Hanan tidak mampu lagi menipu. Bibir pucat nya mengoyak senyuman kecil. Agak tersentuh dengan jawapan dari suaminya sendiri.

Tetapi senyuman itu tidak bertahan lama apabila kelibat Puan Zahra menghampiri sisi katilnya, perlahan-lahan senyumannya memudar.

"H...Hanan nak makan? Sehari Hanan tak jamah apa-apa makanan, ibu ada masakkan bubur untuk Hanan kalau Hanan nak." Plastik di sebelah meja katilnya dipegang.

Mata bengkak Puan Zahra membuktikan segalanya yang wanita itu baru lepas menangis, tetapi Puan Zahra seakan buat tiada apa-apa berlaku. Malah, bibir itu masih mampu mengoyak senyum nipis kepadanya.

Hanan geleng perlahan, menolak tawaran itu walaupun hakikatnya dia memang sebenarnya lapar.

"Habis tu Hanan nak apa-apa? Saya boleh belikan roti dekat bawah kalau Hanan tak ada selera." Kini Qairul pula mencelah. Tangan sejuk Hanan digenggam kemas.

"Tak perlu, Hanan cuma nak tanya." Nafas panjang ditarik sukar. Sesak dadanya.

Tangan Qairul dirungkaikan dari tangannya. Perasan akan perubahan di wajah lelaki itu tetapi Hanan hanya biarkan. Wajahnya tetap cuba dimaniskan.

"Boleh awak jelaskan pada saya apa yang saya nampak tadi? Dan kenapa ibu menangis? Ibu kata Hanan akan bencikan ibu? Apa maksud ibu?" Kepala yang dipenuhi persoalan tadi terus dihamburkan tanpa menyimpannya lagi. Qairul dan Puan Zahra dipandang silih berganti.

Dia perlukan jawapan. Terdesak? Ya, dia sangat terdesak meraih jawapan yang bakal keluar dari salah seorang dari mereka.

Beku kaki Puan Zahra berdiri di tempatnya. Riak terkedu itu sempat ditangkap oleh Hanan. Jari jemari Puan Zahra sudah mula meramas sesama sendiri.

Suasana yang memang sunyi makin menambahkan aura ketegangan. Keresahan di wajah Puan Zahra jelas terpancar. Qairul ketap bibir. Tidak senang dia melihat Puan Zahra dalam keadaan seperti itu.

Puan Zahra pun kelihatan tidak bersedia membongkarkan segalanya, inikan pula dia. Qairul pasti, Hanan sukar untuk menerima semua ini secara mendadak.

"H...Hanan kita cakap pasal ni waktu awak dah sihat, ya?" Qairul cuba buat perundingan. Berharap Hanan memahami dengan kondisinya sendiri.

"Tak, saya perlukan jawapan tu sekarang." Hanan tidak beralah. Masih dengan degilnya. Tajam matanya pandang Qairul.

Suasana kembali sunyi. Tiada satu patah perkataan pun yang keluar ingin jelaskan kepadanya. Tidak diduga, matanya terarah  Harriez yang berdiri agak jauh dari mereka. Lelaki itu hanya mampu memerhatikan mereka dari jauh. Langsung tidak menyelit mahupun bersuara.

"Tuan Harriez tahu kan?" Lantas Hanan bersuara penuh mengharap agar Harriez sudi memberitahunya, namun riak yang ditunjuk oleh Harriez membuatkan dia tergamam.

Lelaki itu berpaling dari menatap ke arahnya. Seakan sengaja melarikan pandangan.

Hatinya diterpa sebak. "Saya cuma berharap pada Tuan Harriez je. Saya yakin Tuan Harriez tahu." Mata Hanan mula berkaca. Terasa dengan layanan Harriez

Tuan Harriez yang dia kenal tidak pernah diam sebegini. Hanan yakin, lelaki itu tahu tetapi Harriez lebih memilik untuk berdiam diri. Dan, dalam banyak-banyak hal, kali ini baru dia rasa makan dalam dengan Harriez.

"Kenapa semua diam macam ni? Hanan cuma perlukan jawapan. Susah ke?" Kesihatan yang masih belum terjamin membuatkan dia mula beremosi. Dengan mudah, deras air matanya keluar. Esakan mula kedengaran.

"Hanan..." Panggil Puan Zahra lembut. Terhenyak hati ibunya melihat Hanan menangis dalam rayuan. Tidak sanggup dia melihatnya.

Dengan rasa sedih yang menggebu. Wajah basahnya diangkat. Berkaca-kaca mata hazelnya membalas pandangan Puan Zahra.

Puan Zahra mula mendekatinya. Jari jemarinya perlahan berlari menghapuskan air mata Hanan. Terasa hangat tangan itu menyentuh kulit pipinya.

"Ibu minta maaf Hanan. Ibu minta maaf atas apa yang ibu buat pada kamu sebelum ni." Dalam berkata, suara Puan Zahra mulai berubah serak. Air matanya juga turut mengalir.

"Ibu..." Nafas ditarik panjang. Puan Zahra cuba menggali segala kekuatan dalam dirinya.

"Ibu khilaf, ibu memang tak guna dulu. Ibu ikutkan hati ibu, langsung tak fikirkan anak ibu. Ibu minta maaf Hanan, ibu jahat dengan anak ibu sendiri..." Dalam tangis, bibirnya mampu menarik senyum tipis. Mata dilarikan ke seluruh wajah Hanan. Gadis itu seakan kelu.

"Anak ibu dah cukup besar sekarang, dah jadi cantik dan comel. Bagaimana ibu boleh terdetik buang anak ibu yang cantik ni ye? Kenapa ibu langsung tak terfikir?"

Air muka Hanan berubah mendadak. Hanan terpana. Hatinya bagaikan dihempas ke tanah mendengarkan itu sahaja. Sukar untuk dia hadam.

Ibu? Ibu yang dia carikan selama ni?

Puan Zahra bertindak menggenggam kedua-dua tangan Hanan yang terletak di peha itu. Hanan laju larikan pandangan ke arah pegangan itu.

Puan Zahra tersenyum kecil sambil usap tangan Hanan. "Hari-hari ibu berdoa dapat jumpa anak ibu balik tapi ibu tak sangka selama ni doa  ibu, dah lama termakbul. Cuma ibu, ibu je yang langsung tak sedar selama ni. Teruknya ibu kan?"

Entah kenapa, dada terasa sungguh sempit. Wajah Hanan berubah keruh. Pantas Hanan larikan anak mata ke arah lain. Entah kenapa, dia rasa kecewa sangat. Pegangan tangan mereka, Hanan rungkaikan. Menolaknya perlahan. Terkesima Puan Zahra di situ.

Nafas yang tersekat dikawal perlahan. Sakit di dadanya tidak usah dikatakan. Bagaikan ditikam berkali-kali.

Bukan ini yang dia nakkan selama ni? Bukan ini yang dia impikan selama ni? Bertemu kembali dengan keluarga kandungnya?

Hanan pernah berkata, dia tak akan pernah membenci walau sedikit pun kepada keluarga kandungnya. Walau apa yang mereka buat, dia akan terima.

Lantas kenapa dia perlu ada rasa sebaliknya?  Kenapa dia rasa seperti tidak mampu menerima semua ni? Terkilan? Ya, dia rasa sangat terkilan. Rasa kecewanya juga tidak mampu dibendung.

"H...Hanan? Kenapa Hanan diam je?" Puan Zahra mula berasa tidak sedap hati melihat tindak tanduk Hanan yang terus menerus diam. Apatah lagi wajah dihalakan ke arah lain, tidak memandangnya.

Hanan menggeleng perlahan. Tubir mata yang bergenang disembunyikan. Wajahnya kian menunduk.

"Hanan penat. Nak tidur." Kata Hanan ringkas.

Kepala dipusing sebentar menghadap Puan Zahra lalu bibir itu menarik senyum payah. Berhati-hati dia baring kan tubuhnya ke atas tilam tanpa pedulikan Puan Zahra yang memerhatikan setiap gerak-gerinya. Tubuh mengiring menghadap tingkap. Tidak sanggup menatap wajah orang sekelilingnya.

"Hanan, ibu..."

"Tolong faham Hanan, please... Hanan penat sangat." Suaranya dalam nada bergetar. Hati yang sakit membuatkan bila-bila masa sahaja dia bakal hamburkan tangisannya.

Wajah Puan Zahra berubah keruh. Pandangan di tunduk. Hormat dengan keputusan Hanan, Puan Zahra lantas bangun dari sisi katil.

Qairul melepaskan keluhan. Serba salah dia melihat wajah Puan Zahra yang kian mendung itu, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Mahu menegur Hanan dalam waktu sebegini, pasti Hanan akan berkecil hati dengannya.

Puan Zahra dihampiri. Bibir mengoyak senyuman perit. "Ibu dan Harriez balik lah dulu. Masa melawat pun dah nak habis, Hanan biar saya yang jaga. Kalau Hanan dah boleh balik, saya inform kat Harriez." Lembut Qairul berkata.

Puan Zahra mengangguk perlahan. Harriez juga sudah menghampirinya. Riak wajah anak lelakinya dipandang. Dia perasan wajah Harriez sedikit berbahang. Marah mungkin. Lengan Harriez ditepuk lalu digosok. Senyuman diberikan pada Harriez menandakan dia tidak apa-apa.

Nafas ditarik perlahan. Rasa marah dengan tindakan Hanan yang membiarkan ibunya itu agak kurang senang di matanya, tapi dia tahu. Hanan dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, lagi-lagi gadis itu tengah sakit. Emosi bertambah bercelaru.

"Mari kita balik ibu." Ajak Harriez perlahan. Sempat dikerling Hanan buat seketika sebelum dia dan ibu melangkah ke pintu arah pintu. Diikuti Qairul menghantar mereka sehingga ke depan pintu wad Hanan.

"Ibu minta diri dulu ye, Qairul. Ibu tinggalkan bubur kat situ. Hanan suka sangat bubur tu jadi kalau Hanan nak makan bagi kat dia ya?" Pesan Puan Zahra. Qairul mengangguk dengan senyuman di bibir.

Puan Zahra dihampiri lalu tangan itu dihulurkan untuk bersalaman. Puan Zahra turut menyambut dengan bibir mengulas senyum tawar.

"Jagakan anak ibu ye?" Penuh berharap Puan Zahra memesan.

Qairul angguk perlahan. "Baik ibu, nanti kalau ibu nak melawat Hanan cakap je kat Qairul. Qairul minta maaf bagi pihak Hanan, lagipun Hanan masih tak sihat sebab tu terikut emosi. Saya tahu, Hanan tak berniat nak buat ibu macam tu."

Puan Zahra menggeleng.

"Tak apa, memang tu salah ibu pun. Pergi lah jaga Hanan, dia perlukan Qairul sekarang." Lengan Qairul ditepuk lembut. Kemudian Puan Zahra terus berpusing ke hadapan.

Qairul terdiam. Tidak terkata mulutnya lagi apabila Puan Zahra meletakkan ke semua kesalahan dibahunya sendiri. Sumpah dia katakan, hatinya terasa ngilu. Tidak sampai hati melihat wajah itu beriak sedih.

"Aku pergi dulu Qairul." Kini Harriez pula meminta diri. Mereka mula berjabat tangan. Mesra.

"Ya, maafkan aku sebab berkasar dengan kau tadi." Katanya bernada kesal.

Bahu Qairul ditepuk. Harriez senyum kecil. "Tak apa lah. Aku faham. Apa-apa telefon je aku kalau nak minta tolong." Pesan Harriez mendatar.

Qairul jatuhkan kepala. Kemudian kelibat Puan Zahra dan Harriez mula menjauh sehingga hilang dari pandangan matanya. Tidak mahu membiarkan Hanan berseorangan di dalam, Qairul kembali masuk ke dalam wad khas ditempatkan Hanan.

Pintu ditutup rapat lalu dia pusingkan tubuhnya menghadap Hanan yang masih berbaring menghadap tingkap, namun dia tahu, Hanan menangis dalam diam. Badan Hanan terhincut-hincut menahan tangisannya dari berbunyi. Melihatkan itu hatinya rapuh.

Qairul lepaskan keluhan berat. Dia sudah agak pasti Hanan sukar untuk menerima semua ni.

🌸🌸🌸

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top