Bab 67

          "Abang tak tidur lagi?"

Suara halus yang memecah keheningan malam itu telah mematikan segala lamunannya. Haiyan angkat kepala dan serentak itu mata pasangan suami isteri itu berlaga.

Secalit senyuman tipis terbias di bibirnya.
Haiyan menggeleng kepalanya perlahan.

"Abang tak dapat tidur, Jiha pula kenapa turun?" soal Haiyan agak hairan. Rasanya sebelum dia turun ke sini, isterinya masih tidur. Aisyah pula tiada tanda-tanda hendak bangun pun masa tu.

Aisyah tunduk. Botol di tangannya ditunjukkan ke arah Haiyan dengan sengihan di bibir.

"Jiha bangun nak minum air tapi Jiha lupa yang tadi Jiha basuh botol air. Ni Jiha nak ambil air nak bawa ke bilik." Terang Aisyah tentang keberadaannya di sini. Haiyan menjatuhkan kepala mengerti.

"Abang... tadi Hanan ada telefon Jiha, dia kata dia tak dapat nak pergi hantarkan kita ke airport." Tiba-tiba Aisyah bersuara.

"Kenapa? Dia tak sihat ke?" Dalam tak sedar suara Haiyan berubah risau. Wajah Aisyah dipandang seperti meminta jawapan.

"Hanan okey, cuma dia tak dapat nak temankan dan hantar kita sekali. Dia kata yang dia ada urusan yang nak diselesaikan. Dia pun dah cakap kat Harriez."

"Kalau macam tu tak apa lah. Nanti abang minta Pak Darus hantarkan kita." Balas Haiyan mendatar.

Suasana sepi kembali membelenggu mereka berdua.

Mata Aisyah ralit memerhati tindak tanduk Haiyan. Dia perasan, fikiran suaminya seakan terganggu dengan sesuatu. Lama suasana itu berlanjutan sehingga Aisyah sendiri berjalan menghampiri Haiyan yang seakan tenggelam dalam fikirannya. Bahu lelaki itu dipegang lembut. Haiyan yang merasakan bahunya disentuh pantas menoleh ke sisi kanannya dengan wajah yang blur.

"Abang ada masalah? Jiha perasan abang banyak diam sejak akhir-akhir ni. Abang fikirkan apa?"

Mendengarkan soalan itu, Haiyan lepaskan keluhan di bibir. Terlalu sarat kepalanya berfikir dengan teka teki ini. Anak mata Aisyah direnung penuh dalam. Perlahan-perlahan tangan Aisyah dibahagian bahunya diambil lalu dikucup dengan mata yang terpejam. Cuba menenangkan gelodak jiwanya yang semakin bercelaru.

"Abang rasa keliru dengan apa yang abang fikirkan. Abang cuba nak sedapkan hati abang tapi sangat susah." Kata Haiyan kedengaran berat sekali bunyinya.

"Apa yang abang susahkan hati sangat tu?"

Haiyan mencelikkan mata. Matanya kembali bertembung dengan anak mata bundar isterinya. Nafas ditarik sukar.

"Abang rasa sudah tiba masanya sayang tahu semua ni. Selama ni hanya keluarga abang sahaja yang tahu. Sayang pun keluarga abang jadi tak salah kalau abang ceritakan semua ni." Dia tersenyum kecil.

"Selain Harriez, abang juga ada adik seorang lagi." Akhirnya rahsia yang dia simpan bertahun-tahun lamanya ini kini berkongsi bersama isterinya, Aisyah.

Mendengarkan kenyataan itu, Aisyah terkedu. Bibirnya terketar mahu mengeluarkan suara.

"A...adik? Kiranya Harriez tu bukan adik abang yang terakhir?" Aisyah bertanya semula dengan riak muka terkejut.

Kepala dijatuhkan mengiyakan kata-kata isterinya. Tangan Aisyah dipegang kuat. Menyedut sedikit kekuatan daripada isterinya.

"Abang pun tak sangka adik abang tu perempuan. Walaupun masa tu abang masih budak-budak lagi tapi abang sempat tengok wajah adik abang. Cantik macam ibu."

Sambil berkata, bibirnya mengukir senyuman tipis. Mengingatkan detik itu membuatkan dia turut rasa bahagia bersama Puan Zahra. Puan Zahra paling jelas rasa bahagianya itu.

Namun, kebahagiaan itu hanya seketika. Direntap begitu sahaja.

"Adik abang tu dah meninggal ke?" Perlahan sekali Aisyah mengeluarkan suaranya. Jelas berhati-hati dalam berkata.

Haiyan senyum tawar. "Tak, sayang."

"Aik, habis tu?" Berkerut dahi Aisyah cuba memahami maksud itu. Haiyan tertawa perlahan dengan lagat Aisyah. Kening Aisyah yang berkerut-kerut itu diusap perlahan.

"Abang belum habis cerita lagi. Dengar okey?" Hidung isterinya dikepit lembut. Aisyah sengih tak bersalah sambil menggosok hidungnya.

"Abang tak tahu keberadaan adik abang tu sampai sekarang tapi abang harap dapat berjumpa dengan dia. Sejak akhir-akhir ni abang teringatkan dia. Abang tak tahu kenapa tapi abang rasa macam abang nak tahu sangat keadaan adik abang tu sebelum abang mati." Panjang lebar Haiyan meluahkan segala rasa yang terbuku di hatinya. Tangannya yang bercantum dengan tangan isterinya direnung dalam.

Air muka Aisyah serta merta berubah. Air muka sayu Haiyan ditatap lama.

"Abang... kenapa cakap macam tu?" Suaranya berubah sedikit terkilan. Hatinya sedikit sedih mendengar itu.

Haiyan lepaskan nafas berat.

"Abang cuma berharap tu je Jiha. Abang teringin nak jumpa adik abang. Macam mana keadaan dia? Mesti sekarang dia dah jadi wanita yang hebat macam Aisyah kan? Abang harap sangat abang dapat berjumpa dengan dia."

"Abang tahu nama adik abang?"

Haiyan menggeleng dengan wajah penuh kecewa.

"Abang tak tahu lagipun ibu tak pernah bagitahu."

"Macam mana abang boleh berpisah dengan adik abang?" Soalan yang dia inginkan jawapan akhirnya terluah dari bibirnya.

Haiyan termanggu seketika. Nafas ditarik sukar.

"Abang pun sebenarnya tak tahu sebab masa tu abang duduk dengan mak saudara abang. Ibu dalam pantang, ayah pula baru bercerai dengan ibu masa tu."

"Tapi ibu pernah cakap yang ibu terpaksa bagi adik dekat orang lain. Waktu tu ayah nakkan adik sampai ayah berniat nak culik adik daripada ibu. Ibu cuma cerita yang ayah selalu kacau ibu dan ugut ibu kalau tak bagi hak penjagaan adik dekat ayah."

Membulat matanya mendengarkan itu. Aisyah terpana.

"K...kenapa ayah abang buat macam tu?" soalnya dengan wajah tidak percaya.

Haiyan diam. Wajah dikalih ke arah lain. Tidak sanggup menatap Aisyah.

"Dulu ayah abang kaki minum. Selalu balik lewat malam. Abang tak tahu sejak bila ayah abang berubah tapi sejak ayah sibuk bekerja ni, ayah nampak ketara perubahannya. Ibu selalu bagi amaran jangan keluar bilik lewat malam tapi ada satu malam ni, abang keluar juga. Apa yang abang nampak, ayah pukul ibu sampaikan badan abang menggigil menyaksikan keganasan tu depan mata abang sendiri." Mengingatkan detik-detik itu membuatkan nafasnya menjadi sesak. Sampai ke saat ini dia tak akan lupakan sejarah gelap keluarganya.

"Abang tak nak mempersoal cara arwah ayah abang meninggal tapi disebabkan apa yang dia buat tu lah, ayah abang mati. Dia mabuk masa tu, mungkin sebab tak sempat mengelat, mayat dan kereta ditemui masuk dalam gaung. Masa tu bila ibu dapat berita, ibu senyap je. Abang pula tak tahu nak rasa apa masa tu." Haiyan lepaskan keluhan lemah. Mug di tangannya dimain-mainkan.

"Bila umur abang dah menginjak 20 tahun. Ibu minta abang cuba cari adik abang semula. Kami dah cari merata tempat dah tapi langsung tak jumpa. Orang yang ibu serahkan adik pun sudah meninggal dunia. Menangis-nangis ibu, abang cuba pujuk tapi ibu tetap kata apa yang ibu buat ni kesalahan yang terbesar. Kata ibu, kalau ibu berfikiran panjang masa tu, mungkin sekarang adik dah duduk dengan kita. Abang masih ingat betapa menyesalnya ibu membuat keputusan dengan melepaskan adik pada orang lain. Abang rasa gagal masa tu. Gagal sebab tak mampu berbuat apa-apa. Gagal sebab tak mampu jadi abang yang terbaik untuk adik-adik abang." Panjang lebar Haiyan bercerita. Aisyah dapat dengar getaran suara yang Haiyan cuba sembunyikan. Wajahnya keruh sekali.

Dia mengangkat tangannya lalu di bawa ke pipi Haiyan. Pipi Haiyan dipegang lalu diusap lembut. Merasakan sentuhan itu, lantas dia mengangkat kepala.

Buat seketika, Haiyan terpanar melihat senyuman manis yang menghiasi di bibir isterinya.

"Abang nak tahu sesuatu tak, Jiha tak pernah jumpa lelaki yang sekuat macam abang. Abang kuat, sebab tu Allah uji abang."

Sebelah tangannya jatuh ke tangan Haiyan. Jari jemari halusnya bergerak menggenggam tangan kasar itu.

"Abang tak gagal malah abang seorang abang yang hebat tau. Jiha bangga dengan abang. Ibu pun pasti bangga dengan abang sebab abang dah cuba yang terbaik untuk keluarga abang. Abang dah sehabis mungkin buat yang terbaik untuk diri abang." Ujarnya kedengaran ceria sekali memberi semangat. Haiyan yang mendengarkan itu sudah mula terharu.

"Jiha..."

"Abang jangan sedih, nanti kita cuba cari adik abang, okey? Jiha akan teman abang. Kita cari sama-sama. Insyaallah, suatu saat nanti, Allah kabulkan doa kita untuk jumpa dengan adik abang."

Haiyan senyum tawar. Tangannya yang digenggam oleh Aisyah ditarik perlahan lalu dia bergerak melingkari bahu Aisyah.

"Insyaallah, abang pun berharap macam tu."

Tubuh Aisyah ditarik rapat mendekatinya. Aisyah tidak menolak, malah tangannya turut erat melingkar mengelilingi pinggang suaminya. Kepala disandarkan ke dada bidang suaminya dengan selesa.


Biarkan mereka tenggelam dalam rasa nyaman ini berpanjangan.

🌸🌸🌸

         Dengan penuh berhati-hati Hanan menapak menuruni tangga. Anak matanya turut melilau mencari seseorang, namun kelibat seseorang itu langsung tiada bayang. Tengah sibuk dia menuruni tangga, telinganya menangkap bunyi bising yang datang dari arah dapur. Dalam fikirannya sudah mula mengagak itu lelaki yang dicari sedari tadi.

Sampai sahaja di dapur. Matanya menjamah belakang tubuh sasa seseorang yang ralit memasak tanpa menyedari orang belakangnya yang sedang memerhatikan lagaknya. Bukan main tenang Qairul memasak. Kebiasaannya orang yang jarang memasak akan gelabah dalam memasak tetapi Qairul tidak.

"Awak masak apa tu?" Tegurnya setelah lama merasakan dia perhatikan Qairul. Langkah diaturkan menghampiri tubuh itu.

Sempat Qairul berpusing ke arahnya sebelum kembali menghadap masakannya ke dalam kuali. Bibir lelaki itu tercalit senyuman manis.

"Saya masakkan bihun goreng. Sekejap ye, awak duduk lah dulu. Nanti dah siap, kita makan sama-sama."

Tanpa disedari tingkah Qairul diperhati. Hanan menggaru pipinya perlahan sambil mata tak terlepas dari menatap tindak tanduk lelaki itu.

"Gaya awak ni dah macam sihat je. Siap boleh masak lagi. Entah sejak bila awak pandai masak pun saya tak tahu." Omel Hanan perlahan. Otaknya mula berfikir dimana lelaki itu belajar memasak.

Qairul yang dia kenal mana pandai masak! Dia cuma pernah rasa lelaki itu memasak  Spegeti Carbonara je, itu pun kali pertama dan terakhir.

"Okey lah sikit dari semalam. Saya sengaja masak hari ini untuk awak. Ni first time kan? Jadi permulaannya saya kena lah pikat awak dengan masakan saya."

Mendengarkan itu tergamam Hanan dibuatnya. Hanan ketap bibir. Mukanya terasa membahang pula. Qairul memasak hanya semata-mata untuk memikat hatinya?

Berkepak-kepak perut Hanan dibuatnya!

Kepala digeleng pantas. Tak, dia tak boleh terlalu mudah nampak yang dia tersentuh dengan ayat manis lelaki itu. Masih awal untuk dia memberi ruang kepada Qairul.

Biar lah lama sikit, nak tengok juga macam mana lelaki itu cuba untuk memujuk hatinya. Berapa lama Qairul boleh tahan dengan kerenah sebenarnya.

Hanan berdehem, membetulkan suaranya. Wajah selamba mungkin ditayang.

"Entah, boleh percaya ke tidak dengan masakan awak ni. Nasi goreng awak masak dulu pun dah buat saya trauma, ini kan pula bihun goreng. Saya tak nak ada penyakit darah tinggi pula gara-gara makan masakan awak."

Qairul cuba sembunyikan senyum melihat riak muka Hanan yang sedang ngeri membayangkan nasi goreng yang pernah dia masak ketika dahulu. Memori itu tidak pernah luput diingatannya. Masa tu, hanya Allah je tahu betapa malunya dia dengan Hanan. Itu kali pertama dan terakhir dia memasak makanan berat seperti itu.

"Saya kaut je garam lebih. Dah nasi, saya mana pandai sukat garam banyak-banyak. Saya isi jelah lima sudu, saya tak tahu pula terlebih masin sampai macam tu." Usai berkata, Qairul tertawa mengingati dirinya dulu. Bukan boleh sangat kalau orang gelakkan dia, geram je rasa.

Terutamanya Hanan, gadis itu paling banyak gelak mentertawakan dia pada ketika itu. Lagi bengang mukanya, lagi menjadi-jadi gelak tawa gadis itu. Pengakhirannya dia tinggalkan Hanan begitu je. Sebab geram sangat kan, hahaha...

"Tu saya cakap, boleh naik darah tinggi saya makan masakkan awak. Kali ni saya tak tahu lah rasa masakkan awak macam mana, kan?" Ujarnya kemudian dia melirik ke arah Qairul sambil bibir tersenyum senget. Seakan mencabar.

Melihatkan senyuman itu, Qairul apa kurangnya. Turut membalas senyuman senget.

"Okey, we will see..."

Hanan diam seketika. Kepala sedikit menjenguk ke dalam kuali melihat hasil bihun goreng itu sebelum matanya kembali naik menatap wajah Qairul yang kelihatan bersinar dari biasa itu.

Hanan berpeluk tubuh. Badan disandarkan ditepi table top dapur. Wajah Qairul dan kuali dihadapan Qairul dipandang silih berganti.

"Sementara tunggu masakan awak siap ni, awak nak saya tolong awak apa-apa tak?" Soalnya. Mana tahu Qairul memerlukan pertolongan.

Qairul menggeleng perlahan.

"No need, saya dah siapkan dah pun cuma tunggu bihun ni je." Balas Qairul. Hanan diam seketika sebelum mengangguk mengerti.

Qairul mencapai pinggan lalu bihun yang siap digaul sebati itu ditarik sedikit lalu diletakkan ke dalam pinggan.

"Dah, cuba awak rasa ni." Qairul menghulurkan pinggan yang terisi dengan bihun goreng itu kepada Hanan, tidak lupa juga sudu garfu. Hanan tanpa membantah hanya menyambut.

Bau aroma bihun goreng itu membuatkan perutnya tiba-tiba berbunyi. Hidungnya sudah mula kembang kempis bau aroma tersebut.

Tampak menyelerakan!

Melihatkan saja pun sudah membuatkan dia kecur air liur, apa tah lagi bau masakan ini. Tipu lah kalau dia kata dia tak tergugat bau masakkan Qairul tadi.

Kaki menapak menghampiri meja makan lalu dia labuhkan duduk di kerusi situ. Qairul hanya mengikut Hanan sampai dia sendiri berdiri tidak jauh dari Hanan yang sudah melabuhkan duduk di meja makan. Perhatian diberikan kepada Hanan sepenuhnya.

Hanan pula dengan bacaan bismillah, mula memasukkan bihun ke dalam mulutnya lalu dikunyah perlahan-lahan. Tingkah Hanan itu, Qairul perhatikan dengan debaran.

Terhenti kunyahan Hanan. Mata gadis itu membulat seraya mengangkat kepala memandang Qairul dengan wajah terpanar.

"Kenapa? Tak sedap ke?" Qairul menghampiri Hanan. Riak wajah Hanan sedikit membuatkan Qairul tertelan air liur sebanyak dua kali. Takut jika masakkannya tidak kena dengan tekak gadis itu.

"Sedap! Pandai awak masak." Puji Hanan ikhlas dari hati. Nak menangis Hanan merasakan air tangan lelaki itu. Sedap sangat! Tangannya juga mengangkat tumps up. Itu memang lepas lakunya, kebiasaan kalau dia suka masakkan seseorang. Hanan kembali menikmati bihun tadi.

Bibir Qairul tersenyum lebar melihatkan itu. Gembira hatinya dapat melihat Hanan makan dengan penuh selera siap kembung-kembung pipinya sambil mengunyah. Tangan diletakkan ke atas kepala Hanan lalu diusap perlahan.

Hampir tercekik Hanan apabila terasa tapak tangan seseorang melekat atas kepalanya. Jantung Hanan berdetak kencang menerima sentuhan itu. Dapat dirasakan haba daripada tangan Qairul. Terasa lembut sekali Qairul menggosok kepalanya walaupun berlapik dengan tudung.

"Sedap sangat ke? Tak nak bagi  saya rasa juga?" soal Qairul kedengaran lembut sekali di pelupuk telinganya. Sekali lagi Hanan rasa nak mencair dengan layanan Qairul ni.

Ya Tuhan... macam mana dia nak keraskan hati kalau Qairul layan dia macam ni? Hanan tunduk memandang pinggan di hadapannya. Langsung tidak berani mengangkat wajah saat ini.

Pipinya terasa membahang!

"Mana boleh, ni saya punya. Awak ambil lah sendiri." Hanan cuba buat selamba yang mungkin, padahal dia buat begitu cuma nak tenangkan diri yang mula gelabah biawak ni.

Qairul ketawa lepas. Tergeleng-geleng kepalanya. Kedengaran comel sungguh dipelupuk telinganya. Tanpa amaran Qairul menundukkan wajahnya lalu satu kucupan lembut hinggap di sisi kepala Hanan. Tangannya setia melekap di kepala isterinya sedari tadi.

"Saya pergi ambil air dengan bihun yang saya masak kejap. Kita makan sama-sama," usai berkata, Qairul berjalan meninggalkan Hanan yang masih dengan terkejut beruknya. Terkebil-kebil matanya melihat belakang Qairul.

Hilang sahaja kelibat Qairul, Hanan terus mengibas mukanya lalu menekup mukanya dengan kasar. Hanan terjerit tanpa suara. Pipinya yang terasa panas, ditekup lalu ditepuk-tepuk agar meredakan rasa panas di wajahnya.

"Cukup Hanan, cukup! Kau kena tenang. Jangan malukan diri kau sendiri," ucapnya, cukup diri sendiri yang dengar.

Tak! Kenapa sejak akhir-akhir ni, Qairul selalu buat jantungnya tidak sihat. Hanan mencebik. Kalau hari-hari macam ni, boleh gugur jantungnya.

Nampak sahaja kelibat Qairul menghampirinya, gelabah dia membetulkan duduk dengan selesa. Nafas ditarik dalam sebelum wajah tenang kembali dipamer.

"Nanti lepas makan ni, saya ingat nak ambil Anas. Sementara hari ni saya cuti, saya nak bawa dia jalan-jalan."

"Anas?"

"Ya, Anas. Anak Aisyah, kawan saya. Anas pun anak saudara Tuan Harriez. Awak mesti kenal Tuan Harriez."

Qairul termanggu. Mendengarkan nama Harriez keluar dari bibir isterinya membuatkan air mukanya berubah.

"Hanan memang rapat dengan Tuan Harriez tu ke?" soalnya. Matanya hanya tertumpu ke arah bihun di hadapannya. Wajah Hanan di depannya langsung tidak dipandang.

"Nak kata rapat tu boleh lah sebab saya rapat dengan keluarga diorang. Anas tu saya dah anggap macam anak sendiri. Tuan Harriez pula majikan saya. Jadi apa-apa hal mesti saya juga dicari." Kata Hanan lancar tanpa sedar riak perubahan Qairul yang semakin ketara itu.

"Ouh..."

Diam selepas itu. Bungkam Hanan melihat Qairul yang selamba menyambung makan tanpa mempedulikan dia.

Macam tu je dia balas?

Terkedip-kedip mata Hanan. Macam tu je dia buat selamba badak? Melihat air muka Qairul yang pahit seperti tertelan serbuk nescafe itu membuatkan gadis itu serba salah.

"Erkh... awak okey? Saya ada silap cakap ke?" soal Hanan sedikit perlahan. Riak wajah serba salahnya tidak dapat dikawal.

Kedengaran hembus nafas kasar meniti di bibir lelaki itu. Qairul angkat kepala pandang Hanan seraya senyum nipis.

Jangan nampak sangat kau tu cemburu Qairul. Getus hatinya kuat.

"Tak ada lah, saya tanya je. Awak jangan lah risau." Balas Qairul selepas itu kembali menyambung makan.

Setelah menerima balasan itu, Hanan diam. Mungkin dia je kut yang terlebih perasan yang Qairul seperti tidak selesa apabila berbicara tentang Harriez padahal lelaki itu biasa-biasa sahaja.

Suasana sunyi membelenggu mereka berdua. Hanan mula kekok. Dia paling tak suka bila tiba-tiba suasana bertukar suram. Berkali-kali Hanan melirik mata ke arah Qairul yang tenang dan diam menikmati juadah.

"Qairul, saya nak tanya awak boleh?"

Qairul pandang Hanan sekilas lalu menganggukkan kepala memberi keizinan untuk Hanan bertanya.

"Sejak bila awak pandai masak?" Sambil bertanya matanya tidak kalih menatap wajah Qairul yang sudah mengalihkan perhatian ke arahnya juga.

Qairul diam sekejap sambil mata melirik ke atas. Cuba mengingati balik detik-detik dia belajar memasak sebelum wajah Hanan kembali dipandang.

"Sejak saya sambung belajar dan duduk bersendirian. Mula-mula tu terkial juga nak memasak tapi lama-lama bila dah biasa jadi macam satu rutin. Cuma bila saya malas, saya beli je kat kedai yang berdekatan." Balas Qairul bersahaja. Hanan yang mendengarkan itu agak tersentak.

Dia rasa macam ada benda tak kena.

"Awak duduk bersendirian?" Soalnya dengan kening berkerut hairan.

"Ya, saya duduk sendirian. Kenapa?" Qairul angkat sebelah keningnya . Gadis itu terkebil-kebil menatapnya pelik.

"Selama ni awak tak duduk dengan keluarga awak ke?" Soalnya main redah. Fikirnya dia main kata je tapi tak sangka pula jawapan Qairul benar-benar apa yang dia katakan.

"Ya, saya tak duduk dengan mama dan papa. Lepas saya bekerja bawah papa, saya duduk dekat apartment papa. Apartment tu papa memang beli lama dah. Papa suruh saya duduk situ sementara saya dapat beli rumah sendiri."

Hanan bungkam. Tiba-tiba dia merasakan kepalanya pening dengan situasi ini. Dia langsung tidak dapat menangkap apa yang sedang berlaku. Tangan kirinya naik memegang sisi kepalanya.

"Jap, saya tak faham sebenarnya. Kenapa awak kena duduk bersendirian? Kenapa tak duduk dengan keluarga awak?" Satu demi satu soalan diberi. Sesak otaknya berfikir apa yang terjadi.

Qairul senyum tipis. Tangannya bermain dengan garfu di dalam pinggan lalu menguis isi bihun tersebut.

"Sejak awak hilang, banyak perkara yang berlaku Hanan. Terutamanya diri saya. Masa tu saya baru sedar betapa teruknya saya. Lepas mama dapat tahu apa yang saya buat dekat awak, saya dengan mama bergaduh teruk. Mama langsung tak bercakap dengan saya dan mama langsung tak nak pandang saya seakan benci dengan saya. Saya cuba pujuk mama tapi mama tetap berkeras dan dingin dengan saya sampai lah ke hari ni. Saya dah tak tahu nak buat apa sampaikan mama kata kat saya, selagi saya tak bawa awak balik ke sini, jangan berani jejakkan kaki ke sini lagi. Itu yang mama cakap. Sampai sekarang ayat tu terikat dengan saya." Qairul menggeleng perlahan mengingatkan detik itu.

"M...mama cakap macam tu?" soal Hanan dengan riak tidak percaya. Benar-benar terkejut.

Qairul angguk perlahan. Hanan terdiam selepas mendapat jawapan daripada anggukan Qairul. Terkesima dia.

Sampai sebegitu sekali? Tak pernah terfikir dia yang Puan Zainun akan terkilan dengan Qairul sampai setahap ini.

"Lepas saya habis belajar pula, papa terus ambil saya bekerja di bawahnya. Tu memang saat-saat papa tunggu kan selama ni. Dalam 2 tahun saya belajar tentang selok belok syarikat papa sampailah papa serahkan jawatannya kepada saya. Masa tu saya tak  yakin dengan diri saya tapi sampai bila kan? Saya pun setuju walaupun masa tu hati saya berbolak balik dengan diri saya sendiri. Alhamdulillah, berkat usaha saya dan papa, saya dapat kendalikan syarikat papa. Walaupun tidak semegah macam papa tapi banyak pengalaman yang mengajar saya sesuatu."

Qairul senyum dalam menunduk sebelum kembali mengangkat wajah. Hanan masih setia memandangnya dan mendengar bicaranya sedari tadi. Kemain kusyuk gadis itu.

"Saya yang mula-mula tak pandai uruskan masa, sekarang alhamdulillah. Allah permudahkan segalanya. Ada kala saya lalai tapi kata-kata seseorang ni tak pernah saya lupa."

Anak mata hazel itu ditatap penuh makna. Hanan pula langsung tiada tanda-tanda untuk mengalihkan pandangan.

"Sesibuk manapun kita dengan urusan dunia, jangan pernah lupa tujuan kita hidup di dunia ini. Matlamat utama kita sebagai hamba Allah yang menumpang di bumi-Nya ini."

Terkedu Hanan sambil mata terkedip-kedip pandang Qairul yang turut memandangnya. Hatinya tersentak hebat. Dia yang mendengarkan kata-kata itu pun agak menusuk ke pangkal jantungnya.

"Bila saya semakin belajar, saya semakin sedar sesuatu. Apa yang kita miliki dekat dunia ni hanya sekadar pinjaman. Bila-bila masa Allah boleh tarik. Begitu juga nyawa. Saya takut, saya pernah takut bila tak dapat jumpa dengan awak. Saya takut kalau saya tak pernah dapat kemaafan daripada awak. Masa tu saya merayu-rayu kepada Allah supaya dapat jumpa awak dan lembutkan hati awak supaya mudah memaafkan saya."

"Saya sedar khilaf saya. Saya tak akan pernah lupa apa yang saya buat dekat awak. Walaupun awak rasa dah beribu-ribu kali saya cakap benda yang sama ni tapi saya tak boleh. Saya asyik-asyik teringatkan semua ni. Kejam kan saya? Ya, saya memang kejam. Saya tak nafikan itu. Bila awak cakap yang awak tak maafkan saya, saya berdoa lagi dan saya sampai sekarang tak percaya. Betapa hebatnya kuasa Allah sebab dia dengar doa saya. Dia kabulkan doa saya." Qairul tatap wajah Hanan seketika lalu senyuman diberikan kepada gadis itu.

"Kalau Allah tak dengar doa saya, saya tak dapat duduk satu rumah dengan awak macam sekarang ni. Masak untuk awak dan sarapan sama-sama dengan awak macam sekarang ni. Hebat kan doa ni ?"

Sejauh ini ke perubahan Qairul terhadap dirinya? Hanan dapat rasakan yang sikap Qairul yang kini bukan yang dia kenali.

Qairul memang benar-benar berubah. Dan perubahan lelaki itu membuatkan mata Hanan berkaca-kaca tanpa disedari.

"Eh, awak menangis ke?" Hilang terus rasa hibanya bila melihat Hanan yang memandangnya dengan tatapan sayu begitu. Dia perasan ada air mata bertakung di hujung tubir itu.

Automatik dia menolak pinggan ditepi lalu tumpuan diberikan sepenuhnya kepada Hanan.

"Saya ada silap cakap ke? Saya minta maaf, saya tak ada niat nak buat awak macam ni. " Serba salah Qairul dalam menutur katanya.

Hanan mengusap matanya perlahan. Malu pula apabila Qairul tidak lepas menatapnya. Gigih Hanan cuba sembunyikan wajahnya daripada Qairul.

"H...hanan... saya minta maaf. Saya tak terniat pu..."

"Awak tu! Kenapa cakap macam tu. Saya rasa macam dah tak kenal awak dah!" Marah Hanan merah padam. Air matanya bukan main laju merembes keluar saat ini.

Manakala Qairul terpinga-pinga bila dimarah tiba-tiba. Wajah Hanan yang merah daripada biasa itu dipandang.  Gadis itu bukan main berusaha menepis air matanya kasar di pipi merahnya.

"Ya Allah, saya cuma cakap je. Yang awak sedih sangat ni kenapa?" Qairul tergelak. Tak terfikir dia dengan kata-kata simple itu boleh membuatkan Hanan menangis sebegini.

Hanan mencebik. Hatinya tiba-tiba kembali sedih.

"Dah lah, benci lah awak ni!"

Alahai, kenapa dia jadi minah leleh ni?!

Perlahan-lahan tawanya mereda. Namun, lelaki itu sudah mula bangun menghampirinya lalu kerusi di sebelah Hanan duduki. Jarak antaranya dengan Hanan dirapatkan. Kedua-dua tangan Hanan diraih lembut tanpa gadis itu menolak.

"Pandang saya." Arah Qairul mula serius.

Hanan angkat wajah. Air matanya yang mengalir lembut perlahan diusap. Qairul tersenyum kecil.

"Awak jangan lah sedih. Cukup lah selama ni awak banyak bazirkan air mata gara-gara saya. Saya cuma nak awak gembira dengan saya tanpa ada setitis air mata pun mengalir kecuali air mata kebahagiaan, bukan lagi derita. Saya nak jadi orang yang membahagiakan awak sampai akhir nafas saya. Jadi tolong, bila awak menangis sebab saya, sebab perangai saya yang dulu. Hati saya turut rasa sakit." katanya kedengaran tulus sekali. Tidak cukup itu Qairul mengusap pipinya lembut.

Rasanya, dia tak mampu untuk memarahi Qairul lebih lama.

Sebab hatinya dari dulu sampai sekarang masih utuh terukir nama lelaki itu.

Hanya Qairul mampu membuatkan hatinya kembali jatuh cinta.

Semakin galak air mata Hanan menuruni ke pipi gebunya. Sampaikan esakan terlepas di bibirnya. Tengok! Qairul buat dia sedih lagi!

Qairul lepaskan keluhan. "Awak ni... saya cakap sikit, menangis. Apa yang saya cakap ni buat awak sedih sangat ke?"

"Awak punya pasal lah." Katanya, dalam tersedu-sedan masih mahu menyalahkan Qairul. Hidungnya yang berair ditenyeh dengan hujung bajunya.

Tertawa halus Qairul menyaksikan tingkah Hanan yang tak ubah macam budak-budak yang menangis nakkan  gula-gula. Kalau dah garang, bukan main garangnya. Bila manja, dah serupa kucing lagatnya.

"I think, I should give you a little hug."

Tanpa amaran tubuh Hanan ditarik masuk ke dalam dakapannya sehingga kepala Hanan melekap penuh ke dadanya. Hanan dapat mendengar degupan laju di dada lelaki itu hanya diam. Dapat dirasakan belakang tubuhnya ditepuk dengan lembut bagaikan memujuk.

"Masih benci saya?" Usik Qairul. Kepala sedikit menyenget mahu melihat riak wajah Hanan.

Hanan mencebik. Kerana rasa malu terus dia melekap mukanya ke dada lelaki itu terus. Macam dia tak tahu, ada je gurauan lelaki itu mahu mengenakan dia.

Hanan mendengus perlahan.

"Malas layan awak."

🌸🌸🌸

Hanan ni kata je nak keraskan hati padahal hati mudah sangat lembut HAHAHAH. Maafkan saya sebab lambat update sampai buat korang tertunggu-tunggu. Jadual memang pack. Bukan sengaja tak nak update huhuu...

Yang masih setia thank you sebab menunggu. Happy reading!💕

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top