Bab 63

"A...awak buat apa kat sini?!"

Hanan pandang Qairul tajam. Terkejut bukan kepalang dia dengan kehadiran Qairul di hadapan rumahnya. Sempat Hanan toleh ke kiri dan ke kanan. Takut-takut ada jiran-jiran yang perhatikan dia dengan Qairul di hadapan rumahnya ini.

Jiran-jiran di sini mana tahu dia isteri orang jadi kalau tiba-tiba dibuat fitnah macam mana? Habis semua dicanang cerita satu kawasan sini.

"Sengaja saya nak melawat rumah isteri saya sendiri," jawab Qairul dengan bibir tersenyum.

Hanan memincingkan matanya. Rasa sangsi dan hairan dengan kehadiran Qairul yang tiba-tiba boleh muncul di sini.

Qairul tahu ini rumahnya jadi selama ni Qairul mengekorinya?

"Macam mana awak boleh tahu saya duduk kat sini? Selama ni awak intip saya ke?" soal Hanan keras. ditatap Qairul dengan wajah serius.

Hanan mendengus kasar apabila Qairul mengambil keputusan dengan mendiamkan diri. Dah bertukar jadi bisu ke apa?

Kesabarannya seakan dicabar. Hanan kepal tangannya. Bibir diketap kuat.

"Awak jangan buat saya ulang dua kali Qairul. Jawab! Betul ke awak intip saya selama ni ha?!" Sekali lagi Hanan menyoal. Bila-bila masa amarahnya bakal tercetus. Semakin bertambah perasaan membuak rasa menyampah dan sakit hati bersilih ganti.

Qairul ketap bibir bawahnya. Dia menundukkan wajahnya sedikit.

"Saya tak intip awak. Saya cuma perhatikan awak dari jauh. Salah ke?" Setelah lama berdiam, akhirnya Qairul bersuara. Tenang.

Hanan berdecit. Dahinya dipicit kuat.

"Salah, sebab saya tak suka! Awak berani-berani ceroboh hak privasi saya!" Suara Hanan sedikit meninggi. Mukanya jelas tidak puas hati.

Tatapan mata tajam Hanan dibalas dengan tatapan redup. Qairul cuba mendekatkan jaraknya antara Hanan.

Perlahan-perlahan lengan Hanan ditarik.

"Saya suami awak Hanan. Saya rasa tak salah kalau saya nak ambil tahu. Lagipun saya cuma nak pastikan awak dalam keadaan baik-baik," ujar Qairul lembut. Anak matanya memandang Hanan penuh berharap.

Hanan melepaskan tawa sinis. Rasa lawak pula dengan kata-kata Qairul itu. Serentak itu dia menyentap tangannya kuat dari pegangan Qairul. Terpana Qairul dengan tindakan kasar Hanan sebegitu.

Hanan tayang wajah mengejek. "Suami? Saya rasa selama ni saya hidup tanpa suami. Saya lebih suka hidup macam ni. Jangan risau selama ni keadaan saya baik-baik je tanpa awak di sisi," jawab Hanan sarkastik. Dia langsung tak peduli dengan perubahan riak air muka Qairul usai dia berkata begitu.

Bersalah? Cukup lah dia terlalu bagi muka dekat Qairul. Apa lah sangat dengan ayatnya berbanding perbuatan Qairul sebelum-sebelum ni?

"Hanan..." Qairul melepaskan nafas panjang.

"Awak jangan tanya kenapa saya berubah macam ni sedangkan semuanya berpunca dari awak," balas Hanan penuh dingin. Kunci yang berada di dalam genggaman Qairul dirampas selamba.

Qairul terkedu. Tindak tanduk Hanan yang berpaling sambil membuka kunci itu dipandang.

"Saya sedar semua ni berpunca dari saya. Saya tak nafikan apa yang awak cakap," kata Qairul. Belakang Hanan ditatap penuh hiba.

Qairul tahu Hanan mendengar segala bicaranya.

"Hanan... Saya minta maaf. Maafkan saya atas segala dosa yang pernah saya buat pada awak selama ni. Saya merayu sangat. Please give me a chance to fix it again," bergetar suara Qairul. Dia sangat berharap yang Hanan masih memberi dia peluang untuk perbaiki hubungan mereka.

Hanan kepal tangannya. Bawah bibirnya diketap kuat. Hanan mengatur nafasnya yang terasa sukar hendak ditarik. Sesak.

Matanya mula terasa semakin panas.

"Saya rasa tak perlu kut. Lagipun saya dah penat nak teruskan hubungan ni. Hati saya dah lama mati untuk awak, Qairul," balasnya mendatar. Cukup jelas di pendengarannya mahupun Qairul.

Kenyataan yang keluar dari bibir Hanan telah menyentak jantungnya. Qairul terpaku. Tangannya yang bergetar dia genggam kuat sehingga menampakkan urat hijaunya yang timbul di serata lengannya.

Hanan kembali menoleh ke arah Qairul buat seketika. Dari mata kasar Hanan dia nampak jelas kekecewaan yang terpancar di seraut wajah Qairul, namun lelaki itu cepat-cepat menyembunyikan wajahnya. Ditayang wajah tenang itu.

"Saya akan tunggu awak sampai awak betul-betul terima saya dengan hati yang terbuka. Saya percaya dengan pertemuan kedua ni pasti ada hikmah. Hari-hari saya tak pernah terlepas berdoa untuk bertemu dengan awak dan Allah dengar segala doa saya. Saya percaya yang awak masih untuk saya. Saya akan tunggu awak, Hanan," kata Qairul penuh tenang. Seraut wajah bersih itu Qairul pandang tidak lepas sehingga menghadirkan perasaan asing dalam diri Hanan.

Hanan menggeleng lemah. Wajah Qairul ditatap kosong.

"Awak balik lah. Saya tak nak gaduh kat sini. Saya penat," balas Hanan lemah. Tak berdaya dia nak keluarkan kata-kata lagi.

Hanan kembali berpaling ke hadapan lalu langkah di bawa ke arah pintu. Tanpa mempedulikan kehadiran Qairul yang masih tercegat di situ, Hanan terus masuk lalu mengunci pintu. Wajah Qairul langsung tidak dipandang.

Qairul meraup wajahnya. Mata terpejam buat seketika lalu kembali mencelik. Apabila kepala berserabut macam ni lah dirinya.

Qairul angkat wajah lalu menatap pintu rumah Hanan dengan penuh sayu. Qairul tidak dapat lagi menahan dirinya dari rasa bersalah. Air matanya jatuh setitik.

Qairul tahu disebalik kata-kata Hanan, gadis itu masih terluka dengan dirinya. Kalau tidak, hati Hanan tidak sekeras ini. Dia dapat lihat kekecewaan disebalik anak mata hazel itu.

"Maafkan saya."

Pintu rumahnya ditutup rapat. Terketar-ketar badannya menahan tangisan daripada terhambur keluar. Rasa sebak yang kian menghimpit dadanya membuatkan dia sukar hendak bernafas. Hanan menyandar di belakang pintu lalu perlahan-lahan tubuhnya melorot jatuh.

Tidak dapat menahan lagi akhirnya dia tewas dengan perasaan sendiri. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tangisan yang semakin menjadi-jadi.

Kali ini air matanya terlalu murah. Hanan tidak dapat lagi menipu dirinya. Jujur dia sebak mendengar tutur kata bicara lelaki itu. Sekeras manapun hatinya, Qairul tetap kelemahannya.

"K...kenapa awak baik dengan saya? Awak sengaja kan nak buat saya serba salah macam ni? Awak tahu kan yang saya tak boleh benci awak?" Bertalu-talu soalan Hanan menyoal dirinya.

Dia bencikan dirinya. Fikir Hanan dia boleh hadapi sendirian, malah dia rasa dia cukup kuat menghadap Qairul suatu hari nanti.

Tapi kenapa bila Qairul hadir dalam hidupnya kembali, perasaan bertukar berbolak-balik?

Hanan mengusap pipinya yang basah dengan kasar. Nafas dihela panjang.

"Lupakan Hanan. Kau kena lupakan."

🌸🌸🌸

            Hanan mengetuk pintu perlahan. Agak lama dia biarkan seketika sebelum kembali mengetuk. Namun, ketukan pintunya sampai ke saat ini langsung tiada sahutan. Hanan cuba menunggu lagi, ada kala jam di pergelangan tangannya dipandang sekilas.

"Tak ada orang ke?" Hanan mula tertanya-tanya sendiri dengan wajah berkerut. Sekali lagi pintu rumah bercorak putih itu diketuk. Masih mencuba nasib.

Tetapi ia tetap sama. Tiada sahutan. Hanan mula terdiam. Tak akan tiada orang sedangkan kereta Aisyah elok je di luar?

Hanan cuba menekan pintu dan tepat jangkaannya, pintu tidak berkunci. Hanan dengan penuh berani membuka pintu lalu menjengulkan kepala ke dalam. Tertoleh-toleh dia mencari kelibat orang di dalam rumah, namun tiada siapa yang menyapa matanya saat ini.

Lama dia berdiri di luar memerhatikan sekeliling sebelum dia mengambil keputusan untuk masuk ke dalam. Takut-takut dia masuk memandangkan ini kali pertama dia masuk tanpa dijemput. Sudah lah rumah orang kau tahu tak?

Dengan secebis keberanian Hanan melangkah perlahan ke ruang tamu. Kosong, masih tiada siapa-siapa pun. Kelibat Puan Zahra pun dia tak nampak.

Kaki yang hendak melangkah ke dapur terus terhenti apabila dia pandang ke bawah. Kelihatan Anas bermain-main dengan kakinya. Bukan main ralit sampai tak sedar Hanan yang memerhatikannya.

"Hey baby nenas! Awak buat apa tu?!"

Hanan berlari mendapatkan tubuh Anas. Tubuh Anas itu di angkat lalu diletak ke atas ribanya.

"Macam mana budak debak ni boleh duduk sorang-sorang kat sini? Macam tahu-tahu je ye Mama Nan nak datang." Hanan memicit kaki Anas. Anas hanya tersengih menampakkan gusinya.

Aisyah yang dari jauh mengatur langkah, dengan segera pergi ke ruang tamu untuk melihat anaknya yang ditinggal sekejap.

Dia terpaksa meninggalkan Anas di ruang tamu memandangkan dia berseorangan di sini. Puan Zahra pula keluar katanya nak beli barang masakan memandangkan bahan di rumah ini semakin berkurang.

Tengah kalut dia mengatur langkah ke sana, tidak semena-mena Aisyah memperlahankan langkah. Matanya terpaku melihat seorang gadis bertudung mendukung sambil bermain dengan anaknya di riba. Sesekali perut anaknya di geletek sehingga bergema tawa anak kecilnya.

Apabila terasa diperhatikan, Hanan angkat kepala melihat sekeliling. Tidak semena-mena anak matanya bertembung dengan anak mata Aisyah yang berdiri tercegat tidak jauh darinya. Mungkin sedari tadi Aisyah memerhatikan dia dan Anas. Agak lama juga mereka berbalas pandangan sebelum Hanan sendiri kembali mengalih perhatiannya kepada Anas.

Aisyah tarik nafas panjang. Dia kembali menyambung langkah menghampiri Hanan lalu dia melabuhkan duduk di sofa bersebelahan dengan Hanan. Raut wajah Hanan yang ceria mengagah Anas di dalam dukungan gadis itu membuatkan Aisyah tersenyum.

"Dah lama kau datang?" soal Aisyah. Sengaja mengajak berbual.

Hanan toleh ke arah Aisyah seketika. "Boleh lah, tak ada lah lama sangat," jawab Hanan mendatar. Dia kembali mengagah si kecil sehingga terjerit-jerit Anas dalam dukungan itu.

Aisyah diam. Hanya melihat gelagat Hanan yang bermain dengan anaknya. Bibirnya automatik tersenyum melihat betapa sayangnya Hanan kepada Anas.

Agak-agaknya macam ni juga ke Hanan akan jaga Anas jika dia tiada suatu ketika nanti? Aisyah tertanya-tanya sendiri.

"Aku nak minta izin nak bawa Anas keluar. Kau bagi je kan?" soal Hanan. Hanan toleh ke arah Aisyah. Menunggu balasan daripada gadis itu.

Aisyah senyum seraya angguk.

"Boleh je, anak aku kan anak kau juga." Seloroh Aisyah. Hanan senyum kecil. Perhatian kembali teralih ke arah si kecil apabila suasana terasa amat kekok.

"Hanan."

Hanan angkat wajah. Ditatap Aisyah yang kelihatan resah sambil bermain-main dengan jari jemarinya.

"A...aku minta maaf tentang hari tu. Silap aku bercakap tanpa cuba faham perasaan kau selama ni. Aku tak berniat nak buat kau sakit hati. Maafkan aku ye?" tulus Aisyah meminta maaf. Tidak cukup dengan itu lengan Hanan dipegang.

Hanan bungkam. Lagi-lagi melihat mata berkaca Aisyah. Tunggu masa nak mengalir je.

"Aku minta maaf Hanan. Aku sepatutnya faham kau lebih dalam tapi aku pula rasa yang aku tak faham kau selama ni. Aku ni memang kawan yang teruk untuk kau," usai berkata mengalir terus air mata Aisyah. Hanan di situ sudah mula cuak.

"Eh kau ni, apa pasal sedih sangat ni. Aku okey je. Kau tak payah lah menangis." Hanan menepuk lembut tangan Aisyah di lengannya. Kepalanya sedikit menyenget mahu melihat seraut wajah Aisyah yang kian menunduk.

"Aku dah maafkan kau lah. Dah jangan menangis. Makin buruk muka kau tau." Sebelah tangannya mengesat pipi Aisyah yang berbekas dengan air mata. Bibirnya tersenyum lucu.

Sejak jadi isteri orang ni makin bertambah cengeng Hanan rasa si Aisyah ni.

"Betul ni kau tak marah aku?" tanya Aisyah polos. Hanan angguk laju.

"Ya, aku marah kejap je. Dah lupakan hal lama, kita buka topik baru. Kau nak ikut jalan-jalan dengan aku dan Anas tak?" Malas dia membahas topik itu lagi, Hanan menukar topik.

Lagipun bila diingatkan balik, automatik dia teringatkan Qairul. Perkara ini dia tidak bercerita kepada Aisyah. Biarlah dia sendiri yang hadap. Ini masalahnya dengan Qairul.

Cukup lah selama bertahun-tahun ni Hanan banyak membebankan Aisyah. Dia tak mahu lagi membebankan fikiran Aisyah lagi-lagi sahabatnya itu dah berkahwin.

"Kau dengar tak?" Aisyah menguatkan suaranya sehingga membuatkan Hanan tersentak.

Hanan terkebil-kebil sendiri. Dia termenung ke tadi?

"A...apa dia? Sorry lah aku fikir sesuatu tadi." Hanan tersengih. Aisyah menggeleng kepala.

Aisyah mencebik. "Kau kalau marah lama. Kadang-kadang tu kau punya marah nak dekat berbulan-bulan. Kau ingat aku baru kenal kau ke apa."

Hanan menjeling. Siapa suruh buat dia marah? Terima lah akibatnya. Hanan merajuk balik baru tahu.

"Alah, biasa lah tu. Dah lah, ni kau nak keluar tak dengan aku dan Anas?" Hanan mengulang kembali soalannya.

Aisyah menggeleng perlahan. "Tak boleh, aku nak tolong ibu masak hari ni," jawabnya kedengaran sedih sekali.

"Kau dah buat perjanjian ke apa dengan ibu ni?" soal Hanan sambil mengangkat sebelah keningnya.

Aisyah tertawa kecil. "Ya, aku dah janji dengan ibu lagipun ibu kata dia rindu nak aku masak tomyam."

"Suka betul eh ibu dengan kuah tomyam pekat kau tu. Kalau aku mahunya berair hidung setiap kali makan." Hanan tertawa kecil. Teringat akan Puan Zahra yang bukan main suka dengan tomyam Aisyah membuatkan dia rasa geli pula hati.

Mana tidaknya. Puan Zahra tidak henti-henti memuji masakan Aisyah. Aisyah? Semestinya kembang semangkuk. Hanan rasa nak berguling-guling waktu tu sebab sedaya upaya Aisyah nak sorokkan pipinya yang merah di celah lengan Haiyan. Semua gelak dengan lagat Aisyah yang malu-malu comel macam tu.

"Tak apa lah, ibu suka aku pun suka. Ibu gembira aku lagi gembira!" Ucap Aisyah ceria.

"Kiranya kau bagi eh aku pinjam anak kau ni?"

"Ya, kau ni macam tak biasa culik anak aku."

Hanan ketawa. Dia kembali kalih ke arah Anas yang sudah menyumbat tangannya ke dalam mulut.

"Kalau macam tu tak apa lah. Boleh lah aku bonding dengan anak aku berdua. Kan baby nenas?" Tubuh Anas diangkat menghadapnya sebelum ditarik rapat ke mukanya sebelum perut Anas yang berlapikkan baju menjadi mangsanya.

Macam tahu-tahu Hanan mengajak bergurau, suara Anas terus pecah mengeluarkan tawa dan bahasa bayinya. Bukan main seronok sampai naik merah muka si kecil.

"Kau kan suka sangat panggil anak aku macam tu. Jadi nenas betul-betul baru tahu," tegur Aisyah sambil mengesat air liur Anas yang berjijiran dengan kain bersih yang sempat diambil tadi.

Hanan angkat bahu. Wajahnya selamba.

"Alah, suka hati aku lah nak panggil apa. Anak aku, suka hati aku lah."

Aisyah dan Hanan saling ketawa. Syukur hubungan mereka berdua kembali membaik semula.

🌸🌸🌸

Dalam tak sedar tinggal beberapa bab je lagi. I try to keep updating. I hope you all are still waiting until the end of this story hehehe:)

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top