Bab 59

          Dari jauh Qairul melihat kelibat Puan Zainun menyiram pokok bunga. Nafas ditarik sukar. Qairul cuba tenangkan dirinya. Keyakinan yang dia bawa sebentar tadi tiba-tiba sahaja hilang. Yang ada cuma rasa risau dan takut jika Puan Zainun masih bersikap dingin dengannya.

Dia mengetuk dahinya perlahan seraya menggeleng. Bermacam-macam fikiran buruk yang bermain di dalam kepalanya cuba dibuang. Qairul menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan dia lakarkan senyuman di bibirnya. Kakinya mula menapak menghampiri Puan Zainun yang masih menyiram pokok bunga tanpa menyedari kehadirannya di belakang.

"Assalamualaikum, mama."

Kelihatan pergerakan tubuh Puan Zainun terhenti saat mendengarkan salam itu. Puan Zainun langsung tidak menoleh ke belakang. Malah hanya berdiri kaku di tempatnya berdiri.

Senyuman yang lebar sebentar tadi bertukar menjadi tawar. Dari bahasa tubuh badan Puan Zainun dia dapat rasa apa yang bakal terjadi nanti. Dia menundukkan kepala, merenung plastik di tangannya.

"Maaf Shad dah lama tak jenguk mama. Shad busy sekarang ni tapi tak pe Shad ada belikan hadiah untuk mama." Nadanya bertukar ceria. Gigih Qairul menarik perhatian Puan Zainun.

Puan Zainun masih diam sebegitu, malah wanita itu sudah mula menutup paip air. Tidak hiraukan langsung kehadiran anaknya di sisinya. Senyuman di bibir Qairul mula memudar.

"Ma..."

"Buat apa kat sini?" Kasar Puan Zainun menyoal. Langsung tiada nada mesra.

Tertunduk Qairul menahan pedih di hatinya. Rasa bagaikan ditusuk-tusuk dengan belati tajam. Walaupun sudah 10 tahun Puan Zainun melayannya dingin tapi tetap terasa perit itu setiap kali mamanya melontarkan ayat-ayat yang mampu membuatkan dia sesak nafas.

"Ma, Shad..."

"Mama pernah cakap. Selagi tak bawa Ikha ke mari, jangan pernah jejak kaki ke sini." Puan Zainun menghempas batang paip itu. Menunjukkan yang dia benar-benar protes, lalu dia pun meninggalkan Qairul yang masih tercegat kat sini. Muka anaknya langsung tidak dipandang.

Kali ini riak muka kecewanya tidak dapat ditutupi lagi. Dia tertunduk merenung tanah.

Dia berbuat apa-apa pun untuk menarik perhatian mamanya, tetap Puan Zainun dengan pendiriannya. Seperti biasa, perkataan yang keluar dari bibir Puan Zainun merudum hatinya.

Dia rindukan mamanya yang penyayang. Qairul sedar semuanya berpunca dengan khilaf nya.

Semuanya kerananya. Dia mengaku. dia cuba tebus dosanya dengan mencari Hanan tetapi di mana lagi dia perlu mencari Hanan sedangkan jejak gadis itu betul-betul lesap.

Jujur, dia sudah upah banyak orang untuk mencari maklumat tentang Hanan beberapa tahun yang lalu tapi gadis itu betul-betul hilang seperti tidak lagi jejakkan kaki di bumi Malaysia ini.

Lama dia termenung di luar rumah ini sehingga bahunya terasa ditepuk lembut.

"Acik, kenapa tak masuk?" Tegur Qiyadh yang sudah terpacak di sebelahnya. Air muka Qairul sempat diteliti tadi.

Qairul toleh ke arah Qiyadh. Adiknya masih dengan pemakaian sekolah menengah. Beg sekolah pun masih tersangkut di sebelah bahunya. Bukan setakat tu je, baju yang sepatutnya di dalam seluar terus dikeluarkan. Lagat dah macam samseng kalau tengok sekilas. Selekeh betul.

"Bila Ril balik ni? Acik tak dengar pun motor." Qairul hiraukan pertanyaan adiknya dengan menyoal Qiyadh kembali.

Qiyadh tersengih kerang busuk. Tangannya sudah mula menggaru kepalanya.

"Ril naik dengan kawan Ril. Motor buat hal tadi terus kawan Ril hantar Ril balik. Motor dah tolak pergi bengkel," balasnya.

Qairul mengerutkan dahinya. "Macam mana motor tu boleh buat hal pula?" soalnya kepelikan.

Mana tak hairan, rasanya tak sampai beberapa bulan dia bawa motor Qiyadh pergi service.

"Entah, tiba-tiba mati tepi jalan. Dah banyak kali dah Ril cuba hidupkan tapi hampreh dia tak nak pun hidup. Ril pun minta tolong kawan Ril tolak motor Ril," balas Qiyadh jujur.

"Berapa kena bayar tu?" soal Qairul.

Qiyadh angkat bahu. "Tak tahu lah acik. Dia tak cakap pula. Mungkin lepas dah siap baru dia bagitahu kut."

Terangguk-angguk Qairul. Tangannya menyelit ke poket seluar slack hitamnya. Beg dompet dikeluarkan.

Qiyadh hanya perhatikan tingkah laku aneh Qairul dalam diam. Mulutnya bertambah bisu melihat Qairul mengeluarkan beberapa not lima puluh beberapa keping.

"Ni cukup?" Beberapa not lima puluh ringgit diberikan kepada Qiyadh.

Terkebil-kebil Qiyadh bila dihulurkan duit sebegitu. Duit di tangan Qairul hanya dipandang tanpa rasa ingin diambil. Rasanya dia tak minta aciknya keluarkan duit.

Qairul helakan nafas panjang. Tanpa menunggu respons adiknya yang lambat segera dia menarik tangan Qiyadh lalu diletakkan duit itu di atas tapak tangan adiknya.

Qiyadh tergamam.

"Ambik buat bayar service motor tu. Yang lebih tu tu simpan untuk kegunaan Ril sendiri."

Tercengang Qiyadh mendengarkan itu. Bukan jumlah cipu-cipu yang Qairul bagi kepadanya. Kepalanya yang tidak gatal digaru. Qiyadh tersengih janggal.

"T...tak apa ke ni acik? Banyak ni..." Air liur diteguk payah. Bila dikira jumlah duit itu memang buat dia panas saran.

Qiyadh bukan jenis suka meminta wang. Kadang kalau kalau orang nak bagi dia hanya diam dan menerima sahaja tapi tak semua dia boleh menerima. Ni terlampau banyak ni!

"Ambil je lah beli buku-buku ke. Baju ke. Ikut Ril nak buat apa dengan duit tu."

Qiyadh tayang muka terharu. Senyuman di bibirnya dia tayang selebar-lebarnya.

"Thank you acik." Dengan penuh drama dia mengusap pipinya yang konon ada air mata.

Qairul yang melihatkan itu hanya julingkan mata ke atas.

"Ha ni, alang-alang tolong beri kat mama." Satu beg kertas dihulurkan ke arah Qiyadh. Mati terus keterujaan Qiyadh sebentar tadi diganti dengan riak tidak senang.

"Acik..." Qiyadh serba salah mahu menolak.

Bukan dia tak nak bagi tapi dia tak sanggup nak tengok cara penerimaan Puan Zainun kalau dia bagi hadiah daripada Qairul ni.

Bukan sekali, dah banyak kali dan setiap kali tu dia tumpang sedih. Kalau dia jadi abangnya, Qairul pun terasa sampai ke sini. Kecewa apatah lagi.

"Bagi je kat mama, jangan banyak bunyi." Hulur Qairul masih berkeras. Tajam panahan Qairul menyuruh Qiyadh mengambilnya.

Qiyadh mengeluh panjang. Ditatap Qairul penuh risau.

"Lagi sekali acik? Acik tak penat ke selalu buat macam ni? Acik pun pernah tengok kan mama buang hadiah yang acik beri pada mama?" katanya penuh berhati-hati. Dalam kejujurannya dia terpaksa juga cakap.

Walaupun semua tu amat menyakitkan untuk menerima dengan perit.

Qairul pejamkan mata seketika. Dia tarik nafas dalam.

"C... cakap dekat mama, Ril yang bagi. Bukan acik. Boleh kan?" Pandangan penuh pengharapan diberi.

Berat hati mahu menolak akhirnya dia akur. Huluran beg kertas itu disambut.

"Ye lah, acik. Acik banyak bersabar tau." Qiyadh sempat menepuk lengan Qairul berkali-kali. Wajahnya beriak simpati.

Qairul membalas dengan senyuman tipis.

"Insyaallah..."

🌸🌸🌸

          Pintu ukiran kayu itu diketuk perlahan. Tangannya sempat membetulkan tudungnya yang senget agar menutupi dadanya dengan sempurna. Tidak sampai beberapa saat kedengaran pintu ditarik dari dalam.

"Eh, Hanan, mari lah masuk. Ibu dah tunggu Hanan kat dapur tu." Haiyan mempelawa Hanan masuk. Dibuka pintu kayu itu dengan luas agar memudahkan Hanan.

Senyuman Haiyan dibalas mesra. "Terima kasih, Aisyah mana?" Anak mata dilarikan pandang sekeliling. Mencari kelibat sahabatnya.

"Aisyah tengah solat. Nanti dia turun saya cakap dekat dia yang awak dah sampai," balas Haiyan.

Hanan angguk kepala perlahan. "Kalau macam tu saya masuk dapur dulu."

Haiyan mengangguk memberi keizinan.

Kaki mula menapak ke dapur. Sesampai sahaja di muka dapur, kelihatan seseorang yang dicari sedang memasak sambil berbual-bual dengan sesusuk lelaki.

"Assalamualaikum, ibu." Sapa Hanan dengan senyuman mesra. Lelaki di sebelah perempuan yang digelar ibu itu hanya dijeling sekilas.

Puan Zahra yang ralit berbual dengan Harriez terus toleh ke belakang. Bibir wanita itu menguntum senyuman lebar tatkala kelibat Hanan menyapa matanya.

"Eh Hanan bila sampai." Dilap tangannya di kain lalu salam Hanan disambut mesra.

"Baru je tadi, ibu masak apa ni? Sampai ke luar bau masakan ibu. Lapar pula Hanan rasa." Perutnya digosok perlahan sambil tayang sengihan. Puan Zahra yang mendengarkan rengekan manja Hanan hanya ketawa kecil.

Harriez hanya mencebik menyampah. Rasa tidak puas hati berganda-ganda bila dengan senang Hanan menarik perhatian ibunya. Ini tak aci! Ibu selalu duakan kasih sayangnya dengan Hanan.

Mencuka wajah anak terunanya.

"Ha yang ni kenapa pula masam muka ni? Dah pergi duduk sana dengan abang kamu tu. Ibu dengan Hanan nak masak ni."

Semakin masam mencuka lah Harriez. Bukan setakat itu sahaja. Mulutnya juga sudah muncung sedepa dihalau begitu.

Terasa tidak adil. Sudah lah dikena duakan!

"Kalau Riez pergi sana pun dapat apa je ibu? Entah-entah tonton babak romantika Iyan dengan Aisyah. Anak ibu tu bukan menghormati pun orang single macam Riez ni," bebel Harriez. Nampak sangat lama dah pendam sakit hati dengan abangnya.

Hanan di sebelah kiri Puan Zahra sedaya upaya menahan bibirnya dari meletuskan ketawa. Dia mengemam bibirnya kuat. Puan Zahra turut menahan tawa melihat wajah tertekan anak keduanya.

"Tu lah, ibu nak pilihkan calon isteri tak nak. Nak juga pilihan sendiri. Tak sedar kamu tu dah tua. Bukan 20 lebih tapi dah 30 lebih dah . Sedar-sedar lah kamu tu makin bertambah usia." Tergeleng-geleng Puan Zahra. Sempat dia menasihati anaknya.

Mendengarkan topik kahwin ini, Harriez sudah menghelakan nafas lemah. Sesak dadanya. Terjatuh terus bahunya. Lemah semangat.

Ini bukan sekali. Dah banyak kali Puan Zahra menyebut topik kahwin ni.

"Ibu ni, Riez tak sedia lagi lah. Nak kahwin ni Allah yang tentukan. Kalau Allah kata sekarang ni Riez kena kahwin. Ha sekarang ni juga Riez kahwin,"balas Harriez selamba badak.

'Tuk!'

"Auch! Sakit lah ibu!" Jerit Harriez sambil menekup dahinya. Matanya terpejam seketika menahan sakit. Berdenyut semacam rasa dahinya.

"Kamu ni tahu menjawab je kan? Macam tu lah selalu kalau ibu buka topik kahwin. Orang kalau nak jumpa jodoh kena ada usaha juga," balas Puan Zahra geram. Selamba dia menyambung tugasnya memasak tanpa mempedulikan Harriez yang masih dalam kesakitan itu.

"Lambat laun jugak Riez kahwin punya. Ibu jangan risau lah. Selagi Riez masih teruna ni Riez masih boleh luangkan masa lagi dengan Ibu, nanti Riez dah kahwin mesti nak jenguk ibu pun payah. Ibu patut bersyukur Riez tak kahwin lagi. Boleh temankan ibu, bukan macam Iyan tu. Dah ada bini bukan selalu boleh jenguk ibu." Harriez membebel kecil.

Ini kalau dengar dek abang memang kena luku.

Puan Zahra mengeluh lemah. "Ibu bukan apa Riez. Ibu tak nak anak-anak ibu jadi macam ibu. Sekurang-kurangnya Riez ada peneman nanti. Kalau Riez tak nak kahwin disebabkan ibu, jangan risau. Ibu dah biasa seorang diri."

Harriez mula tegakkan badan. Raut wajahnya berubah tegang.

Ha... ini yang dia tak suka ni!

Hanan pula sudah tergamam dengan suasana berubah drastik ini. Masing-masing diam apabila Puan Zahra berkata begitu. Bila dipandang Harriez. Wajah lelaki itu bukan main serius sampai kecut Hanan yang melihat.

"Ibu cakap apa ni, Riez tak suka lah," kata Harriez dengan nada keras.

Kalau boleh dia hilang disebalik dinding, dah lama Hanan berbuat begitu. Rasa dirinya tak patut berada di sini.

Patut ke dia gigit jari sekarang ni?

"Kalau tak suka ha kahwin lah cepat-cepat. Jangan nak bagi alasan tak ada jodoh lagi lah." Puan Zahra terus terusan membuka topik perkahwinan.

Harriez menarik nafas panjang. Dia mula berjalan ke arah sinki. Mahu membersihkan tangannya yang terasa berlengas.

"Kalau nak kahwin pun dengan siapa je ibu? Orang nak dekat dengan Riez pun takut." Sambil membilas tangannya, Harriez mengeluarkan hujahnya lagi.

"Hanan kan ada?"

Hampir tersedak Hanan dibuatnya apabila namanya dipetik secara tiba-tiba. Terangkat terus kepala Hanan memandang Puan Zahra. Raut wajahnya jelas terkejut.

Sedar akan riak gadis disebelah ibunya, cepat-cepat Harriez menyudahkan membersihkan tangannya.

"Ha mula dah ibu ni. Mengarut!"

Puan Zahra mengangkat sebelah keningnya. "Apa yang mengarut? Boleh jadi je kalau Hanan ni isteri kamu."

Sempat dia mengerling ke arah Hanan yang bagaikan terkaku itu.

Harriez mengeluh lemah. "Haih lah ibu ni. Riez pergi depan dulu lah." Tanpa mendengar balasan ibunya, cepat-cepat Harriez melarikan diri.

"Ha nak lari lah tu." Puan Zahra mencebik. Lauk diceduk masuk ke dalam pinggan yang sesuai.

"Hanan? Okey tak ni?" Pelik Puan Zahra melihat Hanan yang diam disebelahnya. Tak cukup itu gadis itu boleh pula mengelamun lama di sini.

Hanan membalas dengan sengihan janggal. Perlahan dia mengangguk kepalanya.

Dia tidak tahu mahu berkata apa bila suasana bertukar amat kekok.

Perasan akan riak wajah tidak senang Hanan. Puan Zahra mengeluarkan suaranya. "Maaflah kalau kamu tak selesa. Ibu cuma geram dengan Harriez tu. Hanan jangan ambil hati ye?" Penuh lembut dan berhati-hati Puan Zahra berkata.

Senyum tipis terukir di bibir Hanan.

"Tak ada lah ibu. Hanan okey je," balas Hanan cuba menyakinkan Puan Zahra yang sudah beriak serba salah.

Nak salahkan Puan Zahra, tak boleh juga sebab Puan Zahra langsung tidak tahu perihalnya. Cuma Aisyah dan Haiyan sahaja tahu. Harriez turut tidak tahu status dirinya bagaimana.

Lagipun dia malas mahu menceritakan kesah nya yang tak seberapa nak indah. Kalau ingatkan pun sakit hati je yang dia dapat.

"Ibu minta maaf." Puan Zahra bersuara memohon maaf. Kini Puan Zahra pula beriak bersalah mencipta suasana janggal ini.

Hanan menggeleng. Perlahan Hanan menepuk tangan Puan Zahra tanda dia tidak mengapa-apa.

"Kan Hanan kata tak apa, ibu jangan risau lah. Hanan tak ambil hati pun," balasnya lembut. Matanya redup memandang Puan Zahra. Tidak cukup itu bibirnya tersenyum lebar lebih menyakinkan Puan Zahra.

Puan Zahra keluh lega. Hatinya sedikit tenang apabila Hanan berkata begitu.

"Hanan bawa lauk semua ni kat depan ye ibu?" pinta Hanan. Lauk sudah siap sedia dipegang.

"Ha, boleh-boleh." Cepat-cepat Puan Zahra membalas.

Laju Hanan membuat kerja. Terus dia membawa juadah yang telah dimasak oleh Puan Zainun untuk disusun di bawa ke hadapan.

🌸🌸🌸

          Terjerit-jerit suara Anas apabila Hanan bermain di perutnya. Tidak cukup dengan itu Hanan tekapkan mukanya ke atas permukaan perut Anas lalu menggeselkan dengan hidung mancung nya. Tersentak-sentak badan Anas dibuatnya. Geli sungguh.

Aisyah hanya tersenyum melihat gelagat Hanan melayan anak kecilnya. Tidak kekok langsung, malah cara Hanan melayan Anas tidak ubah seperti anaknya sendiri.

Sejak Anas lahir lagi Hanan sering memberi perhatian kepadanya dan Anas. Sewaktu dia berpantang pun Hanan sanggup mengambil cuti untuk menjaganya sebulan.

Seminggu sahaja dia berpantang di rumah Puan Zahra, selebihnya dia berpantang di rumahnya di temani oleh Hanan. Puan Zahra juga bersetuju waktu itu. Tidak mahu Aisyah berseorangan menguruskan semuanya.

Tentang cuti sebulan? Dah dia bekerja di bawah anak Puan Zahra, semestinya cuti diluluskan dengan mudah. Harriez pada mulanya tidak setuju tetapi bila diarahkan oleh Puan Zahra dia pun akur begitu sahaja walaupun dengan hati yang berat.

Mana tidaknya, Hanan orang yang diletakkan kepercayaan tinggi. Kalau gadis itu berhenti, mana lagi dia perlu cari orang yang benar-benar dipercayai? Duit syarikat itu semuanya gadis itu yang mengira dan membuat laporan setiap tahunan. Hanya gadis itu dan orang kanannya sahaja tahu jumlah kesemua saham dan duit syarikat yang mereka perolehi. Hanan juga cekap dalam membuat kerjanya. Itu yang Harriez cakap pasal Hanan kepada Aisyah.

"Nak Mama Nan geletek dia lagi ya? Suka sangat ye dia!" Pipi tembam Anas digomol. Mimik muka Hanan tampak geram sekali dengan anak kecil itu.

"Aisyah! Hujung minggu ni aku nak bawa Anas jalan-jalan boleh? Dah lama betul aku tak bonding dengan anak kesayangan aku ni. Kan Anas kan?"

Seakan menyahut, Anas mengeluarkan suaranya. Bukan main rancak membalas.

Aisyah angkat sebelah keningnya. "Kau kena lah tanya baba dia dulu."

"Alah, baba dia konfem bagi. Cuma kena lah tanya mama dia ni bagi ke tidak, kan Anas?" Kali ini lengan gemuk Anas pula jadi mangsa. Terjerit-jerit Anas dibuatnya.

Tersenyum Aisyah seraya mengangguk. "Aku bagi je. Demi anak aku je lah."

Hanan mencebik menyampah. Aisyah pula sudah tertawa kecil melihat riak muka sahabatnya. Hanan hanya hiraukan Aisyah yang masih ketawakan dia. Perhatian kembali ke arah Anas yang duduk di ribanya.

Tawa Aisyah perlahan-lahan berhenti. Redup matanya memandang Hanan yang melayan anaknya tanpa henti. Melihat keadaan Hanan yang sekarang cukup membuatkan dia senyum bahagia, namun disebalik keceriaan yang dipaparkan oleh Hanan tiada siapa yang ketahui selain dia dan suaminya.

"Kau tak terdetik ke nak berjumpa diorang semua?"

Soalan yang keluar dari bibir Aisyah pantas Hanan angkat wajah. Dahinya berkerut sambil menatap wajah sahabatnya yang turut menatapnya dalam.

"Jumpa siapa? Aku tak faham?"

Aisyah menghelakan nafas lemah. Jelas wajah Hanan beriak tidak faham.

"Maksud aku keluar kau dan suami kau. Kau tak nak cuba berjumpa da..."

"Untuk apa? Untuk sakitkan hati aku sendiri?" Mendatar suara itu membalas. Kini matanya kembali tertumpu kepada Anas yang terkebil-kebil melihatnya.

Tidak terkata Aisyah apabila Hanan mencantas kata-katanya. Riak muka gadis itu pun sudah berubah mendadak tatkala topik ini dia bangkitkan semula.

Kini krakter gadis itu sangat lain dari 10 tahun yang dulu. Hanan yang selalu lembut kini bertukar lebih tegas. Hanan yang dulu lebih mudah dibawa bincang kini gadis itu lebih berkeras kepala. Hanan juga lebih suka memendam sendirian sejak kejadian itu.

Masa lalu benar-benar telah membunuh jiwa sahabatnya. Aisyah sudah tidak tahu mahu berbuat apa. Puas dipujuk agar berbincang, namun Hanan tetap berkeras dengan pendiriannya.

"Aku tak bermaksud macam tu pun Hanan. Aku cuma nak ingatkan kau, kau tu masih isteri Qairul. Mengelat macam mana pun kau tapi kau kena ingat status kau ni. Kalau betul lah kau nak putuskan, berbincang dengan elok. Jangan buat macam kau ni hidup gantung tak bertali. Dah 10 tahun Hanan. Bukan jangka masa yang pendek tapi lama Hanan." Sekali lagi dia cuba menasihati Hanan. Namun, Hanan tetap Hanan yang sekarang.

Tetap dengan keras kepalanya.

Senyum sinis tersungging di bibir merahnya. "Dia sendiri yang tak nak bercerai jadi pandai-pandailah dia. Aku cuma ikutkan je kata dia. Dia sendiri yang halau aku. Dia sendiri yang cakap tak nak tengok muka aku lagi. Buat apa aku nak munculkan diri?" Nada suaranya cuba dikawal.

"Hanan..."

Hanan berdecit kasar. "Sudah lah, aku tak nak lah cakap pasal ni. Aku datang sini bukan semata-mata bekerja dengan Tuan Harriez tapi aku datang sendiri sebab nak cari keluarga aku yang sebenar. Kau lupa?"

"Tapi Nan, takkan kau tak terdetik nak melawat walid dan umi? Kau tak kesian kat diorang ke?"

"Walid yang halau aku. Aku cuma..."

"Umi? Umi tak halau kau kan? Jadi kau tetap nak berlaku kejam dengan umi sedangkan umi tak pernah buat salah apa-apa dengan kau?"

Terkelu lidah Hanan ingin membalas. Kata-kata yang keluar dari bibir Aisyah tidak pernah dia sangka. Sedangkan Aisyah tidak pernah membangkitkan hal Puan Suhaida dan Encik Ilzam di depannya.

Kebanyakan semua berkaitan Qairul, tidak lekang bibir gadis itu mengingatkan dia dengan status dirinya sampaikan naik muak dia nak dengar. Malah dia hanya pekakkan telinga. Kalau dengar pun masuk telinga kanan dan akhirnya keluar dari telinga kirinya.

Kaku, Hanan benar-benar tersentap sampaikan bibirnya yang pantas memberontak terus jadi bisu.

"Aku dengar apa yang ibu berborak tadi dengan kau masa kat dapur. Aku pun dengar waktu ibu tiba-tiba cakap jodoh pasal Harriez tadi." Tiba-tiba Aisyah bersuara kan perkara ini.

Hanan masih diam. Memberikan Aisyah menyambung balik kata-katanya.

Terdengar helaian nafas Aisyah. Tampak berat sekali. "Aku nak kau ingat lagi sekali, kau tu isteri orang. Walau beribu-ribu kali pun aku dah ingatkan tapi kali ni aku berkeras. Aku tak nak ibu letak harapan yang tinggi untuk bermenantukan kau. Aku tahu dari sudut hati dia, dia berkenan dengan kau sebab tu dia cakap macam tu berani mati depan kau dan Harriez. Jujur dengan ibu dan Harriez. Cakap perkara yang sebenar yang kau dah ada suami. Diaorang berhak tahu. Aku pun tak nak Harriez berlaku salah faham atau ada simpan perasaan dalam diam. Perkara tu salah Hanan, aku cakap lagi sekali salah!" Tegas Aisyah. Benar-benar serius sehingga Hanan tidak mampu berbicara lagi.

Hanan hanya terus diam bila dibidas begitu. Tampak wajah Aisyah tegang sekali, namun tidak lama kelamaan Aisyah kembali beriak tenang. Kedengaran Aisyah mengucap beberapa kali.

"Sudah lah tu Hanan, sampai bila kau nak macam ni? Aku bukan tak faham kau tapi ini bukan cara yang betul. Melarikan diri sedangkan kau masih ada tanggungjawab dekat sana. Syurga kau masih ada dengan dia."

Hanan mengacip giginya. "Kau tak akan pernah faham."

"Aku dah cuba faham kau Hanan. Kau yang masih ego dengan diri kau."

"Kau cakap senang tapi yang hadap nya aku." Tajam mata Hanan menikam wajah Aisyah. Benar-benar menahan rasa marahnya terhadap sahabatnya.

Aisyah terus diam apabila Hanan menghelakan nafas kasar. Hanan tanpa banyak bunyi terus menghulurkan Anas. Aisyah turut sambut huluran itu.

Tanpa salam atau kata-kata Hanan terus bangun berlalu meninggalkan Aisyah dan Anas di ruang tamu ini. Hatinya benar-benar panas dengan Aisyah.

Aisyah menatap sayu kelibat itu. Serba salah kerana semuanya berpunca darinya. Silap dia mahu menasihati Hanan, namun dalam tak sedar telah menyakiti hati sahabatnya sendiri.

🌸🌸🌸


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top