Bab 41

      Hanan merintih sakit menerima urutan Puan Suhaida di bahagian buku lali kakinya. Sesekali dia menangis apabila rasa sakit itu tidak tertahan.

"Umi, sakit!" Terlepas esakan di bibirnya. Sesekali dia menggeliat mengikut rasa sakit sehingga Puan Suhaida menepuk menyuruh dia duduk dengan betul semula.

"Tahan lah sikit. Tu lah, lain kali bawa basikal tu hati-hati juga. Macam mana lah adik boleh jatuh ni," bebel Puan Suhaida masih meneruskan urutan di kakinya. Hanan menggigit bawah bibirnya.

"Adik tak sengaja. Lagipun tadi adik hampir-hampir nak langgar kucing itu yang tekan brek mengejut,"balas Hanan sedih. Sekali lagi dia meringis rasa sakit.

Qairul yang sedari tadi memerhatikan Hanan turut berkerut risau. Lagi-lagi bila gadis itu menangis saat Puan Suhaida menekan di tempat urutan kakinya. Jelas di matanya Hanan dalam kesakitan dan dia turut rasa bersalah berganda-ganda.

Kalau bukan sebab dia tertolak Hanan, gadis itu takkan menerima kesakitan ni.

"Umi, adik dah tak tahan sangat lah." Jerit Hanan dengan suara tertahan. Sesekali Hanan menekup mukanya ke bantal sambil menjerit melepaskan rasa sakit.

Sebegitu sekali? Yup...

"Sikit je lagi. Dah nak siap ni. Adik tahan sikit ye?" Puan Suhaida cuba memujuk. Hanan menggelengkan kepala tidak mahu.

"Sakit umi..." Lirih Hanan berkata sambil menitiskan air mata. Matanya sudah merah menyala.

Dia dah tak kesah keadaan diri dia yang cukup serabai ini. Lagi-lagi kehadiran Qairul yang duduk memerhatikan dia dari tadi.

"Umi urut perlahan je lepastu dah." Sekali lagi Puan Suhaida cuba memujuk. Kaki Hanan yang cuba disembunyikan dari tangannya, dia cuba gapai.

Hanan mengeluh lemah. Perlahan-lahan dia lujurkan kakinya semua. Puan Suhaida tersenyum lalu dia kembali mengurut cuma sedikit lembut dari urutan pertamanya.

"Okey dah," Puan Suhaida bangun dengan minyak ditangan. Kepalanya ditoleh ke arah Qairul yang diam memerhatikan Hanan sebentar tadi.

"Nanti Shad isi minyak gamat kat luka kaki dia ye. Umi nak basuh tangan lepastu nak solat maghrib kejap. Nanti isyak kita solat sama-sama." Ubat gamat di tangan Puan Suhaida, Qairul capai. Bibirnya tersenyum manis sambil mengangguk.

"Ye umi, nanti Shad letak dekat luka-luka dia."

Kelibat Puan Suhaida yang telah berlalu di dapur dia pandang sehingga menghilang. Qairul pantas duduk di sebelah Hanan yang masih berbaring menekup mukanya dengan bantal.

"Hanan, erghhh... kau sakit lagi ke?" Perlahan bahu Hanan dipegang lalu ditepuk dengan lembut.

"Kejap, bagi saya dua minit."

Hanan menoleh ke tepi sambil mengusap air matanya yang mengalir ke pipi sebentar tadi. Mengelak daripada pandangan Qairul. Mana tahu nanti Qairul cakap dia hodoh? Lelaki itu bukan pernah jaga hatinya.

Dia bangunkan tubuh. Rambutnya yang serabai itu Hanan betulkan.  Perlahan dia menekan buku lalinya. Tidak lah terlalu bengkak tapi boleh tahan juga rasa sakit bila dia menekan di tempat itu.

"Aku minta maaf,"

Hanan pantas mengangkat kepala. Terpinga-pinga dia menerima permohonan maaf daripada Qairul.

"Awak minta maaf? Kenapa pula?" tanya Hanan kehairanan.

Qairul menghelakan nafas. Tangannya di bawa ke buku lali Hanan lalu diusap lembut.

"Aku... aku terlalu terkejut sampai tak sedar tertolak kau. Kalau aku tak tolak kau, kau tak akan sakit macam ni." kesal Qairul. Muram sahaja mukanya.

Hanan mencuit lengan Qairul. Qairul menoleh ke arah Hanan yang tersenyum memandangnya.

"Saya okey je lah, silap saya juga sebab bawa laju. Awak tak perlu minta maaf. Bukan salah awak pun." Lembut Hanan membalas. Senyuman dia masih utuh di bibir.

Qairul sedikit lega apabila Hanan sudi memaafkan dia, bahkan gadis itu langsung tidak menyalahkan dia.

"Jom masuk bilik. Aku nak letak ubat gamat dekat lutut kau."

Hanan meneguk air liurnya. Macam mana Qairul boleh tahu lututnya berdarah? Umi bagi tahu?

"Aku tahu tadi lutut kau luka. Ingat aku tak tahu?" Pintas Qairul yang tahu apa yang bermain di fikiran Hanan. Gadis itu tersengih.

"Tak apa lah, saya dah letak dah tadi. Nanti isyak saya nak solat sama-sama boleh?" pinta Hanan sambil memegang lengan kekar Qairul. Cuba memujuk lembut.

"Tak payah lah, kau tu sakit. Nanti kalau kaki kau terseliuh balik macam mana?" Larang Qairul. Hanan mencebik bibir.

"Alah... boleh lah. Lagipun saya dah lama tak solat berjemaah. Lagipun solat sama-sama ni kan elok? Tak pun saya solat atas kerusi je. Mudah kan?" Cadang Hanan tidak mahu mengalah.

Qairul berdecit. Anak matanya kembali memandang Hanan yang berwajah penuh berharap itu.

Kalau boleh dia nak gadis itu berehat je dalam bilik tapi kalau dah Hanan tetap dengan keputusannya, dia turutkan sahaja.

"Ye lah...  kita solat sama-sama." Putus Qairul. Hanan terus senyum melebar. Tubuh Qairul dari sisinya segera dipeluk. Kejang terus tubuh lelaki itu.

Hanan cuba untuk beriak selamba walaupun sekarang ni jantungnya seakan-akan mahu meletup. Bibirnya tersenyum manis.

"Thank you!"

'Cup!'

Membuntang biji matanya menerima kucupan bibir di pipinya. Matanya merenung Hanan tidak percaya dengan tindakan berani mati gadis itu.

Hanan terkaku. Jangankan dia sahaja, tubuh Qairul juga sedikit mengeras dengan tindakan luar kawalannya.  Rona di pipinya mula kelihatan. Gila!

Perasaan malu yang semakin menebal di dalam dirinya segera Hanan tepis.  Walaupun dia malu, namun dia cuba untuk menepis. Dalam kepalanya hanya berfikir satu je.

Lari!

"Saya pergi dulu. Nak mandi." Hanan segera bangun dan berjalan terhincut-hincut dengan laju untuk masuk ke kamarnya. Mukanya terasa  semakin panas jadi dia perlu segera melarikan diri sebelum Qairul nampak.

Qairul perlahan mengusap pipinya yang dicium sebentar tadi. Dia masih tidak percaya dan entah kenapa perasaan dia saat ini terasa berbunga-bunga?

🌸🌸🌸

      Hanan meletakkan telekung di penyidai kain usai selesai, dia menuju ke arah tilam lalu melabuhkan duduk di hujung katil. Muka yang terasa panas itu ditekup dengan kedua-dua tapak tangan.

Senyuman penuh tersirat dari Puan Suhaida dan Encik Ilzam sebentar tadi benar-benar membuatkan dia dihurungi perasaan malu yang kian mengebu. Semua ni salah Qairul!

Setelah sekian lama akhirnya mereka sekeluarga solat berjemaah di ruang tamu. Solat Isyak Qairul yang imam kan.

Hanan berasa begitu tenang apabila ayat-ayat suci Al-Quran meniti dibibir Qairul. Kedengaran sungguh lunak dan Hanan begitu gembira.

Selesai solat dan mengaminkan doa tanpa pamitan Qairul berdiri dan menghampiri dia. Saat itu hanya tuhan sahaja yang tahu jantung dia bergetar macam mana. Pandangan dari Puan Suhaida dan Encik Ilzam dapat Hanan tangkap. Ya, mereka tersenyum memerhatikan gelagat Hanan dan Qairul.

Qairul menghulurkan tangannya perlahan. Hanan hanya menyambut dengan lembut lalu kucupan di belakang tapak tangan Qairul diberikan.

Serentak dengan itu Qairul memegang sisi kepala Hanan yang berbalut dengan kain telekung lalu satu kucupan syahdu dilabuhkan ke dahi licinnya. Lama. Tubuhnya automatik mengeras.

Oh... My...

Hanan terpana buat kesekian kali. Lidahnya terasa kelu dan jantungnya mula bermain rentak saat itu.

Betapa berdebar nya dia saat itu. Perbuatan Qairul benar-benar membuatkan Hanan panas punggung.

Usai mereka berkeadaan begitu, Hanan meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Qairul cuba menghulurkan pertolongan kalau-kalau Hanan memerlukan, namun Hanan menolak. Cukup lah dia tengah malu dengan kedua-dua ibu bapa angkatnya. Jangan lah berganda-ganda malunya pula kerana Qairul memimpinnya. Sakit sikit je!

Hanan mengambil sebiji bantal lalu menekup muka dia yang membahang kerana malu. Hanan menjerit kecil disebalik bantal itu.

"Eh, kau ni nak bunuh diri ke apa?"

Suara itu mematikan segala perilaku Hanan. Hanan sedikit terserentak. Tak! Qairul tak boleh tahu muka dia yang kemerahan tahap badut ni.

Hanan menurunkan sedikit bantal itu sehingga mencecah ke hidung. Kedua-dua pipi itu Hanan sorok.

Dia yakin kalau Qairul tahu, pasti Qairul akan usik dia ataupun ketawakan dia.

"Awak nak apa?" Hanan menyoal dengan cukup perlahan. Qairul tutup pintu kamar lalu kaki diaturkan ke arah katil.

Qairul merampas bantal di tangan Hanan lalu dicampak. Segera tubuh dibaringkan. Kepalanya dipicit sedikit. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa pening. Tadi tak ada pula dia rasa macam ni.

Hanan tergamam. Tindakan Qairul itu benar-benar membuatkan dia kaku tanpa sempat membuat apa-apa. Qairul menggapai tangan Hanan lalu diletakkan ke atas dahi dia. Qairul memejamkan mata.

"Aku pening ni, tolong urut kan kejap." Pinta Qairul. Hanan menundukkan kepala merenung muka Qairul yang tampak sedikit  pucat dan dahinya berkerut.

Hanan mengangguk perlahan tanpa bantahan. Dengan penuh tertib kepala Qairul diangkat lalu dia letakkan ke ribanya. Mata Qairul yang terpejam rapat segera terbuka apabila kepalanya terasa dialih sebegitu.

"Kenapa kau alih ni?" ujar Qairul dengan muka tidak senang.

Hanan terkebil-kebil sebentar. Hanan cuba beriak selamba.

"Tak apa, saya lebih suka urut dalam keadaan macam ni." Perlahan-lahan jari jemarinya menari di atas dahi Qairul untuk memulakan urutan dibahagian tepi kepalanya.

"Aku cuma tak nak tambah sakit kau. Elok-elok aku baring atas bantal, kau alihkan pula," rungut Qairul kedengaran tidak puas hati, namun bagi Hanan terasa comel pula. Hanan ketawa kecil.

"Tak ada lah, lutut saya dengan kaki saya je sakit. Bantal lembut saya ni tak ada sebarang luka apa-apa pun jadi jangan risau," balas Hanan bersahaja.

Qairul diam. Kalau itu yang gadis itu cakap, dia hanya biarkan. Qairul yang menerima urutan itu beransur-ansur tenang sedikit. Qairul pejamkan mata menerima urutan dari Hanan. Nikmat rasanya walaupun sakit dibahagian kepalanya masih tersisa.

"Feeling better now?" Sisi wajah Qairul dipandang.

"Hmm..." Balas Qairul perlahan.

Suasana di antara mereka mula sunyi. Qairul mencelikkan matanya sedikit. Qairul tersenyum senget tatkala kedua-dua belah pipi Hanan masih menunjukkan rona warna itu. Tangan Qairul mula menyelit rambut Hanan di belakang telinga itu. Serta-merta Hanan mematikan pergerakan dia.

"Apa yang kau malu ni sebenarnya hmm?" Soalan Qairul yang tiba-tiba terpacul di bibir itu pantas Hanan melarikan mukanya. Senyuman senget yang diukirkan membuatkan Hanan menelan air liurnya kesat.

Ha sudah! Mula dah dia ni!

"Malu? Apa yang malu? Tak ada lah!" Jawab Hanan sepintas lalu. Hanan menghadiahkan sebuah jelingan lalu dia berpaling wajah dari Qairul. Qairul membangunkan tubuh nya dengan perlahan.

Tawa kecil Qairul mula membolosi pendengaran Hanan. Hanan menoleh ke arah Qairul lalu pandangan tajam dilemparkan ke arah empunya suara yang galak mentertawakan dia.

"Suka eh awak gelak? Awak nak kena tumbuk? Saya bagi awak sebiji baru tahu." Hanan menunjukkan sebiji penumbuk comelnya. Melihat tangan kecil yang mengepal penumbuk itu membuatkan Qairul senyum sinis.

"Ha tumbuk lah." Qairul mencabar dengan penuh berani sambil tangan di depa ke hadapan seakan reda jika penumbuk kecil Hanan itu menyinggah ke serata tubuhnya.

Hanan mengetap bibir geram dengan sikap Qairul yang dalam sakit-sakit pun masih nak cari gaduh dengan dia. Muka Qairul yang tampak pucat itu Hanan sudah tidak pedulikan.

Berkali-kali tangan kecil itu menumbuk di dada Qairul tapi langsung tiada respons!

Malahan Qairul tersengih-sengih memandang dia yang dah serupa gorilla mengamuk.

"Setakat tangan kecil kau ni singgah kat mana-mana tubuh aku pun tak beri kesan lah Hanan. Buang masa betul kau ni," ujar Qairul dengan nada cukup menyakitkan dan itu membuatkan Hanan semakin berapi.

Sekarang dia tak akan beri muka langsung!

Berkali-kali tubuh Qairul dipukul, ditepuk, ditampar dan sebagainya. Kali ni dia tak akan beri muka! Memang habis-habisan dia buat kat Qairul. Dah tak kira dah Qairul tu sakit ke apa.

"Wow wow ni nak balas dendam ke apa ha?" Tangkas Qairul menggenggam kedua-dua pergelangan tangan Hanan dengan erat. Dengusan kasar Hanan menampar halwa telinga Qairul. Berkali-kali Hanan menarik tangan dia dari digenggam oleh Qairul namun lain jadinya apabila dengan tidak sengajanya Hanan berundur ke hadapan dan tidak semena-mena tubuh Hanan jatuh di dalam dakapan Qairul.

Dengan kesempatan itu lantas Qairul memeluk pinggang Hanan dengan erat sehingga kepala Hanan jatuh tersembam ke atas dada milik Qairul. Qairul mengukirkan senyuman kemenangan.

Tubuh Hanan seakan kaku. Lidahnya terkelu tanpa sebarang bicara. Jantung dia yang kembali normal tadi mula bermain rentak. Pelukan itu menimbulkan pelbagai rasa sensasi yang mengalir dalam tubuhnya.

"Amacam? Sedap tak kena peluk?" Qairul menyoal dengan penuh kenakalan. Seakan sedar di dunia nyata Hanan pantas menolak tubuh Qairul namun apakan daya, tenaga wanitanya tidak sekuat tenaganya.

"Hey lepaskan saya lah! Awak ni sengaja kan?" Hanan menjengkelkan mata dia. Berpusing-pusing Hanan mencari ruang untuk lepaskan diri. Qairul melabuhkan dagu dia di atas ubun-ubun Hanan, seketika dihidu rambut Hanan yang panjang mengurai kehitaman itu.

"Kau tak boleh lepas kan? So duduk lah sini diam-diam," kata Qairul dengan nada sedikit mengejek. Terkumat-kamit mulut Hanan mengutuk Qairul dalam diam. Arghhhh!

Tak kesah lah dia ni suami ke apa tapi Qairul betul-betul membuatkan dia geram Tanpa sengaja lengan sasa Qairul itu Hanan tenung sebelum senyuman penuh makna diukirkan.

Tak salahkan dia nak buat ni?

"Kalau saya boleh lepaskan diri macam mana?"

Qairul tersengih kecil.

"just do it..." balas Qairul dengan suara penuh mencabar.

'Ngap!'

"Arghhhh!"

Serta merta pelukan itu terlepas, pantas Hanan berdiri. Hanan mengambil tudung dia di atas palang katil. Segera tudung itu Hanan sauk ke kepala.

"Bluek! Itu lah awak, cakap besar! Hebat tak saya?" Hanan menjongketkan kening seakan-akan bangga dengan tindakan dia sambil membuat mimik muka seakan mengejek.

Qairul masih mengusap lengan dia yang terasa pedih itu. Berkerut dahi Qairul sambil mulut itu tidak putus-putus mendesis sakit.

Qairul mengangkatkan wajahnya sedikit. Pandangan gerun dilemparkan.

"Hebat kejadah kau! Ni pertama kali aku kena gigit. Hey! Kau ni memang nak kena." Qairul pantas berdiri ingin menangkap tubuh Hanan yang sedikit tidak jauh dari dia.

Hanan pantas melarikan diri. Dah macam lipas kudung Hanan berlari. Dalam sakit-sakit pun dia masih boleh  berlari sebegitu.

Kelibat Hanan serta merta hilang dari pandangan Qairul. Qairul yang masih berdiri itu perlahan-lahan melabuhkan duduk semula.

Qairul mengalihkan pandangan ke arah lengan dia yang berbekas gigitan itu. Perlahan-lahan diusap. Qairul mengeluh kecil sebelum dia baring ke atas tilam.

Tak sangka Hanan ambil tindakan untuk menggigit dia. Sudah lah kuat sampai berbekas. Nakal!

🌸🌸🌸

      Kusyen di ruang tamu Hanan tepuk-tepuk untuk menghilangkan debu. Sedang leka dia membersihkan ruang tamu rumah uminya, tiba-tiba ada satu tangan menjalar di pinggang ramping milik Hanan lalu ditarik rapat sehingga tubuh dia dan Hanan ketemu.

Tangannya yang masih memegang bulu ayam terlepas dari pegangan. Hanan sedikit terperanjat apabila menerima sentuhan dari pinggangnya.

Qairul segera melabuhkan kepala dia di atas bahu Hanan, deruan nafas kasar Qairul menampar ke kulit muka gadis itu. Qairul cuba memerangkap Hanan dengan mematikan pergerakan gadis itu. Hanan mulai panas saran.

"Kau, tak boleh nak lari dah!" Pelukan dikemaskan lagi. Hanan masih terkaku dalam dakapan dia.

"Apa awak ni, nanti kalau umi nampak macam mana? Dah tepi!"

Hanan mengetap bibir. Tubuh dipusing-pusingkan untuk melepaskan diri dari pelukan tersebut tapi hasilnya tetap tidak menjadi.

"Hesy awak ni, okey! Saya minta maaf sebab gigit awak. Siapa suruh cari pasal dengan saya hari tu!" dalam minta maaf, dia tetap tak nak kalah. Salah tetap salah. Qairul yang buat dia macam tu.

"No, kau tetap kena diberi hukuman walaupun kau dah minta maaf. Sudah lah mengelat daripada aku beberapa hari ni." Qairul mendengus tidak puas hati.

Seharian semalaman, Hanan langsung tidak pedulikan dia, malah gadis itu siap mengelat dengan dia. Setiap kali Qairul cuba mendekat, Hanan akan mengelat sejauh-jauhnya. Mana dia tak sakit hati bila diabaikan sebegitu.

Lagi-lagi sewaktu petang semalam. Mentang-mentang kawannya datang  terus diabaikan. Gelak tawa Anna, Zafran, Darwisy dan Aisyah bagaikan membakar-bakar api dalam badannya.

Hari ni, dia tidak akan lepaskan Hanan.

"Awak, dah lah. Nanti kalau umi dengan walid nampak macam mana? Nanti bukan awak je yang malu, saya ni pun sama." Tangan Qairul di perutnya ditolak-ditolak sekali lagi.

"Cuba lah kalau berani."

Hanan mendengus kasar. Akhirnya dia membiarkan apabila kudratnya tidak mendatangkan hasil.

"Semalaman kau tak hiraukan aku. Kau buat aku ni macam patung. Lepastu boleh pula kau tidur dekat dalam bilik lain. Umi siap tanya tau kalau-kalau aku gaduh dengan kau." Sambung Qairul lagi.

Hanan bungkam. Dia mengangkat kepalanya lalu menoleh ke arah Qairul dibelakang.

"Umi syak kita gaduh?"

Qairul mengangguk. Air liurnya yang terasa berpasir dia telan sepahit-pahitnya. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa berdosa dengan tindakannya walaupun dia memang sengaja.

Ye, dia sengaja buat macam tu sebab nak mengelat daripada Qairul. Selepas dia menggigit Qairul memang dia tak berani untuk mendekat dengan lelaki itu. Takut kalau-kalau Qairul membalas dengan cara lain.

Seriau dia!

Qairul mendekatkan bibir ke telinga Hanan. Tubuh gadis itu sedikit menegang.

"Sekarang ni umi dan walid ada kat bawah jadi ini je masa kesempatan yang ada untuk aku balas dendam." Tidak terlalu kasar, namun penuh amaran sehingga tubuh kecil Hanan dapat dirasakan bergetar.

"Awak, saya minta maaf. Saya tahu silap saya abaikan awak. Jangan lah buat saya macam ni please..." kata Hanan dengan nada yang lirih.

Qairul mengucup pipi Hanan dan itu membuatkan Hanan bertambah tergamam. Kali pertama Qairul berani menyentuhnya membuatkan tubuhnya hampir melorot jatuh, namun Qairul seakan tahu terus memeluk erat pinggang Hanan seakan menyokong tubuh gadis itu.

Terketar-ketar tangannya melekap ke arah pipinya. Muka Hanan mula menunjukkan perubahan rona.

Qairul cium dia?!

"Bukan kau sorang je boleh buat. Tapi bukan setakat ni je dendanya."

Qairul melabuhkan kucupan di pipi belah kirinya pulak. Kedua-dua pipinya yang menerima kucupan semakin terasa hangat. Jantungnya  berdetak dengan hebat.

"Awak, cukup." Hanan cuba menolak. Pegangan di pinggangnya yang semakin diperketatkan. Terasa sesak di dadanya menerima sentuhan di luar kebiasaannya.

Qairul tersenyum kemenangan. Gembira dapat membuatkan Hanan tergugat dengan tindakannya. Bibirnya sekali lagi mendekat ke telinga Hanan. Cuba membisikkan sesuatu.

"Now,  I want you to get used to my touch."

'Dum!'

Bunyi hempasan sesuatu yang agak kuat membuatkan mereka berdua sedikit terkejut. Qairul ingin pusingkan badan mahu melihat bunyi itu datang dari arah mana, namun tanpa diduga tubuh Qairul ditarik dengan kasar sehingga pelukan mereka berdua terlerai. Bertubi-tubi tumbukan diberikan ke arah wajah kacak milik Qairul tanpa amaran.

Hanan terlopong.

"Dasar tak guna!"

Kekecohan yang berlaku membuatkan Puan Suhaida dan Encik Ilzam segera mendekati Syazryl yang menumbuk muka Qairul.

"Ya Allah, Syazryl! Kamu ni dah kenapa? Kamu tahu tak kamu pukul siapa ni?!" Kata Encik Ilzam lantang. Tubuh Syazryl ditarik tapi Syazryl masih lagi teruskan perbuatan dia.

Hanan lantas menghampiri mereka lalu menolak Syazryl dengan kuat sehingga tumbukan itu terlerai. Hanan segera berdiri menghadang  tubuh Qairul daripada menjadi mangsa kekejaman abangnya.

"Apa abang buat ni?!" Hanan menyoal dengan nada yang tinggi. Wajah Qairul yang sedikit lebam di pipi dan darah yang keluar dari bibir itu sempat Hanan tatap.

Urat di dahi Syazryl mula kelihatan, nafas Syazryl juga berombak dengan kasar.

"Kau siapa nak peluk dia ha?! Kau sedar tak ni rumah aku? Kalau buat cara nak datang, datang je lah tapi tak payah lah ambil kesempatan dengan adik aku!"

"Ryl!" Encik Ilzam menjengkelkan mata. Qairul mengusap darah di bibirnya dengan tangan. Senyuman sinis diukirkan sambil menatap muka Syazryl yang kelihatan tegang itu.

"Aku nak peluk dia pun bukan salah pun." jawab Qairul dengan suara tenang. Syazryl ingin menghampiri Qairul semula, namun Hanan menghalang dengan mendepakan tangan dia.

"Abang tak ada hak nak pukul dia."

Syazryl memandang Hanan dengan riak muka tidak puas hati. Muka Hanan jelas menunjukkan riak ketakutan. Dia yakin situasi ini akan berlaku dan ya, ia berlaku. Walau apa pun jua dia perlu juga membongkarkan status dia dengan Qairul.

"Kenapa? Adik mempertahankan lelaki yang langsung tiada ikatan ni? Adik sedar tak tadi dia peluk adik? Apa semua ni?!" Mata milik Syazryl jelas kemerahan menahan amarah. Hanan perlahan-lahan membalas tatapan mata itu.

"Kami ada ikatan yang sah dan abang tak ada hak nak menidakkan," ujar Hanan dengan penuh makna. Syazryl mengetap bibirnya, perlahan-lahan Syazryl mengapai tangan Hanan tapi pantas Hanan menepis.

Syazryl mengendurkan wajah dia yang kelihatan tegang. Pandangan sayu diberikan. Bibir dia saat ini bergetar dengan hebat.

"Adik tak ingat janji adik dengan abang? Adik kata nak kahwin dengan abang tapi apa semua ni?" Syazryl ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Mereka yang berada di situ jelas tergamam terutama sekali Puan Suhaida. Hanan menarik nafas dengan panjang, semua ini berlaku dalam sekelip mata dan Hanan yakin dia mampu menghadapinya.

"Adik main-main dengan abang kan?" Syazryl menyoal dengan penuh pengharapan. Berharap semua ni hanya satu gurauan untuk dia. Dia tak akan terima dengan hati yang terbuka jika semua ini benar-benar berlaku.

"Mungkin jodoh adik bukan dengan abang. Adik dah jadi isteri orang, maafkan Ikha."

Hatinya bagai ditikam dengan belati yang tajam. Syazryl terpempan, Wajah Syazryl kembali tegang. Urat tangan dia mula kelihatan kembali, bahu Hanan ditarik dengan kasar.

"Syazryl Iman, ya Allah apa masalah kamu ni?!" Puan Suhaida pantas menolak tangan Syazryl.

Hanan mendesis sakit saat Syazryl mencengkam di bahagian bahunya. Cengkaman itu terlepas tatkala Qairul menarik tubuh Hanan ke belakang badan dia.

"Adik, abang sayangkan adik, kenapa tak tunggu abang?" Syazryl bersuara dengan nada yang begitu kecewa. Air mata jantan dia juga tanpa segan silu mengalir.

Puan Suhaida yang berada di sisi Syazryl sudah mengalirkan air mata juga. Dia tak sangka semua ni bakal terjadi dan dia tak tahu selama ni anaknya memendam perasaan suka terhadap Hanan.

Qairul terdiam tanpa bicara. Sungguh semua ini mengejutkan dia. Wajah Hanan yang terselindung di belakang dia juga berubah keruh. Tangan Hanan yang memegang baju t-shirt hitam dia juga jelas bergetar.

"A...adik minta maaf. Bukan niat adik nak jadi macam ni." Hanan bersuara dengan nada lemah. Air mata nya juga sudah bergenang. Tunggu masa sahaja untuk jatuh membasahi pipi.

Syazryl melangkah ke arah bagasi yang sebentar tadi dihempas lalu segera dia berjalan meninggalkan ahli keluarganya yang lain dengan perasaan marah. Pintu dihempas dengan kasar menandakan protes. Encik Ilzam hanya mampu menggelengkan kepala. Puan Suhaida yang masih menangis itu segera Encik Ilzam bawa ke arah sofa untuk melabuhkan duduk sebentar.

Qairul melepaskan tangan Hanan usai Syazryl beredar sebentar tadi. Entah kenapa dia rasa kecewa dengan Hanan sekarang tapi kenapa? Kenapa kau perlu rasa kecewa bila Syazryl meluahkan perasaan dia terhadap Hanan?

Kenapa hati ni rasa sakit sangat?

🌸🌸🌸

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top