31; Terima Kasih, Memori Lama
"Lepaskan!" aku meronta-ronta cuba melepaskan diri daripada terus dipeluk Park Jimin.
"Bertenang. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus." jejaka itu mengajarku cara mengawal pernafasan dan bertenang sekaligus pelukan dieratkannya lagi.
"Pandang pada air tasik atau langit membiru, dan cuba dengar kicauan burung sedang bersiul riang." intonasi suara Jimin semakin rendah dan cukup lembut menyapa pendengaranku.
Entah kenapa tiba-tiba aku rasa selesa dan amarahku juga mengendur.
"Good girl." pelukan dileraikan dan tubuhku dipusing. Tatkala kami berdua bertentang mata, Jimin menguntum senyum seraya jari-jemarinya menyentuh pipi kananku.
"Terima kasih kerana masih hidup." dahiku dikucupnya.
"Terima kasih untuk ini." tangan kanan Jimin mengelus perutku.
"Terima kasih kerana masih menunaikan janji awak walaupun awak tak ingat siapa saya." akhir sekali, bibirku dikucup Jimin sekilas. Aku perasan, ada cecair jernih bertakung di tubir matanya.
Aku menunduk. Aku cuba mengingati apa yang mungkin aku dah lupa, tetapi tidak berjaya. Kosong, tiada satu pun memori di dalam kepalaku tentang lelaki itu.
Park Jimin menapak ke arah pohon kamelia. Beberapa kuntum bunga kamelia yang gugur ke tanah dikutipnya satu-persatu sebelum dia mendapatkan aku kembali. Sekuntum bunga itu diselitkan ke tepi telingaku dan selebihnya dibiarkan dalam genggaman.
"Tak nak tanya kenapa awak boleh berada di sini dalam sekelip mata?" Jimin bersuara kembali.
"Saya yakin, ianya pasti mimpi." aku mengerlingnya sebelum melemparkan pandangan jauh ke tasik.
"Tak, realiti." ujar Jimin ringkas lalu memegang lenganku. Kini kami berada di tempat yang berbeza lagi. Kali ini rumah kecil dengan hiasan dalaman yang ringkas tetapi nampak estetik.
"Awak selalu kutuk rumah saya buruklah, nak roboh esok lusalah. Sekarang tengok... Saya dah baiki dan ubahsuai mengikut cita rasa awak. Siap ada poster tu haa." jari dituding pada dinding kayu bercat ungu lavender.
Poster Born To Slay edisi terhad? Ada seribu cetakan sahaja di dunia ini. Mana dia dapat?
"Hurm, nampaknya awak lebih sukakan mereka bertujuh berbanding saya." Jimin melangkah ke ruang dapur terbuka dan mencapai sesuatu.
"Nak teh kamomil?" sejambak bunga kamomil kering ditunjukkan kepadaku. Aku mengangguk sahaja memandangkan aku mula terpukau dengan keadaan sekeliling.
Aku menapak ke arah meja bulat dialas kain lace putih. Kuntuman bunga buttercup layu di dalam gelas kusentuh berhati-hati.
Kelopaknya gugur satu-persatu.
"Pernah dulu saya bagitahu awak, bunga buttercup bermaksud keanak-anakan. Ah, lupa. Awak takkan ingat sebab semua memori awak dah terpadam." Jimin ketawa kecil lalu mendapatkanku. Dua mug teh kamomil diletakkannya ke atas meja dengan cermat.
"Saya nak pulang." pintaku sebelum ralit memerhati kepulan wap teh kamomil.
"Boleh, tapi dengan syarat... Habiskan teh tu dan ini." Jimin menghulur balang kaca berisi buah ceri dan beri hitam kepadaku.
Aku menyambutnya tanpa teragak-agak. Sesekali aku menelan air liur apabila membayangkan rasa manis dan sedikit masam buah-buahan tersebut.
"Masa pertama kali awak datang ke sini, awak pernah tendang pintu bilik air saya tu haa. Sampai senget dibuatnya. Lepas tu awak curi-curi cium saya sebab awak terdesak untuk pulang ke rumah." sambil berbicara, Jimin menatapku tanpa berkedip. Tidak semena aku menjadi malu.
"Lagi?" aku menggigit buah ceri.
"Awak suka sangat buat sesuatu yang klise bila pujuk saya." Jimin menambah. Kuntuman senyumnya semakin melebar.
"Ya? Seronok pula dengar kisah halusinasi awak." aku menjelingnya tajam. Semakin dengar cerita daripada jejaka itu, semakin mengarut mengalahkan drama tiga suku yang ditayangkan di kaca televisyen.
"Terserah mahu percaya atau tidak." Jimin bangkit dari duduknya.
"Jom, saya hantarkan awak pulang." tanganku diraihnya erat. Dalam sekelip mata, aku kembali berada di bilik tidurku berseorangan. Park Jimin entah menghilang ke mana.
Ah, lagi bagus. Tenang hidup aku buat seketika.
******
"Tak, aku dah berhenti kerja." aku bersila di atas katil. Beg kertas berisi burger dan ubi kentang goreng kukeluarkan dengan tidak sabar.
"Alah, kalau kau rindu aku... Kau datanglah ke sini. Itu pun kalau kau rajin. Iyalah, kau kan tak boleh berenggang dengan nyawa kau tu." aku memerli Yong In. Waktu aku nak makanlah dia sibuk menelefon ajak menyembang.
"Ya, aku tahu. Kau jaga diri juga. Bye." cepat-cepat aku memutuskan panggilan kerana ada perkara penting yang harus aku dahulukan iaitu makan. Aku mencicip beberapa batang ubi kentang goreng sebelum mengigit besar burger daging. Belum sempat kutelan, mual menyerang dan aku terus muntah di atas katil.
"Okey tak?" satu suara menegur hampir membuatkan aku terperanjat. Dasar hantu jembalang sungguh, tiba-tiba muncul secara mengejut.
"Saya nampak okey ke sekarang? Ini awak punya pa..." tidak mampu aku menyudahkan kata, aku muntah lagi. Tanpa kemahuan, air mataku mula turun membasahi pipi. Perit, sakit dan terseksa.
"Jom, saya tolong awak ke bilik air." Jimin memegang erat kedua-dua bahuku. Aku menepis tangannya itu dari terus menyentuhku. Aku rasa rimas, menyampah dan benci dengan keberadaannya sekarang ini.
"Boleh tak awak jangan muncul lagi di hadapan saya? Saya tak kenal awak, saya tak ingat awak. Pergi dari sini!" aku membentak.
"Baik, baik. Saya tak akan muncul lagi lepas ni asalkan awak bahagia. Tapi sebelum tu biar saya tolong awak bersihkan cadar yang dah kotor ni." wajah Jimin memerah. Cadar yang dibasahi muntahku ditariknya kasar. Sesekali jejaka itu mengeluh kuat.
"Apa lagi? Pergilah ke bilik air bersihkan diri." kini giliran aku pula dimarahinya. Zzap, rasa pedih menusuk ke hati. Dengan perasaan bercampur-baur, aku turun dari katil lalu membawa diri ke bilik air.
Melalui biasan cermin, genangan air mata yang bertakung di tubir mataku mula merembes membasahi pipi buat kesekian kalinya. Aku cukup terasa hati apabila ditengking Jimin.
"Park Jimin jahat."
*******
"Ya Tuhan, sudah-sudahlah tu." Joo Chan menarik botol bir sebelum Jimin meneguknya.
"Dia tak nak tengok muka aku lagi." adu Jimin. Minuman keras di tangan kawannya cuba dirampas namun tidak berjaya.
"Habis tu, kami berdua nak buat apa?" Mingyu pula menyoal. Jimin dipandangnya penuh rasa kasihan.
"Korang berdua kan dah ada isteri. Bagilah tips untuk memujuk atau melembutkan hati perempuan." usus khinzir panggang dikunyah bersama esakan halus.
"Ini." Joo Chan menayangkan telefon pintarnya kepada Jimin.
"Guna ini, search je apa yang kau mahu. Nak tips pujuk perempuan ke, nak tahu rahsia tahi lalat ke atau apa-apa jelah yang kau mahu. Semuanya ada." sindir Joo Chan.
"Haa, itulah. Kita hidup di zaman teknologi yang serba canggih. Nak tahu apa-apa, cari dengan kata kunci sesuai. Enjin carian pula banyak. Google, naver, yahoo dan lain-lain lagi. Jangan nak harapkan orang je." giliran Mingyu menambah. Kepingan usus khinzir disumbat hirisan bawang putih diletakkannya ke atas pemanggang dengan berhati-hati.
Park Jimin terdiam. Matanya masih melekat pada telefon milik Joo Chan.
"Argh, serabutnya!" kepala dihantuk ke meja. Lebih baik luahkan hati kepada orang lain berbanding mereka berdua. Tak habis-habis kena sindir.
Apalah nasib.
*******
"Ayah." Park Jimin menyentuh tangan kasar bersama esakan halus.
"Hee Ran tak nak tengok muka Jimin lagi, ayah." sengaja bibir diketap kuat kerana bimbang dirinya akan meraung di situ seperti mana dia meraung di hadapan Joo Chan dan Mingyu sebentar tadi.
"Jimin tak nak salahkan dia, ayah... Tapi Jimin tak kuat. Jimin pun ada hati dan perasaan."
"Menantu ayah kena kuat juga." kini jari-jemari dingin pula mengenggam tangan Jimin.
"A...ayah, ayah dah sedar?" riak wajah Park Jimin berubah. Titis mutiara mula membasahi pipinya lalu tubuh tua itu didakapnya penuh rasa syukur.
"Dah, semalam. Hanya ibu kamu dan Minho je tahu tentang ni. Ayah ingatkan nak koma lama-lama, tapi itulah... Tak boleh. Sekejap Hee Ran datang mengadu pada ayah, sekejap kamu buat sesi luahan perasaan. Tak senang ayah dibuatnya." Dohan tertawa kecil. Rambut lebat menantu tidak rasminya dibelai tanpa sebarang rasa kekok.
"Ayah..."
"Dahlah buat muka cemberut macam tu. Dah nak jadi bapa orang kenalah kuat."
"A...ayah tahu tentang..."
"Ya, ibu kamu dah bagitahu semuanya."
"Ayah tak marah?"
"Tak, ayah bersyukur sangat. Tak lama lagi ayah nak dapat cucu." kuntuman senyum Dohan memekar lebar.
"Ayah!" tangisan Jimin terhambur. Tubuh ayah Song Hee Ran didakapnya sekali lagi.
"Jangan risau, semuanya akan baik-baik sahaja nanti." Dohan turut membalas pelukan tersebut. Belakang Jimin diusapnya penuh kasih-sayang, tidak ubah seperti anaknya sendiri.
******
"Iyan! Sini kau!" jejaka berambut kelabu berlari mengejar rakannya.
"Tak nak!" dengan kudrat yang ada, Iyan berlari mengelilingi taman permainan. Tingkahnya mengundang tawa beberapa orang kanak-kanak yang bermain di situ.
"Kau bukan budak-budak lagi. Pulangkan sekarang benda tu!"
"Kau jangan nak berbohong, layang-layang ni sesiapa pun boleh main... Bukan kanak-kanak je." Iyan menjelir. Walaupun berbadan gempal, lariannya tetap laju untuk menyelamatkan diri agar layang-layang yang dipinjam dari seorang kanak-kanak berusia lapan tahun tidak dirampas.
******
"Itu tak boleh, ini tak boleh." aku menyeluk poket, langkah kupercepatkan menuju ke kedai serbaneka. Kalau ibu tahu aku keluar merayap ke sana ke mari, mesti berbakul aku dibebelnya.
"Roti bawang putih berintikan cream cheese." skrin telefon memaparkan imej salah seorang ahli Born To Slay sedang menikmati roti yang sedang tular sekarang ini membuatkan aku kecur air liur. Dapat merasa sebiji pun jadilah, kalau tak... Boleh kempunan aku dibuatnya.
"Iyan!" jeritan seseorang membuatkan tumpuanku beralih ke kanan. Kelihatan seorang jejaka berlari riang bersama layang-layang. Aku cuba mengelak, namun bahuku dilanggar olehnya. Aku hampir terjatuh namun sempat dipaut oleh seseorang.
"Awak okey?" jejaka berambut perak bersama gummy smilenya menyoalku.
"Okey, okey je ni." aku tersengih dan cuba berkelakuan seperti biasa.
"Maafkan kawan saya. Dia tu keanak-anakan sikit." tambah jejaka itu lagi. Aku sekadar mengangguk tetapi pada masa yang sama menilik wajahnya.
Serius aku rasa macam pernah jumpa dia, tapi aku tak ingat di mana. Mungkin satu universiti dengan aku?
"Woi, August! Sinilah cepat. Angin tengah bertiup kencang ni. Tolonglah aku naikkan layang-layang!"
"Ya, aku datang!" sahutnya kuat. Naik bingit telinga aku dibuatnya.
"Apa-apa pun, saya August Min. Haa, yang comel bak teddy bear tu... Iyan namanya. Salam perkenalan buat kali kedua." jejaka itu tersenyum sebelum berlari mendapatkan rakannya.
Salam perkenalan buat kali kedua? Apa benda? Kali pertamanya mana?
Ah, ini mesti spesies Park Jimin... Terlepas dari wad psikiatri.
"Macam-macam." aku melepaskan satu keluhan. Langkah terhenti kuatur kembali.
******
"Kak, ibu kan dah pesan jangan keluar rumah. Nak apa-apa, bagitahu adik. Nanti adik belikan." aku ditegur Minho sebaik mahu masuk ke dalam bilik.
Sejak akhir-akhir ini, Song Minho selalu bahasakan dirinya 'adik' apabila bercakap denganku. Kalau tak, asyik 'kau-aku'.
"Kau selalu minta upah, boleh bankrap akak dibuatnya." aku mencebik.
"Itu dulu. Sekarang, demi anak buah Minho yang bakal lahir nanti... Minho sanggup berkorban apa saja, kak." perutku ditepuk lembut oleh remaja itu. Sengihannya melebar.
Kenapalah semua orang teruja sangat dengan kehamilan aku ni? Masa depan aku gelap tau, tak pasal-pasal terpaksa jadi ibu muda.
"Ada apa-apa perkembangan tentang ayah?" aku mengubah topik.
"Ayah? Ayah okey, kalau tak ada aral melintang... Minggu depan ayah dah boleh keluar dari hospital." Minho menapak ke ruang tamu.
"Ke...kejap. Ayah dah sedar ke?"
"Ya, semalam. Ayah jadi tak sabar nak pulang ke rumah lepas dia tahu Kak Hee Ran mengandung." Minho membalas selamba.
Ayah pun tak marah dengan apa yang berlaku pada aku?
"Akak nak jumpa ayah sekaranglah." aku menolak pintu bilik, niatnya mahu mengambil beg galas dan beberapa barang penting yang lain.
"Song Hee Ran..."
Tu dia, Park Jimin tersengih sebelum meluru ke arahku.
"Rindunya." tubuhku dipeluk erat jejaka itu. Sesekali dirinya tersedu. Bau tajam alkohol memberi jawapan bahawa Jimin sedang mabuk.
"Lepaskan!" aku menolak tubuh tersebut. Bau alkohol membuatkan aku diserang mual tiba-tiba.
"Tak nak. Kalau saya lepaskan awak, mungkin lain kali saya tak mampu peluk awak lagi." Jimin menyembamkan wajahnya ke dadaku.
"Sudahlah, lepaskan!" aku membentak. Berbekalkan semua kudrat yang ada, aku tolak kuat tubuh itu.
"Song Hee..."
Tanpa memberi peluang Jimin mendekatiku lagi, aku menghadiahkan satu tamparan ke pipi kirinya. Tidak terlalu kuat, tidak juga terlalu perlahan.
Park Jimin terus rebah ke lantai.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top