28; Muka Surat Terakhir
Aku mencedok dua batang cevapi, iaitu sosej Croatia yang dimasak dengan banyak bawang putih dan paprika lalu diletakkan ke dalam pinggan dengan berhati-hati.
Tingkahku sentiasa diperhatikan Psalm, lelaki itu tidak putus tersenyum.
Senyuman yang menyeramkan.
"Tuanku mahu yang ini juga?" aku menyentuh mangkuk berisi gulungan kubis berintikan daging kambing.
"Ya, aku mahukan semua termasuk kau." balas Psalm seraya menarikku kasar. Aku terjatuh di atas ribanya.
Aku diserbu ketakutan lantas wajah Min Yoongi dan Rhosyn kupandang silih berganti. Psalm memang jahat. Sengaja dirinya meminta aku menemaninya makan malam manakala Yoongi dan Rhosyn dipaksa menonton kemesraan kami berdua.
"Tu...tuanku." tubuhku menggeletar saat kuku-kuku tajam Psalm menyentuh leherku. Kalau aku melawan, aku pasti kuku itu akan terbenam ke dalamnya.
"Aku tahu kenapa engkau menjadi dambaan Haures... Tubuh kau, menggiurkan. Bau kau, terlalu manis mengalahkan bau lilac liar yang ada di hutan dan sikap kau, terlalu polos dan suci."
Kini aku merasakan bibir lelaki itu mula mendarat ke bahuku.
"Psalm!" jerkah Yoongi lantas meluru ke arah kami berdua. Dalam sekelip mata, aku ditarik dan ditolaknya jauh lalu Psalm dicekik sekuat hati.
"Jangan sesekali sentuh dia!" Yoongi memberikan amaran. Kebengisan jejaka itu terserlah apabila kulit putih pucat di wajahnya berubah merah. Min Yoongi turut mengetap gigi geram.
"Sial!" jerit Psalm sebelum tangan kanannya menghentam dada Yoongi.
Di hadapan mataku, tubuh Yoongi terperosok jauh.
"Yoongi!" aku berlari mendapatkan Yoongi. Kepalanya kupangku segera.
"Kau tengok, Rhosyn. Kau tengok!" Psalm berdiri dan menapak angkuh ke arah anaknya. Rahang Rhosyn dicengkam kemas.
"Yoongi takkan sesekali jatuh cinta pada kau seperti mana kau membuta-tuli cintakan dia." Psalm tersenyum sinis.
"Rho...Rhosyn tidak kisah. Bertepuk sebelah tangan su...sudah cukup buat Rhosyn bahagia." bersusah-payah Rhosyn menuturkan katanya. Kesakitan dek cengkaman kuat ayah sendiri mengundang cecair jernih menakungi tubir matanya.
"Hentikan semua ini!" aku bertempik. Yoongi kubiarkan terbaring di atas lantai lantas aku meluru ke arah Psalm. Tubuh sasa itu kutolak kuat hingga Rhosyn terlepas daripada cengkamannya.
"Hee Ran!" tanganku ditarik Rhosyn dan kami berdua berlari mendapatkan Min Yoongi. Tidak henti mulut Rhosyn mengumam, aku mengandaikan dirinya sedang membaca mantera.
Ya, telahan aku tepat. Kini kami bertiga berada di satu tempat, kaki air terjun.
"Maaf, aku tak boleh bawa kau dan Yoongi pulang ke sana kerana Zagreb sudah dikunci." Rhosyn memangku tubuh Yoongi. Seraya telapak tangan ditekap ke dada jejaka itu, Rhosyn membaca sesuatu.
Aku merasa takjub dengan kebolehan makhluk seperti mereka. Kalau cedera atau sakit, tidak perlu ke hospital. Letak je tangan ke bahagian yang ingin dirawat, baca mantera... Phuhhh! Terus sembuh, semudah ABC.
"Sekejap lagi Yoongi akan okey." Rhosyn terduduk kepenatan. Wajah merahnya sebentar tadi kini berubah pucat. Mesti dia dah guna seluruh kuasa yang dia ada untuk rawat Yoongi?
"A...wak nak ini?" sebatang lolipop terakhir milikku, aku serahkan kepada gadis itu.
"Terima kasih." ucap Rhosyn sedikit segan dan pemberianku diambilnya.
"Sama-sama." aku memberanikan duduk di sebelah Rhosyn. Jika dibuat perbandingan siapa lagi cantik, aku akui... Rhosynlah orangnya. Sangat cantik, sesiapa yang melihatnya pasti terpukau. Aku pula, hanya layak digelar sebiji kentang.
"Ugh!" belum sempat mengelamun, aku diserang mual tiba-tiba. Tidak mahu menunggu sesaat, aku terus bangkit dan berlari ke gigi air. Aku muntah-muntah lagi.
******
"Kau dulu." Joo Chan menyerahkan jubah hijau kepada Mingyu. Memandangkan seorang pelawat hanya dibenarkan berada di unit rawatan rapi menemani pesakit, Joo Chan dengan rela hati menyantuni orang yang lebih tua darinya. Mingyu sekadar akur. Jubah hijau disarungkan segera dan jejaka itu melangkah masuk ke tempat yang dihuni rakannya.
"Jimin, aku datang." punggung dilabuh ke atas bangku seraya itu tangan kiri Park Jimin diraih dan digenggam erat.
"A...aku minta maaf tau. Aku tak dapat lindungi kau dan Hee Ran." Mingyu tertunduk.
"Aku tak boleh nak buat apa, Jimin. Aku hanya mampu berdoa agar kau cepat sedar dan Hee Ran kembali pulang ke pangkuan kau dengan segera." bersama esakan, wajah lebam dan cedera sahabatnya disentuh.
*******
"Maafkan makcik, Minho. Makcik tak dapat jejak keberadaan kakak kamu. Tiada langsung signal daripada telefonnya." daripada membiarkan harapan palsu tercipta, Hye Sun cuba berterus-terang dengan rakan baik kepada anak tunggalnya itu.
"Ya ke?" Minho mengeluh kecewa. Ibarat jatuh ditimpa tangga, tiga masalah berlaku dengan serentak terhadap keluarganya.
"Ibu boleh tolong periksa kamera litar tertutup di apartment tu? Manalah tahu kita boleh dapat bukti atau petunjuk yang penting." usul Choi San. Si ibu menguntum senyum bangga.
"Inilah anak ibu." Choi San ditarik ke dalam pelukan.
"Sebelum kakak hilang, kakak cakap dia mahu tunggu ayah di bawah blok. Mungkin kita boleh periksa CCTV yang dipasang di sekitar itu." Minho mencelah.
"Baik, nanti makcik minta budak-budak makcik periksakan kamera litar tertutup tu. Kamu jangan risau. Sekarang balik ke rumah dan rehat ya?" Hye Sun mencubit geram pipi Minho, dianggap remaja itu seperti anaknya sendiri.
"Terima kasih, makcik." kini Minho mampu tersengih.
"Sama-sama."
*******
"Bagaimana, Tuanku. Kita mahu biarkan mereka atau..."
"Biarkan sahaja." Psalm terlebih dahulu memotong bicara Isaiah.
"Bagaimana pula dengan Rhosyn?" kali ini Hayden menyoal. Dirinya dan Isaiah digelar pasangan kembar tidak rasmi oleh penduduk Zagreb kerana sentiasa berdua ke mana ke mari dan terlalu setia dengan Psalm.
"Rhosyn? Memandangkan esok adalah hari perkahwinannya, aku tak mahu marah. Biarlah dia buat sesuka hati. Dia, anak haram dan isteri Haures takkan dapat lari ke mana." Psalm tersenyum membayangkan tragedi yang akan berlaku di malam bulan berdarah.
"Baik, menurut perintah." Hayden dan Isaiah menunduk patuh.
******
Rhosyn tidak hairan dengan perangai ayahnya. Jika segala kesilapan yang dilakukan dibiarkan begitu sahaja, pasti akan ada rencana yang tersembunyi.
"Heh." terjungkit senyum sinis di hujung bibir gadis itu. Sekeping kertas berkeronyok dan sebilah belati yang memiliki ukiran bunga hemlock pada mata dan hulunya dipandang lama.
*******
"Ibu serahkan belati ini kepada kamu, Aydin." Maylea menarik Aydin ke dalam dakapan. Senjata itu diletakkan ke telapak tangan anak lelakinya.
"Belati ini milik seorang manusia iaitu isteri kepada Azazil. Ianya bukan belati biasa tetapi sudah direndam ke dalam getah pohon hemlock selama seribu tahun."
"Pasti ia sangat beracun kan ibu?" Aydin menyoal penuh kagum.
"Ya." Maylea menjawab sepatah.
"Kalau begitu, boleh tak Aydin hadiahkan belati ini kepada Rhosyn?"
"Rhosyn tak mahulah. Tak suka." Rhosyn, masih mentah dan kecil cuba menolak pemberian abangnya.
"Kenapa tak suka? Suatu hari nanti, belati ini akan berguna dan berjasa untuk adik tau." Aydin memujuk.
"Tak nak." Rhosyn mencebik. Patung kain buatan tangan ibunya didakap erat.
"Tak nak, tak mengapa. Abang dah tak nak ajak adik cari bunga langit malam itu lagi. Abang nak ajak Iyan." Aydin berpeluk-tubuh, wajahnya dipalingkan ke arah lain sebagai tanda merajuk.
"Tak boleh! Abang milik adik. Tak boleh bermain dengan orang lain!" belati di tangan Aydin segera dirampas.
"Haa, begitulah adik abang." Aydin menerpa Rhosyn. Dipeluk tubuh dan dicium pipi adiknya itu tanpa henti. Rhosyn mengekek geli hati.
******
"Ibu, abang... Maafkan Rhosyn." kertas berkeronyok yang merupakan muka surat terakhir buku Seribu Tahun itu ditatap Rhosyn.
Kalaulah Iyan tahu tentang muka surat terakhir tersebut, pasti dirinya tidak akan senang duduk.
"Maafkan aku juga, Iyan." tutur Rhosyn perlahan sebelum kakinya melangkah ke arah gaun merah hati yang tersarung pada mannequin kayu.
Malam esok, malam bulan berdarah. Malam penyatuan di antara Rhosyn dan Theodore. Ia juga bakal menjadi malam terakhir buat Psalm si kuku besi.
******
"Sayang..." rengekan manja kedengaran sebelum pinggangku dipaut erat seseorang.
"Masak apa?" Jimin menopangkan dagunya ke bahu kiriku.
"Peka kambing." aku menjawab, tangan masih kekal memotong ubi kentang.
"Terharunya." Jimin memusingkan tubuhku. Kini kami bertentang mata. Masa tengah sibuk beginilah dia ajak aku main renung-renung sampai tersipu malu.
"Apa?" aku menyoal kerana mahu mengelakkan kejanggalan.
"Tak puas tengok muka awak." Jimin membalas selamba seraya tersenyum. Aduhai, tiap-tiap hari bersua muka... Takkanlah tak puas-puas lagi nak tengok?
"Itu je?" aku memusingkan tubuhku kembali, banyak kerja yang harus diselesaikan segera.
"Nampak sangat tak nak layan kita." tutur Jimin kedengarannya seperti merajuk.
"Bukan tak nak layan, tapi sibuk bu..." tidak sempat menyudahkan kata, terasa angin kuat berhembus.
"Jim?" meliar aku mencari susuk tubuh suamiku itu.
"Jim?" dari dapur aku menjengah ke ruang tamu. Kelibatnya juga tiada.
"Park Jimin!"
*******
"Jim?"
"Park Jimin!"
Aku terjaga daripada lelapku.
"Teruk betul kau mengigau." Min Yoongi tersengih lebar.
"Jimin... Saya mimpikan Jimin." ujarku sebak.
"Aku tahu. Telinga aku ni dari tadi dengar kau sebut-sebut nama dia." Yoongi menjawab tenang. Setangkai bunga putih turut dihulurkan kepadaku.
"Baunya mungkin dapat membantu menghilangkan keresahan kau." tambahnya lagi. Aku mengambil bunga tersebut lantas mendakap Yoongi erat.
"Saya mahu pulang."
"Saya mahu pulang, Yoongi."
"Saya mahu pulang."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top