15; Rencana Nephilim Bermula

Runtuhan pintu gerbang dan tiang-tiang putih sebesar pemeluk mengundang satu pertanyaan.

Aku berada di mana sekarang? Rievaulx Abbey?

"Minta maaf, Encik Park. Boleh bagitahu di mana kita berada sekarang dan apa tujuan awak bawa saya ke sini?" aku bergegas mendapatkan Jimin yang sudah pun jauh di hadapan.

"Kita sekarang berada di kampung halaman ibu dan bapa mentua awak." lelaki itu menjawab lalu mengukir senyuman.

Kampung halaman ibu dan bapa mentua aku? Ah, biar betul! Ini kawasan runtuhan yang terbiar, mungkin sudah beratus atau beribu tahun lamanya. Masakan masih ada penempatan di sini?

"Kenapa buat muka macam tu? Memang betul, inilah tempat kelahiran saya... Asal-usul saya." seakan dapat meneka fikiranku, Jimin menarik tangan kananku dan menyulam dengan jari-jemarinya.

Kedinginan tangan lelaki itu berjaya membuatkan aku sedikit gementar. Apa kenalah dengan kau, Hee Ran? Selalunya tak macam ni...

Jangan-jangan? Arghhh!

"Awak suka sangat panggil saya hantu jembalang kan? Tetapi hakikatnya saya bukan dari jenis itu." Jimin melangkah menuju ke arah lekukan besar yang terbentuk di atas tanah. Aku terpaksa berjalan beriringan dengannya memandangkan tangan kananku digenggam erat oleh Jimin tanpa ada tanda-tanda untuk melepaskannya.

•••••

"Di sini, mendiang ibu telah dibakar hidup-hidup oleh bangsa Nephilim walhal ibu tak buat salah pun." Park Jimin duduk melutut, menjamah tanah kasar dan berbatu kecil.

"Di sini jugalah saya dengar ibu menjerit meminta tolong sambil memandang sayu kepada saya. Namun saya yang ketika itu masih kecil, tidak dapat membantunya."

"Apa salah bangsa Haures? Kami hanya memperjuangkan keharmonian dan keamanan, tetapi disalahertikan oleh bangsa Nephilim. Mereka menuduh kami mahu berkuasa di sini dan..." bicara Jimin terhenti.

••••••

Aku menjadi kaget. Tangisan Park Jimin mula kedengaran. Segala apa yang diceritakannya seperti benar-benar berlaku, bukan direka cerita.

"Kenapa? Kenapa ibu dan ayah jadi mangsa? Kenapa bangsa kami dihapuskan tanpa belas-kasihan? Kenapa saya seorang diri yang masih hidup menanggung derita? Kena..."

Dari tangisan, ianya berubah menjadi raungan. Mahu tidak mahu, aku terus memeluk tubuh lelaki itu seerat-eratnya.

"Kenapa Hee Ran? Kenapa saya harus lalui semua ini? Kenapa saya?" tangisan Park Jimin mula mengendur. Tersedu-sedan dirinya meluahkan rasa.

Aku bukanlah seorang manusia yang pandai memberi nasihat. Apa yang aku mampu lakukan ialah menggosok-gosok belakang lelaki itu bagi menenangkannya. Pada ketika itu juga, beberapa kuntum bunga kamelia dari pohon berdekatan gugur ke tanah.

Aku menyambar bunga itu lalu meleraikan Jimin dari pelukanku. Sekuntum kamelia kuselit ke telinga kiri Jimin.

"Comel." aku memujinya. Park Jimin kelihatan terpana akan tingkahku. Lelaki itu mula mengukir sedikit senyuman.

"Ternyata lelaki menangis nampak lagi buruk berbanding perempuan." aku bingkas berdiri.

"Buruk sangat ke?" Jimin turut bangkit. Seluar yang sudah pun kotor ditepuk beberapa kali.

"Sekarang tak, sebab ada bunga tu. Awak nampak comel." aku mengorak langkah, hajat di hati mahu meneroka kawasan sekitar.

"Ini pertama kalinya awak puji saya. Selalu kalau tak kutuk, awak rendah-rendahkan saya." Jimin menyaingi langkahku.

"Ishh! Mana ada." aku menyangkalnya.

"Ada!"

"Mana ada!"

••••••

Di dalam bangunan terbiar, Min Yoongi kelihatannya sibuk melakukan sesuatu.

Berpuluh-puluh kuntum bunga kamelia diletak ke atas lantai setelah beberapa batang lilin dinyalakannya. Min Yoongi duduk bersila. Ritual bulan penuh harus dilakukan segera tanpa perlu bertangguh lagi.

"O pun mjesec... Daj mi svoje svjetlo,
kako bih mogao biti na vlasti,
kako bih se mogao osloboditi izdaje nacije."

Berbekalkan serpihan kaca, jari telunjuk sengaja dicederakan. Setitis demi setitis darah merah pekat menimpa ke atas kuntuman bunga kamelia.

"Aku bersumpah atas nama Nephilim,  aku akan bunuh kau walau apa jua yang berlaku." tersungging senyuman sinis di hujung bibir Min Yoongi.

•••••••

Saat memperkemaskan skarf pada leher, aku ditenung Park Jimin sebaik lelaki itu terjaga dari tidur.

Jenuh aku paksa dia pulang ke Tasik Paldang, tetapi tetap berdegil mahu bermalam di rumahku. Pengakhirannya, memang kena tidur di lantai berlapikkan comforter yang aku minta dari ibu.

"Kenapa?" aku menyambar beg silang dan beberapa buah buku rujukan.

"Lepas kuliah nanti, terus pulang ke rumah ya." Jimin bangkit dari pembaringannya dan menapak ke bilik air.

"Tengoklah macam mana nanti." aku menjawab ringkas memandangkan aku sudah terlewat untuk ke universiti.

"Haa, awak pula... Tak reti-reti nak pulang ke rumah buruk tu ke?" kali ini giliran aku menyoal lelaki itu sebelum dirinya menghilangkan diri ke dalam bilik air.

"Petang nanti, sebab kejap lagi saya nak jumpa seseorang."

Seseorang? Kejap!  Apa maksudnya?

"Seseorang? Siapa? Teman wanita?"

Entah perkataan 'teman wanita' yang meluncur laju dari mulutku membuatkan aku dipagut cemburu.

"Mungkin." Jimin membalas sepatah sebelum tersengih lebar.

Aku mencebik.

"Haa, yelah. Pergilah jumpa dia. Lepas tu isytihar dia sebagai isteri awak juga." aku memulas tombol pintu. Sempat aku menghadiahkan lelaki itu jelingan tajam sebelum melangkah keluar dari bilik tidurku.

••••••

Di bawah pohon maple berdaun kuning kemerah-merahan, Park Jimin setia menanti. Dia tahu, seseorang yang sudah lama dicarinya akan muncul sebentar sahaja lagi.

Sesekali Jimin memerhati beberapa keluarga sedang berkelah di atas rumput, melayan karenah anak masing-masing. Kebahagiaan yang dipaparkan oleh mereka membuatkan Jimin dipagut cemburu.

Kalaulah ibu dan ayah masih ada, pasti dia bahagia atau mungkin jika Song Hee Ran mencintainya, Jiminlah antara lelaki paling gembira di dunia.

"Cikgu, kami nak sana!"

Jeritan ceria kanak-kanak lengkap beruniform berwarna putih dan kuning mengalihkan perhatian Jimin. Dirinya menguntum senyum sebaik lelaki yang dinanti-nantikannya sudah tiba.

"Mingyu." tanpa melengahkan masa, Jimin mendapatkan lelaki itu.

"Cikgu Lee, saya ke sana sebentar ya. Tolong tengok-tengokkan mereka." Mingyu memberikan arahan kepada rakan sejawatnya sebelum wajah lelaki tersebut berubah kelat.

"Buat apa lagi kau nak jumpa aku?" dingin Mingyu menyoal Jimin.

"Saja, rindu." Jimin mengekek lalu memaut bahu Kim Mingyu. Tindakan Jimin itu mengundang kemarahan Mingyu, lantas tubuhnya ditolak kasar.

"Kalau kau masih anggap aku sebagai seorang kawan, lepaskan perempuan tu dan ambil kembali hayat kedua kau yang kau dah bagi kepada dia." wajah bengis Mingyu di kala ini membuktikan bahawa dirinya terlalu marah akan tindakan melulu Park Jimin, cuba membahayakan diri-sendiri demi meraih sekelumit cinta.

"A...aku tak boleh. Dah lama aku sukakan Hee Ran. Aku..."

"Sedarlah, Jimin. Dia boleh buat kau terbunuh nanti. Kau satu-satunya bangsa Haures yang masih ada. Kau perlu kekalkan keturunan kau, tapi bukan dengan dia. Kau boleh kahwin dengan manusia lain atau pun, dari bangsa aku. Haures dan Marchosias tidak jauh bezanya." Kim Mingyu menghenyak punggung ke bangku. Wajahnya turut diraup kasar.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top