Part 1
Cak! Cak!
Encik Kim mencangkul tanah di belakang rumah untuk menanam pokok-pokok bunga. Itulah kebiasaan yang sering dilakukan olehnya setelah kematian isteri tercinta. Setiap hujung minggu, dia akan menjaga dan merawat pokok bunga lily, pokok bunga kegemaran mendiang Puan Kim. Hanya itu sahaja caranya untuk dia mengenang pemergian isterinya.
Miyoung yang berada di dalam rumah memerhati sahaja ayahnya yang bertungkus-lumus di dalam kelembapan di luar rumah. Dia mengeluh kecil sambil memegang coklat panas untuk menghangatkan badan. Diambil segelas lagi cawan dan dibuatkan air yang sama buat bapanya. Setelah itu, dia keluar dari rumah dan mendekati ayahnya.
"Ayah, nah coklat panas."
Miyoung menghulurkan gelas yang hangat itu kepada ayahnya. Encik Kim tersenyum sambil menyambut huluran anaknya.
"Gomawo," ujarnya, riang. Miyoung meletakkan cawan miliknya dan menolong menanam biji benih yang lain di dalam lubang yang telah tersedia.
"Aip! Jangan kotorkan tangan tu. Pergi masuk. Basuh tangan bersih-bersih. Nanti sakit perut tu ayah yang susah," nasihat Encik Kim. Ditariknya tangan Miyoung dan dibersihkan segala kotoran yang terkena tangan puterinya itu.
"Ayah, Miyoung bukan budak kecil lah," rungut Miyoung. Encik Kim mengusap tangan Miyoung. Wajahnya tampak menunjukkan yang dia khawatir.
"You're still my baby Miyoung. Siapa lagi yang ayah nak manjakan kalau bukan kamu? Takkanlah anak jiran sebelah?" gurau Encik Kim, membuatkan Miyoung ketawa walaupun perkara itu tidak lawak pun.
"Baik ayah. Nanti cepat-cepat masuk dalam. Miyoung buatkan makan malam. Lama-lama dekat sini nanti ayah demam," ujar Miyoung. Dia segera berdiri dan membersihkan kotoran pada seluarnya. Selepas itu, diambil pula gelas yang berisi coklat panas milik ayahnya dan diletakkan diatas meja berhampiran.
Sejurus selepas masuk ke dalam rumah, Miyoung bergegas menyiapkan makan malam. Dia mengambil apron yang berada berdekatan rak dapur dan memakainya. Bahan-bahan basah diambil dan dimasukkan ke dalam besen berisi air untuk mencairkan ais. Sementara itu , dia mengambil bahan kering untuk memotongnya. Sempat dia menjeling kearah ayahnya yang sedang fokus menanam pokok bunga lily kegemaran ibunya. Ayahnya nampak tenang walaupun sebenarnya, hati lelaki tua itu masih terluka dengan pemergian isterinya.
Kadang-kala, dia sedih melihat ayahnya yang sentiasa berlagak kuat di hadapannya. Ayahnya berpura-pura tabah hanya kerana mahu dia meneruskan hidup.
Dingdong!
Loceng rumah berbunyi. Miyoung tersentak daripada lamunannya. Serentak dia dan ayahnya yang berada di luar menoleh kerana pintu dapur yang tidak ditutup. Miyoung segera menanggalkan apron dan mencuci tangannya. Kemudian dia bergegas kearah pintu rumah. Mungkin jiran sebelah yang datang untuk bertanya khabar kerana mereka baru berpindah.
"Hai?"
Seseorang menyapa setelah dia membukakan pintu rumah. Miyoung tercengang. Ada dalam empat orang lelaki dan seorang perempuan misteri berkulit pucat dengan pakaian serba hitam di hadapan rumahnya. Jangan-jangan ini vampire yang dimaksudkan oleh semua orang?
"Maafkan kami kerana menganggu. Kami datang untuk menyapa jiran baru je," sambung wanita itu. Miyoung masih berdiri dalam keadaan kebingungan. Entah kenapa bibirnya terasa berat saat ini. Satu persatu wajah vampire itu dipandang. Cermin mata mereka ditanggalkan serentak.
"Miyoung, siapa yang datang?" suara Encik Kim mengejutkan Miyoung. Dia segera menoleh dan memaut lengan ayahnya.
"Encik Kim. Kami keluarga Choi. Yang tinggal diatas bukit sana. Saya Choi Sooyoung. Selamat berkenalan." Wanita bernama Sooyoung menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Encik Kim. Sapaannya diterima dengan baik oleh lelaki itu. Dia menjemput mereka untuk masuk dan menikmati makan malam bersama-sama. Encik Kim tahu yang mereka adalah orang besar di Quahog, jadi dia harus melayan mereka dengan mesra.
Sooyoung dan empat lagi vampire masuk ke dalam rumah dengan senang hati. Mereka segera ke ruang tamu bersama-sama Encik Kim sambil berborak tentang sesuatu. Baru sahaja Miyoung hendak menutup pintu, seseorang menghalang dengan tekanan yang kuat.
"Apa—" lidah Miyoung kelu saat matanya bertembung dengan mata orang itu. Wajah lelaki itu tajam merenungnya.
"Chanyeol-ah, marilah sini. Encik Kim pelawa kita makan," ajak Sooyoung, lantang. Lelaki yang dikenali sebagai Chanyeol itu masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan Miyoung. Dengan bergegas Miyoung menutup pintu rumah dan menuju kearah ruang tamu. Baru sahaja dia hendak duduk di salah satu kerusi, ayahnya memanggil.
"Miyoung, buatkan makan malam lebih ya? Tetamu kita mesti lapar," arah Encik Kim. Miyoung hanya mampu mengangguk. Sesekali dia memandang vampire-vampire itu. Mereka semua memerhatinya bagaikan dia mangsa yang enak untuk dimakan.
Tanpa menghiraukan mereka lagi, Miyoung terus memasak. Aroma masakan Miyoung menarik perhatian mereka walaupun sebenarnya mereka tidaklah gemar memakan makanan manusia. Miyoung sempat bersenandung sewaktu memasak kerana terlalu gembira. Bukan gembira kerana vampire tetapi kerana dia memang gemar memasak. Salah satu cita-citanya adalah untuk menjadi chef terkenal di serata dunia.
Saat dia sibuk memasak, satu sosok vampire memerhatinya dari luar rumah. Bayangan itu sibuk memerhatinya dengan penuh minat. Dia tidak pernah bertemu dengan manusia yang berdarah manis seperti ini. Dia tersenyum kecil memerhati tingkah Miyoung yang dianggapnya comel. Dia pasti, keluarganya yang berada di sana sedang menahan dahaga juga. Padanlah muka mereka. Siapa suruh dedahkan diri di hadapan manusia dan membuat perjanjian dengan mereka? Kan dah susah nak hisap darah.
"Makan malam dah siap!" jerit Miyoung setelah siap memasak. Lantas dia menghidangnya diatas meja. Mereka semua bergerak ke meja makan diiringi Encik Kim. Makan malam pada hari pertama mereka berpindah berjalan lancar. Walaupun ada kejanggalan kerana Miyoung terpaksa duduk menghadap lelaki bengis bernama Chanyeol, tetapi dia layankan sahaja. Sepanjang makan malam, hanya ayahnya dan Sooyoung sahaja sibuk berborak.
Miyoung tidak terlalu memberi tumpuan tentang usul bualan kerana dia tidak berminat. Sedang dia menyuap diri sendiri, dia perasan ada seorang lagi vampire yang sedang merenungnya. Vampire lelaki itu tersenyum saat Miyoung membalas renungannya.
Miyoung tidak membalas sebaliknya mengelak daripada merenungnya. Dia tidak selesa sebenarnya. Mengetahui yang dia ada bersama predator di dalam rumah ini, siapa yang boleh tenang? Bermacam-macam tanggapan negatif bermain di mindanya. Dia risau mereka datang kerana ada niat lain.
"Haha!" Seorang lagi vampire berbunyi. Gelak tawanya meraih perhatian mereka yang lain. Sooyoung menjongketkan kening.
"Apa yang lawak Junmyeon?" Soalnya.
"Tak adalah noona. Lawak je sebab ada orang tu—" kata-kata Junmyeon berhenti sebaik sahaja dia merenung Miyoung. Terkebil-kebil Miyoung memandangnya.
'Gila ke?'
Sekali lagi, Junmyeon tergelak.
"Saya tak gila. Cuma teringat lawak dalam drama semalam je," sambung Junmyeon. Namun jawapan Junmyeon itu membuatkan Miyoung sedikit terkejut. Kata-katanya itu bagai menjawab persoalan di minda Miyoung. Baru sahaja tadi terdetik difikirannya yang Junmyeon ini gila. Sooyoung menggeleng kecil dan kembali menyambung perbualannya bersama Encik Kim.
"Saya terhutang budi yang Encik Kim mahu berkhidmat di sini sebagai pegawai polis. Kami memang memerlukan pegawai yang cekap seperti encik," kata Sooyoung. Encik Kim tersenyum bangga apabila dipuji sebegitu.
"Saya pun berbesar hati dapat bekerja di bawah Puan Choi," jawab Encik Kim.
"Lekaslah makan. Kita ada perjumpaan penting malam ni," arah Sooyoung kepada keluarganya yang lain. Mereka menurut perintah.
Lain pula dengan Miyoung, dia ragu-ragu dengan manusia separuh pontianak ini. Apa tujuan mereka datang ke sini?
to be continued
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top