BM 9❤🐣

Usai menghantar Iman pulang ke pejabatnya, Faliq tidak kembali ke pejabat. Dia mengambil EL dan memandu pulang ke rumah.

Fikirannya terbeban dengan pelbagai perkara. Apa yang diperlukannya saat ini cumalah rehat yang tenang.

Tiba di rumah, Faliq pantas mengatur langkah ke arah sofa dan menghempaskan tubuh. Matanya dipejamkan sambil menikmati nyaman putaran kipas siling.

"Ah lega. Akhirnya boleh rehat sekejap." Perlahan saja ucapannya.

Keadaan rumah sangat sunyi. Biasanya waktu-waktu begini ayahnya ke masjid. Mak pula akan berehat.

"Kalau dapat Sunquick sejuk pun sedap juga ni," ujarnya sendiri. Faliq mengatur langkah menuju ke dapur. Sudah terbayang air berwarna kuning itu menuruni tekaknya.

Belum sempat Faliq merealisasikan niatnya, matanya tertacap pada sekujur tubuh yang sedang terbaring di lantai.

"Mak!" Panik Faliq mendekati tubuh Puan Ruzy yang sedang terbaring. Tangannya menggoncang perlahan tubuh emaknya.

"Mak! Bangun mak!" Panggil Faliq sedikit kuat. Hatinya semakin tidak enak apabila emaknya langsung tidak memberi respon.

Tidak menunggu lama, Faliq segera menggendong tubuh emaknya sebelum kereta meluncur laju menuju ke hospital.

***

Faliq termangu di hadapan wad yang menempatkan Puan Ruzy. Emaknya masih belum sedarkan diri. Iv drip sudah dicucuk. Kata doktor, darah tinggi emaknya naik. Puncanya stres dan terlalu banyak berfikir.

Wajah pucat Puan Ruzy bermain-main di mindanya. Perasaan serba salah bertalu-talu menusuk relung hatinya. Pasti dia adalah salah satu punca mak stres.

"Faliq." Suara Encik Ali menyentakkan lamunan Faliq. Faliq memandang sekilas wajah ayahnya.

"Mak dah sedar ke, ayah?"

Ayah menggeleng perlahan. "Sekejap lagi mak kamu bangun lah tu. Tulah, ayah dah cakap. Jangan difikirkan sangat. Biarlah kamu tentukan keputusan sendiri. Degil betul mak kamu tu."

Faliq hanya tersenyum hambar mendengar bebelan Encik Ali. Kan dah cakap. Memang dia punca mak stres. Haih, anak macam apa lah dia ni...

"Jangan salahkan diri sendiri. Benda dah nak jadi. Bukan salah kamu," pujuk Encik Ali. Tangannya menepuk perlahan bahu anak lelakinya itu.

Kasihan dia melihat anaknya yang kelihatan sangat penat itu. Baru sahaja pulang dari tempat kerja sudah dikejutkan dengan keadaan begini.

"Aliq serba salah, ayah. Tapi Aliq sendiri pun ada pendirian Aliq. Aliq... Aliq tak tahu nak buat apa." Hampir gugur air matanya apabila teringatkan tubuh kaku mak tadi. Tak sanggup dia membayangkan jika terpaksa kehilangan mak.

Encik Ali pantas mengusap bahu lelaki itu. Acap kali dia mengingatkan isterinya agar tidak masuk campur soal jodoh Faliq. Tapi, isterinya tetap tegas dengan keputusannya.

Kasihan dia melihat Faliq yang tersepit ketika itu. Dia tahu, anaknya sangat sayangkan Puan Ruzy. Anak lelakinya itu sanggup melakukan apa sahaja demi Puan Ruzy.

"Jom masuk. Tengok mak." Ajakan ayahnya dituruti. Langkahnya membuntuti Encik Ali.

Tubuh Puan Ruzy sedang terbaring lemah di atas katil.

"Aliq...." Suara lemah Puan Ruzy kedengaran. Dengan pantas Faliq mengambil tempat di sisi emaknya.

"Ya mak." Tangan tua itu diusap dengan lembut.

"Aliq dah makan?" Makin luluh hati Faliq dengan pertanyaan emaknya. Bukannya sibuk memikirkan diri sendiri, anak juga yang dikesahkan.

"Dah mak. Aliq dah makan. Mak... Aliq minta maaf kalau sebab Aliq mak jadi macam ni. Aliq bukan tak nak terima permintaan mak. Tapi Aliq masih tak sedia lagi. Tapi mak, bila Aliq tengok keadaan mak macam ni, Aliq tak sanggup nak hampakan mak lagi. Maafkan Aliq, mak," ucapnya sambil mencium tangan Puan Ruzy. Terasa kesal dengan perbuatannya sendiri.

"Aliq..." Panggil Puan Ruzy. Pandangannya redup memandang anak lelakinya.

"Mak minta maaf kalau mak terlalu memaksa Aliq. Mak cuma nak yang terbaik untuk kamu. Mak risau mak tak sempat nak lihat kamu bahagia, nak. Bukan mak tak tahu, kamu terlampau fokus pada kerja kamu sehingga kamu sendiri tak fikir pasal diri kamu sendiri. Mak cuma nak kamu ada seseorang yang boleh urus makan minum kamu, nak. Itu sahaja," ujar Puan Ruzy. Faliq hanya mendiamkan diri dari tadi.

"Kalau itu yang mak nak, Faliq akan tunaikan. Aliq pun tak sanggup nak tengok mak terlalu banyak berfikir sebab Aliq. Sampaikan mak boleh pengsan macam ni. Aliq akan bawa bakal isteri Aliq jumpa mak secepatnya," ucap Faliq dengan nada perlahan. Dia tahu yang keputusannya ini terburu-buru. Tetapi, akalnya tidak dapat berfungsi lagi. Hanya itu yang terlintas di benaknya.

Puan Ruzy kelihatan serba salah apabila melihat anaknya begitu. Dia tidak mahu Faliq berkahwin bukan atas kerelaannya. Namun, dalam masa yang sama dia mahu anaknya berumah tangga.

Mungkinkan dia terlalu memaksa?

"Aliq. Mak minta maaf kalau kamu rasa mak terlalu mendesak kamu. Mak terima kalau kamu masih belum bersedia." kata Puan Ruzy sambil mengusap perlahan kepala anak lelakinya.

"Tak mak. Aliq akan bawa bakal isteri Aliq jumpa mak. Aliq nak mak bahagia. Aliq tak nak mak stres dah fikirkan Aliq lagi. Maafkan Aliq ya mak." Puan Ruzy tersenyum lalu memeluk anaknya.

Encik Ali hanya mengukir senyum segaris sahaja buat anak dan isterinya itu.

"Ayah tak nak join?" soal Faliq apabila Encik Ali hanya memandang sahaja. Dari tadi ayahnya hanya mendiamkan diri sahaja.

"Tak apa. Ayah dah puas peluk mak kamu dulu. Ayah kasi can tu," balas Encik Ali bersahaja. Sempat juga tangan dibuka tanda menolak.

"Eleh, sombong."

Tergelak Faliq melihat emak dan ayahnya. Dalam hati, dia bertekad untuk melakukan apa saja demi mengekalkan senyuman emaknya.

Kerana baginya, emak adalah segalanya.

***

Faliq mundar mandir di dalam biliknya. Sesekali matanya melihat telefon yang terletak elok di atas katil.

"Nak call ke tidak ek?" Soalnya sendiri. Berkali-kali dia menyusun ayat. Takut kena sembur dengan Iman.

Tapi keputusannya sudah bulat. Dia mahu melamar gadis itu menjadi isterinya.

"Call ajelah. Kita hadap je. Paling-paling pun kena marah." Tangannya mencapai telefon pintar miliknya. Nombor Iman didail.

"Hello. Assalamualaikum," suara Iman menyapa pendengaran.

Aduh, bila dah macam ni tiba-tiba rasa gemuruh datang menerpa. Tapi, dia tidak boleh patah balik.

"Hello? Kau nak apa, woi? Aku sibuk ni." Suara Iman sedikit ditekan kali ini. Geram pula dia dengan Faliq ini. Sudahlah banyak lagi fail klien yang perlu dibacanya.

"Oh kau busy ke? Sorry, Man. Tak apa lah lain kali ajelah aku cakap." Jantung Faliq berdebar-debar bagai hendak meletup. Macam ni ke nak ajak anak orang kahwin? Macam mana lah agaknya perasaan kalau ajak Mira yang kahwin, ya?

"Cakap sekarang. Aku dengar."

Faliq menarik nafas dan menghembus. Perbuatan itu diulang beberapa kali. Iman yang kasar, akan dilamar menjadi isterinya. Iman yang brutal, akan menjadi calon menantu emaknya.

Tapi, semua ini bukan atas kehendak hati Faliq. Semuanya kerana emak.

"Kalau aku ajak kau kahwin, kau nak tak?" Soal Faliq senafas.

Hening panggilan antara mereka berdua.

Faliq melihat skrin. Kut-kut dia tertekan end call.

"Hello, Iman? Are you there?" Soal Faliq.

"Hah? Er yes. I'm here." Gugup Iman menjawab soalan lelaki itu. Faliq ni minum ketum ke? Tiba-tiba mengajukan soalan yang mengarut.

"Dah berapa botol ketum kau minum?" Soal Iman selamba. Namun, hanya Allah saja yang tahu betapa jantungnya mahu tercabut.

Faliq meraup kasar wajahnya. "Tak, Iman. Aku tak main-main. Aku serius ni. Kalau aku ajak kau kahwin, kau nak tak?"

Faliq mengulang sekali lagi soalan dengan jelas. Iman kaget buat kali kedua namun sedaya upaya mengawal nada bicaranya.

"Jangan nak mengarut, Megat Faliq. Kau tengah prank aku kan? Kita bukan budak kecil yang nak main kahwin-kahwin. Kau tak cintakan aku dan aku tak ada hati kat kau. So, atas dasar apa kau nak kahwin dengan aku?" Soal Iman dengan tegas. Andai saja lelaki itu memang mempunyai rasa terhadapnya, sudah pasti dia akan menerima ajakan itu tanpa berfikir dua kali.

"Tadi mak aku masuk hospital. Doktor cakap mak aku stres. Aku... aku rasa aku anak tak berguna." Kali ini nada Faliq rendah. Masih segar di ingatannya tubuh Puan Ruzy yang terkapar di lantai dapur.

Iman terkedu mendengar ucapan lelaki itu. "Lepastu sekarang macam mana? Cik Ruzy dah ok ke?"

"Alhamdulillah, dah." Lega hati Iman mendengar jawapan itu.

Walaupun Puan Ruzy memang terkenal dengan sifat garang, tapi Iman sudah menganggap wanita itu seperti ibunya. Iman sudah mengenali keluarga Faliq sejak kecil lagi.

"Then, kau rasa dengan kau ajak aku kahwin ni, kau jadi anak yang berguna untuk mak kau lah?" Soal Iman kembali.

Talian antara mereka hening. Pasti Faliq sedang termangu sendiri.

"Fikir baik-baik, Faliq. Kau tak ada rasa cinta sikit pun untuk aku. Aku takut aku terseksa bila jadi isteri kau nanti. Aku tahu siapa yang ada dalam hati kau. It's her... not me." Pedih. Tapi itulah kenyataannya.

Iman perlu sedar di mana letak dirinya. Faliq hanya menganggap dirinya tidak lebih dari kawan. Tak mungkin Iman dapat menggantikan posisi Amirah di hati lelaki itu.

"Esok aku sibuk. Mungkin tak ada masa nak jumpa. Hari Sabtu lah kita jumpa. Dekat kafe biasa," ucap Iman. Sejurus berkata begitu, dia memutuskan panggilan antara mereka.

Faliq memandang kosong skrin telefon yang sudah gelap.

Benar. Apa yang dikatakan Iman semuanya benar. Dia langsung tiada hati buat gadis itu.

Faliq sudah menganggap Iman seperti adik-beradiknya saja. Tak mungkin rasa cinta timbul antara mereka berdua.

"Argh!" Rambutnya dikusutkan. Badannya direbahkan sambil tangan kanan menutup mata.

"Where are you, Nik Amirah?"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top