BAB 4: NAK PERGI JUGA!
PIPINYA Ilma lagakan ke pipi abah. "Assalammualaikum, abah." Beg dah sedia tersangkut di bahu, dia buka pintu kereta lalu tolak sedikit sebelum sepasang kakinya sudah terpasak ke tanah.
Tinggallah kembar bertiga dan abah sahaja di dalam kenderaan bertayar empat itu.
Uthman yang duduk di tengah, kedepankan badannya sedikit. Tangan dihulur tanda mahu bersalam.
Abah sambut. Seperti biasa, tangannya dibiarkan dicium mereka. Usai bangkit dari tunduk, Uthman hulur mukanya pula untuk dilagakan pipi dengan dia. "Assalammualaikum, abah."
Perbuatan Uthman kemudian diikuti pula oleh Umar dan Ali, baru mereka keluar daripada kereta.
"Kejap, hari ni kelas awak semua sampai pukul berapa?" Abah laungkan sedikit suaranya supaya didengari mereka bertiga di luar kereta.
Umar, Uthman dan Ali semua tunduk nak tengok abah. "Pukul dua." Serentak mereka bertiga jawab.
"Adik? Tahu tak habis pukul berapa?"
Umar pandang Uthman, Uthman tengok Ali, Ali tengok Umar. Tidaklah pula mereka tahu.
"Sama kot?" Ali jawab yakin tak yakin je.
"Pukul dua juga?"
Angguk.
"Okey, nanti tunggu abah dekat dewan terbuka ni, hari ni abah nak kena pergi PPD." Abah muncungkan bibirnya tunjuk dewan terbuka betul-betul belakang kembar.
"Okay!"
Sejurus itu, tingkap kereta abah naikkan lalu kereta meluncur laju menaiki bukit menuju ke sekolah bahagian atas meninggalkan kembar berdiri terpacak di tengah jalan.
"Ya ke adik balik pukul dua?" Uthman yang pertama tanya.
"Mana tahu." Umar angkat bahu.
"Ya kot, hari ni kan first day puasa." Ali berikan sebab musabab mungkin kelas mereka habis awal.
Haah, ya tak ya juga. Selalu kalau hari pertama puasa, cikgu-cikgu semua bagi balik awal. Tak ada kelas tambahan.
"Jomlah masuk kelas." Ajak Umar.
"Jom." Sahut lagi dua.
"Lalu mana?"
"Kelas adik."
Sengih jahat mula terbit di bibir masing-masing. Ayuh!
* * *
“WEH tengok! Kembar tiga lalu!" Semua mata-mata dah tertumpu ke luar kelas di mana tiga remaja tinggi lampai sedang berjalan sebaris di koridor.
Ilma yang baru sahaja sudah menyapu sampah di lantai juga tertarik untuk melihat keluar. Kembar tiga? Dekat sekolah ni, sebut je kembar tiga tak ada orang lain dah, semua tahu siapa.
Apa kena pula lalu depan kelas Ilma? Selalu elok je lintas dekat blok bangunan sebelah sana nak pergi kelas mereka.
Ilma pusingkan badan dia, terus mata menangkap figura abang-abangnya yang sedang bercakap sesama mereka sambil tergelak-gelak.
Ilma ketap bibir. Eee, geram betullah! Ingat tengah buat iklan ke apa?
Berapa kali entah Ilma nak kata dia tak suka kembar lalu depan kelas dia. Tengoklah, semua pelajar-pelajar perempuan dah terpandang-pandang.
Nanti kejap lagi mulalah datang dekat Ilma suruh kirim suratlah, kirim salamlah. Sengaja tarik perhatian!
Bukan kembar tak tahu mereka tu senior pujaan ramai, nak pula dekat budak-budak tingkatan bawahan ni. Abang form 5 kan? Makin orang tak suka, makinlah dia rajin nak buat.
"Weh, weh adik tengok kita, adik tengok kita!" Ali laju senggol pinggang Uthman yang berjalan di sebelahnya.
Uthman dan Umar jelingkan sekejap mata ke arah kelas Ilma, mereka nampak muka si puteri manja itu dah cemberut.
Bukan main tajam mata dia, macam mata lembing, itu kalau betul, dah tembus dah agaknya badan mereka bertiga.
Bibir masing-masing diketap kejap, tahan senyum tapi buat-buat tak nampak dekat Ilma.
"Mak ai, muka dia..." Umar beri komen.
"Boleh dah tu hantar dia pergi Afrika. Singa dekat sana pun muka tak garang macam dia." Spontan, Umar dan Ali tergelak kecil dengar Uthman punya lelucon.
"Bongoklah Uthman."
"Apa? Betul kan?" Uthman jongket bahu. Mereka dah melepasi kelas si adik. Dia hulur tangan dekat Umar, sep, kemudian dia hulur pula tangan pada Ali.
Nice.
"Balik nanti mesti adik mengamuk."
"Itu sudah tentu."
"Memang kita tunggu."
* * *
BUM!
Terhenjut bahu mereka yang di dalam kereta dengar bunyi pintu ditutup. Kuat gila, itu kalau tangan terkepit tu, tak ada maaf. Pastinya putus.
"Oi, tutup pintu tu perlahan-perlahan tak boleh ke?"
Kembar nampak Ilma hadiahkan mereka jelingan tajam. "Tak sengaja."
Beku, jelas suara dia kedengaran terdiri daripada unsur bengang.
Kembar tunjal-tunjal paha sesama mereka dengan senyum nakal dah meriah meletus di bibir. "Adik."
Diam, Ilma tak menyahut.
"Adik." Umar panggil lagi sekali tapi masih tak diendahkan.
"Adik!" Ali tinggikan sedikit suara dia.
"Adik, abang panggil tu, jawab." Abah tegur Ilma yang masih membatu.
Malas-malas Ilma pandang juga ke belakang. "Apa? Nak apa?"
"Jom pergi bazar nak?"
Automatik, muka yang berkerut tadi dah kendur. Kembar nampak je Ilma macam nak senyum, tapi dia kawal.
Halah, nak senyum tu senyum ajelah. Tahan-tahan buat apa?
"Bazar?"
"Iya, bazar," kata Uthman.
"Naik apa?"
"Motor."
"Tak naklah, adik tak ada duit." Ilma terus pusingkan badan dia ke depan semula.
Kembar masing-masing buat muka jengkel dekat belakang.
Eee, geli betul tengok perangai mengada-ngada si Ilma ni. Sejak bila entah duit tu jadi isu dekat dia pun tak tahu.
Selama ni pun bukan keluar duit dia bila pergi mana-mana. Semua kembar yang bayar.
"Eh awak tak payah nak acah-acah sangat, selama ni pun bukan guna duit awak." Sedas Uthman bagi tembakan.
"Entahnya, selama-lama ini kita yang suap dia, alasan." Umar tambah rencah dalam mengata.
Fitri yang sedang memandu jadi terhibur tengok drama sebabak anak-anaknya. Malas nak campur, dia dengar sahaja.
Selagi tak ada unsur-unsur negatif yang tak elok yang perlu ditegur, dia akan diam. Biar mereka nak gaduh pasal apa pun.
"Eleh, awak tu bukan duit awak pun, duit mummy bagi!" Ilma cantas tuduhan si abang-abang.
"Habis tu, awak tu mummy tak bagi duit ke? Bagi kan?"
"Entahnya, jangan nak buat macam mummy bagi duit dekat kita je eh."
"Itulah, duit habis dekat benda tak berfaedah, sebab tu tak ada duit selalu."
"Tengok macam kita, berkat, belanja adik-beradik, belanja keluarga, belanja-"
Ilma panas hati dengar kembar serang dia seorang demi seorang. "Yalah, yalah! Adik pergi, dah diam!"
Suka macam tu, tiga lawan satu, mana nak menang? Asyik membahan aje.
Nak tunggu Asma' besar buat jadi kawan, lambat lagi. Budak comel tu baru nak pandai cakap.
Sedar tak sedar, kereta dah pun memasuki kawasan perkarangan rumah. Dah sampai, ujar Fitri.
Tanpa kata, Ilma buka pintu kereta dan keluar. "Terima kasih abah."
Sebaik sahaja Ilma keluar, terus terburai gelak Umar, Uthman dan Ali, sampai tersandar-sandar mereka ketawa.
Fitri lihat si kembar dari cermin pandang belakang, dia juga turut ketawa. "Awak ni abang, dah tahu adik tu macam gitu, janganlah diusik sangat."
Tawa mereka sudah bersisa, berganti sengihan nakal. "Emolah adik tu, sikit-sikit nak mengamuk." Umar mengata adiknya selamba.
"Dah tahu dia macam tu, pergi kacau lagi kenapa?" Fitri menggeleng.
Dia kutip barang-barang yang patut sebelum keluar dari kereta. Si kembar tiga pun dah keluar sama.
"Saja," jawab Ali.
"Bosan-bosan, ada juga hiburan." Itu daripada Uthman.
Fitri? Ya kan aje. Nak kata apa lagi, adik dia.
"Awak nak pergi bazar nanti naik motor mana?" Fitri tanya sambil tanggal kasut depan muka pintu lalu dia angkat susun dekat rak.
"Motor abahlah." Tak bersalah Uthman jawab.
Fitri tengok muka kembar silih berganti. "Motor tu, satu abah nak bawa pergi kebun petang ni."
Berubah keruh terus muka kembar. "Ha?"
"Laa, abah bawalah kereta."
"Kan puasa ni, tak payahlah pergi kebun."
Seorang demi seorang merungut tak bagi Fitri guna motor buatkan dia julingkan matanya ke atas.
"Tak nak abah bawa kereta. Baru basuh semalam, depan kebun tu paip air pecah, habis berlecak. Buat kotor kereta je nanti."
"Alaaa esoklah abah pergi kebun, kita ikut abah sekali tolong." Uthman cuba tawar-menawar, itu memang kepakaran dia.
Kembar mengekor Fitri masuk ke dalam rumah. "Tak boleh, ada orang dah tempah pisang, dah janji nak ambil petang ni, abah kena pergi juga."
Kembar berhenti membuntuti Fitri, masing-masing dah bermuka kecewa. "Alah, nak pergi bazar. Dah setahun tunggu, kena pergi juga hari ini."
"Pergi dua orang je sudahlah. Kirim je sekali, ramai-ramai buat apa?" Fitri beri cadangan, tapi deras-deras muka cemberut mereka jadi tatapan mata dia.
"Tak nak."
"Nak pergi ramai-ramai baru seronok berjalan sekali."
"Tak best lah kalau pergi sorang je."
Fitri malas nak layan. Mengada je lebih tu. "Payah-payah, ulang alik."
"Ish, penatlah abah, nak ambil sorang-sorang. Nanti balik pun tiga kali jemput."
"Tak payah pergilah senang. Makan je apa ada dekat rumah." Entah dari mana atok muncul sambil mendukung Asma' sebelum dia serahkan si tembam itu kepada abahnya, Fitri.
"Alah, atok, nak jalan."
"Pergilah jalan, kaki kau orang ada, pergi jalan. Tak ada siapa marah."
Kembar julingkan mata mereka ke atas. Dah mulalah tu buat ayat sarkastik.
"Atok ni, tak membantu langsung."
"Tak, apa yang kau orang kejarkan sangat nak ke bazar tu macam tak ada hari esok?" Atok dah bercekak pinggang.
"Kan kita kata, kita nak jalan-jalan cuci mata." Umar macam selalu, jadi wakil.
"Ali nak cari air tebu." Ali bagitahu hajat dia, dari semalam dah dia mengidam.
Kecil besar kecil besar je atok tengok cucu-cucu dia ni. Haila, haila.
"Cuba kau pergi tanya Tok Ayah, mana tahu dia nak pergi juga, tumpang dia senang naik kereta, pergilah berapa ramai pun nak pergi."
Bulat mata kembar dengan cadangan bernas Atok. Ha’ah la! Mereka lupa kewujudan Tok Ayah mereka dekat atas bukit sana tu!
Selesai masalah!
"Sayang atok!" Barulah masing-masing cabut segala baju, stoking, tali leher daripada badan, tersenyum sana sini lagi.
Atok mencebir bibir.
Baru inilah dengar sayangnya.
Bertuah!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top