BAB 2: SPY ADIK & ASMA'
SUARA si guru kuat bergema di sekeliling kelas menarik perhatian ramai.
"For your homework, please write an essay yang saya bagi tajuk dekat depan tu. Thats all for today, thank you.”
Dengan kata-kata itu, Teacher Haliza menyudahkan kelas Bahasa Inggeris pada petang itu seterusnya menamatkan kelas tambahan mereka yang panjang pada hari Selasa.
Sebaik sahaja ayat tamat itu keluar dari mulut Teacher Haliza, macam ribut Umar, Uthman dan Ali yang duduk di baris meja yang sama mengemas.
Habis semua buku mereka campak ke dalam beg sekolah. Ali yang pertama siap mengemas, dia sudah bangun dengan beg yang tersangkut di bahu.
Tangan dah sedia mencekak di pinggang, menanti lagi dua abang kembarnya dengan penuh sabar.
"Cepatlah Umar, Uthman!" Ali menggesa bila dirasakan pergerakan si abang sangat perlahan.
"Kejap, kejap." Kalut si abang berdua pindahkan apa yang perlu, dah tak fikir dah beg bersepah ke tidak.
Okey, Umar siap! Umar juga sudah bangun dan sorongkan kerusi, tinggal Uthman yang aman damai sedang memasukkan kesemua barang dengan penuh cermat.
Satu-satu dia susun dalam beg buatkan Umar dan Ali yang melihat dilanda kebengangan.
"Ali! Tolong kura-kura ni kemas!" Umar beri arahan apabila hati berdongkol geram tengok Uthman buat kerja.
Ali kutip semua alat-alat tulis Uthman atas meja yang bersepah kemudian dia sumbatkan dalam bekas pensel milik si kembar tengah.
Lepas tu Ali campak masuk dalam beg sekolah Uthman, sementara Umar, tolong kutip semua buku yang tersusun kemas atas meja lalu dia sumbat ke dalam beg.
Lambat!
"Eh, habislah bersepah beg aku!" Uthman merungut bila tengok isi begnya yang dah caca merba. Buku ada yang terbalik, tidak disusun kemas mengikut saiz.
"Orang nak cepatlah, nanti adik keluar lagi awal daripada kita!" Ali membebel sambil tepis tangan Uthman daripada terus memegang begnya.
Zip beg itu Ali tarik hingga habis. "Balik nanti kemas elok-elok."
"Entah, semalam bising nak tunggu adik keluar kelas nak tengok orang inilah, orang itulah, dah awak terdemut-demut macam kura-kura ni, apa pun tak boleh tengok." Panjang lebar Umar memarahi si kembar tengah.
"Ha yalah, dah siap. Jom, jom." Kalut mereka bangun dan keluar dari kelas buatkan rakan-rakan sekelas yang lain menggeleng kepala melihat mereka bertiga.
Anak kembar tiga bersaudara Ustaz Fitri, siapa aje tak kenal? Duduk pula sekelas.
Memang popular, daripada cikgu bawa kepada staf pejabat, tukang kebun, sampailah ke pelajar tingkatan satu.
Semua kenal.
Satu, sebab mereka itu kembar tiga; kedua, sebab ada rupa; dan ketiga, sebab anak pengetua.
Umar, Uthman dan Ali berlari menuruni anak tangga, langkah kaki mereka dipacu menuju ke deretan kelas yang menempatkan pelajar tingkatan dua.
Semua murid masih berada di dalam kelas mereka, bermaksud yang kembar tiga tidak lewat sampai.
"Okey, stop, stop. Kita tunggu sini." Umar yang pertama berhenti berjalan.
"Alah, sini ke? Depanlah sikit, mana nampak apa-apa dekat sini." Ali membentak apabila dirasakan jarak mereka dengan kelas Ilma agak jauh.
"Mana nampak!"
"Okeylah ni, dekat-dekat nanti nampaklah kita terpacak dekat situ. Tu bukan spy dah, tu abah punya style tunggu depan pintu." Uthman sokong Umar buatkan Ali memasamkan mukanya.
Eee, kalau Uthman pun dah sekapal dengan Umar, Ali nak cakap apa lagi?
Mudahnya mereka bertiga berdiri tegak di belakang dinding dengan kepala yang terjengul mengendap kelas adik sendiri nun sepuluh meter di hadapan sana, macam penyamun.
"Okey, Okey, dia orang dah nak habis kelas." Si Umar berikan amaran awal apabila nampak semua pelajar sudah bangun kerana guru hendak keluar.
"Uthman, kau tengok tau betul-betul siapa yang macam tunjuk minat dekat adik." Ali berikan arahan sambil memicingkan matanya.
Mereka kena cari tahu siapa yang gatal sangat beri surat cinta dekat Nur Ilma tu.
Handsome ke tidak?
Selekeh ke tidak?
Ke budak tak pecah suara lagi?
Baru tingkatan dua dah gatal nak bagi-bagi surat. Eee!
Tolonglah, kembar bertiga yang dah tingkatan lima pun tak pernah lagi bagi-bagi surat dekat anak dara orang. Gatal betul budak-budak zaman sekarang ni.
"Tu, tu adik!" kata Uthman dengan suara yang sedikit tinggi.
Ali dan Umar tampar belakang Uthman dek kerana geram. "Dah tak payahlah awak jerit kuat-kuat!" Umar jerkah adiknya sambil mengetap bibir.
Uthman ni, ee!
"Sorry, sorry." Uthman katup mulut dia rapat-rapat bila tengok Umar dan Ali jeling dia tajam.
Mereka kembali melihat ke hadapan, ada Ilma yang baru keluar dari kelasnya sambil bersembang dengan rakan-rakannya yang lain.
Elok bergelak ketawa, entah apa yang kelakar sangat berdekah-dekah sampai dengar dari tempat mereka bertiga berdiri.
"Eee, teruknya dia gelak. Tak elegant langsung." Umar beri komen.
"Ini kalau atok dengar ni..." Uthman menambah.
"Macam mana orang boleh suka dia?" Itu daripada Ali buatkan si kembar lagi dua menggeleng kepala.
"Eh, eh, eh! Tu! Tengok tu ada mamat mana tu datang dekat adik!" Umar tunjuk Ilma yang kini sudah berhenti berjalan, dan berbual pula dengan seseorang, tapi mereka tak nampak siapa sebab sosok tubuhnya terselindung di sebalik dinding.
"Jom, jom!" Ali cepat-cepat tarik mereka berdua supaya senyap-senyap pergi mendekat.
Sumpah kalau orang lain tengok dah macam pencuri.
Akhirnya, hari ini mereka akan menangkap si gerangan yang gatal sangat nak mengorat Ilma. Cis!
Mereka sudah sampai di destinasi, tetapi bersembunyi di belakang dinding.
Ali buat isyarat diam pada abang kembarnya yang berdua itu. Umar dan Uthman angguk. Akur dengan arahan Ali.
Sayup-sayup mereka dengar suara Ilma bercerita, nada suara dia... masya Allah, lembutnya, manjanya, gediknya!
"Alah, mummy tak marah... janganlah kasi tahu mummy, kita buat diam-diam je, jangan bagi tahu sesiapa, kita-kita je, rahsia. Confirm tak ada siapa tahu."
Buntang mata Umar, Uthman dan Ali. Nak buat apa rahsia sangat tu?
Dating?
Keluar?
Wah, wah... ini sudah lebih. Bukan main gatal lagi ya budak kecil zaman sekarang ni?
Ini tak boleh dibiarkan, panas aje hati mereka bertiga, tak tunggu lama, Umar yang pertama keluar daripada persembunyian.
"Oi Nur Ilma!" Lantang dia menjerkah sampai Uthman dan Ali pun turut terkejut, apatah lagi dua insan di hadapan mereka.
Tapi sekejap sahajalah, lepas tu Umar pula yang terkejut beruk. Eh!
Uthman dan Ali keluar sama, mereka berdua pun macam Umar, mula-mula muka nak marah, lepas tu terus kendur. Mulut mereka terlopong.
"Apa awak bertiga buat dekat sini?"
"Apa abah buat dekat sini?" soal mereka bertiga serentak.
Lah... patutlah manja semacam! Bercakap dengan abah ke?
"Abah nak ambil adiklah, tadi abah pergi bilik kaunseling, dah alang-alang lalu sini, jemputlah adik sekali. Yang awak bertiga ni datang dari mana?"
"Entah abang ni, tiba-tiba sergah orang." Ilma pandang abang-abangnya tak puas hati.
Kembar tiga bertukar pandang antara satu sama lain.
Umar pandang Ali, Ali pandang Uthman, Uthman tengok Umar. Bagi isyarat mata, siapa yang kena buka mulut untuk menjelaskan keberadaan mereka.
"Erm, kita dari kelas kitalah." Umar selaku si sulung membuka mulut, tangan ditunjukkan ke atas, di mana kelas mereka terletak.
"Lepas tu datang sini kenapa?" Ilma pandang mereka penuh curiga. Jangan bagi alasan nak jemput dia, memang mengarut.
Tak pernah-pernah nak jemput...
"Kita saja je lalu sini, nak ikut jalan jauh." Ali tolong bagi jawapan.
"Apa pasal pula nak ikut jalan jauh?" Ilma masih tak puas hati.
"Eh, suka hatilah kita nak ikut jalan mana. Kaki kita kot? Bukan kaki awak," jawab Uthman penuh jengkel.
Fitri yang mendengar di tepi, nak tergelak pun ada.
"Ha sudah, tak payah nak bergaduh. Dah, jom balik."
Fitri terlebih dahulu berjalan di hadapan meninggalkan anak-anaknya di belakang.
Kembar dah berdiri sebaris menghadap Ilma, dengan senyum nakal tercongek di bibir masing-masing. Seronok mengusik.
Sementara Ilma, pandang mereka penuh menyampah.
Ilma tahu mereka takkan saja-saja ke kelas dia tanpa sebab. Ilma hafal sangat dah perangai si kembar tiga ni.
"Apa awak bertiga buat dekat sini?" Ilma tunjuk muka Umar, Uthman dan Ali satu-persatu dengan jari runcingnya.
"Betul nak tahu?" Sinis Umar bertanya.
"Apa?" Soalan berbalas dengan soalan.
"Tapi kalau nak kasi tahu, kena kasi abah tahu sekali."
Buntang mata Ilma. Cis!
"Tak payahlah abang! Kan adik kata, tak ada apa-apa. Mengadalah awak semua ni, surat cinta je pun bukan surat bunuh. Dah dia nak bagi, bukan adik yang gedik suruh dia bagi. Boleh tak jangan nak melebih? Tak ada kerja ke?"
Ilma dah nak mengamuk. Tak habis-habis nak sibuk dengan Ilma punya secret admirer.
Daripada hari tu lagi, sejak kes mereka membaca surat cinta yang orang beri dekat Ilma, ha, sejak itulah si kembar sengal ni ugut-ugut Ilma.
Masalahnya kalau Ilma tahu siapa pemberi itu, bolehlah Ilma cerita, ini Ilma sendiri pun tak tahu.
Dia masuk-masuk sahaja dalam kelas lepas waktu rehat, Ilma dah jumpa sampul surat dalam laci bawah meja.
Tapi Umar, Uthman dan Ali mana nak percaya, mati-mati dia orang cakap Ilma tipu.
Tu yang malas nak layan sangat abang-abang dia ni, beria. Benda kecil je, sengaja nak besar-besarkan.
Surat cinta je kot?
***
“ASSALAMMUALAIKUM!" Si kembar tiga memberi salam serentak.
"Waalaikumusalam. Masuk, tapi kasut jangan lupa susun elok-elok. Atok baru susun rak kasut tu tadi. Bersepah balik, siap kau orang," ucap si atok dengan suara bertaraf petirnya dari dalam rumah.
"Atok ni Tak penat ke ulang benda yang sama setiap hari?" Senyap-senyap Uthman bersungut.
"Biar aku jawab bagi pihak atok. Jawapan dia, tak." Ali tunjuk bijak, sambil-sambil itu dia susun kasut sekolah mereka bertiga di rak kasut yang tersedia.
Ini kalau tak susun betul-betul ni, memang esok pagi kasut-kasut ni semua jawab dia, tu, jumpa dekat dalam kebun getah sana.
Janji dikota kata atok mereka.
Umar, Uthman, Ali dan Ilma masuk ke dalam rumah. Beg sekolah masing-masing disusun di atas meja belajar sendiri, elok tersusun sebaris.
Umar, Uthman dan Ali cabut tali leher mereka dan sangkut di penyangkut masing-masing, semua ada bertulis nama sendiri.
Kemas dan teratur.
Ni semua kerja ibu mereka, Amalina. Dari kecil, mereka dah dibiasakan begitu. Semua benda ada berlabel dengan nama, supaya tidak tertukar.
Maklumlah, kembar tiga. Barang pun semua sama dan sejenis, tak ada beza langsung.
Ali baru nak cabut jam tangan bila dia rasa ada seseorang memaut kakinya buatkan dia menunduk.
Terus bibirnya dengan sendiri mengukir senyuman lebar hingga ke telinga.
"Eh, Asma'!" Ali menunduk lalu dia angkat si kecil montel masuk ke dalam dukungan. Pipi yang sedia gebu itu dicium berkali-kali dek kegeraman.
“Bang Ayi!” Asma' riuh mulutnya cuba berbual dengan Ali.
Umar yang dah siap tanggal semua pakaian sekolah datang mendekat dengan Ali dan Asma'.
"Assalammualaikum Asma'... Asma' dengan siapa tu?"
"Ma! Ma, ma, mma, mmaaaa..." Melonjak-lonjak Asma' suka apabila dia melihat Umar, kemudian Uthman pula datang menunjuk muka.
"Asma'! Ee, sukanya dia!" Uthman ambil giliran mencium pipi tembam Asma'.
"Asma'... Suka sangat ni kenapa?" Ilma mencelah antara abang-abangnya apabila nampak Ilma yang bukan main lagi aktif melonjak-lonjak di dalam dukungan Ali.
"Ali, pegang baby kuat-kuat," pesan Umar, takut pula kalau Ali terlepas pegang.
"Ya, kuat dah ni, lenguh tau pegang budak bulat ni."
Mereka sengih aje, terlebih maklum. Asma tu nama sahaja umurnya baru nak masuk setahun, tapi berat dia Masya Allah.
"Ba, bba, bba!" Asma' dah ketawa girang melihat wajah mereka satu-persatu yang sudah pulang dari sekolah.
Umar baru nak ambil Asma' daripada Ali, tiba-tiba satu suara mengejutkan mereka. Siapa lagi kalau bukan... atok.
"Eh, balik-balik terus terkam adik, cabut-cabutlah dulu baju sekolah tu, kejap lagi kotor, payah nak sental baju kau orang."
"Umar dah."
"Uthman pun dah."
"Ilma pun sudah, Abang Ali je belum." Ilma bela diri, tak mahu atok membebel panjang.
Kini perhatian si atok tertumpu pada Ali.
"Asma' yang datang dekat Ali, atok marah Asma'." Ali muncungkan bibirnya pada si adik yang berada dalam dukungannya.
Asma' pandang atok dengan mata bulat dia, terkebil-kebil.
"Acok?" Kecil suara Asma' memanggil neneknya yang satu itu.
Atok mengeluh. "Yalah, aku salah."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top