BAB 1: BIG CALIPH RETURN


Kuat bunyi ketukan di pintu bilik buatkan Umar terjaga dari lena. "Assalammualaikum. Umar, Uthman, Ali, bangun!

Dia meraba mencari telefon yang sebelum tidur, dia letak di tepi bantal. Jumpa, lalu matanya dibuka kecil untuk menilik skrin, 5.19 pagi.

Lagi seminit... Lalu matanya dipejamkan semula.

TOK! TOK! TOK!

"Bangunlah bertuah oi! Jangan sampai atok jirus kau dengan air."

Umar menyeringai apabila suara atoknya tetap bergema mengganggu dia daripada terus tertidur.

Atok ni... Umar ambil bantal dan tekup telinga, baru dia nak lelap, telefonnya pula bingit menghasilkan bunyi serentak dengan telefon milik Uthman dan Ali.

Tepat jam 5.20 pagi.

"Bangunlah Umar, Uthman, Ali! Mandi!"

Umar bangun dengan hati yang sebal, bantal yang tadinya dia guna untuk menekup telinga Umar campak sampai terpelanting jatuh daripada katil.

Rambut yang sedia kusut dia ramas kasar hingga menjadi lebih kusut masai.

Dia pandang Uthman dan Ali yang sedang pulas tidur dengan pandangan yang jengkel.
Adik-adiknya itu sikit pun tak terganggu dengan bunyi jam masing-masing.

Macam manalah dia orang boleh tidur bising-bising macam ni?

Umar mengeluh. Dia jatuhkan sebelah kaki ke lantai, sebelah lagi naik ke katil milik Uthman yang tidak jauh dari katilnya lalu kaki yang terjuntai itu dia tunjal sedikit kuat.

"Uthman, bangun."

Uthman tetap kaku. Goncangan kecil berubah menjadi makin ganas.

"Oi Uthman, bangun!" Umar tolak-tolak punggung adiknya itu sampailah Uthman terpisat-pisat membuka mata.

Sekarang giliran untuk kejutkan Ali pula.

Umar berdiri lalu dia berjalan pergi ke katil paling hujung, milik Ali.

Dia lihat posisi tidur si adik kembar bongsu, separuh badan atas katil, separuh lagi tergantung, sikit lagi jatuhlah tu ke bawah.

Macam dia buat dekat Uthman, Umar hulurkan kakinya menguis kaki Ali yang terjuntai.
Ali, bangun.

Ali ini senang sedikit hendak dikejut kalau nak dibandingkan dengan Uthman. Sekali cuit selalunya terus terjaga.

"Umar, Uthman, Ali, dah bangun belum?" Suara atok di luar sekali lagi nyaring menjerit memanggil mereka bertiga.

"Sudah tok!" Serentak, Umar, Uthman dan Ali menyahut. Kalau tidak... tak mustahil sepuluh saat kemudian atok akan masuk dan simbah mereka dengan air sejuk.

Tak mustahil langsung, sebab Umar, Uthman dan Ali dah pernah dan selalu kena.

* * *

"ABAH, jomlah gerak, nak tunggu apa lagi ni? Dah pukul tujuh dah." Rungut Ali bila jam di pergelangan tangannya tepat menginjak ke angka tujuh tapi mereka masih menunggu di dalam kereta.

Fitri di hadapan hanya mampu jeling Ali melalui cermin pandang belakang.

"Kalau boleh gerak, lama dah abah gerak, Ali."

Si kembar tiga julingkan mata mereka ke atas sambil menyandar, tangan masing-masing disilangkan ke dada.

Bosan.

Uthman yang duduk di tepi sekali turunkan tingkap kereta lalu dia keluarkan kepala.

"Adik! Berapa tahun ni nak tunggu awak?!"

Sementara Umar yang duduk di tengah kedepankan badannya lalu tangan dia menekan hon di stereng kereta abah bertalu-talu.

"Kejap, adik nak pakai tudung!"

"Pakai tudung apa lagi tak siap-siap?" Ali mengomel kecil.

Abah hanya mampu gelak. Inilah drama mereka setiap pagi.

Si abang tak reti sabar, dapat adik kaki meleceh. Memang bingit!

"Awak nak pergi sekolah pukul berapa ni dik?! Uthman sekali lagi jerit ke luar kereta."

"Kejaplah!" Suara Ilma bergema dari dalam rumah.

"Atok dah kata dah malam tadi, siapkan apa yang patut, esok pagi bangun terus sarung. Orang degil macam inilah, kan dah bergulut, ini tak siap, itu tak gosok. Cakap atok ni tak pernah nak dengar!" Atok dah tambah perisa dalam bebelan apabila dia duduk di depan pintu dan mula 'baca berita'.

Umar, Uthman dan Ali mula mengetap bibir, sakit telinga dan hati apabila mereka terpaksa mendengar leteran di pagi hari.

Kan atok dah mula....

Kalau atok berleter tu betul-betul dekat telinga Ilma seorang je tak apa. Ini tak Semua kena dengar sekali.

Membara sahaja hati ini.

Uthman terus naikkan cermin tingkap.

"Okey dah, jom." Ilma kalut masuk ke dalam kereta bersama beg sekolahnya.

"Awak ni kan dik, suka buat atok bising." Abah beri komen sambil memandu keluar dari perkarangan rumah mereka.

"Adik lambat pakai tudung je abah." Ilma bela diri dia penuh rasa tak bersalah buatkan Umar, Uthman dan Ali serentak menjulingkan mata mereka ke atas.

"Lambat pakai tudung je abah?" Umar mula menyerang.

"Awak tu semua benda lambat, jangan kata pakai tudung, gosok tudung pun dua jam! Bukan tudung tu jadi emas pun gosok lama-lama." Itu serangan mulut daripada Uthman.

"Lepas tu mulalah terdemut-demut nak susun bukulah, nak cari stokinlah apalah. Lembab!" kutuk Ali.

Ilma pandang ketiga-tiga abangnya dengan muncung yang sedepa.

"Apa?!" Garang Umar, Uthman dan Ali menyoal serentak hingga kereta jadi bergema dengan suara mereka.

"Abang kecoh!"

Serentak lagi mereka bertiga mendecit. Jengkel sahaja bunyinya.

Memang!

* * *

DEAR Ilma,

Saya dah suka dekat awak dah lama, since form 1 lagi, baru hari ni saya berani nak tulis surat ni.

Saya-

Tak sempat Ilma nak habiskan ayatnya tiba-tiba kertas tadi sudah direntap daripada pegangan tangannya.

Macam nak hilang darah daripada muka apabila dia lihat Umar, Uthman dan Ali dah tersengih macam setan sambil baca surat dia.

Abang! Apa ni! Ilma cuba-cuba untuk merampas balik tapi sayang... Siapalah dia jika hendak dibandingkan dengan fizikal mereka.

Dia diumpama seperti monyet yang cuba merampas pisang daripada gorilla.

"Saya rasa awak comel sangat, Ilma?" Ali mula membaca dengan nada mengejek.

"Bila saya tengok awak, terus saya rasa nak senyum?" Umar sambung baca.

"Jantung saya berdegup kencang bila nampak awak, Ilma?" Itu daripada Uthman.

Mereka bertiga bertukar pandangan.

"Jijik gila!" kata mereka serentak lalu ketawa terbahak-bahak buatkan Ilma kegeraman.

Sudahlah masuk bilik orang, lepas tu rampas surat orang, lepas tu menyetan.

Eee, abang kembar dia ni tak boleh jadi lagi menyebalkan ke?

Umar ambil tempat di atas katil Ilma lalu dia duduk bersila di situ dengan surat Ilma masih di tangannya. "There are 3 reasons why you should not accept this boy, Ilma. Firstly adik, budak ni buta sebab kata awak comel."

Uthman duduk pula di sebelah Umar, "secondly adik, budak tu tak betul. Why did he want to smile when he looks at something ugly? Macam awak?"

"And thirdly adik, budak ni ada masalah jantunglah, nampak awak je jantung dia berdegup kencang. Not good for his health. Nanti muda-muda awak dah kena jadi janda."

Kata Ali sejurus melabuhkan duduknya di sebelah Umar menjadikan abang sulungnya itu terkapit antara dia dan Uthman.

Habis sahaja Ali berkata-kata, mereka tanpa belas terus gelak mengilai sampai terbaring. Bahagia sangat bila dapat kenakan Ilma.

Ilma ambil beg sekolahnya lalu dia hempuk-hempuk kaki abang-abangnya yang terjulur depan dia.

Menyakitkan hati!

Penyibuk!

Umar, Uthman dan Ali memang suka menyibuk. Daripada sekolah bawa sampai balik rumah.

Pantang ada cerita berkaitan dengan Ilma, mesti dia orang tahu walaupun hebat mana Ilma cuba nak sorok.

Lepas tu mulalah ugut nak kasi tahu dekat atok, abah, tak pun mummy ataupun sebagai balasan untuk tutup mulut, mesti Ilma kena buat sesuatu untuk mereka.

Selalunya Ilma kena cuci dia orang punya baju seragam sekolah.

Ilma bukan tak nak bagi atok ke, mummy ke tak pun abah tahu tu sebab apa, nanti kena bebel. Tak tahanlah. Boleh murung kalau abah tak pun atok dah mula buka mulut. Pening kepala.

Kadang salah Ilma tidur lambat je, atok punya bebel marahkan Ilma, macam Ilma dah ketahuan hisap candu.

Rumah-rumah Asia...

"Kalau setakat masuk ni, nak menyakitkan hati adik, baik awak keluar Abang Umar, Abang Uthman, Abang Ali."

"Siapa bagi surat ni, adik? tanya Uthman tak bertapis."

"Manalah adik tahu." Ilma mencebir. Dia duduk bersila atas kerusi meja belajarnya sambil menghadap kembar tiga yang masing-masing sudah bersila selesa di atas katil bujang dia.

Dah biasa dah jadi tetamu dekat bilik sendiri ni.

"Ya ke tak tahu?" Ali tak percaya. Bukan boleh percaya sangat dengan Ilma ni. Tahulah muka dia licin, ramai peminat.

Kadang tu, kawan-kawan sekolah tak putus-putus tanya pasal Ilma, penat nak jawab.

"Lah, betullah adik tak tahu. Adik jumpa bawah meja, surat tu pun tak habis baca abang dah tarik." Ilma tongkatkan dagu guna tangan.

"Handsome tak budak ni?" tanya Umar lagi.

"Mana tahu handsome ke tidak, tak tahu kan siapa yang bagi."

"Form berapa?"

"Ya Allah, orang kata tak tahu! Apa tak faham bahasa sangat ni?"

Ilma naik angin apabila dia terus diajukan dengan soalan yang bertubi-tubi.

Si kembar tiga tersengih sendiri apabila tengok Ilma dah tinggikan suara dia.

"Ini kalau abah tahu ni..."

Terus berubah muka Ilma.

"Abang jangan mengada eh kasi tahu abah. Nanti abah bising."

Umar, Uthman dan Ali makin lebar menyengih.

"Lama dah tak dengar abah bising, apa salahnya sekali sekala. Dah sepurnama tak dengar abah buka tazkirah." Lagi Ali mengusik.

"Abang Ali tak payah mengada!"

"Awak tak suka ke dengar abah tazkirah, dik? Subhanallah, kenapa teruk sangat perangai awak sekarang ni, Ilma?"

"Abah dengan mummy hantar belajar tinggi-tinggi, atok hari-hari ajar mengaji, macam gini jadinya awak?"

"Baru ada orang suka, perangai dah teruk macam ni? Awak bukan Nabi Yusuf, riak dia dah begini, Masya Allah Nur Ilma Ahmad Fitri... apa nak jadi ni?"

Ilma pandang Ali kecil besar kecil besar je.

Ali ni suka melebih. Isunya kecil je. Malas Ilma nak layan.

Galak Umar dan Uthman gelak tengok Ali mengajuk abah mereka.

Kalau Ali berani mengadu, Umar dengan Uthman akan jadi antara golongan manusia pertama yang pergi kejar Ali. Tengoklah!

Sebab konsep dekat rumah ni, kalau seorang buat hal yang kena bebel tu semua sekali, bukan semata pesalah itu sahaja.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top