Big Boss, I Need You!- Bab 9
"OKEY, dah selamat sampai. Tuan Adriy yakin
ke boleh turun sendiri nanti? Nak saya temankan?" Awaanis
sengaja menyakat. Bukan dia tak tahu Adriy cuak apabila lif
bergerak laju turun dan naik tadi.
Dia sudah biasa. Mula-mula dulu dia juga seperti itu.
Tapi akhirnya dia bertawakal kepada Allah. Masakan dia mahu
turun naik tangga. Dahlah rumahnya di tingkat 11.
Adriy berdeham sambil berpura-pura melihat jam di
tangan.
"Eh, tak payah sibuk. Awak masuk sekarang atau
awak memang nak jemput saya masuk rumah awak?" Tak
kurang juga Adriy bersarkastik. Keningnya diangkat sebelah.
Menjengah sedikit melihat ruang rumah Awaanis yang
berpagar itu.
Membulat mata Awaanis. Gila apa dia mahu jemput
lelaki bukan mahram masuk ke dalam rumahnya. Mendidih
rasa hatinya saat mendengar pertanyaan selamba bosnya itu.
"Tuan Adriy fikir saya ni apa?" Melengking suara
Awaanis. Sepantas kilat dia masuk ke dalam rumahnya dan
mengunci pintu pagar. Ah! Lelaki sekarang bukan boleh
percaya. Hatta seorang big boss sekalipun. Berhati-hati
Awaanis mengawasi tingkah Adriy.
Adriy tersenyum sinis.
"Awak ingat saya teringin sangat ke nak masuk
rumah awak? Jangan fikir saya temankan awak ni sebab saya
nak apa-apakan awak pula. Saya ni lelaki yang budiman. Saya
cuma nak pastikan awak sampai rumah dengan selamat.
Faham?" Adriy menyilangkan tangan ke dada. Bersuara
panjang lebar di balik pintu pagar yang menghadang dia dan
gadis itu.
Awaanis tersenyum herot. Segan apabila salah
mentafsir Adriy.
"Err... saya dah selamat dah. Terima kasih, tuan.
Buat susah-susah je. Dah lewat ni. Baik tuan balik sekarang,"
suruh Awaanis. Bukan mahu menghalau tapi dia bimbang
kata-kata jiran tetangga. Biarpun hakikatnya kejiranan
mereka lebih membuat hal masing-masing.
Adriy menghela nafas.
"Okeylah, saya balik dulu. Masuk sekarang dan kunci
pintu," arah Adriy mengundur sedikit ke belakang.
Awaanis mengangguk kecil.
"Assalamualaikum." Dihadiahkan senyum manis
sebelum menutup pintu.
Adriy sedikit tergamam melihat senyuman itu.
"Waalaikumussalam..." jawabnya perlahan. Entah
kenapa satu rasa halus hinggap di hati. Rasa tenang.
AWAANIS LIHAT jam di dinding. Jam 5.15 pagi. Gara-gara
memikirkan peristiwa semalam buat dia bangun lewat pagi
ini. Sedangkan jam 6 pagi syif kerja kilangnya bermula,
tempat dia mencari rezeki. Buru-buru dia bersiap.
Saat keluar dari pintu bilik, dia bertembung dengan
adiknya, Aiman.
"Man, awal bangun?" Aiman yang baru menyarung
kopiah menoleh kepada kakaknya itu.
"Man nak ke surau. Nak mengaji dulu sebelum
subuh. Jomlah turun sekali. Man temankan kakak," ajak
Aiman lalu membuka pintu rumah.
Awaanis senyum senang.
"Ayah kerja syif malam lagi?" soalnya seraya
menjeling sekilas adiknya yang beriringan dengannya ke
pintu lif.
Aiman mengangguk kecil.
Awaanis mengeluh sendiri terkenangkan sikap
ayah. Dulu ayah tidak begini. Ayah berubah sikap sejak ibu
meninggal 5 tahun lepas.
Sebelum ini hidup mereka sekeluarga bukanlah
begini. Hidup mereka penuh tawa ria. Ketika itu mereka
masih tinggal di banglo mewah di pinggiran pantai. Segalanya
bermula saat di mana terjadinya satu kemalangan sehingga
meragut nyawa ibu mereka.
Selepas itu, ayah mereka, Encik Aziz berubah sikap
dengan drastik. Ayah sering menyalahkan dirinya kerana
kecuaian memandu hingga terjadinya kemalangan jiwa itu.
Akibat kemurungan ayah, rakan kongsi ayah mengambil
kesempatan mengkhianati urusan perniagaan ayah yang juga
kontraktor yang agak terkenal suatu tika dulu. Ketika itu,
Awaanis baru berusia 19 tahun.
2 tahun selepas itu, di sinilah mereka. Merantau jauh
ke ibu kota. Terpaksa bertatih semula untuk hidup. Awaanis
terpaksa berhenti belajar demi kelangsungan hidup mereka.
Cukuplah baginya Aiman yang meneruskan cita-citanya ke
menara gading.
"Tak baiklah kak asyik mengeluh," tegur Aiman
ketika mereka sudah masuk ke dalam lif. Bagi Aiman, dengan
mengeluh tidak merubah apa-apa. Nabi pun tak suka umatnya
yang kuat mengeluh akan nasib.
Awaanis tersengih. Aiman memang adik yang baik.
Yang selalu menegur dan menasihatinya. Kadangkala dia
merasakan seperti Aiman abang dan dia adik. Biarpun dia
tegas tapi selalu kalut berbanding Aiman yang lebih tenang.
"Erm... kak. Man dapat kerja jadi storeman kat
pasar raya sebelah flat tu. Esok Man mula," beritahu Aiman
sambil melangkah keluar dari perut lif yang sudah berhenti
di tingkat bawah.
"Nanti kakak tak payahlah buat part-time lagi kat
restoran tu," sambungnya lagi.
Awaanis yang mengekori langkah Aiman itu
tersentak. Langsung langkahnya terhenti.
"Man tak beritahu kakak pun Man minta kerja situ."
Sejuk beku suara Awaanis menatap belakang tubuh adiknya
itu.
Aiman berpaling ke arah kakaknya. Wajah si kakak
ditenung redup.
"Man tahu kakak tak suka. Tapi daripada Man duduk
saja-saja, baik Man kerja. Lagipun Man kesian kat kakak.
Berapa jam kakak tidur?" tanya Aiman tiba-tiba.
Awaanis mendengus kasar.
"Kakak nak Man sambung belajar. Kakak tak mahu
nanti bila Man dah belajar pegang duit, minat Man nak belajar
dah tak ada. Man pun tahu Man satu-satunya harapan kakak."
Aiman pegang bahu Awaanis. Mematikan bebelan
kakaknya.
"Man tanya berapa jam kakak tidur?" tegas suara
Aiman.
Dulu lagi dia memendamkan perasaan melihat
kakaknya yang bertungkus lumus bekerja. Tapi ketika
itu dia masih bersekolah. Dia hanya mampu menelan
melihat kepenatan kakaknya. Tapi kini dia sudah tamat
sekolah menengah. Umurnya sudah menginjak 18 tahun.
Sekurang-kurangnya dia mahu mengurangkan beban yang
ditanggung kakaknya.
Awaanis terdiam. Berapa jam dia tidur? Awaanis
sendiri sudah tidak mengira waktunya. Mungkin 4-5 jam.
Atau mungkin kurang 3 jam seperti malam tadi.
"Kakak... kakak kena jaga kesihatan kakak. Man
tak mahu kakak jatuh sakit." Aiman lepaskan pegangan
tangannya.
"Dahlah. Jom Man teman kakak pergi kerja. Tentu
Kak Rubi dah pergi dah jam ni." Aiman mula melangkah.
Awaanis mengerling jam di tangan kirinya. Segera
dia berlari anak mengejar langkah Aiman hingga hampir
tersadung di longkang.
"Man! Tunggulah kakak." Awaanis terkedek-kedek
berlari anak ke arah Aiman yang melangkah laju. Adiknya
itu sudah besar panjang. Susuknya juga sudah menjadi lelaki
sebenar. Bukan Awaanis tak tahu berapa ramai gadis yang
mengejar adiknya itu. Cuma Aiman memang malas mahu
melayan.
Bagi Aiman, bukan masa untuk dia bercinta.
Bersyukur sangat dia sebagai kakak kerana Awaanis tidak
perlu terlalu menekan Aiman. Adik terunanya itu lebih pandai
menjaga diri sendiri. Mungkin kerana dahulu lagi ayah dan
ibu mendidik mereka dengan baik.
Aiman tergeleng kepala. Matanya sempat menangkap
langkah pincang kakaknya itu. Selalu saja tersadung di
mana-mana.
"Kakak tu kalau jalan jangan kalut sangat boleh tak?
Mujur tak jatuh tadi." Aiman mencerlung kepada kakaknya.
Awaanis menyeringai sengih. Pantas lengan Aiman
dipaut.
"Kalau kakak jatuh, adik sado kakak ni ada sambut."
Sengaja Awaanis mengusik.
Laju Aiman menarik lengannya.
"Apalah kakak ni. Malulah. Peluk-peluk lengan
orang pula."
Mata Aiman meliar kiri dan kanan. Bimbang
kawan-kawannya nampak pula. Nanti dituduhnya mereka
Aiman budak manja. Dengan kakak pun asyik nak berkepit.
Bukan mereka tahu apa yang dia dan Awaanis lalui. Hanya
dia yang tahu isi hatinya. Mengapa dia terlalu mengagumi
kakaknya itu.
Kerana Awaanislah kakak dan juga ibunya. Malah
berperanan sebagai bapa. Sementelah ayah mereka hanyut
dalam dunia sendiri.
Awaanis ketawa besar. Aiman memang pemalu!
"AWAANIS!"
Awaanis berpaling saat namanya dipanggil kuat oleh
Mr. Andrew. Penyelianya itu menapak ke arahnya dengan
diikuti seorang lelaki yang mungkin sebaya dengan dirinya.
"Ya, Mr. Andrew." Awaanis tersenyum kepada Mr.
Andrew yang sebaya bapanya. Hubungan dia dengan Mr.
Andrew sangat baik. Selalu saja lelaki tua berbangsa Cina ini
membantu dan mengajarnya. Dan salah satu sebab juga Azril
seolah-olah membenci dia. Kerana dia digemari pihak atasan
walaupun kerjanya hanya sebagai leader di situ.
"Kita ada technician baharu. You tolong ajar dia
tentang mesin ya? Itu Din dan Zack banyak sibuk. You ajar
itu basic saja maa... Sorry aa... minta tolong sama you." Mr.
Andrew tersengih.
"Oh... boleh. Saya pun tak banyak kerja hari ni."
Awaanis balas senyum. Dia menunduk sedikit kepada lelaki
sebelah Mr. Andrew itu. Boleh tahan orangnya. Bergaya
remaja masa kini.
"Hai, saya Zikri." Pemuda yang dikatakan juruteknik
baharu itu tersenyum mesra. Mr. Andrew sudah pun berlalu
dari situ. Meninggalkan Zikri supaya diberi tunjuk ajar oleh
Awaanis.
"Awaanis." Senyum diukir kembali.
"Cantik nama awak." Zikri mula memuji. Manis dan
comel betul gadis di hadapannya itu.
Awaanis hanya tersenyum nipis. Bukannya dia tidak
biasa dengan usikan dan pujian sebegitu. Lelaki memang
suka bermulut manis agaknya.
Teringat pula Awaanis pada big bossnya itu. Tak
berperasaan, sinis, tapi mudah-mudah saja ajak dia kahwin.
Namun, dalam pada itu ada sedikit sikap prihatin pada lelaki
itu. Senyuman Awaanis semakin tertarik sendiri.
"Awak senyum pun cantik."
Awaanis tersentak.
"Ya, awak cakap apa?" Spontan wajahnya didongak
memandang Zikri. Bunyi bising mesin buat dia kurang jelas
mendengar apa yang dikatakan Zikri.
Zikri tersenyum lebar.
"Saya cakap awak!" Badannya dibongkokkan sedikit
kepada Awaanis. Zikri kuatkan suaranya.
"Ehem!"
Serentak itu Awaanis dan Zikri tertoleh kepada suara
yang berdeham kuat itu.
"Err... Tuan Adriy." Awaanis telan liur. Baru saja dia
terfikirkan lelaki itu dan bagaikan dipanggil, Adriy muncul di
situ dengan riak bersahajanya.
Zikri kerutkan kening kepada Awaanis. Siapakah
pula lelaki ini?
"Err... Zikr, ini big boss kita. CEO Tuan Adriy."
Awaanis kenalkan Zikri kepada bos besar mereka itu.
"Oh. Maafkan saya, bos. Saya Zikri, juruteknik
baharu," ucap Zikri sambil menghulurkan tangan kepada
CEO syarikat itu.
"Hurm. Kumpul semua orang. Saya nak buat
briefing sekarang," tegas suara Adriy memberi arahan kepada
Awaanis. Mata helangnya menyambar anak mata Awaanis
yang tampak gelisah itu.
Tanpa membalas Zikri yang ingin berjabat
dengannya, laju dulu kaki Adriy melangkah pergi dari situ.
"Haih... orang pangkat besar ni memang berlagak,
kan awak? Nasiblah kita dapat big boss macam tu," rungut
Zikri tanpa memandang Awaanis.
Gadis itu hanya terdiam melihat belakang Adriy yang
melangkah gagah. Memang berlagak!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top