Big Boss, I Need You!- Bab 8

JAM 6.30 petang. Awaanis punya masa dalam

setengah jam sahaja untuk dia bersiap ke tempat kerja

keduanya. Kain tuala dicapai pantas.

Dalam pada itu, persoalan tentang hubungan

neneknya dan Tan Sri Syed Borhanudin mengasak fikiran.

Apakah ayahnya sudah tahu tentang hal ini?

Bayang ayah tidak kelihatan sejak tadi. Pasti ayah

yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu bekerja syif

malam hari ini. Begitulah kehidupan mereka 3 beranak.

Duduk satu rumah tapi jarang bersua muka.

Jika Awaanis bekerja siang, ayahnya pula bekerja

malam. Adiknya, Aiman pula membantu kawannya meniaga

menjual burger sementara menunggu keputusan SPM.

Selepas bersiap ala kadar, Awaanis bergegas pula ke

restoran tempat dia bekerja secara sambilan dari jam 7 malam

hingga 12 tengah malam. Rutin harian yang terpaksa dia

hadap sehari-hari. Mujurlah dekat saja restoran itu dengan

rumah sewanya.

Awaanis sedang mengelap meja apabila namanya

dipanggil Yus, pengurus restoran itu.

"Anis, ada orang nak jumpa," beritahu Yus.

"Siapa, Abang Yus?"

"Lelaki hari tu. Yang kamu tuang air atas kepala

dia. Jangan-jangan dia nak minta ganti rugi tak?" suara Yus

berbisik sedikit.

Awaanis mengerutkan dahi. Oh, big boss a.k.a. si

mamat gila. Sedikit senyuman nipis terlorek di bibirnya.

"Oh dia... Anis jumpa dia sekejap ya." Terus diatur

langkah ke meja yang ditunjuk pengurusnya.

"Ya, tuan. Nak minum apa?" Kertas pesanan dan pen

sedia sudah di tangan. Sebolehnya dia berlagak biasa.

"Duduk," arah Adriy dengan nada kosong.

Awaanis menjeling dengan hujung matanya sebelum

bersabung dengan mata helang lelaki yang juga big boss di

kilangnya itu.

"Tuan Adriy mahu apa lagi daripada saya?" keluh

Awaanis masih lagi berdiri tegak di sisi meja.

Adriy bangkit berdiri. Tangan dimasukkan ke dalam

poket dan mendekat gadis itu.

"Saya nakkan jawapan awak secepat mungkin."

Matanya menikam tajam ke anak mata bulat Awaanis. Susah

betul gadis ini mahu buat keputusan.

"Sa... saya belum bincang dengan ayah saya. Dia wali

saya." Tergagap Awaanis apabila Adriy berdiri dekat dengannya.

Lelaki ini kenapa? Tak perlulah berdiri dekat-dekat. Awaanis

jarakkan kedudukan mereka sedikit.

"Okay, fine. Tapi saya nak jawapan awak next week.

Dan saya nak pastikan jawapan awak is yes."

Berasap pula telinga Awaanis mendengarnya. Jadi,

apa gunanya beri masa kepada dia jika mahukan jawapan itu

juga!

"Kalau saya tolak?" soal Awaanis berani. Matanya

naik bertentang dengan anak mata Adriy.

Adriy senyum sinis. Tubuh ditundukkan menyamai

ketinggian Awaanis.

"Saya akan pastikan awak setuju. Rela atau tidak!"

bisiknya di telinga Awaanis sebelum bergerak pergi.

Awaanis tergamam. Eee! Kenapalah asyik nak buat

aksi bisik-bisik macam tu!

No. Dia tak rela!

AWAANIS BERSIAP-SIAP untuk pulang ketika jam

menginjak ke 12 tengah malam. Esok paginya dia harus

bekerja di kilang pula. Letih memang letih. Tapi apakan daya

hidup di kota metropolitan ini memerlukan dia mencari

segala peluang yang ada untuk menambah pendapatan.

Baru saja kaki melangkah keluar dari pintu restoran,

langkah Awaanis termati apabila anak matanya tertancap

pada satu figura.

Adriy!

Kelihatan lelaki itu santai menyandar di pintu kereta

mewahnya. Awaanis pura-pura buat tidak nampak.

Adriy berdiri tegak apabila Awaanis melintasinya.

Sepantas kilat dia menghadang laluan Awaanis dengan tubuh

sasanya.

Awaanis beralih ke kiri, Adriy turut ke kiri. Awaanis

beralih pula ke kanan, Adriy ikut juga ke kanan. Sengaja!

"Tuan Adriy!" rengus Awaanis dengan kaki dihentak

ke lantai. Kepala didongak mencerlung pandang Adriy yang

berwajah selamba.

"Jom," ajak Adriy dengan muka yang tidak

berperasaan.

"Jom apa?" tanya Awaanis lurus. Jelas kerutan di

dahinya mendengar ajakan sepatah lelaki itu.

"Jumpa ayah awak." Adriy angkat kening sebelah.

Melopong Awaanis dibuatnya mendengar jawapan

Adriy.

"Tuan Adriy, awak gila ke? Cuba tengok jam mahal

kat tangan Tuan Adriy tu sekarang sudah pukul berapa."

Mulut Awaanis terjuih pada pergelangan tangan Adriy. Lelaki

itu berpakaian T-shirt lengan panjang yang disingsing hingga

ke paras lengan.

"Awak kata saya gila? Saya rasa awak lagi gila, girl."

Adriy masukkan tangan ke dalam poket seluar khakinya.

"Dah kenapa pula saya yang gila?" Awaanis kecilkan

mata merenung wajah Adriy.

"Yalah. Mana ada perempuan balik rumah tengah

malam begini. Dah, jangan banyak cakap. Masuk dalam

kereta. Saya hantar. Free of charge! Saya bukan bawa Grab.

Jangan risau."

Mata Awaanis semakin mengecil. Bibir dikemam

geram. Rasa nak cekik-cekik lelaki itu. Dia balik malam sebab

kerjalah! Bukan buat perkara bukan-bukan. Bukannya lelaki

itu tidak tahu. Boleh pula dia yang dilabel gila.

"Saya boleh balik jalan kaki. Rumah saya dekat je

dari sini," tolak Awaanis. Langkah diorak kembali.

"Cik Awaanis, sila masuk dalam kereta atau awak nak

saya seret awak masuk dalam kereta?" ugut Adriy sebelum

Awaanis melangkah pergi.

"Fine!" Awaanis menjulingkan mata ke atas. Sebal.

Diputarkan kembali langkahnya mengarah ke pintu kereta

yang telah dibuka Adriy. Punggung dihenyak kasar dengan

wajah mencuka.

"Awak ni memang degil, kan?" Adriy mengecilkan

mata mencerlung wajah gadis itu apabila punggungnya

dihenyak ke tempat duduk pemandu.

"Dah tahu, kenapa nak juga kahwin dengan saya?"

balas Awaanis selamba. Tangan disilangkan ke dada.

"Nak tahu kenapa?" Soalan dibalas soalan. Adriy

menghidupkan enjin kereta.

"Sebab Tan Srilah. Sebab apa lagi, kan?" Awaanis

tersenyum sinis. Eleh, macamlah dia tak tahu lamaran Adriy

tu berkepentingan. Biasa sangat. Cucu orang kaya, tentulah

hendak kaut harta datuknya.

"Ya. Salah satunya... Tapi ada satu lagi sebab." Adriy

tersenyum senget.

Awaanis menjeling kepada Adriy seolah-olah tertarik

dengan kenyataan yang bakal dibuat Adriy.

Adriy dekatkan wajahnya pada telinga Awaanis.

"Sebab... saya suka perempuan degil macam awak ni.

Terasa cabarannya," bisik Adriy lunak. Siap dengan memek

muka teruja.

"Dahlah. Cepat hantar saya balik. Tentu adik saya dah

tidur." Cepat-cepat Awaanis alihkan tumpuan Adriy. Bahaya

sungguhlah lelaki ini. Main bisik-bisik pula! Meremang

lehernya mendengar jawapan big bossnya itu.

"TERIMA KASIH hantar saya. Tuan Adriy boleh balik dah.

Ayah saya kerja syif malam hari ni. Tak boleh jumpa," beritahu

Awaanis sebaik mereka sampai di hadapan flat tempat dia

tinggal. Tali pinggang keledar dibuka. Kurang penatnya

apabila tidak berjalan kaki hari ini. Kalau tidak dia hanya

meminta pertolongan Allah sahaja supaya dirinya dilindungi.

Adriy memanjangkan leher melihat ke luar tingkap

sebelah Awaanis. Terdorong Awaanis ke tepi tingkap. Selamba

betul lelaki ini!

"Awak tinggal sini?" tanya Adriy bagai tidak percaya.

"Ya. Kenapa?" soal Awaanis kembali dengan polos.

Adriy pandang kiri dan kanan kawasan itu. Sunyi.

Yang ada beberapa remaja sedang melepak di tepi pintu

utama flat murah itu.

"Saya temankan awak naik atas," putus Adriy. Tali

pinggang keledar dilonggarkan dan pintu kereta dibuka.

Awaanis ikut membuka pintu.

"Eh, tak payahlah Tuan Adriy susah-susah. Saya

boleh je naik sendiri." Laju dia menolak. Seram pula dengan

sikap prihatin Adriy yang tiba-tiba.

"Bila saya cakap saya temankan awak, maksudnya

saya akan temankan awak. Faham?" Adriy merenung tajam

wajah Awaanis. Gadis itu menelan liur. Faham akan nada dia

yang berbaur amaran yang kata-katanya tidak boleh dibantah.

"Baik." Lemah Awaanis menjawab. Langkah diatur

perlahan menuju ke lif dengan bahu yang sudah menjatuh.

Susahnya apabila berhadapan dengan lelaki diktator seperti

big bossnya itu.

Awaanis menjeling Adriy sekilas ketika mereka sudah

berada di hadapan pintu lif. Mata lelaki itu tegak memandang

pintu lif.

"Tuan Adriy dah boleh balik dah. Saya boleh naik

sorang-sorang," ujar Awaanis perlahan.

Ting!

Pintu lif terbuka. Adriy kalihkan pandangan ke arah

Awaanis. Matanya mengisyaratkan supaya masuk ke dalam lif.

'Sibuk je nak hantar orang. Entah apa agenda

dia!' gumam Awaanis sebal. Nafas dihela kasar. Jari

menunjal-nunjal butang lif di mana terletak rumahnya. Di

tingkat 11.

"Boleh sampai cepat ke kalau tekan macam tu?"

Awaanis tersentak. Perlahan tangan mengurut

dadanya. Wajah dipalingkan ke sisi. Sekali lagi dia terkejut

apabila wajah Adriy betul-betul di tepi wajahnya. Langsung

dijarakkan kedudukan mereka.

"Eh, boleh. Lif kat flat ni memang kena tekan begitu."

Sengaja Awaanis bersarkastik. Seram betul berdua-duaan

begini dengan lelaki itu.

"Awak ni..." Kata-kata Adriy terhenti apabila tiba-tiba

saja lif bergerak laju. Adriy lekas menahan telapak tangannya

ke tepi dinding lif.

Awaanis menahan tawa melihat wajah cuak Adriy.

"Lif ni memang macam ni. Dia tak alukan orang

asing," perlinya dengan tawa kecil.

Adriy mengetap bibir. Seboleh mungkin dia

mengawal riak bimbangnya. Lif sedang bergerak laju tetapi

gadis di hadapannya ini boleh pula bergelak tawa? Tak takut

matikah gadis ini?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top